Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pastinya mahu melakukan majlis dalam suasana gemilang agar dapat dikenang seumur hidup.
Maklumlah majlis ini hanya dilakukan sekali seumur hidup dan pastinya momen itu mahu diabadikan selamanya dalam lipatan kenangan.
Jika berkemampuan tak salah melakukan melebihi bajet, tetapi jika tidak cukuplah sekadar membuat yang wajib sahaja dan majlis disambut secara sederhana.
Namun ada juga segelintir pasangan yang sekali lagi ‘naik pelamin’ meraikan hari bahagia di majlis ulang tahun perkahwinan dan melakukannya setelah hampir sedekad berlalu.
Seperti perkongian pasangan suami isteri ini yang telah berkahwin selama 11 tahun dan telah mengadakan semula majlis perahwinan mereka setelah mempuyai empat cahaya mata (satu dalam kandungan).
Pasangan ini yang berkahwin ketika usia masih muda meraikannya 11 tahun lalu secara sederhana di pejabat agama sahaja. Kekangan kewangan menghalang pasangan ini untuk mengadakan majlis lebih gah seperti pasangan raja sehari lain.
Perkongsian wanita ini Zack Zafirah di laman sosial Facebook ini telah menyebabkan kisahnya jadi viral.
BERSANDING LEPAS ANAK 4
Wedding Anniversary ke-11 tahun
ALLAH ALLAH ALLAH !! Alhamdulillah syukur, segala apa yg dirancang bertahun lalu dengan rezeki dan izin Allah bersanding lah kami 6 beranak atas pelamin ni. Mana anak lg sorg? Ada tu dalam perut, berusia 6 bulan Rezeki Allah kan?
11 tahun lalu, Kami nikah diusia sangat muda. Diusia 15&17 tahun saat kawan2 seronok belajar. Nikah hanya di pejabat agama, tiada majlis doa selamat atau majlis apa pun. Masa tu tiada hp canggih nk rekod atau snap gambar utk kenangan. Tiada kerja, tiada duit. Sekarang, Allah berikan rezeki dan Allah permudahkan majlis ini.
Ada yg kata “ANAK DAH BERDERET PUN NAK BERSANDING BAGAI
” Allahuakhbar, sy xpernah bersanding sebelum ni. Jadi salah ke sy raikan anniversary sy dgn cara ni? Bukan berdua dengan suami tp dengan anak2 kami. Sy buat majlis 1 sen pun sy x meminta2 dgn org. Kalau lah awk kt tempat sy, apa lah perasaan awk masa tu ye? Sy juga manusia biasa, xmampu nk puaskan hati semua org. Dan niat sy bukan utk menunjuk, sy malu sy segan nk buat majlis ni. Yela dengan anak berderet, yg dalam perut lg. Tp sy tetap teruskan impian sy nak bersanding dgn anak2 walaupun sy tau ada mulut2 yg akan mengata.
Ada yg kata “bagus utk eratkan silaturrahim kasih syg antara suami” Alhamdulillah, Allah je yg tahu betapa kuatnya kasih syg kami. Dulu kami hanya ada sebijik motor, berpanas dan berhujan naik motor. Cari rezeki naik motor, bawa anak2 naik motor. Syukur dh masa tu ada juga kenderaan. Kerja apa je kami xbuat masa tu, cuci tandas, kerja kedai makan, mesin rumput, bersihkan longkang dan banyak lg.
Masa tu hidup dgn tangisan,kemurungan sbb rasa susahnya nk hidup mcm ni. Kami sgt susah, susu pampers anak2 pun kadang2 mintak dari belas ihsan org. Baju anak2 semua dari org sedekah. Nk makan pun bercatu. Tp kami xpernah putus asa, demi anak2 dan masa depan. Belajar xtinggi xmenghalang utk kami cari rezeki.
Allah adalah sebaik-baik perancang, Allah uji & Allah beri. Sepanjang perkahwinan tipulah kalau xde ribut taufan yg melanda, hanya Allah je yg tahu. Masa tu darah muda kan? Tp sy tabik dekat suami, dia seorang yg sangat2 penyabar. Kelebihan suami terlalu banyak, xdapat nak disenaraikan. Semoga Allah sahaja yg dpt membalas pengorbanan seorang suami. Layanan baik yg suami berikan, 1 juta kali ganda isteri beri layanan yg baik.
Utk suami tersayang, jangan lah kau tinggalkan ku yg sentiasa bersamamu saat kau susah dulu pabila kau berjaya satu hari nanti.
Mus Zafirah lll 30 NOV 2019
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Seperti yang kita maklum, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih lagi berusaha dengan gigih melawan wabak COVID-19 ini.
Dan barisan pejuang kita tetap bekerja tanpa henti meskipun sudah memasuki bulan Ramadan.
Namun tidak dinafikan, dugaan dihadapi sangat besar apatah lagi berdepan cuaca panas ketika ini dengan terpaksa memakai Pakaian Perlindungan (PPE).
Dalam satu posting di laman sosial Facebook, salah seorang frontliner Nurul Nadirah berkongsi pengalamannya bekerja di awal Ramadan ketika musim COVID-19 ini.
Menurutnya oleh kerana bekerja tanpa henti, menjelang petang seorang demi seorang frontliner rebah dengan masih berpakaian lengkap PPE.
Ketika itu pihak KKM menerima lebih kurang kemasukan 20 bas membawa 400 peplajar yang baru pulang dari Cairo.
Tambahnya lagi oleh kerana bekerja enam jam tanpa berhenti, badan mereka semakin lemah, ada yang muntah, ada juga yang hampir pitam, malah badan juga jadi menggigil.
Namun semua dilalukan dan perlu ditempuhi demi bekerja untuk negara.
Dugaan di awal Ramadhan yg perlu ditempuhi untuk negara
Awal pagi semua bertenaga, beralih petang sorang demi sorang rebah dgn full ppe. Menerima kemasukan lebih kurang 20 bas seramai dalam 400 org pelajar dari Cairo.
Kemasukan 6 jam tanpa henti, badan makin lemah, ada yg dah muntah, ada yg hampir pitam, ada yg badan dah menggigil.
Bukan mudah nak lalui perjalanan ini
Aku pun dah lemah di celah mesin fotostat
Posting yang dibuat mendapat perhatian warganet. Masing-masin mendoakan agar semua frontliner terus kuat dan berjuang demi negara.
Diuji dengan Germ Cell Tumour pada usia sekecilnya sembilan bulan pada 2019 lalu, ramai mendoakan agar adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin membesar dengan sihat dan mampu melawan penyakit yang dihadapinya.
Besarnya kuasa Allah, di sebalik semua kesakitan menangung tumor yang semakin membesar di mulutnya, kisah adik Ainul mendapat perhatian dari Dr Nur Amalina Che Bakri yang ketika itu berpengkalan di United Kingdom.
Dr Amalina yang hari ini bergelar pakar bedah telah berhubung dengan ibu bapa adik Ainul iaitu Nurul Erwani Zaidi dan Ahmad Safiuddin menerusi WhatsApp untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kisah anaknya ketika itu.
Masa yang sama, Dr Amalina turut meminta laporan perubatan adik Ainul untuk dirujuk kepada doktor pakar di sana mengenai situasi kanser dihadapi anak kecil ini.
Alhamdulillah, berkat doa orang ramai dan sumbangan kewangan, ibu bapanya beserta adik Ainul berlepas ke London pada 24 Mei 2019 untuk mendapatkan rawatan. Dan akhirnya penantian dan penderitaan kanak-kanak comel ini berakhir pada 10 Jun tahun yang sama selepas keseluruhan tumornya berjaya dibuang dalam satu pembedahan yang mengambil masa 5 jam.
Pembedahan membuang tumor seberat 200 gram yang membesar di dalam mulut Ainul Mardhiah dikeluarkan oleh sepasukan pakar diketuai Profesor David Dunaway di sebuah hospital di London.
Selepas pembedahan membuang tumor itu berjaya, ibu bapa adik Ainul mengucapkan rasa syukur dengan semua doa buat anaknya termasuk mengucapkan syukur di atas pertolongan dari Dr Amalina yang banyak membantu anaknya ketika itu.
Selepas tiga tahun pembedahan itu berjaya dan adik Ainul membesar penuh sihat, semalam di instagramnya, Nurul Erwani Zaidi @_nrlerwani dilihat berkongsi momen istimewa bersama pakar bedah itu dan suaminya di pusat membeli belah Pavilion di Bukit Bintang.
Kongsinya, Best place with lovely people. Alhamdulillah. Terima kasih @dramalinabakri luangkan masa dengan kami. Best dapat berjalan dan berborak dengan Dr dan suami. InshaAllah, nanti kami pulak akan ke London ya.
Malah mereka dilihat menikmati hidangan bersama adik Ainul yang dilihat membesar sihat.
Benarlah, setiap budi baik akan dikenang selama-lamanya dan menjadi rezeki kita dipertemukan dengan orang baik-baik dalam kehidupan kita.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Hari ini tanggal 23 Oktober 2019 bersamaan jatuh pada hari Rabu dan Safar di bulan Islam. Ada yang mengatakan bahawa hari Rabu terakhir pada bulan Safar adalah hari diturunkan bala dan ada amalan tertentu untuk menghindarinya.
Persoalan yang dibangkitkan oleh seorang warganet di laman sosial twitter Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan beliau telah menjawab segala kemusykilan berkenaan.
Apakah benar dakwaan berkenaan dan bagaimana pula dengan amalan yang dilakukan untuk menghindari bala yang datang nanti?
Ini jawapan dari Mufti Wilayah dalam menjelaskan persoalan berkenaan.
Soalan : Adakah amalan mandi safar digalakkan kerana disebut di dalam hadis berkaitan safar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mandi Safar adalah satu amalan turun menurun masyarakat Melayu di mana diadakan temasya mandi-manda yang ada di adakan pada hari Rabu yang terakhir di dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi tersebut orang ramai mandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang ditulis kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar.
Berdasarkan soalan dan penjelasan ringkas mengenai Mandi Safar, kami telah menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp yang mengatakan bahawa amalan mandi safar disebut di dalam hadis Nabi SAW. Kami menukilkan semula terjemahan hadis yang dihantar kepada kami.Ianya berbunyi seperti berikut:
“Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya),tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk),tidak ada kesialan (malang) kerana burung dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan safar”(Hadis riwayat Bukhari r.a, Muslim, Abu Daud dan Ahmad r.a).
Individu yang menghantar keratan terjemahan hadis ini kepada kami mendakwa bahawa inilah dalil pengharusan mandi safar yang bertujuan menolak bala dan sial.Benarkah dakwaan ini?
PENJELASAN MENGENAI HADIS
Setelah dicari dan diteliti, lafaz matan yang dimaksudkan ada asal-usulnya. Lafaz tersebut berbunyi daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya:”Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.
Di dalam lafaz yang lain menyebut: Daripada Jabir bin Abdullah r.anhuma bahawa Rasulullah bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul(Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”[1]
Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban (6128) di dalam Sohihnya,Ahmad (15103) di dalam Musnad
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak kesialan dalam bulan safar dan tiada ramalan bintang bulan dengan hujan.”
Riwayat Ahmad (9165) di dalam Musnad,Ibn Hibban (6133) di dalam sohihnya
Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat melalui jalur sanad yang berbeza antaranya:
1. Abu Hurairah
2. Ibnu ‘Abbas
3. Jabir Bin ‘Abdullah
4. Ibnu Mas’ud
Secara ringkasnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sohih mereka.Bahkan ianya juga diriwayatkan juga jaguh-jaguh ahli hadis semisal Imam Ahmad, Abu Daud dan ramai lagi. Di dalam kesemua jalur sanad hadis ini, terkandung perkataan safar. Dengan wujudnya hadis ini di dalam kitab hadis yang muktabar seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tidak syak lagi bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih. Namun yang menjadi permasalahan di sini adalah adakah hadis ini menunjukkan adanya keharusan melakukan amalan mandi safar dengan hanya berdalilkan wujudnya perkataan safar di dalam hadis ini?
MAKSUD SAFAR(صفر)
Menurut Ibnu Manzur (w.711 H) صَفَرَ bermaksud penyakit di dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ianya juga membawa maksud lapar.
Rujuk Lisan al-Arabi(8/250)
Safar juga adalah bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram.
Secara asasnya,untuk memahami satu perkataan yang terdapat di dalam hadis selain dari merujuk makna dari segi bahasa,perlu juga untuk merujuk pandangan para ulama yang muktabar untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa yang disabdakan oleh Nabi SAW. Di sini kami kumpulkan pandangan dan syarahan para ulama berkenaan hadis ini:
Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyebut:
“Ia adalah penyakit yang menyakitkan perut.Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna menyebut di dalam kitab Gharib al-Hadith daripada Yunus bin ‘Ubaid Al-Jarami.Beliau bertanya kepada Ru’bah bin al-‘Ajjaj tentang makna safar.Beliau menjawab :”Bangsa Arab Jahiliyyah mempercayai bahawa ia adalah cacing yang berada di dalam perut manusia dan ia lebih merebak dari penyakit kulit.Kerana inilah Nabi menyebut tentang tiadanya safar di mana mereka mempercayai bahawa ia lebih berbahaya dari penyakit kulit.Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Bukhari kerana ianya dikaitkan dengan ayat tidak ada penyebaran penyakit.”
Beliau (Ibnu Hajar) menyebut lagi :Apa yang dimaksudkan dengan penafian bahawa tiadanya safar adalah menolak kepercayaan orang arab jahiliyyah yang beranggapan bahawa ianya boleh membunuh jika ia menimpa manusia.Akan tetapi,Syarak menolak kepercayaan ini kerana kematian tidak akan berlaku jika ajal belum tiba.”
Rujuk Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari(3/285)
Kata Imam al-Nawawi (w.676 H) :
“Sabda Nabi SAW ‘Tidak ada safar’ ada dua tafsiran : Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang.Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah.Ini adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah.Tafsiran yang kedua,yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat.Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut.Mereka mengatakan bahawa ianya lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul.Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif,Ibnu Wahbin,Ibnu Habib,Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama.Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadis ini.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Sohih Muslim (13/379)
Imam al-Qurtubi (w.656 H) berkata :
“Safar adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan untuk berperang. Inilah yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Inilah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah. Dikatakan bahawa maksud safar adalah ulat yang ada di dalam perut manusia yang berlegar ketika lapar. Arab jahiliyyah melihat bahawa ia lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Mereka mendendangkan syair yang berbunyi[2]:
لا يَتَأَرّى لمِاَ فِي القِدْرِ يَرْقُبهُ # وَلاَ يَعُضُّ على شٌرْسُوفِهِ الصَفَرُ
Maksudnya:”Dia tidak bercanggahan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya. Tidak pula kerana tulang sum-sumnya digigit oleh ulat.”
Inilah pandangan Mutarrif, Ibnu Wahbin, Ibnu Habib dan inilah juga pandangan yang dipilih oleh Abu‘Ubaidah.”
Rujuk al-Mufhim li ma asykala min talkhis kitabi Muslim (5/622)
Kata Imam Abdul Rauf al-Munawi (w.1031 H) :
“Tidak ada safar bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram berperang dan juga bermaksud penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain mengikut kepercayaan Arab Jahiliyyah. al-Baidhawi berkata: Ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah.”
“Bangsa Arab Jahiliyyah mendakwa bahawa di dalam perut ada satu ular yang dipanggil safar. Ianya menyakitkan ketika datangnya lapar dan ia juga boleh menjangkiti orang lain.Islam menolak kepercayaan ini. Ada pandangan yang mengatakan bahawa ia adalah an-nasi’ iaitu menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan untuk berperang. Ianya dilakukan ketika zaman Jahiliyyah. Perbuatan ini telah diharamkan oleh Islam.”
Kata al-Qadhi Iyadh (w.544 H) : “Ada dua pandangan berkenaan maksud perkataan Safar. Yang pertama adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram untuk berperang. Dan inilah yang yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah.Pandangan ini adalah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah.Perkataan yang kedua mengatakan bahawa safar adalah penyakit yang boleh berjangkit kepada orang lain.”
Rujuk Kitab al-Mu’lim syarh Sohih Muslim (7/71)
Syaraful haq ‘Azim al-Abbadi (w.1329 H) ketika beliau mensyarahkan hadis ini menyebut:
“Ketika mana Nabi SAW menyebut tidak ada safar ianya bermaksud Nabi SAW menafikan kepercayaan yang mengatakan bahawa adanya penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain dan adanya ular yang menyakiti manusia ketika mana dia lapar. Arab Jahiliyyah menagatakan bahawa ianya lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Ia juga bermaksud bulan Safar. Di mana Arab Jahiliyyah menyangka akan berlakunya perkara buruk apabila tibanya bulan Safar.”
Rujuk ‘Aun al-Ma’bud syarh Sunan Abi Daud (10/407)
Kata Nuruddin al-Sindi (w.1138):
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang.Ianya adalah bentuk tegahan terhadap perbuatan tersebut.”
Al-Qastalani(w.923 H) ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyebut:
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram. Disebutkan di dalam Sunan Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid Bahawa Arab Jahiliyyah menganggap akan berlakunya perkara yang buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menyangka bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya pelbagai fitnah.”
“Ahli ilmu mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan safar adalah bulan Safar kemudian mereka berselisih dalam mentafsirkan maksud hadis tersebut.”
Pertama: Maksud hadis tersebut adalah menafikan apa yang dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar.Ini adalah pandangan Malik.
Kedua: Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Maka Nabi SAW menolak kepercayaan demikian. Pandangan ini dinukilkan oleh Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid al-Makhuli.
Pandangan yang kedua ini adalah pandangan yang paling hampir maknanya. Kebanyakan orang-orang yang jahil menyangka bahawa akan berlakunya perkara buruk di bulan lalu mereka mencelanya. Ada di antara mereka yang melarang untuk berkelana pada bulan Safar. Dan ini adalah jenis yang sama dengan perbuatan Thiyarah yang dilarang.”
Rujuk Lataif al-Ma’arif fi ma li mawasim min al-Wazaif (m/s 135-136)
Kesemua ini adalah pandangan para ulama berkenaan sabda Nabi SAW iaitu ‘tidak ada safar’. Banyak lagi ulasan ulama berkenaan perkataan ini dan kesemuanya memberikan pandangan yang hampir sama seperti yang kami nukilkan. Dapat kita simpulkan dari pandangan-pandangan ini bahawa yang dimaksudkan oleh safar itu adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam lalu datang Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut. Melalui tafsiran-tafsiran ini,dapat kita fahami bahawa tiada satu pun petunjuk yang menunjukkan bahawa perkataan لا صَفَرَ itu merujuk kepada amalan mandi safar bahkan ianya tiada kena mengena dengan amalan syirik tersebut. Kalaupun ianya merujuk kepada mandi safar (walaupun tafsiran ini tidak diterima dan tiada tafsiran para ulama yang menyebut sedemikian rupa) ianya didahului dengan huruf لا النافِيَة (La yang memberi makna menafikan sesuatu). Justeru ia memberi makna larangan bukan galakan.
PENUTUP
Justeru itu, dapat kita fahami bahawa safar yang dimaksudkan dalam hadis adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang dilarang oleh Nabi SAW untuk mempercayainya. Antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar,akan berlakulah perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar.
Tidakkah ia memberi isyarat bahawa adanya kepercayaan bahawa bulan itu adalah bulan sial dan musibah sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat arab Jahiliyyah. Ini adalah satu perbuatan yang ditegah Nabi SAW. Ditambah pula dengan amalan karut marut yang mengiringi temasya mandi safar ini.
Oleh itu, kami mengesyorkan agar tolaklah bala dengan doa. Seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam kebanyakan hadis. Antaranya adalah doa yang sentiasa kita ulangi di dalam solat Subuh:
وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيتَ
Maksudnya:”lindungi dan jauhkanlah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan.”
Riwayat al-Nasaie (1725),Abu Daud (1214) di dalam al-Sunan,al-Baihaqi (427) di dalam Sunan al-Sughra,Ibnu Hibban ( 950) di dalam Sohihnya,Ahmad (1625) di dalam Musnad
Wallahu’alam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Menular secara senyap dalam masyarakat, isu penyelewengan akidah melalui ajaran sesat sentiasa perlu dibendung.Dalam hal ini orang ramai juga perlu didedahkan dengan ciri-ciri ajaran...