Keputusan IVF negatif, Achey reda. “Harap Anne kembali kuat, moga Allah gantikan yang terbaik.’
Sudah tentu apa yang sedang pelawak dan pelakon, Achey ini lalui dengan isterinya, Anne bukanlah sesuatu yang mudah ditelan. Namun dia nyatanya pasrah apabila keputusan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) yang dilakukan isterinya, Anne tidak berjaya.
Menerusi perkongsian video dalam Instagram miliknya, Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah, 36, dilihat menenangkan isterinya yang tidak dapat menahan sebak setelah mendapat tahu keputusan rawatan itu.
“Syukur alhamdulillah, reda. Anne (isterinya) mohon bangkit dengan kuat,” tulis Achey menerusi ruangan kapsyen.
Achey Reda
Dalam masa yang sama, memahami situasi yang dilalui isterinya, Achey juga meminta sedikit ruang buat isteri tercinta. Seperti wanita lain, Anne atau nama sebenarnya Nor Hasanah kini masih dalam keadaan berduka.
Ads
“Anne akan kembali lebih kuat… aku? Kerja tetap jalan cuma perasaan masih di situ…” luahnya ringkas.
Harap Anne Kembali Kuat
Ternyata perkongsian Achey itu mendapat sokongan daripada rakan selebriti dan pengikut Instagram yang tidak putus-putus memberi kata-kata semangat buat Achey, termasuklah pelakon dan penyampai radio, Elizad Sharifuddin yang pernah melalui dua kali rawatan IVF.
“Moga yang baik-baik untuk kamu, Achey dan Anne. Tahu perasaan itu, dua kali percubaan, belum berhasil.
Moga Allah Gantikan Yang Terbaik
“Cakap (pada) Anne, kita semua kuat. Moga ALLAH gantikan kesedihan kita dengan kegembiraan, kebahagiaan, rezeki daripada setiap sudut,” ujarnya.
Ads
Terdahulu, Achey dan Anne mendirikan rumah tangga pada tahun 2011 dan masih belum dikurniakan cahaya mata. Namun begitu pada tahun 2018, pasangan itu mengambil seorang anak angkat yang diberi nama Nur Tiara Zinnirah.
‘Tak gosok badan dan hanya berendam dalam tab mandi.’ Sah atau tidak mandi wajib seseorang itu? Iyalah jika ikut hukum air dalam tab mandi mencukupi dan rata ke seluruh badan.
Kadang-kadang bila berpeluang menginap di hotel, kita tak akan lepaskan peluang untuk mandi di dalam tab mandi. Maklumlah tak semua rumah ada tab mandi. Namun begitu apa hukumnya mandi wajib atau mandi junub dalam tab mandi. Sah atau tidak.
Ikuti kemusykilan yang dikongsikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini.
Soalan
Adakah boleh mandi junub dengan sekadar berendam di dalam tab mandi?
Ringkasan Jawapan
Mandi junub atau mandi wajib yang dilakukan dengan berendam di dalam tab mandi adalah sah dan memadai sekalipun tidak menggosok tubuh badan apabila tidak terdapat sebarang kotoran yang menghalang laluan air untuk sampai ke tubuh badan.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Perkara yang menyebabkan seseorang itu wajib mandi ialah keluar air mani, haid, nifas dan wiladah. Para ulama telah menjelaskan bahawa fardu bagi mandi wajib ada dua perkara sahaja iaitu niat mandi wajib dan meratakan air ke seluruh badan. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa:
Maksudnya:
Sekurang-kurang untuk (mandi wajib) ialah niat mengangkat hadas atau bagi memboleh ibadah yang memerlukan kepadanya atau bagi melaksanakan fardu mandi wajib yang dilakukan bersamaan dengan basuhan pertama anggota yang wajib dan meratakan air ke seluruh bulu dan badan.
[Rujuk Minhaj al-Tolibin: 1/14]
Ada disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha, yang merujuk kepada meratakan air ke seluruh badan, beliau berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya apabila Nabi SAW mandi junub, Baginda akan memulakannya dengan mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat.
Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu meratakannya ke kulit rambutnya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepala dengan kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, seterusnya Baginda mengalirkan air ke seluruh kulit tubuhnya.
Riwayat Bukhari
Berdasarkan penjelasan di atas mandi junub dengan cara berendam di dalam tab mandi, jika telah cukup dua rukun di atas iaitu niat dan meratai air ke seluruh badan maka ia adalah sah. Imam al-Ramli menjelaskan bahawa:
Maksudnya: Jika ada seseorang yang junub dan orang yang berhadas kecil menyelam ke dalam air yang sedikit (kurang daripada 2 kolah), kemudian berniat, maka hilang hadas dari keseluruhan anggota badan dalam permasalahan pertama (bagi orang yang junub, dan hadas hilang daripada anggota wuduk dalam permasalahan yang kedua (bagi orang berhadas).
Sementara itu, air tersebut menjadi mustakmal jika digunakan lagi oleh orang lain, bukan pada diri sendiri.
[Rujuk Nihayah al-Muhtaj: 1/73]
Seterusnya, Imam Ba ‘alawi menjelaskan bahawa jika terdapat seseorang yang junub menyelam ke dalam air yang banyak atau sedikit dan berniat, maka sah dan memadai meskipun tidak disertai dengan gosokan pada badannya.
Walau bagaimanapun, jika terdapat lilin, kotoran atau minyak pada anggota tubuh badannya sehingga menghalang air untuk sampai ke tubuhnya melainkan dengan cara menggosok, maka wajib menggosok sebagaimana dijelaskan di dalam bab wuduk.
[Rujuk Bughyah al-Mustarsyidin: 44]
Justeru, mandi junub atau mandi wajib yang dilakukan dengan berendam di dalam tab mandi adalah sah dan memadai sekalipun tidak menggosok tubuh badan apabila tidak terdapat sebarang kotoran yang menghalang laluan air untuk sampai ke tubuh badan.
Akan tetapi, jika terdapat kotoran tersebut, maka wajib menggosok dan menghilangkan kotoran tersebut seperti perbahasan di dalam bab wuduk.
Abang Viva mohon doakan majlis resepsi kecil-kecilan berjalan lancar. ‘Bab minta sponsor tu, saya hanya “bergurau’ bukannya serius. Pihaknya memohon maaf jika ramai yang salah anggap.
Abang Viva mula mendapat perhatian ketika menjalankan khidmat sukarelawannya membantu mangsa banjir di Selangor, pada Disember tahun lalu.
Kisah Abang Viva mula mendapat perhatian rakyat Malaysia berikutan sanggup bergerak dari Melaka bagi membantu mangsa banjir di Selangor menggunakan Perodua Viva dan sebuah bot yang dibawa di atas bumbung keretanya dan hanya berbekalkan RM50.
14 Oktober lalu telah berlangsungnya majlis pernikahan Abang Viva dan beberapa hari lagi akan menyusul pula majlis resepsinya bersama pasangan, Evanoza Zakaria.
Terdahulu, Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar ada membuat pengumuman tentang majlis resepsinya di akaun Facebooknya.
Niatnya hanyalah sekadar berkongsi tarikh majlis resepsi bersama pengikutnya di samping berseloroh meminta sponsor. Kongsinya,
Saya Azwan Omar (abang viva) akan membuat majlis resepsi perkahwinan pada 31 disember 2022, bertempat di Taman Pengkalan Indah (rumah mak ayah)..tetapi buat secara kecil-kecilan sahaja (budget tak ada
Saya mohon doa daripada semua untuk majlis kami nanti (kalau ada nak sponsor boleh DM, dialu alukan sangat. Sekian, terima kasih.
Rata-ratanya netizen mengucapkan tahniah dan mendoakan majlis Abang Viva berjalan lancar. Malahan menurut mereka tidak kiralah majlis kecil atau besar, yang penting tidak membazir dan membebankan.
Rinah S
Selamat pengantin baru majlis ikut kemampuan jangan paksa diri apa yang alhamdulillah bersyukur apa yang kita mahu berkekalan ke akhir hayat keadaan Utama budget untuk masa depan kita cahaya mata dan keluarga.
Sallehudin Musa
Insyallah semoga majlis akan berlangsung dengan jayanya dan dipermudahkan segala urusan. Selamat Pengantin Baru Wan Dan Nova
Aida Qhu
Sepertimana ‘abang viva’ telah banyak membantu orang lain kesusahan masa banjir dan permudahkan urusan mereka moga Allah taala permudahkan segala urusan-urusan mu ya. Amin.
Namun gurauan tersebut disalah ertikan beberapa pihak termasuklah media hingga membuatkan Abang Viva membuat permohonan maaf dan meminta semua orang tidak mengambil kesempatan di atas kenyataannya sebelum ini.
Sesungguhnya dia tidak berniat pun meminta tajaan untuk majlisnya. Sedari awal, dia dan pasangannya hanya merancang untuk membuat majlis kecil-kecilan. Luahnya,
Bab Minta Sponsor Tu
Pertamanya, saya ingin minta maaf pasal post saya yang lepas berkenaan isu sponsor. kalau tengok betul-betul, perkara tersebut saya buat bahan gurauan…
Minta semua jangan besarkan isu itu. Niat saya hanyalah untuk memberitahu kepada semua tentang majlis yang akan diadakan. Tak disangka banyak admin di page-pa ge membesarkan isu sponsor sahaja…
Itu yang dihighlightkan, kalau diikutkan tinggal berapa hari saja lagi majlis akan berlangsung. Jika betul saya hendak orang spnsor, saya sudah update seblan lepas. Maaf sekali lagi di atas salah faham yang berlaku…
Saya Hanya “Bergurau’
Warganet turut bersetuju dengan kenyataan Abang Viva dan meminta dia mengabaikan perkara-perkara negatif dan fokus saja pada majlis yang bakal diadakan kelak.
Johari Abu Bakar
Bertabah lah Azwan Omar.. bila sudah ada nama dorang akan cari kesilapan saja dari kebaikan. Itulah lumrah kehidupan.
Che Ain
Bila dah terkenal, apa-apa dibuat pun akan jadi isu besar. Kentut tak bunyi pun akan jadi isu. Pendek kata semua tak kena. Sebelum ini abang viva buat apa orang tak kisah pun…. Semoga dipermudahkan urusan dan dikuatkan semangat…
Iman Emma
Abaikan negatif manusia. Biasa lah orang kita. Suka cari silap kita untuk dikecam. Moga majlis berjalan lancar. Rezeki itu luas, insyallah dipermudahkn semuanya.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,
Hukum asal bagi mengadakan walimah adalah sunat muakkad. Ia disunatkan kepada pengantin lelaki iaitu suami untuk melakukannya.
Meskipun begitu, sekiranya pihak pengantin perempuan atau pengantin perempuan sendiri menjalankan majlis walimah, maka telah terlaksanalah hukum sunat bagi pihak pengantin lelaki.
Berkenaan budaya dalam kalangan masyarakat di negara kita untuk melakukan majlis perkahwinan sebanyak dua kali iaitu sekali di rumah pengantin perempuan dan juga majlis di rumah pengantin lelaki. Maka kami menyatakan bahawa secara asalnya hukumnya adalah harus selama tidak berlaku israf dan pembaziran. Hal ini kembali kepada apa yang disebutkan oleh sebuah kaedah yang masyhur:
العادة محكَّمة
Maksudnya: Adat itu menjadi penentu hukum.
Ini bermakna, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan-permasalahan yang berlaku. Yang mana permasalahan tersebut tidak terdapat padanya dalil-dalil yang jelas dalam menjelaskan hukumnya.
Oleh itu, hendaklah majlis perkahwinan itu dilakukan secara sederhana mengikut kemampuan dirinya sendiri (pengantin lelaki) tanpa perlu israf dan juga membazir. Inilah hikmah dari arahan Nabi S.A.W kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf di atas bahawa biarlah diadakan walimah, sekalipun dengan seekor kambing.
Begitu juga kami nasihatkan kepada ibu bapa kepada bakal-bakal pengantin supaya sentiasalah mempermudahkan urusan anak-anak dalam mengadakan majlis perkahwinan supaya mereka dapat melayari bahtera perkahwinan dengan sebaiknya.
Kashoorga : Alhamdulillah dan tahniah Abang Viva dan pasangannya. Semoga majlis berjalan lancar.
Selepas anggota bomba laung azan, mangsa ke-26 insiden tanah runtuh Batang Kali ditemui. Alhamdulillah syukur Allah permudahkan urusan pencarian.
Sudah tentu operasi pencarian yan g telah berlalu hampir seminggu bukanlan sesuatu yang mudah. Apatah lagi dengan keadaan kawasan yang dilanda bencana tanah runtuh.
Bukan mudah, namun atas dasar tugas dan tanggungjawab pihak berkaitan tidak menyerah kalah dan melakukan pelbagai usaha untuk menemukan mangsa yang masih lagi hilang termasuklah dengan melaungkan azan.
Operasi mencari mangsa insiden tanah runtuh di Father’s Organic Farm (FoF) tidak pernah berhenti malah pelbagai usaha dilakukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sejak hari pertama sehingga hari ke enam operasi.
Terbaharu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil inisiatif dengan melaungkan azan dilokasi pencarian sebagai alternatif memohon urusan pencarian dipermudahkan.
Bagi, Mohd. Iqmal Kamaruddin, 29, ini merupakan pengalaman pertamanya melaungkan azan di lokasi bencana sepanjang bergelar anggota JBPM.
Mohd. Iqmal yang bertugas di cawangan pendakwaan JBPM Selangor, tidak menyangka bahawa dia diberikan tugasan untuk melaungkan azan selepas tiga jam operasi SAR pada hari keenam diteruskan hari ini.
Katanya, alternatif melaungkan azan berkenaan merupakan hasil perbincangan dengan pegawai kanan dalam pos kawalan hadapan (PKH) di mana mereka merasakan keperluan untuk melaungkan azan di lokasi.
“Kita tidak pernah lagi azan di lapangan dan mereka merasakan mungkin ini salah satu cara kerana kita tahu azan ini bukan panggil orang solat sahaja tetapi untuk cari orang hilang kalau sesat.
“Jadi pegawai PKH kata kenapa tidak hari ini kita azan di lapangan, untuk mudahkan lagi urusan kita doa dulu kemudian azan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, di sini, petang tadi.
Tambahnya, selepas azan dilaungkan sekitar pukul 11 pagi, pasukan SAR kemudiannya menjumpai mayat mangsa ke-26 di sektor B (Farmside).
Terdahulu media melaporkan mayat mangsa ke-26 yang merupakan lelaki dewasa ditemui pasukan SAR pada pukul 11.19 pagi berpelukan dengan salah seekor anjing dipercayai miliknya.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat, bagaimanapun operasi SAR terpaksa dihentikan sekitar pukul 2.30 petang tadi ekoran hujan lebat.
Jumaat lalu, media melaporkan tragedi tanah runtuh melibatkan tapak perkemahan FOF melibatkan 94 mangsa sekitar pukul 2.42 pagi.
Sehingga kini, 61 mangsa dilaporkan selamat manakala 26 lagi disahkan terkorban dan tujuh lagi masih hilang.
Kekayaan bukan sekadar harta dunia, tetapi amanah daripada Allah yang perlu diurus dengan adil, penuh kasih sayang dan berlandaskan iman. Demikian antara perkara bakal...