Mereka yang dikurniakan susu badan banyak seharusnya bersyukur dengan rezeki diberikan kerana ia pemakanan terbaik untuk bayi membesar dengan sihat. Tidak semua direzekikan memiliki susu badan yang banyak hingga bayi perlu dibantu dengan susu formula.

Di saat kita direzekikan susu badan yang banyak hingga boleh memberinya pada orang lain, seharusnya ia diberi perhatian kerana perlu menjaga nasab di masa depan. Ini kerana apabila menjadi anak susuan, bukan saja belah ibu tapi keturunan belah bapa juga diharamkan berkahwin.

Dalam pada itu, media melaporkan usahawan juga pelakon Syatilla Melvin yang juga isteri kepada Sam menzahirkan rasa syukurnya kerana susu badannya direzekikan banyak. Bahkan dirinya berniat untuk mendermakan susu badannya buat bayi memerlukan. Namun mereka yang berhajat perlu DM kepadanya untuk dirinya mengetahui latar belakang dan maklumat lengkap bayi berkenaan.

Untuk kita sama-sama memahami peranan ibu susuan, berikut adalah penjelasan dari Mufti Terengganu mengenai kedudukan ibu kepada ibu susuan, adakah ia dianggap mahram kepada anak susuan?

Jawapan:-

Penyusuan dari segi bahasa ialah perbuatan menghisap susu seseorang perempuan. Manakala, dari segi istilah syarak ialah perbuatan yang dilakukan untuk mendapatkan susu seseorang perempuan atau susu yang masuk ke dalam perut seorang kanak-kanak.

IKLAN

Hukum seorang perempuan menyusukan bayi yang bukan anaknya adalah harus mengikut syarak. Ini kerana perbuatan tersebut telah diamalkan sebelum dan selepas kedatangan Islam dan Islam memperakuinya bahkan tidak mengharamkannya. Terdapat kebaikan ketika seseorang perempuan menyusukan seorang anak yang bukan anaknya, contoh seorang ibu meninggal dunia dan tidak dapat menyusu anaknya. Oleh itu, keadaan ini memerlukan perempuan lain menyusukan anak tersebut bagi membolehkan anak tersebut meneruskan hidupnya.

Haruslah diingat bahawa terdapat kesan daripada penyusuan terhadap hubungan kekeluargaan kerana apabila seseorang perempuan menyusukan seorang anak yang bukan anaknya, anak itu akan menjadi anak susuannya dan suami perempuan tersebut turut menjadi bapa susuan kepada anak itu.

Justeru, anak yang disusukan tersebut haram berkahwin dengan ibu susuannya. Dia juga haram berkahwin dengan beberapa golongan daripada keturunan ibu susuannya.
Golongan tersebut termasuklah:

IKLAN

1. Adik-beradik perempuan ibu susuan kerana mereka adalah ibu saudara susuan.
2. Anak perempuan ibu susuan kerana mereka adalah adik-beradik susuan.
3. Cucu perempuan kepada ibu susuan (anak perempuan kepada anak lelaki ibu susuan, atau anak perempuan kepada anak perempuan ibu susuan) kerana mereka adalah anak perempuan adik- beradik lelaki susuan atau anak perempuan adik-beradik perempuan susuan.
4. Ibu kepada ibu susuan (nenek susuan).

Begitu juga dengan beberapa keturunan dari sebelah bapa susuan yang haram dikahwini adalah sama seperti golongan keturunan ibu susuan. Golongan tersebut ialah:

1. Adik-beradik perempuan bapa susuan kerana mereka adalah ibu saudara susuan.
2. Anak perempuan bapa susuan walaupun dengan isteri yang lain kerana mereka adalah adik-beradik perempuan susuan.
3. Cucu perempuan kepada bapa susuan (anak perempuan kepada anak lelaki bapa susuan, atau anak perempuan kepada anak perempuan bapa susuan) kerana mereka adalah anak perempuan adik-beradik lelaki susuan atau anak perempuan adik-beradik perempuan susuan.
4. Ibu kepada bapa susuan (nenek susuan).

IKLAN

Pengharaman tersebut adalah berpandukan al-Quran dan hadis sebagaimana Allah S.W.T telah berfirman dalam Surah an-Nisa’, ayat 23:

وَأُمَّهَٰتُكُمُ ٱلَّٰتِى أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَٰعَةِ
Maksudnya: “Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu.”

Rasulullah ﷺ juga telah bersabda:
إِنَّ الرَّضَاعَةَ تُحَرِّمُ مَا يَحْرُمُ مِنَ الْوِلاَدَةِ
Maksudnya: “Penyusuan mengharamkan apa yang diharamkan disebabkan kelahiran (keturunan).”
(Hadis Riwayat Muslim & Bukhari).

Oleh itu, kedudukan ibu kepada ibu susuan adalah nenek susuan kepada anak susuan. Justeru, ia merupakan mahram kepada anak susuan sebagaimana penjelasan di atas.

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI