Hukum Wanita Bujang Bekukan Sel Telur Kerana Risau Lambat Kahwin

Share

Hukum Wanita Bujang Bekukan Sel Telur Kerana Risau Lambat Kahwin

Wanita kahwin lambat perkara biasa Ketika ini. Belum jumpa pasangan sesuai, kesibukan dengan karier, tuntutan keluarga dan pelbagai lagi alasan menjadi punca.

Ada wanita yang tidak kisah tapi ada juga yang berasa risau dengan keadaan ini terutama jika sudah mencecah usia 40 tahun.

Dalam situasi ini, mungkin terdapat kalangan wanita tersebut yang berhasrat membekukan ovum atau sel telur kerana bimbang bertemu jodoh selepasa fasa menopaus yang mungkin menyebabkan mereka kurang subur untuk menimang cahaya mata.

Namun begitu adakah perkara ini dibenarkan dalam Islam? Persoalan ini dijawab oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

Ringkasan Jawapan

Hukum mengeluarkan benih sebelum akad nikah untuk disenyawakan selepas berkahwin adalah haram. Bahkan membekukan ovum kerana lambat berkahwin dengan sangkaan tidak subur pada masa hadapan adalah alasan yang tidak boleh diterima syarak kerana ia bukan dalam lingkungan pengetahuan kita sebagai manusia. Justeru itu, hukum bekukan ovum atas alasan tersebut adalah haram.

Huraian

Pembekuan Ovum

Oocyte cryopreservation adalah satu kaedah pembekuan dan penyimpanan telur (oosit, ovum, sel telur wanita) yang matang untuk kegunaan pada masa akan datang. Telur atau oosit ini akan dikeluarkan daripada ovari dan disimpan di dalam cecair nitrogen (LN2) pada suhu yang rendah.

Mengeluarkan  ovum bagi perempuan dan sperma bagi lelaki atau perbuatan meminta mengeluarkan air mani adalah sama maksudnya dengan istilah istimna’ (استمناء). Istimna’ pada sudut bahasa menurut fuqaha ialah mengeluarkan mani dengan tapak tangan dan seumpamanya bukan dengan cara bersetubuh.

Pada sudut istilah, mengeluarkan air mani tanpa melalui proses bersetubuh, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri”.

Adapun istimna’ pula adalah keinginan (permintaan) untuk mengeluarkan air mani dalam keadaan sedar dengan apa cara sekalipun, dan ia berlaku dalam kalangan lelaki dan juga wanita.

Secara umumnya, mengeluarkan air mani dengan sengaja adalah dilarang dan ditegah dalam Islam. Ini berdasarkan kepada firman Allah ‎SWT:

(7) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.” Surah al-Mu’minun (5-7)

Walaupun kaedah mengeluarkan ovum yang dilakukan dengan suntikan sedutan ovum (oocyte retrieval) bukan dengan cara istimna’, namun ia berlaku sebelum wanita tersebut berkahwin kerana risau pada usia menopause tiada ovum yang boleh dihasilkan.

Keluarkan air mani sebelum berkahwin dilarang

Hal ini kerana apa-apa kaedah mengeluarkan mani sebelum akad adalah dilarang melainkan mengeluarkan mani dalam tempoh perkahwinan. Imam Qalyubi berkata:

Bukan sesuatu yang diharamkan jika lelaki masturbasi dengan tangan isteri, begitu juga air mani yang keluar ketika tidur biarpun ada wanita asing (bukan isteri) yang memasukkan zakarnya ke dalam faraj semasa dia sedang tidur. Demikian juga jika isteri memasukkan air mani (suami) ke dalam faraj kemudian dia mengandungkan anaknya. al-Zarkasyi berpendapat dalam perkara ini anak yang lahir itu hendaklah dinasabkan kepada bapanya kerana berlaku percantuman dalam tempoh perkahwinan (firasy).”[7]

Berdasarkan kenyataan fuqaha’ tersebut, anak yang lahir daripada air mani seseorang lelaki yang keluar dalam tempoh perkahwinan, maka boleh dinasabkan anak kepada bapanya.

Oleh itu, hukum mengeluarkan air mani sebelum bernikah adalah haram berdasarkan pengharaman istimna’ (mengeluarkan air mani) bagi lelaki dan wanita yang bukan dalam tempoh perkahwinan.

Ada pun mengeluarkan ovum dengan kaedah suntikan adalah dilarang kerana “illah” sebelum akad perkahwinan. Penentuan menasabkan anak juga mestilah dalam tempoh perkahwinan bagi tujuan menjaga keturunan (Hifz Nasl).

Justeru, hukum mencantumkan benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudian dibuat persenyawaan dalam tempoh perkahwinan adalah haram.

Sangkaan yang Belum Berlaku

Alasan membekukan ovum kerana lambat kahwin dan risau akan mengalami menopaus adalah perkara sangkaan yang belum berlaku. Dalam hal ini para ulama menjelaskan sesuatu syariat tidak boleh dibina di atas perkara sangkaan semata-mata. Antaranya Sheikh Ibn ‘Asyur menjelaskan:

فعلمنا أن البناء على الأوهام مرفوض في الشريعة إلا عند الضرورة، فقضينا بأن الأوهام غير صالحة لأن تكون مقاصد شرعية

Maksudnya:”Maka kita telah mengetahui bahawa syariat yang terbina dengan jalan sangkaan adalah ditolak dan tidak diterima melainkan dalam keadaan darurat, maka kita menghukumkan bahawa sangkaan itu tidak boleh dijadikan sebagai tujuan syarak (maqasid syariah).”[8]

Oleh yang demikian, perkara sangkaan tidak boleh dijadikan hujah syarak mahupun alasan untuk membenarkan mengeluarkan ovum sebelum akad nikah.

Fatwa-Fatwa Berkaitan Benih (ovum/sperma)

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada tahun 2003 dan 1981 berkaitan isu mencantumkan benih dan bank mani:

– Hukum mencantumkan benih

– Hukum mencantumkan benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudiannya dibuat pencantuman dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah haram

– Hukum mencantumkan benih yang diambil dan dicantumkan dalam tempoh perkahwinan yang sah adalah harus.

-Berkenaan Bank Air Mani:

-Mengadakan bank air mani adalah haram.

-Sekiranya bank air mani telah sedia wujud maka kerajaan hendaklah bertindak untuk menghapuskannya.

-Permanian beradas yang dilakukan kepada manusia adalah haram kecuali jika air mani daripada suami didapati secara muhtaram/ terhormat (yang diluluskan oleh syarak), dibenarkan oleh Islam.

-Penglibatan doktor pakar atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan bank air mani adalah haram.

Penutup

Setelah meneliti hujah yang dibentangkan, mengeluarkan air mani dengan sengaja adalah dilarang. Sementara, hukum benih yang dikeluarkan sebelum akad nikah dan kemudiannya akan dicantumkan dalam tempoh perkahwinan adalah haram.

Hal ini kerana menjaga keturunan adalah dengan cara melalui hubungan seksual yang halal setelah terlafaznya akad nikah. Bahkan alasan lambat kahwin dengan menjangkakan pada masa hadapan yang bukan dalam kadar pengetahuan kita adalah alasan yang tidak boleh diterima oleh syarak.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Baca Lagi: 9 Usaha Dipercepat Jodoh Yang Baik Kalau Usia Dah Lanjut Tapi Belum Kahwin Lagi

 

Related Post
Published by
Team Kashoorga