
Hujung minggu memang sinonim dengan majlis kenduri kahwin. Dari satu khemah ke satu khemah, aroma nasi minyak, ayam masak merah dan pelbagai lauk-pauk kenduri memang boleh menggugat selera. Kadangkala keadaan ini menyebabkan seseorang datang ke kenduri kahwin tanpa jemputan.
Namun, pernah atau tidak anda berada dalam situasi ternampak khemah kenduri lalu terdetik mahu singgah makan walaupun sebenarnya tidak menerima jemputan? Atau mungkin anda sekadar ‘menumpang’ kawan yang mendapat jemputan ke majlis tersebut?
Nampak seperti perkara kecil. Mungkin niat sekadar mahu menemani kawan, memeriahkan majlis atau menjamu selera. Namun dalam Islam, soal mengambil dan menikmati makanan milik orang lain tetap berkait rapat dengan izin dan keredaan pemiliknya.
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, seseorang yang tidak dijemput tidak boleh sewenang-wenangnya menghadiri majlis dan menikmati hidangan tanpa izin atau keredaan tuan rumah.
Hal ini kerana makanan yang disediakan merupakan milik tuan rumah dan diperuntukkan untuk tetamu yang diraikan atau dijemput.
Apabila seseorang hadir tanpa jemputan dan makan tanpa mendapat keizinan, ia boleh melibatkan pengambilan hak orang lain tanpa keredaan pemiliknya.
Dalam sebuah riwayat daripada Abdullah bin Umar RA, terdapat peringatan mengenai orang yang menghadiri jamuan tanpa dijemput:
Maksudnya: “Sesiapa yang dijemput lalu tidak memenuhi jemputan, maka dia telah menderhakai Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang masuk tanpa dijemput, maka dia masuk sebagai pencuri dan keluar sebagai perompak.”
(Riwayat Abu Daud)
Peringatan ini menunjukkan betapa pentingnya menjaga adab serta hak tuan rumah apabila menghadiri sesuatu jamuan.
Jadi, jangan beranggapan bahawa kenduri yang besar atau mempunyai banyak makanan bermaksud sesiapa sahaja bebas datang dan makan. Banyak atau sedikit hidangan bukan ukuran utama. Apa yang lebih penting ialah izin dan keredaan tuan majlis.
Ini antara situasi yang sering berlaku.
Kawan menerima jemputan kenduri, kemudian mengajak kita menemaninya. Persoalannya, adakah kita boleh terus ikut masuk dan makan?
Islam mengajar adab yang cukup indah menerusi satu peristiwa pada zaman Rasulullah SAW.
Daripada Abu Mas’ud al-Ansari RA, seorang lelaki telah menyediakan makanan dan menjemput Rasulullah SAW bersama beberapa orang. Dalam perjalanan, seorang lelaki lain yang tidak termasuk dalam jemputan mengikuti mereka.
Apabila tiba, Rasulullah SAW memberitahu tuan rumah bahawa lelaki tersebut telah mengikuti mereka dan menyerahkan keputusan kepada tuan rumah sama ada mahu mengizinkannya atau tidak.
Tuan rumah kemudian memberikan keizinan.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Peristiwa ini memberikan panduan yang cukup jelas. Jika mahu membawa seseorang yang tidak termasuk dalam jemputan asal, mintalah izin daripada tuan rumah terlebih dahulu.
Boleh bertanya sebelum datang atau mendapatkan izin ketika tiba di majlis. Apabila tuan rumah mengizinkan dengan rela hati, barulah tiada masalah untuk tetamu tambahan itu turut menikmati hidangan.
Jika kawan jemput kita, bukan bermaksud tuan rumah sudah mengizinkan. Perkara ini juga perlu difahami dan jangan datang kenduri kahwin tanpa jemputan.
Apabila seorang kawan berkata, “Ikutlah aku pergi kenduri,” dia mungkin sekadar mengajak kita menemaninya. Namun, dia bukannya pemilik majlis atau orang yang mempunyai hak menentukan siapa boleh menikmati hidangan tersebut.
Sebab itu, sebaik-baiknya pastikan terlebih dahulu sama ada tuan rumah membenarkan tetamu membawa pasangan, ahli keluarga atau rakan.
BACA JUGA: Boleh Ke Ucap Insya-Allah Kalau Dah Tahu Tak Dapat Hadir Majlis? Ini Penjelasannya
Lebih-lebih lagi jika majlis tersebut mempunyai jumlah tetamu dan hidangan yang terhad.
Jangan kerana beranggapan “seorang saja pun”, akhirnya kita mengambil bahagian makanan yang sebenarnya diperuntukkan kepada tetamu lain.
Hukum berbeza sekiranya terdapat keizinan daripada tuan rumah.
Misalnya, tuan rumah sendiri berkata bahawa kita boleh datang walaupun tidak menerima kad jemputan atau mereka memang membuka majlis kepada orang ramai.
Begitu juga dalam keadaan tertentu apabila diketahui dengan jelas bahawa tuan rumah reda dengan kehadiran seseorang.
Namun, jangan terlalu mudah membuat andaian bahawa seseorang pasti reda hanya kerana kita rapat dengannya.
Jika ada keraguan, jalan paling selamat dan beradab ialah bertanya.
“Boleh saya ikut sekali?”
Ayatnya pendek, tetapi ia menjaga hak tuan rumah dan mengelakkan kita daripada menikmati sesuatu tanpa kerelaan pemiliknya.
Mungkin sebelum mengetahui perkara ini, kita pernah hadir ke kenduri tanpa jemputan dan terus makan. Tidak perlu berputus asa, sebaliknya jadikan pengetahuan ini sebagai peluang untuk memperbaiki diri.
Antara perkara yang boleh dilakukan ialah bertaubat kepada Allah SWT, menyesali perbuatan tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya.
Jika mengetahui dan masih boleh menghubungi tuan rumah, kita juga boleh memohon maaf serta meminta mereka menghalalkan makanan yang pernah dimakan.
Apa yang penting, selepas mengetahui adabnya, jangan sengaja mengulangi perkara yang sama.
Kadangkala kita melihat sebuah majlis besar dengan deretan lauk dan terus beranggapan, “Makanan banyak, mesti tak kisah kalau aku makan.”
Namun hakikatnya, kita tidak mengetahui perancangan tuan rumah.
Mungkin makanan tersebut dikira berdasarkan jumlah tetamu. Mungkin ada rombongan keluarga yang belum tiba. Mungkin juga setiap hidangan sudah diperuntukkan mengikut bilangan jemputan.
Sebab itu, Islam mendidik umatnya supaya tidak mengambil mudah hak orang lain walaupun hanya melibatkan sepinggan nasi kenduri.
Menjaga makanan yang masuk ke dalam tubuh bukan sekadar memastikan ia bebas daripada perkara yang diharamkan pada zatnya, tetapi turut mengambil kira bagaimana makanan itu diperoleh.
Jangan kerana mahu menjamu selera atau sekadar ‘ikut kawan’, kita terlupa menjaga hak dan keredhaan orang lain.
Nampak khemah kenduri memang boleh buat perut lapar, tetapi kalau tak dijemput, jangan terus ‘main terjah’. Tanya dan minta izin dahulu. Lebih tenang hati, lebih terjaga adab dan hak tuan rumah.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok