Kerohanian

Iman Turun Naik Itu Perkara Biasa, Yang Penting Jangan Berhenti Kembali Kepada Allah

Share

Setiap manusia pasti akan diuji dalam kehidupan. Ujian itu datang dalam pelbagai bentuk, sama ada ketika susah mahupun senang, ketika hati kuat atau saat iman terasa lemah.

Antara ujian yang sering berlaku dalam diri ialah apabila mahu mendirikan solat, tetapi hati terasa berat. Kita mula melambat-lambatkan solat, memberi pelbagai alasan dan akhirnya membiarkan rasa malas itu menguasai diri.

Benar, godaan syaitan itu hebat. Namun dalam pada masa yang sama, iman manusia juga ada turun naiknya. 

Turunnya iman bukan bermaksud kita gagal sepenuhnya atau sudah terlalu jauh daripada rahmat Allah SWT. Sebaliknya, ia boleh menjadi satu peringatan agar kita segera kembali kepada-Nya.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 79 yang bermaksud:

“Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin, kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.”

Ayat ini memberi peringatan bahawa seorang hamba perlu sentiasa berusaha menjadi insan Rabbani, iaitu hamba yang dekat dengan Allah melalui ilmu, amal dan usaha memperbaiki diri.

Di sinilah Allah SWT melihat ketakwaan seseorang. Takwa bukan hanya tentang menjadi sempurna, tetapi tentang keinginan untuk terus belajar, memperbaiki kesilapan dan mendekatkan diri kepada Allah walaupun sedang berada dalam keadaan lemah.

Walaupun kita berada pada titik terendah dalam hidup, status kita sebagai hamba yang masih belajar tidak pernah hilang. 

Selagi ada keinginan untuk kembali, selagi itu pintu rahmat Allah terbuka luas.

Jadikan ayat ini sebagai motivasi untuk terus mencari ilmu. Hadiri majlis ilmu, banyakkan membaca al-Quran, mengaji, mendengar nasihat yang baik dan dekatkan diri dengan perkara yang boleh melembutkan hati.

Kita tidak perlu menjadi manusia yang terlalu sempurna untuk disayangi Allah SWT. 

Saat iman terasa lemah, letakkan tawakal kepada-Nya. Mulakan dengan amalan kecil seperti beristighfar, berselawat dan berdoa agar Allah menguatkan semula hati kita.

BACA JUGA: Tak Mampu Buat Amalan Besar, Mulakan Dengan Amalan Kecil

Analoginya mudah. Orang yang sakit akan makan ubat sebagai usaha. Selepas itu, dia berehat dan berserah kepada Allah untuk dikurniakan kesembuhan. 

Begitu juga dengan hati yang lemah. Ia perlu dirawat dengan ibadah, zikir, ilmu dan doa.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud:

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia, kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, serta kamu pula beriman kepada Allah…”

Melalui ayat ini, Islam mengajar kita supaya tidak terlalu merendah diri hingga berhenti melakukan kebaikan. 

Allah SWT mengingatkan umat Islam agar terus mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada-Nya.

Walaupun iman sedang berada pada tahap paling lemah, kita masih berpotensi menjadi hamba Allah yang baik. Sekecil-kecil usaha yang boleh dilakukan ialah mencegah kemungkaran dalam diri sendiri.

Contohnya, paksa diri untuk bangun solat walaupun hati terasa malas. Paksa diri untuk beristighfar walaupun fikiran sedang bercelaru. Paksa diri untuk menjauhi dosa walaupun nafsu sedang kuat mengajak.

Tidak semestinya bertawakal kepada Allah bermaksud kita hanya berdiam diri tanpa berusaha. Tawakal perlu datang bersama usaha. 

Maka ketika hati terasa gagal, teruskan juga ibadah walaupun dilakukan dalam keadaan terpaksa. 

Lama-kelamaan, paksaan itu boleh menjadi kebiasaan dan kebiasaan itu boleh menjadi jalan untuk kembali dekat kepada Allah.

Ingatlah, Allah SWT tidak melihat siapa kita pada permulaan hidup, tetapi bagaimana keadaan kita pada pengakhirannya. 

Jangan berhenti hanya kerana pernah lemah. Jangan putus asa hanya kerana pernah lalai.

Teruskan perjalanan mencari reda Allah. Selagi nyawa masih ada, selagi itu peluang untuk berubah sentiasa terbuka.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah