Kes penipuan haji yang berlaku baru-baru ini seharusnya menjadi pengajaran buat kita semua. Dalam kejadian yang berlaku terhadap  49 orang jemaah dari Sabah, mereka dikatakan  tidak dibenarkan masuk ke Mekah ketika sudah sampai di Tanah Suci akibat daripada tidak memiliki visa haji sah.

Jemaah ini hanya dibenarkan masuk ke Mekah pada 14 Zulhijjah ketika umat Islam lain telah selesai menunaikan segala rukun haji.

Sungguhnya tidak dapat melaksana kemuncak haji iaitu wukuf di Arafah namun agensi pelancongan tersebut mendakwa haji jemaah tersebut sah.

Haji tidak sah

Bagaimanapun menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahman Fauwaz Bin Fadzil berdasarkan situasi yang berlaku kepada Jemaah ini  seseorang yang meninggalkan rukun haji iaitu berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, ibadah hajinya adalah tidak sah dan wajib diganti bagi mereka yang melaksanakan haji fardu.

Ads

Di samping itu, seseorang yang telah berniat ihram haji atau umrah apabila ia tidak dapat menyempurnakan ibadah tersebut kerana dihalang oleh sesuatu maka jemaah ini wajib bertahallul. Yakni dengan menyembelih kambing (atau berkongsi 1/7 bahagian daripada unta atau lembu), kemudian bercukur (atau bergunting dengan sekurang-kurangnya 3 helai rambut), bersama niat tahallul dengan kedua-duanya

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT;

‏ وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ ۚ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ

Ads

Maksudnya:Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya (Surah Al-Baqarah:196)

Sekiranya ketiadaan binatang untuk membayar dam, maka nilaikanlah harga seekor kambing, dan sedekahkanlah makanan yang sama dengan nilai tersebut.

Jika tidak mampu bersedekah makanan, hendaklah berpuasa sehari bagi setiap cupak makanan berkenaan. Kemudian, boleh bertahallul pada ketika itu juga tanpa menunggu puasanya berakhir.

Ads

Wajib bayar dam

Dalam hal ini, seorang yang tertipu dengan pakej haji yang ditawarkan oleh agensi pelancongan ia tidak menjadi punca kepada pengguguran kewajipan membayar dam kerana ia sudah terikat dengan kontrak ihram.

Meskipun begitu, mereka tetap mendapat pahala atas niat ibadah yang hendak dikerjakan  disisi Allah Taala.

Dalam pada itu katanya perbuatan menipu jemaah haji ini adalah satu perbuatan dosa. Mereka hendaklah bertaubat dan mengembalikan semula hak para jemaah yang menjadi mangsa. Perbuatan ini sangat tercela di sisi syarak dan perlu diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI