Ramai yang menyangka, saat kita berada di tanah suci, dalam suasana ibadah atau di tempat-tempat mulia, kita akan terlindung daripada bisikan nafsu atau godaan maksiat. Hakikatnya, ujian itu boleh datang dalam apa jua keadaan — hatta ketika sedang beribadah.
Dalam satu perkongsian Dr. Ahmad Sanusi Azmi beliau menceritakan pengalaman ketika menyampaikan Kursus Haji bila mana seorang jemaah bertanya, “Takkanlah di Mekah nanti ada orang buat maksiat, Dr? Semua orang sibuk beribadat, siapa yang nak buat perkara tak elok?”
Persoalan ini membuka ruang untuk kita merenung semula kisah-kisah dalam sirah dan hadis yang membuktikan, manusia tetap diuji dengan kecenderungan melakukan maksiat walaupun dalam suasana ibadah. Moga ia jadi pengajaran buat kita.
Kisah sahabat mengintai wanita ketika solat
“Saya kongsikan kepada jemaah beberapa riwayat yang menunjukkan berlakunya perkara yang bercanggah dengan syarak sehingga menyebabkan sahabat ditegur oleh Allah dan RasulNya,” tulis Dr. Ahmad Sanusi yang juga Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam satu perkongsian di media sosial beliau.
Antara hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ibn Majah ini. Ibn Abbas menceritakan:
Dulu, terdapat seorang wanita yang solat di belakang Rasulullah ﷺ — beliau merupakan seorang wanita yang cantik, antara yang paling elok rupa parasnya di kalangan manusia. Lalu ada sebahagian lelaki yang berusaha berada di saf hadapan agar tidak melihatnya, dan ada pula sebahagian lain yang sengaja berada di saf paling belakang. Maka apabila mereka rukuk, mereka pun memandang ke arahnya dari celah bawah ketiak mereka (ketika menunduk rukuk). Lalu Allah Taala menurunkan ayat ini:”
(“Dan sesungguhnya Kami benar-benar mengetahui orang-orang yang datang lebih dahulu di antara kamu dan Kami benar-benar mengetahui orang-orang yang datang kemudian.”) — Surah al-Ḥijr, 15:24
Sebahagian dari kita diuji ketika melaksanakan ibadah
Riwayat tersebut membayangkan sikap mereka yang cuba untuk mengintai wanita ketika sedang solat sehingga mendapat teguran dari Allah. Begitulah sebahagian dari kita yang terkadang diuji ketika melaksanakan ibadah sehingga terbit kecenderungan untuk melakukan maksiat sekalipun dalam suasana kebaikan.
Terdapat juga hadis Ibn Abbas yang menceritakan bagaimana Saidina al-Fadl ditegur oleh Rasulullah ketika di Arafah kerana melihat-lihat kaum wanita (al-Bayhaqi, Su’ab al-Iman).
Ads
Demikian juga kisah al-Jadd bin Qays dari Bani Salimah yang dikatakan tidak mampu untuk menahan dirinya dari melihat kaum wanita. Atas sifat itu beliau menjadikannya alasan untuk tidak menyertai Perang Tabuk sehingga turun ayat al-Quran mengenai perkara ini. (Ibn Abd al-Barr, al-Isti’ab)
Bayangkan ketika berada di tempat yang mulia (dalam masjid) dan berada dalam keadaan yang mulia (iaitu ketika sedang beribadah) pun manusia boleh mempunyai kecenderungan untuk melakukan maksiat. Apatah lagi ketika bersendirian atau berduaan di pejabat.
Tindakan meletakkan kalimah Allah pada stoking sememang dilihat satu penghinaan. Mereka yang melakukan perkara yang mempersendakan agama Islam sebegini seharusnya tidak harus dibiarkan.
Tapi apa yang seharusnya umat Islam lakukan dengan golongan sebegini berpandukan al-Quran.
Menurut Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, Allah memerintahkan umat Islam menjauhkan diri dari golongan sebegini.
Hari ini muncul golongan yang dilihat seakan bermain-main dengan sentimen agama. Allah memerintahkan kita agar menjauhkan diri dari golongan sebegini. Mereka tidak layak untuk diberikan perhatian sebaliknya mereka hanya menjemput azab Allah.
Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). (Surah al-An’am: 70)
Pada hakikatnya, sifat mempersenda Allah dan Rasul ini lahir dari benak kumpulan munafik yang memusuhi Islam pada zaman Rasulullah. Dalam Perang Tabuk, Allah mendedahkan sikap mereka yang mempersenda perjuangan Rasulullah.
Perkara ini dipaterikan di dalam al-Quran di mana Allah berfirman:
وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ
Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” (Surah al-Taubah: 65)
Menurut al-Imam al-Baghawi, sekumpulan orang munafik mengejek-ejek perjuangan Rasulullah yang berusaha menyebarkan dakwah hingga ke sempadan wilayah Rom. Mereka mempersenda usaha dakwah Baginda dan menakut-nakut para mujahidin bahawa mereka akan kalah bertempur dengan kerajaan Rom nanti. Allah mendedahkan sikap buruk mereka ini sehingga dinukilkan di dalam al-Quran.
Saidina Abdullah bin Abbas pernah menceritakan tentang seorang lelaki yang memiliki Umm Walad (seorang hamba perempuan yang melahirkan anak kepada tuannya). Perempuan ini (Umm Walad tersebut) sering mengutuk (mencaci: tashtumu) Nabi.
Setelah dinasihati oleh lelaki ini berkali-kali, perempuan tersebut masih kekal dengan sifatnya yang menghina Rasulullah. Hilang sabar dengan sikap perempuan itu, lelaki tersebut mengenakan hukuman. Apabila perkara ini disampaikan kepada Nabi, Rasulullah berkata perjanjian keamanan yang diberikan kepada perempuan tersebut telah terbatal kerana menyakiti Nabi.
Adakalanya tindakan yang tegas perlu dilaksanakan bagi mendidik masyarakat tentang batasan-batasan yang perlu mereka fahami dalam memuliakan kalimah Allah. Kesatuan umat Islam dalam menjaga agama merupakan langkah yang dipuji Allah.
Masjid sepatutnya menjadi tempat menyuburkan iman, bukan sekadar tempat menunaikan solat secara rutin. Namun ada dari peringatan Rasulullah SAW bahawa akan datang satu masa, manusia kelihatan mengimarahkan masjid, tetapi hati mereka jauh daripada iman.
Perkara ini dikongsi oleh Dr Ahmad Sanusi Azmi dalam satu perkongsian di akaun media sosial beliau. Katanya dalam sebuah hadith, Rasulullah pernah berpesan bahawa akan datang satu masa nanti, manusia kelihatan solat di masjid tetapi mereka sebenarnya tidak beriman.
“Akan datang pada manusia satu zaman (dimana) mereka berkumpul dan menunaikan solat di masjid, tetapi tidak ada dikalangan mereka pun yang beriman.” (HR al-Hakim)
Ini adalah peringatan Rasulullah kepada umat Islam bahawa kehadiran fizikal ke masjid belum tentu mencerminkan kekuatan iman. Datang ke masjid dengan hati yang masih terpaut pada dosa dan dunia adalah tanda kemerosotan spiritual yang semakin ketara di akhir zaman.
“Tidak akan datangnya hari kiamat sehinggalah manusia duduk di dalam masjid dan tiada dikalangan mereka pun yang beriman bahkan bicara mereka hanyalah berkenaan dengan dunia sahaja.” (HR al-Hakim, Ibn Abi Syaibah)
Hadith ini memberi peringatan Rasulullah bahawa masjid bukan tempat berbicara tentang urusan dunia, tetapi tempat memperbaiki hubungan dengan Allah. Hati yang terpaut dengan dosa akan mengikis keimanan di dalam jiwa.
Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa mereka yang melakukan dosa seolah-olah tidak beriman ketika melakukannya:
“Tidaklah seorang yang berzina itu dia berzina dalam keadaan dia beriman. Dan tidaklah seorang yang minum arak itu, ketika dia minum arak dia berada dalam keadaan beriman.” (HR al-Bukhari)
Menurut al-Imam Ibn Hajar, hadith ini menafikan keimanan seseorang ketika mereka sedang melakukan dosa. Iaitu ketika seseorang melakukan dosa atau hati berpaut pada dosa, keimanan mereka berada dalam tahap yang sangat rendah, atau mungkin tiada sama sekali.
Atas sebab itu, peringatan Rasulullah amat jelas bersihkanlah jiwa sebelum datang ke masjid. Fokuskan hati kepada ibadah dan keikhlasan. Masjid bukan sekadar tempat fizikal untuk solat, tetapi ruang untuk memperbaharui iman dan memperbaiki diri.
Semoga kita menjadi antara golongan yang bukan sahaja memakmurkan masjid dengan jasad, tetapi juga dengan hati yang dipenuhi iman dan keikhlasan.
Tanpa kita sedar banyak sebenarnya lafaz harian mudah dan ringan terkeluar dari mulut kita, contohnya Bismillah, Astaghfirullah Al Azim, MasyaAllah dan lain-lain.
Lafaz harian yang terpacul dari lisan ini ada yang terkeluar secara automatik. Ada antaranya kita sebut secara ikut-ikutan. Tak pasti penggunaan lafaz mudah itu tepat atau sebaliknya.
Sebenarnya lafaz-lafaz mudah ini semuanya memberikan kita pahala dan menambah keimanan kita! Lafaz-lafaz harian ini adalah amalan Rasulullah SAW dan sudah tentu semuanya mendatangkan manfaat.
Cuba kita baca apa lafaz-lafaz harian yang ringan lagi mudah tetapi ada ganjaran pahala disebaliknya.
Bismillah
Ini adalah lafaz yang paling teratas kedudukan penggunaannya. Dari kecil lagi kita diajar untuk kenal, faham dan amalkan penggunaan lafaz agung ini.
Kita disarankan melafazkan Bismillah saat hendak memulakan sesuatu perkara; kerja, perjalanan, makan, angkat barang dan banyak lagi.
Dari Jabir radhiallahu ‘anhu, dia berkata, “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Apabila seseorang masuk rumahnya dia menyebut Allah Ta’ala pada waktu masuknya dan pada waktu makannya, maka syaitan berkata kepada teman-temannya, ‘Kalian tidak punya tempat bermalam dan tidak punya makan malam.’
‘Apabila ia masuk tidak menyebut nama Allah pada waktu masuknya itu, maka syaitan berkata, ‘Kalian mendapatkan tempat menginap’, dan apabila ia tidak menyebut nama Allah pada waktu makan, maka syaitan berkata, ‘Kalian mendapatkan tempat bermalam dan makan malam.’” (HR. Muslim)
Adapun jika kita terlupa membaca ‘bismillah’ di awal waktu kita makan, maka kita cukup membaca ‘bismillah awwalahu wa aakhirohu’ di saat kita ingat.
Subhanallah
Lafaz zikir ini biasa kita amalkan setelah solat sebanyak 33 kali (HR. Bukhari dan Muslim) atau kita zikirkan pula sebelum tidur sebanyak 33 kali (HR. Bukhari dan Muslim).
Lafaz ini juga disunnahkan untuk diucapkan ketika kita dalam perjalanan dengan keadaa jalan yang curam atau menurun (HR. Bukhari dalam al-Fath VI/135).
Kita juga digalakkan melafazkan Subhanallah apabila takjub dengan kebesaran ciptaan Allah Subhanahu wa Ta’ala (HR. Bukhari)
Rasulullah SAW bersabda, “Dua kalimat yang ringan di lidah, berat dalam timbangan, dicintai Allah Yang Maha Pengasih, (iaitu),
سُبْحَانَاللَّهِوَبِحَمْدِهِ،سُبْحَانَاللَّهِالْعَظِيمِ ّ “Maha suci Allah dan segala puji bagi-Nya, maha suci Allah Yang Maha Agung.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Pada hadis lainnya, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya ucapan yang paling dicintai Allah adalah
سُبْحَانَاللهِوَبِحَمْدِهِ (HR. Muslim)
Alhamdulillah
Lafaz ini adalah ungkapan rasa bersyukur seseorang kepada Rabbnya dengan memberikan pujian kepada-Nya. Lafaz ini juga disunahkan dibaca setelah solat sebanyak 33 kali dan juga sebelum tidur 33 kali.
Setelah bersin, kita juga disunnahkan mengucapkan Alhamdulillah atau alhamdulillah ‘ala kulli haal (HR. Bukhari). Dan, apabila kita mendengar lafaz Alhamdulillah dari orang yang bersin, maka berikanlah do’a kepadanya, iaitu
يَرحَمُكَاللّه Yarhamukallah
“Semoga Allah merahmatimu.” Kalau sudah mendapat do’a ini, maka orang yang bersin tadi membaca
يَهْدِيكُمُاللّهُويُصلحبَالَكُمْ Yahdikumullah wa yuslih baalakum’
“Semoga Allah memberi petunjuk dan memperbaiki keadaanmu.”
Allahu Akbar
Lafaz Allahu Akbar disunnahkan dibaca setelah solat dan sebelum tidur. Setelah solat sebanyak 33 kali dan sebelum tidur sebanyak 33 kali (dalam riwayat lain 34 kali)
Lafaz Allahu Akbar juga sunah diucapkan ketika melihat sesuatu yang menakjubkan daripada ciptaan Allah (HR. Bukhari dalam al-Fath)
Dan tahukah anda, lafaz ini juga disunahkan dibaca ketika sedang menaiki jalan yang mendaki (HR. Bukhari dalam al-Fath VI/135)
Laa ilaha illallah
Semua umat Islam memang tahu,telah dan kerap melafazkan kalimah ini saban hari. Lafaz ini merupakan lafaz yang membezakan kita dengan kafir.
Rasululllah SAW juga menjelaskan tentang lafadz ini dalam hadisnya,
“Sebaik-baik dzikir adalah ada Laa Illaha Illallah (tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah).” (HR. Tirmidzi dan dia berkata, “Hadis hasan.”) Dan sungguh manis ganjaran orang yang yang melafazkan zikir ini, sebagaimana dijelaskan oleh Rasululllah SAW.
“Barangsiapa mengucapkan laa ilaah illallah, maka ditanamkan baginya sebatang pohon kurma di syurga.” (HR. Tirmidzi dan dia berkata, “Hadis hasan.”)
Malah, andai lafaz ini terkeluar dalam latah seseorang pun , ia akan diberikan pahala kerana latah ini lebih baik daripada mengeluarkan kata-kata yang mengarut lain.
Urusan yang sekecil ini pun telah pula diajarkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam.
Seorang yang terkejut disunahkan untuk mengucapkan lafadz ‘laa ilaha illallah’. (HR. Bukhari dalam Fathul Baari VI/181 dan Muslim IV/22208)
Masya Allah
Lafaz ini banyak disalahgunakan oleh masyarakat kita dan digunakan tidak kena tempat. Masya Allah memiliki makna “Atas kehendak Allah”.
Lafaz ini diucapkan ketika kita takjub melihat kelebihan yang dimiliki oleh orang lain, baik berupa harta, keadaan fizikal atau yang lainnya.
Dalam surat Al Kahfi, terdapat tambahan:
“Masya Allah laa quwwata illa billah” “Sungguh atas kehendak Allah semua ini terwujud, tidak ada kekuatan kecuali dengan bantuan Allah.”
Lafaz ini juga bersangkutan dengan penyakit ‘ain. Dengan melafazkan “Masya Allah” ketika kita mengaggumi kelebihan yang dimiliki orang lain, diharapkan orang tersebut tidak terkena penyakit ‘ain disebabkan pandangan kita kerana penyakit ‘ain ini dapat terjadi baik kita sengaja ataupun tidak.
Sebagai contoh, kita sering tertarik dengan keletah dan kecomelan anak kecil yang lucu. Pipinya yang gebu, matanya yang nakal dan lain sebagainya.
Lalu datanglah pujian dari sanak, saudara atau teman sekitar kita. Tahukah kita, anak juga merupakan anugerah yang dapat terkena ‘ain.
Maka, ingatkanlah orang-orang sekitar untuk mengucapkan Masya Allah ketika memberikan pujian kepada anak kita. Begitu pula dengan kita sendiri ketika memuji anak atau benda milik seseorang, maka ucapkanlah ‘Masya Allah’ ini.
Astaghfirullah
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata, “Pujian yang paling tinggi adalah la ilaha illallah, sedangkan doa yang paling tinggi adalah perkataan astaghfirullah.
Allah memerintahkan Rasulullah SAW untuk mengesakan Allah dan memohon ampunan bagi diri sendiri dan bagi orang-orang mukmin”
Memohon ampunan dengan lafadz ini sunnah diucapkan sebanyak 3 kali setelah selesai salam dari sholat wajib. Kita juga dapat memohon ampunan sebanyak-banyaknya, sebagaimana banyak ayat Al-Qur’an menunjukkan hal ini.
Begitupula dari contoh perbuatan Rasululllah SAW (padahal beliau sudah diampuni dosanya yang lalu dan akan datang). Rasulullah SAW bersabda,
“Demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepadaNya lebih dari tujuh puluh kali dalam sehari.” (HR. Bukhari)
Kita sebagai wanita juga diperintah untuk memperbanyak istighfar, sebagaimana dalam hadis berikut,
“Wahai sekalian kaum wanita, bersedekahlah dan perbanyaklah istighfar, kerana sesungguhnya aku melihat kalian adalah kebanyakan penghuni neraka!”
Seorang wanita dari mereka bertanya, “Wahai Rasululllah, mengapa kami menjadi kebanyakan penghuni neraka?”
Beliau menjawab, “Kalian terlalu banyak melaknat dan ingkar (tidak bersyukur) terhadap (kebaikan) suami, aku tidak melihat orang yang kurang akal dan agamanya boleh mengalahkan lelaki yang berakal kecuali kalian.”
Ini adalah lafaz-lafaz zikir yang ringan di lidah dan mudah untuk dihafal dan diamalkan, Insya Allah.