
Keadaan jerebu bukan sahaja menyebabkan langit kelihatan kabur, kadangkala memerlukan kita solat di rumah, malah boleh menjejaskan kesihatan terutama apabila kualiti udara semakin merosot. Mata pedih, batuk dan kesukaran bernafas antara perkara yang boleh dialami, khususnya bagi golongan yang lebih sensitif terhadap pencemaran udara.
Namun, apabila keadaan jerebu semakin teruk, bagaimana pula dengan rutin ibadah terutama bagi mereka yang sentiasa berusaha menunaikan solat berjemaah di masjid atau surau?
Dalam Islam, menjaga kesihatan dan mengelakkan diri daripada perkara yang boleh membawa kemudaratan adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian.
Ketika jerebu, langkah berjaga-jaga seperti memakai pelitup muka yang sesuai, memastikan tubuh mendapat air secukupnya serta mengurangkan aktiviti di luar rumah boleh dilakukan bagi melindungi diri.
Mengambil langkah pencegahan seperti solat di rumah bukan bermaksud seseorang itu malas atau sengaja meninggalkan kebiasaan yang baik. Sebaliknya, tubuh dan kesihatan juga merupakan amanah yang perlu dijaga.
Islam merupakan agama yang mengambil kira kemampuan serta keadaan seseorang.
Sekiranya pencemaran udara berada pada tahap yang boleh memudaratkan kesihatan sehingga menyebabkan seseorang mengalami kesukaran bernafas atau masalah kesihatan lain, keadaan individu tersebut perlu diambil kira dalam menentukan kemampuannya untuk keluar menunaikan solat berjemaah.
Perhatian khusus juga perlu diberikan kepada golongan yang lebih mudah terjejas seperti warga emas, kanak-kanak serta mereka yang mempunyai masalah pernafasan atau penyakit tertentu.
Islam tidak mengajar umatnya melakukan sesuatu sehingga mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri.
BACA JUGA: Doa Antara Azan dan Iqamah: Jangan Terlepas Waktu Istimewa Ini Kerana Telefon
Bagi mereka yang sihat dan masih mahu ke masjid atau surau dan tidak mahu solat di rumah, jangan abaikan langkah perlindungan diri.
Gunakan pelitup muka yang sesuai apabila diperlukan, jaga kebersihan diri dan elakkan berada terlalu lama di kawasan terbuka sekiranya kualiti udara tidak baik.
Jika mula mengalami batuk berterusan, sesak nafas, pening atau keadaan kesihatan semakin merosot, jangan paksa diri. Dapatkan rehat dan rawatan sekiranya perlu.
Dalam masa yang sama, setiap individu mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat dan alam sekitar.
Ketika negara berdepan jerebu, elakkan perbuatan yang boleh memburukkan lagi kualiti udara seperti pembakaran terbuka. Tindakan seseorang bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya, malah boleh menjejaskan kesihatan orang lain.
Justeru, sikap bertanggungjawab dan prihatin terhadap keadaan sekeliling perlu menjadi sebahagian daripada kehidupan seorang Muslim.
Selain mengambil langkah menjaga kesihatan dan solat di rumah, jangan lupa untuk terus berdoa agar Allah SWT melindungi kita daripada kemudaratan serta mengurniakan keadaan cuaca dan udara yang lebih baik.
Dalam menghadapi jerebu, utamakan keselamatan diri dan keluarga tanpa mengabaikan ibadah mengikut kemampuan.
Kesihatan perlu dijaga, ibadah diteruskan dan kemudaratan dielakkan. Itulah antara keindahan Islam yang sentiasa mengambil kira keadaan dan kemampuan umatnya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok