Setiap insan yang dilahirkan ke dunia ini ada yang sempurna dan tidak. Namun insan yang dilahirkan kurang sempurna itu tidak pernah menganggap kekurangan itu sebagai alasan untuk berdikari menguruskan diri sendiri.
Seperti perkongsian Pn. Norfarrah Syahirah Shaari yang memberitahu bagaimana dia juga mampu memandu kereta seperti insan normal lain.
Pn Norfarrah Syahirah
Menurutnya ketika diundang menjadi tetamu bagi pengisian Slot Inspirasi Program Pasca PT3 2019 anjuran Panitia ASk sekolah SMK TIWA, dia membeli kereta menggunakan duit hasil titik peluh sendiri sepanjang bekerja.
“Sebelum itu ada bertanya seorang kawan mengenainya dan satu hari saya kemudiannya dibukakan pintu hati untuk mula beli kereta.
“Saya kemudiannya ubah suai menjadi kenderaan sesuai untuk orang OKU dan belajar naik kereta. Dua minggu je saya belajar menaiki kereta menggunakan kaki.
“Perasaan takut itu memang ada maklumlah apabila berada di atas jalan raya, macam-macam risiko boleh berlaku.
Ads
“Tapi saya kuatkan semangat kalau saya tak buat memang saya tak mampu akan lakukannya seperti orang normal lakukan,” katanya yang juga turut menunjukkan caranya untuk bermekap, memakai tudung, menulis, minum melipat kain di majlis berkenaan.
Pn Norfarrah Syahirah Shaari yang merupakan Ikon Inspirasi GPMS Daerah Bagan Datoh dan video bagaimana dia menunjukkan cara-cara memakai tudung menggunakan kedua-dua belah kaki kerana tidak mempunyai tangan telah jadi viral di media sosial.
Video yang mencetuskan viral ini telah diambil daripada laman facebook Tcher Collection TC yang dimuat naik Oleh Noraznira Ismail yang berkongsi mengenai aktiviti Pengisian Slot Inspirasi Program Pasca PT3 2019 anjuran Panitia ASk sekolah SMK TIWA.
Ads
Syahirah adalah merupakan Ikon Inspirasi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang bertugas sebagai salah seorang staf di Kolej Komuniti Teluk Intan Perak.
Biarpun kekurangan fizikal, tidak mempunyai kedua-dua belah tangan, namun langsung tidak menghalang dia mempunyai kerjaya yang bagus serta turut boleh memandu kenderaan tanpa pertolongan sesiapa.
Ads
Jadi tidak hairanlan pihak sekolah SMK Toh Indera Wangsa Ahmad, Batu Gajah telah menjemputnya untuk menyampaikan perkongsian kisah hidup yang menarik buat pelajar-pelajar pasca PT3 ini.
Malah perkongsian ini dapat dijadikan motivasi kepada pelajar supaya tidak mudah putus asa dalam menjalani kehidupan sebenar di masa akan datang.
Rata-rata netizen yang turut melihat perkongsian video ini memberi komen positif. Mereka kagum dengan semangat ditunjukkan wanita ini dan merasakan diri sangat kerdil di sisi Allah.
Nurzafahalila KamisSubhanallah…..kagum sgt…..terasa kerdil sgt kita yg sempurna ni……
MasAyu MamatAllahurabbi… Hebatnya ciptaanmu ya Allah
Lina WanSubhanallah…..kagum sgt…..terasa kerdil sgt kita yg sempurna ni……jd bsyukur lh.. Tiada yg mustahil.. InshAllah..
Nor Suhana HanaSubhanallah…tiada alasan untuk kita manusia yg Allah ciptakan cukup sifat utk bermalas-malasan dan tidak berusaha…semoga dipermudahkan urusannya Ya Allah.
Siti Khairunnisa ZakariaSubhanallah.. Masha allah… menitis air mata melihat kecekalan hati beliau. Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan
Wanita sememangnya amat tertarik untuk kelihatan cantik. Bahkan ramai yang menyukai saat dipuji menawan. Ada ketika, ramai yang tahu hukum seperti mendedahkan aurat tapi menganggapnya seperti tiada apa dan akui masih muda lagi. Belum ada perasaan ingin bertaubat sedangkan nyawa tak pernah menunggu sesiapa.
Satu perkongsian dari akaun Tik Tok @Nayraafikaa atau nama sebenarnya Syafikah sangat memberi kesedaran kepada wanita yang telah, sedang atau pernah membuat pengubahsuaian (mengubah ciptaan asal Allah) di muka mereka kerana ingin dipandang cantik di dunia.
Tidak dinafikan cantik itu satu kelebihan namun mengubah ciptaan Allah itu hukumnya haram. Antaranya ialah menyambung rambut, mewarnakan uban kepada hitam, mencukur kening atau melakukan eyelash extension iaitu satu keadah digunakan bagi memanjangkan, menebalkan dan memenuhkan bulu mata asli sedia ada.
Dalam perkongsian videonya, Syafikah akui pernah berbuat kesilapan dahulu namun selepas melalui satu peristiwa di mana dirinya perlu menguruskan satu jenazah saudara yang memakai eyelash meninggal akibat serangan jantung, dia nekad berubah dan terus menutup bisnesnya walau baru menerima tidak lebih tiga pelanggan.
Katanya, dalam dunia ini, tiada manusia yang sempurna. Kita semua pernah buat silap. Aku bukan nak bukak aib sesiapa. Aku just share pengalaman aku untuk renungan kita semua bersama,” katanya dalam akaun Tik Toknya itu.
“Since ramai yang DM tanya-tanya, so better aku videokan. Aku tak mengaibkan sesiapa dalam cerita ini. Ini cerita benar dan aku harap cerita ini dapat memberi pengajaran buat kita semua.
“Ini aku yang dulu, perempuan yang sukakan kecantikan tanpa memikirkan batasan agama. Aku buat keputusan ambil kursus Eyelash Extension. Sebab aku memang suka pada bidang kecantikan dan bisnes ini sangat mudah bagi aku. Walau pun aku tahu benda tu haram untuk yang beragama Islam. Dan ia ambil masa tak lama, cuma sehari saja dah dapat sijl.
“Lepas dapat sijil, aku terus beli barang-barang untuk start bisnes. Lebih kurang RM2000 juga dibelanjakan untuk beli barang-barang termasuk katil, rak barang-barang, cat bilik dan lain-lain lagi.
“Sampailah satu hari, masa aku nak pergi kerja, suami aku dapat panggilan dari saudara dia yang makcik dia baru meninggal pagi itu akibat serangan sakit jantung. Keluarga suami aku, merayu, minta tolong aku untuk buang eyelash arwah. Aku mati-mati tak nak buat. Tapi lepas dipujuk aku pun terpaksa redha dengan permintaan keluarga dia.
Mata bertentang mata dengan arwah, Allah saja yang tahu
Masa uruskan arwah, ketika aku nak buang eyelash arwah, Allah saja yang tau perasaan aku ketika itu. Mata bertentang mata. Tapi kita menatap mata orang yang dah meninggal. Mana taknya, orang yang pakai eyelash ini air wuduk tak sampai ke matanya, jadi solat tak sah tapi masa yang sama aku juga yang tanggung dosa. Belum pun tiga pelanggan aku buatkan, Allah dah beri petunjuk pada aku. Saat itu tangan aku menggigil buka sambungan eyelash di muka arwah. Tapi syukur kerana Allah beri aku petunjuk.
“Lepas kejadian itu, aku ambil keputusan tutup bisnes. Dan jual barang-barang tu kepada orang lain,”katanya berkongsi kisah ini dan berharap untuk menjadi pengajaran kepada orang lain.
Eyelash Extension Haram kata Mufti
Eyelash extensions ialah satu kaedah yang digunakan bagi memanjangkan, menebalkan dan memenuhkan bulu mata asli sedia ada. Pemanjangan mungkin dibuat daripada beberapa bahan termasuklah bulu daripada binatang, sintetik atau bulu kuda. Kaedah ini memiliki dua jenis; bulu mata palsu sementara (false temporary eyelash) yang boleh ditanggal dan bulu mata separa kekal (semi-permanent eyelash). Kaedah utama pemanjangan adalah dengan menggunakan glu pelekat untuk melekatkan bulu tersebut satu persatu secara berasingan pada bulu mata asli. Ini bagi mengelakkan bulu-bulu mata tersebut daripada melekat antara satu sama lain.[2]
Penambahan bulu mata palsu oleh wanita biasanya bertujuan menjadikan bulu mata tampak lebih lentik, lebat atau penuh, supaya mereka tampil kelihatan lebih cantik. Fenomena ini didapati semakin berleluasa dewasa ini khususnya dengan penglibatan selebriti-selebriti tempatan. Justeru, bagi menjawab persoalan di atas terdapat beberapa asas yang perlu diambilkira.
Mengambil kira, kaeadah ini, Mufti Wilayah dalam perkongsian di Irsyad Al Fatwa siri ke 250 berkongsi hukum penggunaan Eyelash Extension ini. Baca sini untuk selengkapnya.
Kesucian
Memasang bulu mata palsu adalah haram jika menggunakan bahan bernajis seperti bulu bangkai kerana tidak sah dibawa solat dan jika di luar, haram kerana sengaja menajis badan tanpa ada keperluan (al-tadammukh bi al-najasah).
Jika menggunakan bulu mata palsu separa kekal dengan menggunakan gam yang akan menghalang air daripada sampai ke kulit dan setiap bulu mata, mata hukumnya juga adalah haram kerana menghalang sahnya wudhu’ dan mandi wajib.
Qias dengan larangan menyambung rambut
Ini kerana rambut dan bulu mata adalah bulu-bulu yang tumbuh pada badan manusia yang menjadi perhiasan tubuh badan dan tidak disunatkan untuk mencabutnya. Justeru, haram hukum menyambung bulu mata sama seperti haram menyambung rambut yang dilaknat dan tindakan mengubah ciptaan Allah SWT.
Kesihatan
Haram memakai bulu mata palsu yang menggunakan bahan-bahan yang memudaratkan nyawa dan tubuh badan manusia sedangkan tujuan Syarak adalah hifz al-nafs (menjaga nyawa manusia). Ini berdasarkan firman Allah Taala:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)
Hari ini dapat dilihat media sosial menjadi medan meluah rasa. Lebih menakutkan ia berlaku di saat kita diuji dengan virus COVID-19 yang kini melanda seluruh dunia. Ribuan manusia mati akibat wabak ini dan ia bukan satu jenaka. Jika ramai takut virus ini tersebar atau dijangkiti tetapi rasanya sebagai manusia apa yang paling kita harus takutkan bukan virus ini tapi virus fitnah, virus membaca tajuk tanpa isinya dan virus marah yang mencaci maki tanpa tahu kebenarannya. Tambahan kita di bulan Ramadhan yang penuh kemuliaan tapi takut jika hanya dapat lapar dan dahaga saja. Nauzubillah, jelaslah kita sudah di akhir zaman.
Hari ini dapat dilihat budaya fitnah ini berleluasa termasuk Ustaz Azhar Idrus yang terus membuat penjelasan menyatakan dirinya menghadiri majlis tahnik anak Datuk K dan Datuk Siti Nurhaliza adalah atas jemputan sebagai seorang kawan iaitu Datuk K. Malah dia ke Kuala Lumpur atas urusan kerja dan singgah di rumah mentuanya yang kebetulan berdekatan rumah pasangan selebriti ini.
Sabda Rasulullah SAW: Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah.
Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibhidhah. Baginda SAW ditanya: Siapakah golongan al-Ruwaibhidah? Maka baginda SAW menjawab: Orang yang bodoh lagi fasik berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar. (Riwayat Ibn Majah).
Bacalah perkongsian dari bekas Mufti Wilayah Datuk Dr Zulkifli Al Bakri yang kini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengenai bahayanya budaya fitnah. Alhamdulillah, kami rafakkan setinggi kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW. Begitu juga kepada kaum keluarganya, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari Akhirat.
Mutakhir ini, negara kita dikejutkan dengan pelbagai berita yang belum dipastikan akan kesahihannya di media sosial. Hal ini amat membimbangkan kerana ia mampu memecah belahkan perpaduan sesama manusia secara umumnya dan umat Islam itu sendiri secara khususnya. Justeru, agama kita telah menggariskan beberapa panduan kepada kita dalam berinteraksi dengan perkara sebegini. Oleh itu, kami terpanggil untuk menulis sebuah artikel di dalam ruangan Bayan Linnas yang bertajuk “Bahaya Fitnah.” Semoga Allah SWT selamatkan kita dari sebarang fitnah.
Definisi Fitnah
Fitnah berasal daripada perkataan bahasa arab yang mengandungi beberapa makna. Antaranya disebutkan oleh al-Azhari, Ibn Faris, dan Ibn Manzur bahawa fitnah yang membawa makna seperti ibtila’ atau ujian. [Lihat: Tahzib al-Lughah, 14/296] [Lihat: Maqayis al-Lughah, 4/472].
Ibn Athir pula menambah bahawa asalnya fitnah digunakan oleh kebanyakan bangsa arab sebagai ujian, kemudian penggunaanya juga masyhur bagi menunjukkan makna kufur, pembunuhan serta kebakaran. [Lihat: al-Nihayah, 3/410]
Untuk itu, fitnah dari segi istilah mempunyai pelbagai maksud sesuai dengan situasi ia digunakan. Ibn Hajar menyebut bahawa:
Maksudnya: “Sesungguhnya fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah (sesuatu) dan mereka-reka.” [Lihat: Fath al-Bari 27/3]
Dalam masyarakat Melayu perkataan fitnah memberi makna yang lebih spesifik. Ia hanya merujuk kepada sebarang tuduhan yang diada-adakan untuk memburukkan atau membencanakan seseorang atau sesuatu pihak yang membawa kepada porak-peranda. [Lihat: Kamus Dewan Edisi Keempat] Berdasarkan takrifan ini, hukum fitnah jelas haram dan ditegah. Ini kerana perbuatan fitnah dikecam dengan keras oleh Nabi SAW dalam hadith yang diriwayatkan Huzaifah R.A:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ
Maksudnya:“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” [Riwayat al-Bukhari (6056) dan Muslim (105)]
Imam Nawawi berkata: Dalam riwayat yang lain disebut dengan kalimah 'قتات'. Ia juga memberi makna pemfitnah. Maksud nammam seperti kata ulama' ialah memindahkan cakap manusia atau orang ramai dari seseorang kepada seseorang untuk merosakkan hubungan mereka. al-Imam Abu Hamid al-Ghazali Rahimahullah berkata dalam Ihya'nya: Ketahuilah bahawa sifat fitnah diitlaqkan pada kebanyakannya terhadap orang yang memindahkan kenyataan orang lain kepada orang lain sepertimana dia berkata, 'si fulan berkata dan mengata kepada kamu begian begian'. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/112)
Kami katakan, termasuklah juga dengan cara tulisan yang disebarkan seperti dalam media massa dan lain-lain.
Ciri-Ciri Fitnah Dalam Konteks Semasa
Pada hari ini, fitnah berleluasa dengan cara yang lebih mudah berbanding pada masa lampau. Hal ini kerana, perkembangan teknologi yang semakin rancak menjadikan amalan fitnah ini semakin mudah tersebar. Fitnah berlaku dalam dua keadaan:
Pertama, apabila seseorang mengada-adakan suatu berita mengenai seseorang lalu menyebarkannya kepada orang lain dengan tujuan untuk memburuk-burukkan atau menjatuhkan maruah orang tersebut.
Kedua, apabila seseorang menerima berita mengenai seseorang tanpa menyelidiki kesahihannya lalu menyebarkannya kepada orang lain sama ada dengan niat untuk memburuk-burukkan atau tidak.
Dalam kedua-dua situasi inilah fitnah berlaku dan ia dilihat berleluasa sekali dalam masyarakat kita pada hari ini. Sebagai contoh, Kasim mereka cerita kononnya Harun telah berzina dengan teman wanitanya, lalu cerita itu disebarkan ke dalam laman blognya dengan tujuan untuk menjatuhkan maruah Harun. Lalu apabila berita itu dibaca oleh Abu, tanpa sebarang usul periksa tentang kesahihannya, Abu menyebarkannya di dalam facebook tanpa apa-apa niat tetapi sekadar menukil dan menyampaikan berita. Dalam situasi ini, kedua-duanya iaitu Kasim dan Abu telah menjadi pelaku dan penyebar fitnah terhadap Harun.
Tidak dapat dinafikan bahawa dalam era masa kini, dengan kemudahan serba canggih, sebarang bentuk maklumat amat mudah sekali disebarluaskan terutamanya menerusi whatsapp dan internet. Walau bagaimanapun, kaedah-kaedah konvensional dilihat masih lagi menjadi penyumbang tersebarnya berita fitnah seperti menerusi laporan akhbar dan televisyen yang tidak tepat, ceramah-ceramah yang semberono, sembang-sembang santai di warung atau kedai kopi, perbualan sesama rakan sepejabat dan sebagainya. Kesemua medium ini dilihat masih lagi menjadi pilihan bagi mereka yang berkenaan melakukan fitnah disebabkan ianya mudah membentuk persepsi tanpa akan dinilai atau dipersoal kesahihannya oleh sesiapa.
Faktor-Faktor Yang Menyumbang Kepada Gejala Fitnah
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada fitnah sesuai dengan kategori orang itu, sama ada dia adalah pereka fitnah atau semata-semata sebagai penyebar. Bagi pereka fitnah, banyak faktor yang boleh diandaikan seperti persaingan dalam merebut sesuatu sama ada meraih jawatan, mendominasi perniagaan, kepentingan politik, kedengkian terhadap kelebihan orang lain dan pelbagai lagi. Pokok pangkalnya fitnah terbit daripada hati seseorang yang kotor, bermasalah dan tidak dibenteng dengan iman yang teguh. Sesungguhnya syaitan sememangnya tidak pernah berdiam agar manusia sentiasa berbalah dan berkonflik antara satu sama lain. Ia sebagaimana firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu.” [Surah al-Maidah: 91]
Walaupun ayat ini ditujukan kepada penjudi, peminum arak atau pemabuk tetapi syaitan bercita-cita agar kita sentiasa bermusuh antara satu sama lain kerana ibrah itu diambil dari lafaz yang umum, bukan sebab nuzulnya semata-mata.
Oleh itu, fitnah adalah salah satu perbuatan yang amat disukai syaitan lantaran ia boleh memecahbelahkan umat Islam sehingga tiada lagi kesatuan sesama mereka. Bagi kategori penyebar fitnah pula, faktor utama daripada perbuatan mereka ini adalah cuai dalam menukilkan berita atau cerita yang didengar tanpa meneliti kesahihannya terlebih dahulu. Orang yang melakukan perbuatan seperti ini dianggap oleh Rasulullah SAW sebagai pembohong. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya:“Cukuplah seseorang dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan apa sahaja yang didengarinya”.[Riwayat Muslim (4482)]
Al-Qadhi Iyadh berkata: Bahawa maksudnya siapa yang menceritakan dengan setiap apa yang didengar, yang padanya terdapat kebenaran dan kebatilan, dan kebenaran serta pendustaan. (Lihat Ikmal al-Mu'lim bi Fawa'id Muslim, 1/100)
Malah perbuatan menyebarkan berita tanpa usul periksa ini pernah ditempelak oleh Allah SWT di dalam kisah fitnah terhadap Sayyidah Aishah R.Anha, firman Allah SWT dalam surah al-Nur:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya, dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata.”[Surah al-Nur : 11-12]
Syeikh al-Maraghi berkata: Janganlah kamu sangka berita dusta itu mengandungi fitnah dan kejahatan serta-merta, sebaliknya ia turut mengandungi kebaikan terhadap kamu, kerana dengan itu kamu mendapat pahala yang besar. Ini disebabkan berita dusta itu merupakan suatu ujian yang nyata, bagi memperlihatkan kemuliaan di sisi Allah SWT dengan penurunan ayat yang dibaca sepanjang masa tentang membebaskan diri kamu dan berita dusta itu; mengagungkan kemuliaan kamu, memberi ancaman terhadap orang yang mengatakan buruk tentang kamu, memuji orang yang berbaik sangka terhadap kamu, serta kebaikan-kebaikan lain seperti mengambil pelbagai manfaat agama dan adab tatasusila yang jelas terhadap orang yang mahu mengambil iktibar.
Kemudian, Allah SWT menerangkan hukuman yang menimpa ke atas orang yang turut serta menyebarkan berita dusta itu; mereka semua akan mendapat hukuman yang setimpal dengan peranan yang dimainkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4730)
Balasan Bagi Orang Yang Membuat Fitnah
Di dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman di dalam Surah al-Nur berkaitan balasan bagi orang yang suka membuat fitnah:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” [Surah al-Nur:19] Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini, mengatakan ayat ini membawa makna orang-orang yang mendengar berita buruk, kemudian menyampaikan dan menyebarkan berita tersebut.[Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim (10/195)]
Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Samurah Bin Jundub R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda:
Maksudnya:“Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah S.A.W.); “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia” [Riwayat Ibn Hibban di dalam Sahihnya (655)]
Selain itu, Nabi SAW juga bersabda seperti mana yang diriwayatkan oleh Abdullah R.A:”
هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ“. قَالَهَا ثَلاَثًا ”
Maksudnya:“Celakalah golongan-golongan pelampau. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali”[Riwayat Muslim (2670)]
Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menyebut golongan-golongan pelampau yang disebutkan di dalam hadith ialah golongan melampaui batas dalam pengucapan mereka. [Lihat: Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim (16/461)]
Pandangan Ulama Berkaitan Fitnah
Berikut adalah beberapa pandangan berkaitan dengan fitnah:
Kesan Daripada Fitnah
Perbuatan fitnah ini akan menatijahkan pelbagai kesan buruk dan membawa kerosakan yang amat dahsyat ke atas masyarakat dan negara. Antaranya ialah:
Langkah-Langkah Dalam Menangani Fitnah
Antara langkah-langkah yang perlu diambil bagi memastikan diri, keluarga dan masyarakat terhindar daripada fitnah, adalah seperti berikut:
Maksudnya: Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun. Surah al-Kahfi (49)
Al-Sobuni berkata: Diletakkan catatan amalan manusia dan dibentangkan ke atas mereka. Ketika itu, kamu lihat mereka yang melakukan kejahatan merasa amat takut dengan kejahatan dan dosa mereka. (Lihat Sofwah al-Tafsir, 2/1748)
Maksudnya: Hendaklah kamu bersegera melakukan amalan-amalan sebelum datangnya fitnah-fitnah ibarat kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Hal ini menjadikan seseorang lelaki beriman pada waktu pagi dan kufur pada waktu petang, atau beriman pada waktu petang dan kufur pada waktu pagi. Ini kerana dia menjual agamanya dengan sedikit mata benda dunia. Riwayat Muslim (169), al-Tirmizi (2121), Ahmad (11056)
dan al-Tabarani dalam al-Ausat (2881)
Al-Imam al-Suyuti berkata: Hadis ini menggesa supaya melakukan amalan yang soleh dengan bersegera sebelum berlaku keuzuran kepada kita dan kesibukan disebabkan berlakunya banyak fitnah yang melalaikan dan betimpa-timpa sebagaimana bertimpanya kegelapan malam tanpa sebarang cahaya bulan. Dan Rasulullah SAW mensifatkannya sejenis daripada ujian, bala daripada fitnah tersebut sehingga membawa seseorang itu di waktu petang beriman, kemudian pada waktu pagi boleh menjadi kufur atau sebaliknya. (Lihat al-Dibaj 'ala Muslim, 1/134)
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Alhamdulillah, berdasarkan kepada kenyataan kami di atas, kami ulangi agar kita sentiasa menghindari sebarang bentuk fitnah serta sentiasa menginsafi bahawa saudara-saudara kita adalah sejuzuk daripada diri kita semua. Kami tegaskan di sini yang sifat fitnah itu tidur seperti sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Fitnah itu tidur. Allah melaknat sesiapa yang mengejutkannya.
Riwayat al-Rafi'e dalam al-Amali
Al-Imam al-Munawi berkata: Fitnah dan tribulasi dan setiap yang menjadi masyaqqah dan kesukaran kepada seseorang, begitu juga ujian Allah kepada hamba-hamba-Nya dinamakan fitnah. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/461)
Begitu juga, dalam mengelakkan daripada fitnah, sewajarnya kita mendekatkan diri kepada Allah dan sentiasa munajat kepada-Nya. Kami nyatakan di sini doa yang ma’thur daripada Nabi SAW tatkala menghadapi ujian fitnah, antaranya:
Maksudnya: Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu. Riwayat Imam Ahmad (12107), al-Tirmizi (2140), al-Baihaqi dalam
Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261)
Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perbuatan kebaikan, meninggalkan kemungkaran, kasihkan orang miskin dan Engkau ampunkan dosaku, Engkau rahmatiku dan Engkau terima taubatku. Jika Engkau menghendaki dengan hamba-hamba-Mu fitnah, maka matikanlah aku tanpa sebarang fitnah. Riwayat al-Tirmizi (3233)
Maksudnya: Ya Allah! Sesungguhnya kami jadikan Kamu sebagai benteng pada leher-leher mereka dan kami berlindung dengan-Mu dari kejahatan mereka. Riwayat Abu Daud (1537)
Maksudnya: Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah yang Maha Agung lagi Maha Lemah Lembut. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik Arasy yang Agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik langit dan pemilik bumi dan Tuhan pemilik Arasy yang mulia.
Riwayat al-Bukhari (6345) dan Muslim (2730)
اللَّهُمَّ أَنْتَ عَضُدِي وَأَنْتَ نَصِيرِي وَبِكَ أُقَاتِلُ Maksudnya: Ya Allah! Engkaulah kekuatanku dan Engkaulah penolongku dan dengan-Mu aku berperang. Riwayat al-Tirmizi (3584)
لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ Maksudnya: Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku dari kalangan orang-orang yang zalim. Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1864)
اللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ وَأَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ لا إِلَهَ إِلا أَنْتَ Maksudnya: Ya Allah, dengan rahmat-Mu aku berharap. Janganlah Engkau biarkan urusanku pada diriku sendiri walau sekelip mata dan perbaikilah seluruh urusanku. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya selain Engkau. Riwayat Abu Daud (5090)
Justeru, selagimana kita menyayangi saudara kita yang merupakan sebahagian daripada kita yang wajib kita jaga hubungannya, maka Allah SWT akan menyayangi kita dan merahmati kita, serta meredhainya.
Semoga Allah menyayangi diri kita semua dan menempatkan diri kita semua di syurga-Nya. Kami akhiri artikel kali ini dengan doa: رَبَّنَا لَا تَجْعَلْنَا فِتْنَةً لِّلْقَوْمِ الظَّالِمِينَ وَنَجِّنَا بِرَحْمَتِكَ مِنَ الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas. Dan selamatkanlah kami dengan rahmat-Mu dari angkara kaum yang kafir.”[Surah Yunus: 85-86]
Akhukum fillah,
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Innalillahiwainailaihirojiun (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”).
Al-Fatihah untuk Syekh Ali Jaber yang diberitakan meninggal dunia pagi tadi (14 Januari 2021) di Hospital Yarsi pada jam 8.30 pagi akibat COVID-19. Syekh Ali Jaber atau nama sebenarnya Ali Saleh Mohammed Ali Jaber merupakan pendakwah terkenal Indonesia dan sering berkongsi doa dan kata-kata nasihat dari orang ramai yang meminta nasihatnya.
Syekh Ali Jaber sebelum ini sedang dirawat di hospital akibat COVID-19 dan keadaannya diberitakan semakin pulih termasuk sudah menangggakan tiub saluran pernafasan tetapi Allah lebih menyayanginya.
Selama hayatnya, pendakwah terkenal ini sangat aktif di media sosial. Bahkan sebelum kesihatannya terus merosot, di instagramnya, pendakwah terkenal ini sempat meninggalkan pesanan terakhir yang mana ia akhirnya menjadi video terakhirnya sebelum meninggal dunia.
Dalam videonya, Syekh Ali Jabar sempat menyampaikan pesanan.
“Ini saatnya kita setop penyebaran Covid-19. Sudah cukup banyak yang jatuh sakit gara-gara corona ini. Mari kita bersama-sama bersatu merapatkan saf kita untuk mencegah negeri kita dari bahaya penyakit ini, yang sudah cukup menyebar di mana-mana,” ujarnya. (setop bermaksud menghentikan)
“Mari kita sama-sama menjauhi dari keramaian, kerumunan, dan kita menjaga iman, imun, dan insya Allah kita bersama aman, sejahtera, damai, aamiin ya rabbal alamin. Semoga selalu kita sehat dan selalu dalam lindungan Allah SWT. Saya Ali Jaber, wassalamualaikum warhamatullahi wabarakatuh.”
Bahkan di captionnya beliau menulis: “Mari kita jaga diri dan jaga kesehatanmu melalui gerakan 3M. Mudah-mudahan semua jamaah baik-baik saja dan selalu dalam lindungan Allah lahir batin aamiin alfatihah #3m #protokolkesehatan #bnpb #polri #damaiindonesiaku.”
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?