Biasa kita lihat di tempat tidur bayi, ibu bapa akan menyelitkan naskhah surah Yasin di bawah bantal. Katanya ini boleh mengelakkan gangguan makhluk halus yang boleh menyebabkan bayi menangis tak henti, meragam dan sebagainya.
Malah ramai juga yang sudah dewasa dan berusia melakukan perkara yang sama. Tapi pada masa yang sama terfikir juga bukankah surah Yasin yang menjadi sebahagian al Quran perlu dijaga dan dimuliakan. Patutkan letak di bawah bantal.
Bagi yang tidak tahu adalah haram sebenarnya jika kita meletakkan naskhah yang mengandungi ayat al Quran di bawah bantal. Penjelasan tentang perkara ini dibuat oleh Mufti Wilayah Persekutuan.
Haram kerana merendahkan martabat al-Quran yang sepatutnya dimuliakan
Haram hukumnya tidur beralaskan mushaf al-Quran, naskhah surah Yasin atau apa-apa surah daripada al-Quran dan kitab-kitab agama, atau meletakkannya di bawah bantal. Hal ini kerana perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai merendah-rendahkan martabat al-Quran dan ilmu agama.
Para ulama telah bersepakat ke atas haramnya perbuatan meremehkan dan menghina al-Quran, serta wajibnya memuliakan dan memelihara mushaf, seperti yang disebut dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah.[1]
Ads
Antara perbuatan yang boleh dikira sebagai perendahan terhadap kemuliaan al-Quran ialah menjadikannya sebagai alas kepala ketika tidur:
وَيَحْرُمُ تَوَسُّدُه: أي المصحف أي جَعْلُهُ وِسادة وَهِيَ المِخَدَّة التي تُوضَعُ تَحْتَ الرأْسِ، لأن في تَوَسُّدِهِ تَحقيرا وإهانَة
Maksudnya: Diharamkan daripada berbantalkan mashaf: iaitu menjadikan mashaf itu sebagai bantal dan diletakkan di bawah kepala, ini kerana perbuatan berbantalkan mushaf itu merupakan satu bentuk merendah-rendahkan dan penghinaan.[2]
Ads
Selain itu, diharamkan juga menjadikan kitab-kitab agama sebagai bantal atau alas kepala ketika tidur, seperti yang disebut oleh para ulama mazhab Syafie:
Maksudnya: Diharamkan menjadikan mushaf dan kitab-kitab agama sebagai bantal. Kata al-Qadhi Husain: Pengecualian diberikan jika dia takut kitab atau mushaf itu dicuri.[3]
Ads
Ibn Muflih al-Hanbali pula menukilkan kalam daripada Ibn ‘Abd al-Qawiy dalam Majma‘ al-Bahrain, bahawa diharamkan juga tidur berbantalkan kitab-kitab hadis dan buku yang terkandung dalamnya ayat al-Quran.[4]
Justeru, berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, adalah diharamkan untuk menjadikan mushaf al-Quran, naskhah surah Yasin atau apa-apa surah daripada al-Quran, buku-buku yang terkandung dalamnya ayat al-Quran dan juga kitab-kitab agama sebagai bantal ketika tidur atau meletakkannya di bawah bantal walaupun bagi tujuan untuk menghindari daripada gangguan jin dan sebagainya.
Disarankan juga untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran seperti Ayatul Kursi dan membaca zikir-zikir dan doa yang ma’thur daripada Rasulullah SAW bagi tujuan mengelakkan gangguan jin serta syaitan.
Bagi yang ada anak kecil di rumah terapkan ajaran supaya sentiasa mendoakan ibu bapa. Ada sebab ibu bapa perlu mengajar anak kecil sedemikian. Ini kerana jiwa anak yang masih suci dan tiada dosa boleh jadi punca doa mudah makbul.
Dalam catatan beliau, menurut al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali, Saidina Umar pernah meminta kanak-kanak agar mendoakan keampunan buat dirinya.
Jiwa kanak-kanak yang masih suci dan tidak berdosa itu menjadi rasional tindakan Saidina Umar. Kata Ibn Rajab:
كان عمر رضي الله عنه يطلب من الصبيان الاستغفار ويقول: ” إنكم لم تذنبوا”
“Sesungguhnya Saidina Umar RA pernah meminta kanak-kanak agar memohon keampunan buat dirinya dan dia berkata: Sesungguhnya (jiwa kamu suci) kamu masih tidak berdosa.”
Tindakan yang hampir sama pernah dilakukan oleh Saidina Abu Hurairah. Kata Ibn Rajab:
كان أبو هريرة رضي الله عنه يقول للغلمان: “قولوا: اللهم اغفر لأبي هريرة، ثم يؤمن على دعائهم”.
“Sesungguhnya Abu Hurairah pernah meminta kanak-kanak mengucapkan doa: Ya Allah, ampunkanlah (dosa-dosa) Abu Hurairah. (dan apabila kanak-kanak mengucapkan doa tersebut), Abu Hurairah mengaminkan doa tersebut.
Kesucian jiwa anak yang masih belum berdosa
Perhatikan bagaimana para sahabat melihat bahawa kesucian jiwa seseorang barangkali berupaya menjadi punca sesuatu doa itu mudah dimakbulkan. Dengan sebab itu mereka meminta kanak-kanak yang masih belum berdosa untuk mendoakan mereka.
Dengan itu adalah sangat wajar juga untuk kita mendidik anak-anak kecil kita yang masih suci hati mereka agar mendoakan kita. Mudah-mudahan berkat doa mereka, dengan keizinan Allah, kita memperoleh keampunan dan dipermudahkan urusan kita.
Bagi Mazhab Shafie, hukum menunaikan solat Jumaat adalah Fardu Ain, iaitu wajib ke atas setiap mukallaf lelaki yang sudah baligh yang memenuhi syarat-syaratnya.
Tapi lumrah sebagai manusia, ada masa kita leka dengan dunia dan meninggalkan kewajipan ini dengan sengaja. Dan mungkin sampai masa kita rasa menyesal, bertaubat dan mahu qada solat yang ditinggal termasuk solat Jumaat.
Jadi bagaimana cara qadha solat Jumaat yang ditinggalkan ini? Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang juga bekas mufti menerangkan caranya sebagai panduan buat mereka yang berazam mengqadakan solat Jumaat yang ditinggalkan.
Cara qada solat Jumaat yang ditinggalkan
Sesungguhnya hutang solat dengan Allah SWT hendaklah dibayar sama seperti kefardhuan solat mengikut mazhab Syafi’i. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.” Riwayat Bukhari (1953) dan Muslim (1148)
Seterusnya solat perlu diqadha’ berdasarkan hadith Nabi SAW:
Bermaksud: Sesiapa yang terlupa (menunaikan) satu solat maka hendaklah dia solat (sebagai ganti) sekiranya dia teringat solat itu. Tidak ada kafarah bagi solat itu melainkan itu (menggantikannya semula). Riwayat al-Bukhari (597)
Diqada dengan solat Zohor
Solat Jumaat yang ditinggalkan hendaklah diqadha’ dengan solat Zohor. Kalau setahun sebanyak 48 atau lebih sedikit berdasarkan hari, maka hendaklah diqadha’ Zohor dengan jumlah tersebut.
Ini kerana solat Jumaat adalah khusus pada hari Jumaat dan dilakukan secara berjemaah dengan syarat-syarat yang tertentu seperti orang yang bermastautin atau orang bermukim di masjid dalam waktu Zohor dimulakan dengan dua khutbah, dan makmum cukup bilangan seperti yang masyhur dalam mazhab Syafi’i iaitu 40 orang lebih.
Sertakan dengan niat
Seperkara lagi dalam mengqadakan solat ini perkara utama adalah niat. Ia merupakan syarat sahnya suatu amalan ibadah. Hal ini berdasarkan hadith, sabda Nabi SAW:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.” Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)
Untuk menjadikan solat sah, seseorang hendaklah menyertakan niat di dalam hati ketika bertakbiratul Ihram dan sedar akan tujuannya untuk bersolat semasa melafazkan takbir tersebut serta mengingati jenis solat dan fardhunya. Sementara niat untuk bersolat pula tidak disyaratkan melafazkannya.
Di sisi mazhab Syafie, disunatkan untuk mengucapkan atau melafazkan niat solat sebelum mengangkat takbir, supaya lidah dapat menolong hati, untuk menjauhkan was-was dan tidak terlalu jauh dari ulama’ yang memfatwakan kewajibannya.”
Antara amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya Syawal adalah dengan melakukan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Ianya thabit dari perbuatan Nabi SAW yang mana di dalam hadith ada menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.
Riwayat Muslim (1164)
Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadith di atas menyebut bahawa hadith ini menjadi dalil bagi mazhab Syafi’e, Hanbali dan juga Daud (al-Zahiri) bahawa disunatkan untuk berpuasa enam pada bulan Syawal manakala fadhilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang lain yang mana menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda (أَنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا )[1].
ADAKAH PUASA ENAM PERLU DILAKUKAN SECARA BERTURUTAN?
Setelah mengetahui akan pensyariatan puasa sunat enam Syawal beserta fadhilatnya, timbul juga persoalan mengenai adakah puasa yang enam itu perlu dilakukan secara berturutan ataupun boleh dilakukan secara berasingan.
Mengenai persoalan di atas, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ ada menyebutkan: “…dan disunatkan untuk berpuasa secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa 6 hari secara berturutan) ataupun diakhirkan puasa tersebut di dalam bulan Syawal, maka ianya dibolehkan…”[2]
Al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni menyebutkan mengenai permasalahan ini seperti berikut: “…tidak ada bezanya (menjadikan puasa tersebut) dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan samaada di awal Syawal ataupun diakhirnya kerana hadith menyebutkannya secara mutlaq tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain…”[3]
KESIMPULAN
Berdasarkan pendapat-pendapat yang terdapat di dalam isu ini, kami katakan bahawa isu ini ada fleksibilitinya yang tersendiri iaitu puasa 6 boleh dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan. Diawalkan ataupun dilewatkan selagi mana masih berada di dalam bulan Syawal. Ianya tidak menjadi masalah.
Di dalam kemeriahan kita menyambut Syawal, sudah pasti akan ada jemputan dari sanak saudara juga rakan taulan untuk menghadiri rumah terbuka, kenduri dan sebagainya. Maka ianya tidak menjadi masalah serta penghalang untuk menunaikan puasa 6 Syawal kerana terdapat fleksibiliti di dalam kaifiat menunaikannya. Alangkah baiknya jika kita dapat menghimpunkan dua kebaikan dalam bulan Syawal ini, satunya dengan berpuasa enam dan keduanya dengan menghubungkan silaturrahim sesama kita. Wallahu a’lam.
Salah satu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW ialah walaupun mereka tidak memahami setiap apa yang dibaca daripada al-Quran...