Adab Anak Di Tempat Awam Cerminan Didikan Ibu Bapa, Jangan Sampai Ganggu Orang Lain

Share

Suasana tenang di masjid, restoran atau pengangkutan awam kadang-kadang boleh bertukar riuh apabila anak kecil menjerit, berlari ke sana sini atau mengganggu orang sekeliling tanpa pengawasan.

Lebih menyedihkan apabila ibu bapa pula sibuk dengan telefon pintar, berbual sesama sendiri atau terlalu khusyuk dengan urusan masing-masing hingga membiarkan anak begitu sahaja. Bila ditegur, alasan yang sering diberi ialah, “Biasalah, budak-budak.”

BACA JUGA: Jangan Lambatkan Pembahagian Harta Pusaka, Hak Anak Yatim Bukan Untuk Ditangguh

Persoalannya, adakah alasan anak masih kecil boleh melepaskan ibu bapa daripada tanggungjawab menjaga ketenteraman awam?

Hakikatnya, membiarkan anak mengganggu ketenteraman orang ramai seperti membuat bising melampau, berlari tanpa kawalan, mengusik barangan awam atau merosakkan harta benda bukan perkara kecil. Ia boleh dianggap sebagai satu bentuk pelanggaran hak terhadap orang lain.

Islam sangat menitikberatkan keselesaan bersama. Bahkan, mengalihkan duri atau sesuatu yang mengganggu di jalan juga dikira sebagai sedekah kerana ia memberi manfaat dan ketenangan kepada orang lain.

Apatah lagi jika gangguan itu datang daripada diri sendiri atau ahli keluarga yang berada di bawah tanggungjawab kita.

Anak-anak tidak akan terbiasa menjaga adab di tempat awam jika perkara itu tidak diajar dari rumah. Sepatutnya tempat awam menjadi ruang untuk anak mempraktikkan adab yang telah dididik oleh ibu bapa, bukan baru hendak belajar semuanya di luar.

Malah, para ulama turut menegaskan kepentingan mendidik anak dengan adab terlebih dahulu sebelum ilmu. Ini kerana ilmu tanpa adab boleh menjadikan seseorang kurang peka terhadap hak dan perasaan orang lain.

Mendidik anak bukan sekadar soal dunia, tetapi juga amanah yang akan ditanya di akhirat kelak.

Daripada hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap dari kamu bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya, ketua negara bertanggungjawab ke atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya, seorang hamba yang menjaga harta tuannya dan bertanggungjawab ke atasnya, seorang wanita adalah pemimpin di dalam rumahnya dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab di atas apa yang dipimpinnya.”

Hadis ini mengingatkan bahawa ibu bapa bukan hanya bertanggungjawab memberi makan, pakaian dan pendidikan kepada anak-anak, tetapi juga membentuk akhlak serta adab mereka dalam kehidupan seharian.

Oleh itu, terdapat beberapa tip yang boleh diamalkan untuk ibu bapa ketika membawa anak ke tempat awam iaitu:

1. Beri taklimat sebelum keluar rumah

Sebelum keluar, ingatkan anak-anak tentang adab di tempat awam. Beritahu mereka dengan jelas bahawa mereka tidak boleh berlari, menjerit, mengganggu orang lain atau menyentuh barang tanpa izin.

Pesanan ini perlu dibuat secara konsisten. Jangan hanya menegur selepas anak melakukan kesalahan, tetapi biasakan mereka memahami peraturan sebelum berada di tempat awam.

2. Sediakan kit kecemasan untuk anak

Anak kecil mudah bosan, lebih-lebih lagi apabila berada terlalu lama di satu tempat. Jadi, ibu bapa boleh menyediakan barang yang membantu mereka kekal tenang dan fokus.

Contohnya buku mewarna, pensel warna, buku cerita kecil, mainan ringkas atau makanan ringan yang sesuai. Perkara kecil seperti ini boleh membantu mengurangkan risiko anak meragam atau membuat bising kerana bosan.

3. Gunakan teknik ‘time out’ di tempat awam

Jika anak mula tantrum atau menangis melampau, jangan biarkan mereka terus melalak di tempat orang ramai. Bawa anak keluar sebentar daripada kawasan tersebut.

Ibu bapa boleh membawa anak ke kereta, ruang menunggu yang lebih sunyi atau bilik ibu menyusu jika ada.

Tenangkan anak terlebih dahulu sebelum kembali semula ke tempat awam. Ini lebih baik daripada membiarkan orang sekeliling terganggu tanpa sebarang usaha untuk mengawal keadaan.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain.” (Hadis riwayat Ibn Majah: 2340)

Hadis ini memberi pengajaran besar bahawa seorang Muslim perlu menjaga diri daripada menyakiti atau mengganggu orang lain, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Benar, anak-anak masih kecil dan sedang belajar mengenal dunia. Namun, ibu bapa tetap perlu memainkan peranan untuk membimbing mereka. Jangan jadikan usia anak sebagai alasan untuk mengabaikan hak orang lain.

Sikap anak-anak di luar rumah sering menjadi cerminan kepada didikan ibu bapa di rumah. Maka, ajarlah mereka adab sejak kecil kerana anak yang biasa dididik dengan tertib akan lebih mudah menghormati orang lain apabila berada di tempat awam.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

 

 

 

Related Post
Published by
Balqis Qadisah