
Sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini, kita (terutamanya lelaki) diwajibkan untuk bekerja untuk menampung diri dan keluarga.
Bekerja juga merupakan salah satu cara untuk mencari rezeki dan mengumpul harta demi kelangsungan kehidupan di dunia ini.
Kita haruslah sentiasa perbetulkan niat ketika bekerja agar ia seiring dengan jalan Allah.
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)
Dalam realiti hari ini, ramai umat Islam secara sedar bekerja di pasar raya atau kedai serbaneka yang menjual minuman dan makanan berasaskan alkohol.
Pernahkah anda tertanya sama ada sumber pendapatan itu dikira halal atau haram, walaupun kita tidak mengambil atau terlibat secara langsung dengan makanan dan minuman ini?
Secara umumnya, Syubhah merujuk kepada sesuatu perkara yang tidak jelas status hukumnya, sama ada halal atau haram.
BACA JUGA: Jangan Terpedaya Dengan Nikmat Dunia, Ia Mungkin Istidraj Daripada Allah
Keadaan ini boleh berlaku kerana tiada dalil khusus yang menjelaskannya atau kerana perkara tersebut jarang berlaku dalam masyarakat, sehingga menyukarkan ulama untuk menentukan hukumnya secara pasti.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Surah al-Maidah, 5:90
Melalui ayat ini, sudah jelas bahawa Allah SWT bukan sahaja melarang kita meminum arak, malah Dia juga meminta kita untuk menjauhkan diri daripada apa-apa yang berasaskannya.
Anas bin Malik RA dalam hadisnya:
Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”
Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (1295) dalam Sunan
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, jika pendapatan yang diterima datang daripada jualan barang halal dan haram, maka hukumnya makruh. Ini dikhuatiri akan jatuh ke hukum Haram.
Namun, jika seseorang pekerja terlibat secara langsung dalam penjualan arak, seperti menjaga kaunter maka perbuatan itu haram, walaupun dosanya tidak sama seperti orang yang meminumnya.
Sebab itu, pihak Mufti mencadangkan sebaiknya majikan mengasingkan kaunter barang halal dan haram, atau membezakan tugas pekerja Muslim supaya mereka tidak terlibat dengan urusan tersebut.
Kesimpulannya, kita perlulah peka akan halal dan haram ketika mencari rezeki supaya sumber pendapatan yang diperoleh akan lebih diberkati. Sememangnya bekerja itu adalah Ibadah, tetapi sebaiknya jika dapat dielakkan.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







