Gaya Hidup

Kenali Kawan Red Flag Dalam Hidup, Jangan Sampai Kepercayaan Dikhianati

Share

Berkawan merupakan lumrah dalam kehidupan. Setiap daripada kita pasti mempunyai seseorang yang dipercayai untuk berkongsi cerita, meluahkan masalah dan bercerita tentang hal yang tidak mampu dikongsi dengan orang lain.

Namun, usia persahabatan yang lama tidak semestinya menjamin ketulusan sesebuah hubungan. 

Ada kalanya, orang yang paling kita percaya itulah yang akhirnya menjadi gunting dalam lipatan. Contohnya, kawan yang menikam belakang dengan bercerita buruk tentang kita kepada orang lain, membuka rahsia peribadi atau lebih menyakitkan merampas kebahagiaan kita.

Sebagai manusia biasa, situasi seperti ini tentu membuatkan kita tertanya-tanya. 

Perlukah hubungan persahabatan itu diputuskan? Perlukah kita bersangka baik dan menganggap dia tidak sengaja? Atau cukup sekadar memaafkan sahaja?

BACA JUGA: Boleh Ke Memaafkan Tapi Masih Jauhkan Diri Daripada Orang Yang Menyakiti Kita?

Hakikatnya, tiada manusia yang sempurna. Begitu juga dalam persahabatan. 

Dalam berkawan, pasti ada sikap atau perbuatan tertentu yang membuatkan kita rasa tidak selesa. 

Inilah yang sering disebut sebagai red flag, iaitu tanda amaran bahawa hubungan tersebut mungkin tidak sihat jika terus dibiarkan.

Jika tidak ditangani dengan baik, red flag dalam persahabatan boleh menyebabkan hubungan semakin renggang, hilang kepercayaan dan akhirnya memberi kesan kepada emosi serta ketenangan diri.

Jadi, apakah tanda-tanda seseorang kawan itu mempunyai red flag dalam persahabatan?

1. Terlalu Suka Bercerita Tentang Hal Privasi Orang Lain

Kita berkongsi cerita dengan kawan kerana percaya kepadanya. Namun, apabila dia mula membuka cerita peribadi kita kepada orang lain tanpa izin, itu tanda awal yang perlu diberi perhatian.

Rahsia yang dikongsi dalam persahabatan adalah amanah. Jika seseorang mudah bercerita tentang rahsia orang lain kepada kita, tidak mustahil dia juga boleh bercerita tentang rahsia kita kepada orang lain.

Dalam Islam sendiri, menjaga rahsia adalah satu amanah. Apabila seseorang mempercayai kita dengan ceritanya, itu bermakna dia meletakkan kepercayaan yang besar. Maka, tidak sepatutnya amanah itu dikhianati dengan menjaja cerita kepada orang lain.

2. Suka Menyindir Dan Menjatuhkan

Ada orang yang memang jenis suka bergurau atau terlepas cakap. Namun, jika sindiran itu berulang kali berlaku sehingga membuatkan kita rasa kecil hati dan malu, ia bukan lagi sekadar gurauan.

Lebih menyakitkan apabila sindiran itu dibuat secara terbuka, termasuk di media sosial. Kawan yang baik tidak akan sengaja memalukan kita di hadapan orang lain. Jika dia sering menyindir, memperlekeh atau seolah-olah tidak puas hati dengan kehidupan kita, itu tanda hubungan tersebut tidak lagi sihat.

Dalam Islam juga telah menegaskan supaya kita tidak memanggil orang lain dengan panggilan buruk. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujarat Ayat 11:

Maksudnya: “…Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil-memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk…”

Persahabatan yang baik sepatutnya membuatkan kita rasa dihargai, bukan sentiasa rasa diperhatikan, dibandingkan atau dijatuhkan.

3. Tidak Tahu Menjaga Batas

Dalam persahabatan, batas tetap perlu ada walaupun hubungan itu sangat rapat. Sahabat yang baik akan tahu perkara mana yang boleh dikongsi dan perkara mana yang perlu disimpan.

Namun, ada juga kawan yang terlalu melampaui batas. Contohnya, dia terlalu suka menunjuk-nunjuk hubungan persahabatan sehingga membuka cerita peribadi, rahsia keluarga atau masalah kita kepada orang lain. Padahal perkara itu hanya dikongsi antara anda berdua.

Apabila batas tidak dijaga, rasa selesa dalam persahabatan akan hilang. Lama-kelamaan, kita mula takut untuk berkongsi cerita kerana bimbang ia akan sampai kepada orang lain.

4. Sukar Menerima Teguran

Jika kita berani menegur kawan yang menunjukkan sikap red flag, tegurlah dengan cara yang baik dan beradab. Dalam Islam, teguran juga perlu dilakukan dengan hikmah, bukan dengan niat memalukan atau menjatuhkan. 

Situasi ini boleh dikaitkan dengan sebuah kata-kata yang disampaikan Imam Syafie iaitu:

Maksudnya: “Sesiapa yang menasihati saudaranya secara tertutup (sirran), maka dia benar-benar telah menasihatinya dan menghiasinya. Sesiapa yang menasihatinya secara terbuka (di depan orang ramai), maka dia sebenarnya telah menghina dan memburukkannya.”

Namun, lain pula situasinya apabila kawan yang ditegur tidak mahu menerima teguran. Dia mungkin menafikan kesalahan, menyalahkan kita semula atau menganggap kita terlalu sensitif. Jika ini berlaku berulang kali, kepercayaan yang dibina selama ini boleh hilang dalam sekelip mata.

Persahabatan yang sihat memerlukan kejujuran dan keterbukaan. Jika hanya satu pihak sahaja yang sentiasa mengalah, hubungan itu akhirnya akan menjadi berat sebelah.

Dalam berkawan, kita perlu bijak memilih siapa yang benar-benar layak berada dekat dengan kehidupan kita. Tetapkan batas antara satu sama lain. Nyatakan dengan jelas perkara yang boleh dan tidak boleh diceritakan kepada orang lain. Beritahu juga apa yang membuatkan kita selesa atau tidak selesa.

Jika masih sayangkan persahabatan itu, beri peluang untuk berbincang dan menegur dengan cara baik. Namun, jika selepas ditegur sikapnya tetap sama, tidak salah untuk kita mengambil jarak.

Menjauh bukan bermakna membenci. Kadang-kadang, menjauh adalah cara terbaik untuk menjaga hati, maruah dan kesihatan mental sendiri.

Sahabat yang baik ibarat cermin. Dia akan membetulkan kesilapan kita dengan cara yang baik, bukan menjaja cerita kita kepada orang luar. Persahabatan yang benar tidak dibina atas rasa takut dan sakit hati, tetapi atas kepercayaan, hormat dan amanah.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah