‘Kahwin sebab nak elak zina.’ Perkahwinan bukan semata-mata hendak halalkan hubungan, ada amanah menanti yang perlu dipikul. Khatam dulu bab amanah dan tanggungjawab, barulah berkahwin.
Jangan terlalu ikut hati dan perasaan hingga meletakkan nafsu di tempat pertama kerana perkahwinan bukanlah melibatkan seks saja, ada perkara lain perlu diambil kira.
Sedarlah perkahwinan adalah untuk seumur hidup, bukannya sehari dua iya. Ikuti perkongsian Peguam Syarie, Puan Suzana Ghazali ini dan hadam baik-baik peringatannya:
Saya hendak kongsikan petikan emel sorang pelajar IPT (Institut Pengajian yang dipanjangkan kepada saya oleh Admin Bina Bahagia Services. Moga jadi panduan bukan saja kepada anak-anak pelajar tapi buat semua…
“Puan, saya masih belajar di kolej dan telah berkawan rapat dengan seorang gadis. Dah banyak kali kami hampir terlanjur tapi syukur selamat, ringan-ringan saja.
‘Masalahya saya sudah cakap dekat mak, ayah saya hendak kahwin tapi mak dan ayah tak benarkan sebab masih belajar. Saya tak ceritalah masalah saya itu. Saya hendak kahwin puan sebab hendak elakkan zina….”.
Perkahwinan Bukan Semata-mata
Alasan mudah anak-anak muda hari ini dan juga menjadi alasan ramai suami yang hendak poligami konon kahwin sebab nak elak zina.
Ads
Mmm betullah zina perlu dielak tapi persoalannya, kenapa dekati zina?
Zina tak perlu dielak kalau tak didekati.
Ingat ya!! Perkahwinan bukan semata-mata menghalalkan hubungan seksual! Ulama-ulama menetapkan lima hukum perkahwinan kepada seseorang khususnya lelaki iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus.
Hendak Halalkan Hubungan
Seseorang lelaki dikategorikan sebagai wajib berkahwin apabila mereka mampu dari segi fizikal dan kewangan malah dibimbangi sekiranya tidak berkahwin, takut terjerumus kepada maksiat zina.
Lelaki yang sunat berkahwin ialah mereka yang mampu dari segi fizikal dan kewangan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin. Bezanya mereka tidak bimbang akan terlibat dengan zina sekiranya tidak berkahwin.
Ads
Lelaki yang haram berkahwin pula ialah mereka yang tidak mampu dari segi nafkah zahir dan batin. Haram juga bagi lelaki yang berkahwin dengan tujuan untuk memudaratkan isterinya.
Lelaki yang tergolong dalam senarai makruh berkahwin ialah mereka yang tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya tetapi berkeinginan untuk berkahwin.
Lelaki yang harus berkahwin pula ialah mereka yang tidak mempunyai sebab yang mendesak untuknya berkahwin dan tidak pula mengharamkan dia berkahwin.
Ada Amanah Menanti
Koreksi diri, di mana kedudukan anda? Elak zina bukan alasan wajar. Perkahwinan bukan seks semata-mata tapi banyak prinsip, amanah dan tanggungjawabnya. Khatam dulu bab perkahwinan baru fikir nak kahwin.
Teruk sangat sudah kes cerai dalam tempoh perkahwinan tak sampai lima tahun (tempoh ditentukan pakar perkahwinan untuk saling mengenali dan menyesuaikan diri) sekarang ini, janganlah tambah lagi, tolonglah!
Zaman sekarang, bab pilih pasangan hidup kebanyakan generasi millennial jauh lebih maju daripada era Baby Boomers. Sekarang dunia serba moden dengan gaya hidup kontemporari, anak-anak muda lebih suka pilih pasangan hidup sendiri.
Jika ada jodoh yang diuruskan keluarga, ia sudah tidak banyak. Masakan tidak, generasi millennial ini lebih berani dan canggih apabila ada yang bertemu jodoh di sosial media. Ini semua kemudahan yang telah dimanfaatkan.
Cuma jangan dipinggirkan pula nilai-nilai Islam yang perlu dipegang sepanjang misi mencari dan memilih pasangan hidup. Ya lah kita ini kalau berkahwin, bukan untuk sebulan dua, tapi hingga ke akhir hayat; membentuk keluarga sakinah.
Untuk penjelasan ringkas yang lebih mudah difahami untuk anda yang tengah sibuk mencari dan memilih teman sehidup semati, kita tambahkan ilmu menerusi tulisan Abdullah Hussin, menerusi entri facebooknya. Satu nukilan yang sangat baik untuk pengetahuan semua.
“Islam meletakkan garis panduan yang dinamik bagi lelaki dan wanita dalam memilih pasangan hidup masing-masing. Bagi lelaki, Rasulullah SAW berpesan supaya memilih wanita yang kuat agama, memiliki jiwa yang penuh dengan kasih sayang dan mampu melahirkan zuriat yang ramai,”ujarnya.
Sabda Rasulullah SAW:
“Nikahilah wanita yang penyayang yang subur punya banyak keturunan karena aku bangga dengan banyaknya umatku pada hari kiamat kelak.” (HR. Abu Daud no. 2050 dan An Nasai no. 3229. Al Hafizh Abu Thohir mengatakan bahwa hadits tersebut hasan)
Wadud bermaksud seorang yang penyayang. Walud pula bermaksud seorang yang mampu melahirkan zuriat yang ramai.
Namun begitu, asas utama pemilihan adalah berdasarkan agama dan akhlak yang ada pada diri seseorang muslimah.
“Dikahwini wanita kerana empat perkara iaitu harta, keturunan, kecantikan dan agama. Maka pilihlah yang beragama, nescaya engkau akan beruntung.”
Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani menjelaskan kelebihan memilih isteri yang beragama iaitu dia akan lebih setia kepada suaminya. Pemilihan agama dan akhlak seseorang muslimah hendaklah menjadi prioriti utama dalam membuat keputusan.
“Jangan hanya terpesona dengan kecantikan fizikal semata-mata, lantas membutakan mata daripada melihat kecantikan dan keindahan akhlak budi pekerti
“Kecantikan zahir akan membuat matamu terpesona buat seketika, namun keindahan akhlak akan membuatmu bahagia dan tenang jiwa selamanya”
Bagi perempuan pula, Rasulullah SAW ada meninggalkan garis panduan untuk menerima atau menolak lelaki.
Sabda Nabi SAW : إذا جاءكم من ترضون دينه وخلقه فزوجوه إلا تفعلوه تكن فتنة في الأرض وفساد كبير
Hadis Riwayat Tirmizi.
“Bila datang kepada kamu seseorang yang kamu redha agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah. Jika tidak, akan terjadi fitnah di bumi dan fasad yang besar.”
“Hadis ini merupakan khitab Rasulullah kepada wali agar mengahwinkan anak perempuan sekiranya ada lelaki yang masuk meminang. Lihat agama dan akhlaknya. Jika agamanya kurang, maka tolaklah dengan baik. Jika diredhai agamanya, maka terima dia seadanya.
“Soal sekufu adalah hak bagi pihak perempuan. Ianya sangat penting bagi memastikan kedua pasangan serasi. Bahkan dalam fekah, seorang perempuan boleh menolak pilihan wali mujbir untuk mengkahwinkannya dengan seseorang yang tidak sekufu baginya,”ulasnya lanjut
‘Berhati-hati dalam memilih, namun jangan sampai merumitkan. Pemilihan nakhoda sangat penting dalam sebuah pelayaran. Sebab itu dalam bahtera rumah tangga, suami memainkan peranan yang amat penting dalam mencorakkannya.
“Adakah rumah tangga yang dibina berdasarkan adab dan nilai Islam, atau Islam hanya pada akad nikah sahaja. Sehubungan dengan itu, pemilihan fikrah cara berfikir juga penting bagi memastikan hubungan kedua mempelai bertahan lama.
Pilihlah seseorang yang boleh mendokong cita-cita dan impian kita. Jika dia tidak dapat membantu, sekurang-kurangnya tidak menghalang.
Jika berkahwin dengan pejuang agama, separuh masanya untuk umat, sepenuh jiwanya untuk Islam, seluruh cintanya untuk Allah dan Rasul.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Mula dikenali sejak menyertai Imam Muda musim kedua, program realiti tersebut telah membawa banyak perubahan dalam diri Mohd Hassan Adli Yahaya atau Hassan Adli setelah dinobatkan sebagai juara.
Dikenali sebagai seorang insan yang murah dengan senyuman Hassan Adli punya aura yang tersendiri.
Dalam usia enam tahun, Hassan sudah mula berdikari. Demi kerana menuntut ilmu agama, Hassan yang berasal dari kampung Sungai Wangi, Ayer Tawar, Perak menaiki bas tambang seorang diri dari rumahnya di kampung Sungai Wangi ke stesen bas Sitiawan.
IBU BERATKAN SOAL PENDIDIKAN AGAMA
Ibunya, Arfah Md. Nor amat mementingkan soal pendidikan agama. Sebab itulah dia nekad untuk menghantar Hassan ke sekolah tadika Islam di Seri Manjung. Meskipun jarak tadika tersebut jauh dari rumah mereka. Namun ibunya percaya untuk menuntut ilmu, jarak bukanlah penghalang.
“Saya mahu Hassan mendalami ilmu agama. Meskipun tahu Hassan masih terlalu muda untuk berdikari tetapi saya selalu berdoa kepada Allah agar menjaga keselamatannya. Selalunya saya akan menghantar Hassan ke depan rumah kerana bas akan lalu di hadapan rumah kami.
“Saya naikkan Hassan hingga ke tangga bas dan berpesan kepada pemandu dan juga konduktor bas untuk melihat-lihatkan Hassan. Biasanya Hassan akan duduk di kerusi paling hadapan iaitu di belakang pemandu bas.
“Sampai sahaja di stesen bas Sitiawan, Hassan akan menunggu ustaz mengambilnya di situ untuk dibawa ke sekolah tadika di Seri Manjung. Selesai belajar di sekolah tadika, Hassan akan dihantar semula ke stesen bas Sitiawan. Hassan akan menaiki bas tambang untuk pulang ke rumah. Saya akan menunggu Hassan di tepi jalan kerana sudah tahu waktu Hassan akan sampai ke rumah. Begitulah rutin Hassan setiap hari,” cerita Arfah.
NAK TUNTUT ILMU PERLU ADA PENGORBANAN
Menurut Arfah untuk menuntut ilmu perlu ada pengorbanan. Dia amat bersyukur kerana pengorbanannya mendidik Hassan mendalami ilmu agama tidak sia-sia. Hassan meneruskan persekolahannya di Seri Manjung sehingga darjah tiga.
“Pernah juga terjadi ustaz yang sepatutnya mengambil Hassan di stesen bas Sitiawan terlupa mengambil Hassan. Saya sudah berpesan kepada Hassan jika ustaz terlupa mengambilnya, saya minta Hassan menghubungi saya menggunakan telefon awam. Dalam sebulan ada dua, tiga kali jugalah insiden ini berlaku.
“Kebiasaannya saya akan minta Hassan naik semula bas tambang untuk pulang ke rumah. Saya amat berterima kasih dengan pemandu dan konduktor bas kerana ‘menjaga’ Hassan sepanjang tempoh Hassan berulang-alik menaiki bas sewaktu dia belajar di Seri Manjung. Ketika darjah empat, Hassan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Wangi jadi tiada masalah kerana dekat dengan rumah kami,”tutur Arfah lagi.
Dilontarkan persoalan bagaimana Arfah begitu yakin melepaskan Hassan menaiki bas seorang diri, ini jawapan Arfah. Apabila kita berniat ke arah kebaikan nescaya Allah akan melancarkan segala urusan.
“Saya sentiasa tawakal dan berdoa kepada Allah moga-moga semua perkara dipermudahkan. Saya hanya fikirkan yang positif sahaja dan yakin Allah akan sentiasa akan membantu. Yang penting niat kita perlu betul.
“Sebagai ibu saya hanya menjalankan tanggungjawab untuk membekalkan ilmu agama yang cukup kepada anak-anak. Saya mahu anak-anak saya terdidik dengan pendidikan agama kerana mahu melihat mereka berjaya bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat,”jelas Arfah.
Menurut Arfah sebelum Hassan menyertai program Imam Muda dia terlebih dahulu menyertai program realiti Akademi Al Quran musim ke empat yang disiarkan di TV9. Hassan ada meminta izin dan pendapat untuk menyertai pertandingan tersebut.
“Perkara yang baik tentulah saya menggalakkannya. Sebagai ibu, saya sentiasa memberi sokongan. Meskipun Hassan tersingkir awal daripada program Akademi Al Quran saya bersyukur kerana Hassan menjadi juara untuk program Imam Muda musim kedua. Pada saya jika sudah rezeki pasti tidak ke mana,”jelas Arfah penuh makna.
CUBA NASIB
Penyertaan Hassan Adli dalam program realiti Akademi Al Quran pada 2010 sekadar untuk mencuba nasib. Bukan kemenangan yang dihajatinya cuma ingin menimba pengalaman baru. Ketika itu Hassan baharu sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Ilmu Wahyu, pengkhususan Al Quran Sunnah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
“Ketika menyertai Akademi Al Quran, saya orang ketiga yang tersingkir daripada program realiti tersebut. Saya redha kerana percaya ada rezeki lain untuk saya. Lagi pun saya sekadar mencuba-cuba dan terfikir untuk menang. Pada masa yang sama juga program realiti Imam Muda musim pertama juga berjalan serentak.
“Atas nasihat kawan-kawan mereka telah menggalakkan saya untuk menyertai audition Imam Muda musim ke dua pada 2011. Ketika audition, saya demam. Saya menyertai audition yang terakhir di Kuala Lumpur. Pada hari terakhir audition, saya juga merupakan peserta terakhir.
“Saya tidak menjangka yang saya akan terpilih untuk ke peringkat seterusnya hinggalah ke peringkat akhir. Persaingan cukup sengit kerana peserta-peserta semua hebat-hebat belaka. Alhamdulillah kemenangan berpihak kepada saya.,”ungkap Hassan Adli.
Pernah menjangkakan yang dia akan tersingkir awal sama seperti program realiti Akademi Al Quran yang disertainya sebelum ini, nyata sangkaan anak muda ini meleset sama sekali. Akui Hassan menjadi juara Imam Muda musim kedua ibarat seperti mimpi.
“Sungguh saya tidak pernah menyangka untuk menjadi juara Imam Muda musim kedua. Saya anggapnya sebagai rezeki dari Allah. Bukan calang-calang peserta yang menyertai program ini. Ketika itu, hanya tinggal saya dan Nazrul Izwan Zolkiflee. Apabila nama saya disebutkan sebagai juara, saya tergamam namun dalam masa yang sama berasa amat gembira. Kejayaan saya adalah berkat sokongan ibu, keluarga dan rakan-rakan,”tutur Hassan Adli.
TAHAP KEYAKINAN LUAR BIASA
Mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya, sempat penulis bertanya tentang pengalamannya berulang-alik menaiki bas tambang seawal usia enam tahun. Luar biasa tahap keyakinan yang ada pada diri Hassan ketika anak-anak seusia dengannya mesti bertemankan ibu bapa jika hendak ke mana-mana.
“Ada juga perasaan takut dan berdebar-debar. Maklum sahajalah budak-budak. Ketika mula-mula menaiki bas, ibu akan menemankan saya hingga menaiki bas. Selepas saya sudah boleh membiasakan diri, ibu hanya hantar saya di tangga bas. Jika saya tertidur, pemandu bas akan kejutkan saya jika sudah sampai ke destinasi.
“Saya meneruskan pengajian di tingkatan satu di Maahad Ehyak Diniah Islamiah di Kampung Gajah selama setahun. Semasa di tingkatan dua hingga lima pula saya menyambung pengajiannya di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh. Selesai pengajian di sekolah menengah saya melanjutkan pengajian di peringkat tinggi di UIAM,”ujar Hassan Adli.
Berkongsi teknik didikan agama yang diamalkan oleh ibunya, akui Hassan Adli, ibunya ada membuat carta solat. Setiap kali selesai solat, tandakan pada kotak carta. Jika tidak solat, tulis tanda kosong sahaja.
Guru Al Quran saya adalah ibu saya sendiri. Membaca Al Quran memang menjadi amalan kami setiap kali selesai solat maghrib. Kadang-kadang ibu akan mengintai sama ada kami solat atau tidak. Masing-masing tidak boleh menipu.
Di rumah kami memang ada bilik solat. Bilik itu kekal hingga sekarang. Kata ibu saya, amat penting untuk menyediakan bilik solat. Baharulah selesa untuk beribadat.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Sejak awal tahun ini, nama Muhammad Qasim yang berasal dari Pakistan mulai popular di seluruh dunia berikutan dakwaan dirinya pernah 500 kali bertemu Nabi Muhammad SAW dan 300 kali berjumpa Allah.
Banyak jurnal mengenainya ditulis oleh media terutama melibatkan negara jiran, Indonesia.
Dalam satu perkongsian dari portal Viva.co.id menjelaskan tujuh fakta mengenai lelaki yang didakwa sebahagian pengikutnya sebagai imam Mahdi.
Antara dikongsikan, Muhamad Qasim bin Abdul Karim merupakan warga negara Pakistan. Tinggal di Lahore dan dilahirkan pada tahun 1977 (usianya kini 45 tahun) dan mendakwa telah melihat Allah dan Nabi Muhammad SAW dalam mimpinya.
Dikatakan, Muhamad Qasim telah bermimpi lebih dari 26 tahun lalu di mana Nabi Muhammad dan Allah telah berkomunikasi dengannya.
Dalam mimpinya, lebih 500 kali bertemu Rasulullah dan 300 kali bertemu Allah itu, bahawa semua mimpinya adalah benar di mana ia harus berkongsi mimpinya itu kepada dunia. Dalam banyak mimpi dia telah melihat masa depan umat Islam, masa depan Pakistan dan peristiwa-peristiwa yang akan terjadi sebelum hari Kiamat.
Dalam mimpinya, Allah dan Muhammad membimbing Muhammad Qasim ke jalan yang benar. Dari tahun 2007 Allah dan Muhammad mulai mengajarinya dalam mimpi tentang hal-hal yang harus dilakukan dan hal-hal yang harus dijauhi.
Kebanyakan Allah dan Muhammad menyuruhnya untuk menjauhi semua jenis kesyirikan dan bagaimana menjadi manusia yang baik. Rahmat Allah adalah untuk semua orang dan segalanya. Muhammad adalah Utusan Allah yang terakhir dan ia mempercayai bahawa Muhammad adalah Nabi Allah yang terakhir.
Muhammad Qasim adalah Ummati Muhammad dan ia bangga bahawa dirinya adalah Ummati Muhammad (SAW). Dalam banyak mimpi, Allah memberitahu dirinya, Qasim pergi dan menyebarkan cahaya di dunia seperti dalam kegelapan. Bahkan Muhamad Qasim tidak pernah mengakui dirinya Imam Mahdi kecuali dipercayai oleh pengikut-pengikutnya. Dirinya hanya ingin menjadi teman Allah dan tidak lebih dari itu dan hanya Allah adalah Wakeelnya.
Dalam malam tadi melalui temubual secara langsung bersama Ketua pemimpin Gerakan Akhir Zaman (GAZA), R Dicki Candra Punama (berada di Pakistan dan rapat dengan Muhamad Qasim) bersama Ust. Dr. Aizam dari JAKIM dalam tajuk MIMPI MUHAMMAD QASIM: MENEPATI NAS SYARA’?
Bahkan selepas siaran langsung itu, penceramah motivasi ini memaklumkan, hasil live dengan 2 orang kuat lelaki Pakistan bernama Muhammad Qasim yang pernah 500 kali mimpi jumpa nabi dan 300 kali jumpa Allah, ini kesimpulan awal Bro Amin:
1. Melihat kepada komen-komen, penyokong-penyokong sudah terlalu ramai di Indonesia dan sudah mula ada penyokongnya di Malaysia
2. Memang Muhammad Qasim tidak pernah claim mimpinya sebagai hujah tetapi hanya berita gembira (al-Mubasyirat), sebaliknya tindakan, ucapan dan tulisannya mengatasi lebih dari nas Quran dan Hadith
3. Berbanding panel-panel lain, Ust. Dr. Aizam dari JAKIM sarat berhujah dengan dalil dari Quran dan hadith menampakkan disiplin ilmu yang dipegangnya
4. Mereka penuh yakin Muhammad Qasim adalah Imam Mahdi malah lantikan Allah sebagaimana Allah melantik Rasulullah
5. Inilah bahana bila MIMPI DIJADIKAN MODAL dalam beragama. Moga Allah tetapkan pendirian kita atas jalan yang benar
Apa yang pasti, dunia akhir zaman itu pasti, kemunculan Imam Mahdi juga pasti. Moga kita tidak terpedaya dengan sumber tidak sahih kerana di akhir zaman, kita pernah diingatkan oleh Rasulullah untuk berpegang pada Al-Quran dan Sunnahnya.
Rasulullah SAW berpesan kepada kita: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang mana kalau kamu berpegang dengannya nescaya kamu tak akan sesat selamanya iaitu: Al-Quran dan sunnahku.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Dalam kesibukan kehidupan seharian yang sering menuntut tenaga fizikal dan emosi, waktu sebelum tidur menjadi detik paling sesuai untuk seorang Muslim kembali menenangkan jiwa...