Isteri dah elok bertudung labuh tapi suami pula minta isteri mengenakan tudung singkat. Dalam hal ini apa yang patut dilakukan oleh isteri? Perlukah terus berpegang pada pendirian atau mengikut kata suami yang mahu isteri kelihatan lebih menarik dalam penampilan.
Ini antara dilema yang disuarakan oleh seorang isteri apabila diminta oleh suaminya supaya mengenakan tudung yang lebih singkat bidang 45 kerana berasa malu dengan rakan-rakannya. Persoalan dijawab oleh Mufti Wilayah Persekutuan.
Assalammualaikum. Suami saya perli saya pakai tudung labuh, dia kata malu dengan kawan-kawan. Katanya tudung bidang 45 memadai menutupi aurat tanpa perlu memakai tudung labuh bidang 60. Persoalanya, adakah saya perlu mempertahankan dengan memakai tudung labuh dalam keadaan suami yang tidak reda atau ikut kata suami dengan pakai tudung bidang 45 kerana masih batas menjaga aurat? Adakah wajib ikut arahan suami agar meninggalkan amalan yang lebih warak? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti.
Islam tidak menetapkan penggayaan, asalkan menutup aurat dengan sempurna
Secara umumnya, Islam tidak menetapkan jenama khusus dalam menggayakan pakaian sekalipun berfesyen. Namun, perkara yang perlu dititikberatkan ketika menggayakan pakaian ialah menepati ciri-ciri pakaian yang menutup aurat dengan sempurna dan mengikut kehendak syarak.
Ads
Allah SWT memerintahkan hamba-Nya untuk memakai pakaian yang menutup aurat bersandarkan firman-Nya:
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya” Surah Al-A’raf (26)
Ads
Dalam pada itu Islam menetapkan parameter menutup aurat dengan sempurna bagi wanita ialah menutup keseluruhan anggota kecuali muka dan kedua tapak tangan.
Tudung mematuhi kehendak syarak
Bagi situasi isteri ini, perkara yang perlu dititikberatkan ketika menggayakan tudung ialah mematuhi kehendak syarak. Apabila tudung saiz 45 digayakan dengan cara labuh menutupi dada dan tidak nipis (jarang), maka ia masih dalam kerangka menepati tuntutan syarak.
Ads
Oleh itu, situasi soalan tersebut bergantung kepada kebijaksanaan isteri menggayakan tudung yang menepati kehendak syarak tidak kira saiz bidang 60 mahupun 45 pada masa sama mengikut kehendak suaminya pada perkara kebaikan.
Hal ini memakai tudung saiz 45 yang menutupi dada dan tidak nipis, maka ia sudah cukup menepati syarak. Bahkan, sekiranya suami mengarahkan sesuatu perkara yang harus mahupun sunat maka ia menjadi kewajipan isteri untuk mentaatinya selagi dalam kerangka makruf dan bukan perkara maksiat. Namun memakai tudung saiz 60 lebih sopan, warak dan terpuji.
Adat dalam perkahwinan adalah harus selagi mana kepercayaan dan ritual tersebut tidak membawa kepada khurafat. Sebenarnya adat perkahwinan dalam sesebuah masyarakat itu tidak salah.
Namun janganlah pula berlebihan hingga bercanggah dengan hukum agama. Tidak dinafikan, masing-masing ingin melakukan yang terbaik dalam mengadakan majlis pertunangan dan perkahwinan, tapi perlulah berhati-hati dalam mengikut trend.
Ikuti perkongsian Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang ini berkaitan adat dalam perkahwinan Melayu adakah ianya haram jika diikuti.
Soalan:
Apakah hukum bagi adat-adat seperti berikut.
1) Adat menyarung cincin ketika bertunang.
2) Adat menyarung cincin setelah akad nikah (adat batal air sembahyang).
3) Bersanding di khakayak ramai ketika walimah contohnya di hadapan dewan (tanpa melakukan sebarang upacara khurafat, sekadar duduk dengan menjaga batas aurat).
Pertunangan atau khitbah bermaksud menzahirkan keinginan untuk mengahwini seorang wanita yang tertentu, dan wanita tersebut menyampaikan hasrat tersebut kepada walinya.
Apabila lamaran ini dipersetujui oleh wanita atau keluarganya,maka telah sempurnalah lamaran antara kedua-dua pihak. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jilid 9, halaman 3]
Maksudnya: “Dan tidak ada dosa bagi kamu semua meminang wanita-wanita itu dengan kiasan/ sindiran”.
Imam Khatib al-Syarbini menyatakan dalam kitabnya mengenai definisi khitbah:
الخطبة التماس الخاطب النكاح من جهة المخطوبة
Maksudnya:
Khitbah itu ialah pertanyaan untuk melangsungkan pernikahan yang dilakukan oleh pihak pelamar (lelaki) kepada pihak yang dilamar (perempuan). [Lihat Mughni al-Muhtaj, jilid 3, halaman 183]
Dalam mazhab Syafie, hukum khitbah ini adalah disunatkan berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW yang melamar Aisyah binti Abu Bakar dan Hafsah binti Umar.
Perkahwinan Dalam Islam
Islam menggalakkan umatnya untuk berkahwin kerana ia merupakan fitrah yang ditetapkan oleh Allah SWT dan juga salah satu sunnah Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT:
وَمِن كُلِّ شَيۡءٍ خَلَقۡنَا زَوۡجَيۡنِ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya:
“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami) akan kebesaran Allah.”
[Surah al-Dzariyat: 49]
Sebuah perkahwinan akan dianggap sah sekiranya memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat seperti yang telah ditetapkan syarak.
Dr. Muhammad Zuhaili telah menyebut dalam kitabnya bahawa tidak akan sempurna akad nikah itu melainkan dengan memenuhi rukun-rukunnya dan melengkapi syarat-syarat bagi setiap rukun tersebut.
Beliau juga memperincikan rukun-rukun nikah kepada enam perkara iaitu sighah (ijab dan qabul), al-‘aqidan (pengantin lelaki dan wali), pengantin perempuan dan dua orang saksi.
Pada asalnya, perbuatan menyarung cincin bukanlah tuntutan syarak melainkan hanyalah adat turun temurun bagi masyarakat Melayu semata-mata.
Lazimnya, mengikut adat masyarakat Melayu ketika pertunangan, cincin bertunang akan disarungkan oleh wakil keluarga lelaki yang kebiasaannya bakal ibu mertua kepada bakal pengantin perempuan sebagai tanda atau simbolik untuk ke arah perhubungan yang serius iaitu menjadikan wanita tersebut sebagai isteri.
Begitu juga adat menyarung cincin setelah akad nikah. Ia bukanlah satu rukun atau syarat dalam menentukan bahawa akad itu sah atau tidak kerana ia tidak termasuk dalam rukun nikah bahkan merupakan satu adat yang juga dipanggil sebagai acara batal air sembahyang.
Menurut sebuah kaedah fiqh:
الأصل في العادات الإباحة إلا ما ورد عن الشارع تحريمه
Maksudnya: “Asal pada adat itu adalah harus kecuali apa yang datang daripada syarak akan pengharamannya.”
Justeru, adat kebiasaan yang dilakukan oleh sesuatu masyarakat itu adalah harus selagi mana tidak terdapatnya perkara atau dalil yang mengharamkan adat kebiasaan tersebut.
Misalnya terdapat sebarang kepercayaan atau ritual berkenaan adat tersebut yang boleh membawa kepada khurafat dan syirik.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, kami berpendapat adat menyarung cincin ketika bertunang merupakan adat yang harus dan tidak bercanggah selagi mana tiada perkara yang melanggar syarak dilakukan.
Sebagai contoh, si lelaki sendiri menyarungkan cincin tunang kepada bakal isterinya atau terdapat kepercayaan bahawa dengan pemakaian cincin itu, ia akan membina ikatan yang kuat antara bakal pasangan pengantin.
Keyakinan yang sebegini adalah bertentangan dengan syarak, maka hendaklah ditinggalkan.
Begitu juga dengan adat batal air sembahyang iaitu dengan menyarungkan cincin antara pasangan pengantin harus dilakukan dengan syarat tiada perbuatan lain dilakukan antara suami isteri yang melampaui batas syarak yang tidak sepatutnya dipertontonkan di hadapan khalayak ramai.
Namun, kami juga berpendapat adalah lebih baik sekiranya dilakukan secara bertutup tanpa menjadi tatapan umum.
Bersanding dikatakan tujuannya adalah untuk mempertontonkan pengantin kepada hadirin. Perkara ini berbalik kepada hukum asal melihat wanita bagi lelaki ajnabi.
Menurut para ulama, lelaki ajnabi diharamkan melihat wanita ajnabiah walaupun bukan dengan tujuan syahwat sekiranya tiada sebab yang mengharuskan baginya melihat wanita tersebut.
Namun, sekiranya terdapat sebab yang dibenarkan syarak seperti meminang, dalam majlis pengajian, berubat dan ketika berjual beli maka tiada masalah untuk lelaki ajnabi melihat wanita ajnabiah.
Jika ada golongan yang mengatakan bahawa tujuan diadakan persandingan mengikut adat ialah untuk memperkenalkan kepada ahli keluarga dan orang ramai kedua-dua pengantin.
Maka kami katakan, tiada masalah jika ingin memperkenalkan kedua-dua pengantin kepada orang yang hadir dengan syarat, adab-adab dan batasan-batasan diraikan dan dijaga dengan baik.
Di antara adab-adab dan batasan-batasan yang perlu dititik-beratkan ketika bersanding adalah:
Sekiranya mengadakan pelamin, perlu diingatkan bahawa ia tidak dilakukan secara berlebihan yang menjurus kepada pembaziran serta tidak berlaku percampuran lelaki dan perempuan.
Adat bertepung tawar dan menabur beras kunyit tambahan yang disertai dengan jampi dan mantera adalah haram dilakukan. Sebaliknya, adalah lebih baik sekiranya dilaksanakan majlis doa selamat bagi mendoakan pasangan pengantin.
Pasangan pengantin perlulah menjaga etika berpakaian iaitu pakaian yang menutup keseluruhan aurat bagi lelaki dan wanita, pakaian yang tebal dan tidak jarang sehingga menampakkan warna kulit dan pakaian yang longgar sehingga tidak menampakkan bentuk tubuh.
Berhias termasuk make-up sekadarnya, berpadalah dengan kecantikan asli yang diberikan Allah SWT, tanpa berlebih-lebihan sehingga tidak menghiraukan batasan syarak dalam perhiasan diri seperti bertabarruj dan membazir.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, berdasarkan huraian di atas kami berpandangan bahawa hukum asal untuk bersanding ini adalah harus.
Namun, terdapat perkara-perkara yang berlaku di sebaliknya yang menyebabkan perbuatan tersebut menjadi haram, seperti bertepung tawar, jampi serapah, percampuran bebas lelaki dan wanita, mendedahkan aurat atau mempertontonkan pengantin perempuan kepada lelaki ajnabi secara terbuka dengan perhiasan yang berlebihan dan juga melakukan pembaziran.
Sekiranya kesemua perkara ini dapat dielakkan maka tiadalah masalah bagi kita meraikan adat tersebut. Sebaliknya, jika perkara yang disebutkan seperti di atas tidak dapat diraikan atau dilaksanakan, maka hukumnya tetap menjadi haram.
Ramai suka menggunakan android box kerana ia membolehkan kita mengakses siaran berbayar secara percuma. Biar dilihat perbuatan ini seperti tiada apa tapi sebenarnya jadi haram jika kita menonton siaran berbayar itu seperti percuma melalui android box tersebut.
Baca penjelasan hukum dikongsikan oleh pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan, hukum kita beli android box? Contoh, kita boleh tengok siaran astro tapi tak bayar pada astro. Mohon pencerahan pejabat mufti.
Jawapan Ringkas
Asal hukum bagi membeli dan menggunakan android box adalah harus. Namun begitu, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah maka ianya adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.
Huraian Jawapan
Android Box adalah alat atau peranti yang digunakan untuk membolehkan televisyen mendapat siaran-siaran dari seluruh dunia. Tambahan lagi, peranti tersebut dapat membolehkan televisyen menyiarkan perkhidmatan siaran strim (streaming services) lain yang biasanya hanya boleh diakses melalui laptop, komputer, telefon dan peranti pintar yang lain.[1]
Selain itu, ia juga akan membolehkan pengguna mendapat akses terhadap aplikasi-aplikasi peranti pintar seperti playstore, internet dan lain-lain.
Terdapat dua bentuk siaran yang akan diperoleh melalui penggunaan peranti tersebut iaitu siaran berbayar dan siaran percuma. Justeru, tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma kerana ia boleh digunakan oleh semua orang.
Namun begitu, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut. Terdapat keadaan di mana pengguna peranti tersebut mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.
Justeru, permasalahan ini adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya. Perbuatan ini juga telah dilarang oleh Allah SWT melalui firmanNya berikut:
وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ Maksudnya:Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah. Surah al-Baqarah (188)
Selain itu, permasalahan ini juga berkait rapat dengan hak cipta dan lesen penyiaran. Hak cipta, penyiaran dan seumpama dengannya adalah merupakan hak yang diiktiraf syarak.
Ini dapat dilihat melalui kenyataan Dr Abu Ghuddah yang menyatakan bahawa cap dagangan, nama syarikat, tulisan atau ciptaan seseorang dalam konteks semasa dianggap mempunyai nilai di sisi syarak.
Oleh itu, tidak boleh untuk seseorang mencerobohi hak tersebut atau menggunakannya dengan cara yang salah seperti mencetak tanpa kebenaran, menggodam atau menggunakannya tanpa membayar atau melanggannya. (Rujuk Majalah Majma’ Fiqh al-Islami 2080/5[2]; Fiqh Nawazil 165/2[3])
Adapun bagi perbuatan membeli dengan tujuan untuk menonton siaran percuma atau fungsi-fungsi lain yang tidak melibatkan hak pihak lain dan mencerobohi hak-hak mereka, maka pembelian atau penggunaannya adalah diharuskan syarak sekiranya menepati syarat dan rukun jual beli. Hal ini juga berdasarkan kaedah fiqh berikut:
Maksudnya: Hukum asal suatu perkara adalah harus sehingga terdapat perkara yang membawa kepada pengharamannya. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazoir h.60) Namun begitu, sekiranya pembelian peranti tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan akses siaran berbayar dengan cara yang salah maka ianya adalah haram sebagaimana perbincangan di atas. Ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh berikut:
الْأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا Maksudnya:Setiap perkara itu bergantung dengan niat tujuannya. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazoir h.8)
Kesimpulan
Asal hukum bagi membeli dan menggunakan android box adalah harus. Namun begitu, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah maka ianya adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.
Wallahualam. [1]https://www.radiotimes.com/technology/technology-guides/what-is-android-tv-box/ [2] أولا: الاسم التجاري، والعنوان التجاري، والعلامة التجارية، وحق الترخيص، وحق التأليف، هي ملك خاص لأصحابها وقد أصبح لها في العرف المعاصر قيمة مالية معتمدة لتمول الناس بها وعنيت القوانين بتنظيمها وبيان طرق التصرف فيها، وهذه الحقوق يعتد بها شرعا [3] إن هذه الفقرات التي تعطي التأليف الحماية من العبث، والصيانة عن الدخيل عليه وتجعل للمؤلف حرمته والاحتفاظ بقيمته وجهده هي مما علم من الإسلام بالضرورة وتدل عليه بجلاء نصوص الشريعة وقواعدها وأصولها مما تجده مسطراً في (آداب المؤلفين) وكتب الاصطلاح
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hari ini membeli dan jual kucing terutama baka kucing yang cantik seakan menjadi perkara biasa. Meskipun harganya mahal namun ramai yang sanggup membelinya.
Tapi apa hukumnya dalam Islam, adakah ia dibolehkan kerana ada pandangan yang mengatakan jual beli kucing ini adalah dilarang.
Menurut beliau ulama fekah berkhilaf pendapat tentang hal ini. Terdapat sejumlah ulama yang melarangnya, sementara majoriti ulama membenarkan menjual atau membeli kucing.
Ini seperti kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) ketika mensyarah hadis larangan menjual kucing:
وَأَمَّا النَّهْيُ عَنْ ثَمَنِ السِّنَّوْرِ فَهُوَ محمول على أنه لا ينفع أو عَلَى أَنَّهُ نَهْيُ تَنْزِيهٍ حَتَّى يَعْتَادَ النَّاسُ هِبَتَهُ وَإِعَارَتَهُ وَالسَّمَاحَةَ بِهِ كَمَا هُوَ الْغَالِبُ فَإِنْ كَانَ مِمَّا يَنْفَعُ وَبَاعَهُ صَحَّ الْبَيْعُ وَكَانَ ثَمَنُهُ حَلَالًا هَذَا مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ العلماء كافة الا ما حكى بن الْمُنْذِرِ وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ وَطَاوُسٍ وَمُجَاهِدٍ وَجَابِرِ بْنِ زَيْدٍ أَنَّهُ لَا يَجُوزُ بَيْعُهُ وَاحْتَجُّوا بِالْحَدِيثِ وَأَجَابَ الْجُمْهُورُ عَنْهُ بِأَنَّهُ مَحْمُولٌ عَلَى مَا ذَكَرْنَاهُ فَهَذَا هُوَ الْجَوَابُ الْمُعْتَمَدُ
“Adapun larangan (memakan) harga (jualan) kucing, maka itu atas andaian ia tidak bermanfaat, atau larangan tanzih (makruh tidak haram) agar orang ramai terbiasa dengan memberi dan meminjamkan kucing serta bertolak ansur dengan hal itu seperti yang menjadi kebiasaan.
Sekiranya ia termasuk dalam yang memberikan manfaat lalu menjualnya, maka sah jual beli dan harganya halal. Inilah mazhab kita dan mazhab ulama keseluruhannya, kecuali apa yang Ibn Munzir nyatakan, dan daripada Abu Hurairah, Tawus, Mujahid, Jabir bin Zaid iaitu tidak harus jual belinya (kucing). Mereka berhujah dengan hadis ini. Jumhur menjawab bahawa larangan itu atas andaian yang kami sebutkan tadi. Inilah jawapan yang dipegang”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 10/233. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).
Ini adalah pendapat tokoh-tokoh seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi tadi. Turut menyokong pendapat ini al-Imam Ibn Qayyim (meninggal 751H) dalam kitabnya Zad al-Ma’ad dengan menyatakan:
وَهُوَ الصَّوَابُ لِصِحَّةِ الْحَدِيثِ بِذَلِكَ، وَعَدَمِ مَا يُعَارِضُهُ، فَوَجَبَ الْقَوْلُ بِهِ
“Inilah pendapat yang benar disebabkan sahnya hadis berkaitan hal ini dan tiada dalil lain yang menyanggahinya. Maka, wajib berpegang dengan pendapat ini”. (5/685. Beirut: Maktabah al-Manar al-Islamiyyah).
Alasan utama mereka ialah hadis berkaitan larangan tersebut di mana Jabir bin Abdillah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w melarang hal itu:
Daripada Abu Zubair, dia berkata: Aku bertanya Jabir mengenai harga anjing dan kucing liar”. Kata Jabir: “Nabi s.a.w melarang perkara itu”. (Riwayat Muslim, Abu Daud, Ibn Majah dll).
Ini pendapat jumhur (majoriti) ulama seperti yang disebutkan tadi. Dalam berpegang dengan pendapat ini, mereka (jumhur) berkhilaf pula dalam mengulas hadis larangan tersebut.
Ada yang berpendapat hadis itu daif. Ini apa yang disebut oleh al-Khattabi dan Ibn ‘Abd al-Barr. Namun, pendapat ini ditolak al-Imam al-Nawawi sendiri, dengan katanya:
وَأَمَّا ما ذكره الخطابى وأبو عمرو بْنُ عَبْدِ الْبَرِّ مِنْ أَنَّ الْحَدِيثَ فِي النَّهْيِ عَنْهُ ضَعِيفٌ فَلَيْسَ كَمَا قَالَا بَلِ الحديث صحيح رواه مسلم وغيره
“Adapun apa yang al-Khattabi dan Abu ‘Amr bin ‘Abd al-Barr menyebutnya bahawa hadis larangan tersebut daif, (maka jawapannya) hadis itu bukan seperti yang mereka kata. Bahkan hadis itu sahih, riwayat Muslim dan selainnya”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 10/234. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).
Ada yang berpendapat larangan itu jika kucing itu liar dan tidak dapat diserahkan semasa pembelian. Ada pula yang berpendapat hadis ini di awal Islam, kemudian dimansukhkan. Ada juga yang berpendapat ia sekadar larangan makruh bukan haram.
Ada pula yang berpendapat larangan itu jika kucing itu bukan milik yang menjual. Ada yang berpendapat sebagai galakan untuk manusia bertolak ansur dalam pemberian kucing seperti yang menjadi adat kebiasaan. Ada yang menyatakan -seperti yang al-Nawawi sebut tadi- jika ada manfaat, maka boleh dijual beli. Kucing yang ada manfaat seperti menghalau tikus, maka boleh dijual beli. Larangan hanya jika tiada manfaat.
Sesiapa yang berpegang kepada pendapat jumhur ulama, maka dibolehkan menjual dan membeli kucing selagi ada nilai manfaat. Jika sudah tiada nilai, maka haram. Pendapat yang mengharamkan secara mutlak pula berhujah dengan hadis yang jelas larangan tersebut. Cumanya, jumhur ulama berbeza dalam mentakwilkan sebab larangan.
Justeru, jika seseorang mengelakkan diri dari terlibat dengan jual beli kucing maka itu lebih baik kerana selamat dari daerah pertikaian hukum tersebut. Apatah lagi jika harganya begitu mahal, maka ia mendekati unsur pembaziran. Kita tahu agama kita melarang pembaziran.
Dalam kesibukan kehidupan seharian yang sering menuntut tenaga fizikal dan emosi, waktu sebelum tidur menjadi detik paling sesuai untuk seorang Muslim kembali menenangkan jiwa...