
Masyarakat Malaysia sememangnya terkenal dengan sikap pemurah dan suka membantu. Lihat sahaja di media sosial, apabila ada individu berkongsi mengenai kesusahan yang sedang dihadapi, pasti ada netizen yang tampil menawarkan bantuan.
Tidak kurang yang meninggalkan komen seperti, “Tinggalkan QR atau nombor akaun,” supaya orang ramai dapat sama-sama menghulurkan sumbangan kepada individu tersebut.
Namun, dalam kebaikan itu kadangkala muncul pula individu lain yang mengambil kesempatan. Ada yang tiba-tiba meninggalkan nombor akaun sendiri atau meminta bantuan di ruangan komen sedangkan tawaran asal sebenarnya ditujukan kepada individu lain.
Persoalannya, di manakah batas adab dan sifat malu dalam situasi sebegini? Adakah perbuatan meminta-minta tanpa keperluan yang benar-benar mendesak selari dengan ajaran Islam?
Islam sangat menitikberatkan sifat
haya’ atau malu. Malah, malu merupakan sebahagian daripada iman. Dalam pada masa sama, umat Islam digalakkan berusaha sedaya upaya dan menjaga iffah, iaitu kehormatan serta maruah diri daripada meminta-minta tanpa keperluan.BACA JUGA: Content Creator Wajib Tahu, Ini Hukum Terima Gift Di TikTok
Ini bukan bermaksud seseorang yang benar-benar berada dalam kesusahan tidak boleh meminta pertolongan. Islam mengiktiraf keperluan golongan yang susah dan menggalakkan umatnya membantu mereka.
Namun, sikap meminta-minta tanpa keperluan atau menjadikannya kebiasaan merupakan perkara yang perlu dijauhi.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat 273.
Maksudnya: “(Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah… mereka itu disangka orang kaya oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta… mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak.”
Ayat ini memperlihatkan kemuliaan golongan yang berada dalam kesusahan tetapi tetap berusaha menjaga kehormatan diri dan tidak mendesak orang lain untuk memberikan bantuan.
Terdapat juga peringatan keras daripada Rasulullah SAW tentang perbuatan meminta-minta.
Daripada Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Seseorang yang sentiasa meminta-minta kepada orang lain, dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan mukanya tidak ada sekerat daging pun.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menjadi peringatan agar seorang Muslim tidak menjadikan meminta-minta sebagai kebiasaan, khususnya apabila masih mempunyai kemampuan untuk berusaha.
Sebagai Muslim dan pengguna media sosial, adab perlu dijaga walaupun hanya sekadar meninggalkan komen.
Sekiranya seseorang menawarkan bantuan kepada individu tertentu, elakkan daripada ‘mencelah’ dengan meninggalkan nombor akaun atau kod QR sendiri semata-mata mahu mendapatkan bantuan yang sama.
Perbuatan sedemikian bukan sahaja kurang manis, malah boleh mengalihkan perhatian daripada individu yang pada asalnya benar-benar mahu dibantu.
Elakkan juga menjadikan kesusahan sebagai bahan untuk meraih simpati secara berlebihan. Maruah dan air muka juga merupakan perkara yang perlu dipelihara.
Bagi mereka yang benar-benar berada dalam kesusahan, jangan pula berasa malu sehingga langsung tidak mahu mendapatkan bantuan. Meminta pertolongan kerana keperluan sebenar bukan sesuatu yang hina.
Sebaliknya, gunakan saluran yang lebih sesuai seperti institusi zakat, baitulmal, masjid, agensi kebajikan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan bantuan.
Sekiranya mahu mendapatkan pertolongan daripada seseorang di media sosial, pertimbangkan untuk menghubunginya secara peribadi melalui direct message (DM) berbanding meninggalkan nombor akaun secara terbuka di ruangan komen yang tidak berkaitan.
Rezeki datang daripada Allah SWT dan manusia hanyalah perantara. Sebab itu, dalam menghadapi kesempitan hidup, seorang Muslim dituntut terus berusaha, berdoa dan bertawakal tanpa mengabaikan maruah diri.
Kekayaan sebenar bukan sekadar pada banyaknya harta, tetapi juga pada hati yang memiliki sifat qana’ah iaitu berasa cukup dengan pemberian Allah SWT sambil terus berusaha memperbaiki kehidupan.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.