Kekeluargaan

Suami Tak Solat, Isteri Jangan Takut Menegur! Ini 4 Cara Nasihat Dengan Berhemah

Share

Seorang isteri sudah tentu menyayangi suami dan mahu rumah tangga yang dibina sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT. Namun, ada kalanya isteri berdepan dilema apabila suami sendiri mengabaikan kewajipan agama.

Antara situasi yang sering menimbulkan rasa serba salah ialah apabila suami tidak menunaikan solat lima waktu atau meninggalkan puasa Ramadan tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak. Isteri mungkin mahu menegur, tetapi pada masa sama takut dianggap kurang ajar atau tidak menghormati suami.

Namun, rasa takut itu tidak seharusnya menyebabkan isteri berdiam diri. Dalam Islam, setiap Muslim mempunyai tanggungjawab untuk saling mengingatkan kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran mengikut kemampuan serta dengan cara yang berhikmah.

Memang benar seorang isteri dituntut mentaati suaminya dalam perkara yang baik. Namun, ketaatan kepada manusia tidak boleh mengatasi ketaatan kepada Allah SWT.

BACA JUGA: Suami Tetap Wajib Beri Nafkah Walaupun Isteri Bekerja. Jangan Ambil Mudah Hal Ini

Justeru, menasihati suami supaya kembali menjaga solat dan kewajipan agama bukanlah satu bentuk penderhakaan. Sebaliknya, teguran yang dibuat dengan adab, kasih sayang dan hikmah merupakan tanda isteri mengambil berat tentang suami serta kehidupan rumah tangga mereka.

Matlamatnya bukan untuk mencari kesalahan atau menjatuhkan maruah pasangan, tetapi untuk sama-sama membina keluarga yang lebih dekat dengan Allah SWT.

Oleh itu, terdapat beberapa cara yang boleh diamalkan isteri yang menghadapai situasi begini untuk menegur para suami.

1. Pilih waktu dan suasana yang tenang

Elakkan menegur ketika suami sedang marah, penat atau di hadapan orang lain. Pilih waktu yang tenang supaya nasihat lebih mudah diterima tanpa membuatkan suami berasa dimalukan.

2. Gunakan teknik ‘ajak sekali’

Daripada terus berkata, “Abang kenapa tak solat?”, cuba gunakan pendekatan mengajak seperti, “Abang, jom kita solat sama-sama.”

Ayat yang lembut dan berbentuk ajakan kadangkala lebih berkesan berbanding teguran yang kedengaran seperti tuduhan.

3. Sentuh hati melalui doa

Tidak semua perubahan berlaku selepas sekali teguran. Ada perkara yang memerlukan masa dan kesabaran. Teruslah berdoa agar Allah SWT membuka hati suami dan memberikan hidayah kepadanya.

4. Gunakan orang ketiga jika perlu

Jika nasihat isteri sukar diterima, boleh mendapatkan bantuan individu yang dihormati suami seperti ahli keluarga, sahabat yang baik atau individu yang mempunyai pengetahuan agama. Namun, lakukan dengan berhati-hati supaya tidak membuka aib pasangan kepada orang lain tanpa keperluan.

Buat para suami, ingatlah bahawa menjadi ketua keluarga bukan sekadar menyediakan nafkah dan keperluan dunia. Suami turut memikul tanggungjawab untuk membimbing keluarga ke arah kehidupan yang diredai Allah SWT.

Kepimpinan dalam rumah tangga seharusnya bermula dengan hubungan seorang suami dengan Allah. Apabila solat dijaga, ia menjadi asas penting dalam usaha membentuk diri dan keluarga yang lebih baik.

Buat para isteri yang sedang melalui situasi sebegini, jangan berhenti mendoakan pasangan. Tegurlah dengan hikmah, pilih kata-kata yang baik dan bersabarlah dalam usaha membawa keluarga lebih dekat kepada Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan hidayah kepada pasangan dan keluarga kita, mengurniakan rumah tangga yang diberkati serta menghimpunkan kita bersama insan tersayang di dalam syurga-Nya.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah