
Dalam hidup ini, setiap orang pasti pernah melalui saat yang berat. Ada yang diuji dengan kehilangan insan tersayang, ada yang jatuh kerana kegagalan dalam kerjaya dan ada juga yang masih membawa luka daripada kisah silam yang sukar dilupakan.
Kadangkala ujian itu membuatkan dada terasa sesak, langkah menjadi lemah dan hati mula bertanya, “mampukah aku bangkit semula?” Lebih menyedihkan apabila seseorang berada di titik terendah hidup tanpa sokongan dan dorongan daripada orang sekeliling.
Namun sebagai umat Islam, kita diajar bahawa setiap ujian bukanlah penamat. Di sebalik luka, ada hikmah. Di sebalik kesedihan, ada kekuatan yang sedang Allah SWT bentuk dalam diri kita.
BACA JUGA: Masa Lalu Bukan Penjara, Belajar Memaafkan Diri Sendiri Menurut Islam
Perasaan terhimpit dan seolah-olah tiada jalan keluar ini sebenarnya boleh dikaitkan dengan kisah Nabi Musa a.s., khususnya peristiwa yang sering diingati bersempena Hari Asyura.
Baginda pernah berada dalam keadaan yang sangat genting apabila dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya. Di hadapan terbentang Laut Merah, di belakang pula musuh yang zalim sedang mengejar.
Secara logiknya, keadaan itu kelihatan seperti jalan buntu. Namun Nabi Musa a.s. meletakkan sepenuh keyakinan dan tawakal kepada Allah SWT. Dengan kuasa-Nya, laut terbelah, Nabi Musa a.s. dan pengikutnya diselamatkan, manakala Firaun ditenggelamkan.
Peristiwa ini memberi pengajaran besar bahawa Asyura bukan sekadar hari untuk mengenang sejarah, tetapi juga simbol kebangkitan selepas trauma. Ia mengingatkan kita bahawa ketika manusia melihat tiada jalan keluar, pertolongan Allah boleh datang dengan cara yang tidak pernah disangka.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr Nora Mat Zin, ada individu yang selepas melalui trauma mampu bangkit semula dengan lebih cekal. Dalam psikologi, keadaan ini sering dikaitkan dengan istilah silver lining, iaitu kebaikan yang tersembunyi di sebalik pengalaman pahit.
“Ada orang yang selepas melalui trauma tidak terus terperangkap dalam kesedihan. Sebaliknya, mereka mampu bangkit, menjadi lebih kuat dan meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna. Pengalaman yang menyakitkan itu akhirnya menjadi titik perubahan dalam hidup mereka.”
katanya ketika di program Women Summit dan Women #QuranHour pada Rabu lalu.
Secara ringkasnya, dalam psikologi, seseorang yang melalui trauma mungkin berdepan Gangguan Stres Pasca Trauma atau PTSD. Namun dalam keadaan tertentu, seseorang juga boleh mengalami fasa yang lebih positif, iaitu Pertumbuhan Selepas Traumatik atau Post-Traumatic Growth (PTG).
PTG merujuk kepada keadaan apabila seseorang bukan sahaja sembuh daripada trauma, tetapi turut berkembang menjadi insan yang lebih matang, bijaksana dan kuat selepas melalui krisis hidup.
Luka yang pernah melemahkan mereka akhirnya menjadi sebab untuk mereka lebih menghargai kehidupan, lebih dekat dengan Allah SWT dan lebih memahami makna sabar.
Sebab itu, kita sebagai umat Islam perlu belajar melihat ujian dari sudut yang lebih luas.Allah tidak akan menurunkan ujian terhadap hamba-Nya melebihi kemampuannya seperti yang difirmankan dalam Surah al-Baqarah ayat 286:
Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.
Renungi semula kisah Nabi Musa a.s. Baginda bertawakal sepenuhnya kepada Allah SWT ketika tiada lagi jalan yang kelihatan. Kadangkala, jalan buntu dalam kehidupan bukan bermaksud semuanya sudah berakhir.
Sebaliknya, ia mungkin cara Allah memutuskan kebergantungan kita kepada manusia supaya kita kembali bergantung sepenuhnya kepada-Nya.
Begitu juga dengan kisah Nabi Nuh a.s. Baginda melalui ujian yang sangat panjang sebelum bahtera yang dibina menjadi penyelamat daripada banjir besar. Daripada kisah ini, kita belajar bahawa persiapan menghadapi ujian bukan hanya dari sudut fizikal, tetapi juga mental dan rohani.
Dalam kehidupan hari ini, kita juga perlu membina “bahtera” kita sendiri. Bahtera itu mungkin berupa sabar, doa, sokongan keluarga, bantuan profesional, ilmu dan kekuatan dalaman. Semua ini penting supaya apabila badai ujian datang, kita tidak terus hanyut dibawa kesedihan.
Apabila diuji, cuba ubah cara kita melihat ujian tersebut. Jangan hanya bertanya, “kenapa aku diuji?” tetapi tanyakan juga, “apa yang Allah mahu ajarkan kepadaku melalui ujian ini?”
Menerima takdir bukan bermaksud menyerah kalah tanpa usaha. Ia bermaksud kita reda dengan ketentuan Allah, tetapi pada masa yang sama tetap berusaha untuk bangkit, mencari bantuan, memperbaiki diri dan memahami makna di sebalik setiap kedukaan.
Kesimpulannya, Hari Asyura bukan hanya masa untuk kita mengosongkan perut dengan berpuasa sunat, tetapi juga masa untuk mengosongkan hati daripada rasa putus asa.
Ia mengajar kita bahawa selepas kesempitan pasti ada jalan keluar, selepas trauma masih ada harapan dan selepas jatuh masih ada peluang untuk bangkit semula dengan izin Allah SWT. Kerana dalam setiap ujian, Allah tidak pernah meninggalkan hamba-Nya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok