
Sekarang semuanya boleh jadi ‘content’. Tetapi jangan sampai keghairahan merakam dan berkongsi menyebabkan kita membuka aib orang lain tanpa memikirkan maruah, privasi dan kesannya.
Nampak seseorang buat perkara pelik di tempat awam, telefon terus dikeluarkan. Nampak orang bergaduh, kita rakam. Nampak seseorang melakukan kesalahan, gambarnya diambil sebelum dimuat naik ke media sosial.
Kadang-kadang wajah orang itu jelas kelihatan. Lokasi disebut, malah ada yang menambah kapsyen sehingga mengundang ribuan komen dan kecaman.
Disebabkan terlalu biasa melihat perkara sebegini di media sosial, kita mungkin terlupa untuk bertanya satu perkara penting:
Adakah orang itu reda gambar atau videonya dirakam dan disebarkan kepada orang ramai?
Lebih penting sebagai seorang Muslim, jangan sampai keghairahan menghasilkan content menyebabkan kita membuka aib, mencari kesalahan atau menjatuhkan maruah orang lain.
Bukan Semua Yang Kita Nampak Perlu Dirakam
Islam sangat menjaga kehormatan dan maruah manusia.
Allah SWT berfirman:
وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain.”
Surah al-Hujurat, ayat 12.
Ayat ini antara lain mengandungi larangan melakukan tajassus, iaitu mencari-cari perkara tersembunyi atau kesalahan orang lain.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ketika menghuraikan isu tajassus, memetik penjelasan bahawa ia merujuk kepada perbuatan sengaja mencari kesalahan dan maksiat orang lain yang tersembunyi. Islam melarang perbuatan sedemikian agar perkara yang telah ditutup tidak sengaja didedahkan kepada manusia.
Dalam dunia hari ini, teguran tersebut wajar direnungkan setiap kali tangan kita pantas mencapai telefon untuk merakam orang lain.
BACA JUGA: Minta Maaf Dalam Islam: Panduan Penting Bila Sukar Dimaafkan
Nampak Orang Buat Salah, Jangan Terus Membuka Aib Demi Content
Bayangkan kita terlihat seseorang melakukan sesuatu yang dianggap tidak betul.
Kita rakam secara senyap, kemudian memuat naik video itu bersama kapsyen seperti:
“Korangkan tengok perangai manusia sekarang…”
Dalam masa beberapa jam, wajah individu berkenaan tersebar. Orang yang tidak mengetahui cerita sebenar mula menghukum, mengecam malah mungkin mencari identitinya.
Dalam satu penjelasan berkaitan perbuatan mengambil gambar dan menyebarkannya di media sosial, Mufti Wilayah mengingatkan bahawa jika sesuatu itu merupakan dosa sekalipun, ia tidak sepatutnya sewenang-wenangnya disebarkan dan ditularkan. Lebih-lebih lagi apabila tindakan tersebut menimbulkan persepsi buruk serta komen negatif terhadap individu terbabit.
Maknanya, kesalahan orang lain bukan lesen untuk kita membuka ruang kepada seluruh dunia bagi menghukumnya.
Bila Content Bertukar Menjadi Membuka Aib
Ada beza antara merakam sesuatu bagi tujuan yang mempunyai keperluan dengan merakam semata-mata mahu memalukan seseorang.
Contohnya, bukti mungkin diperlukan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa apabila berlaku kemalangan, jenayah, gangguan atau perkara yang memerlukan tindakan.
Tetapi menyimpan bukti untuk diserahkan melalui saluran yang betul tidak sama dengan terus memuat naik wajah seseorang ke TikTok, Facebook atau Instagram supaya orang ramai boleh mengecamnya.
Pejabat Mufti Wilayah menjelaskan bahawa para ulama mengharamkan perbuatan membuka aib seseorang, namun terdapat pengecualian bagi maslahat tertentu yang dilakukan melalui saluran sewajarnya.
Jadi sebelum menekan butang “post”, tanyalah diri:
Apa tujuan aku sebarkan benda ini?
Untuk membantu menyelesaikan masalah atau sekadar mahu ia viral?

Jangan Lupa, Orang Dalam Video Itu Juga Ada Keluarga
Inilah bahagian yang kadang-kadang hilang apabila kita berada di media sosial.
Di sebalik satu video viral mungkin ada seorang ibu, ayah, anak, suami, isteri atau ahli keluarga.
Satu rakaman beberapa saat mungkin tidak menggambarkan keseluruhan cerita. Tetapi apabila sudah tersebar, kesannya boleh berpanjangan.
Lebih membimbangkan apabila ruangan komen mula dipenuhi hinaan, sangkaan dan tuduhan daripada orang yang langsung tidak mengenali individu tersebut.
Sedangkan Surah al-Hujurat ayat 12 bukan sahaja melarang tajassus, malah mengingatkan umat Islam supaya menjauhi banyak sangkaan serta tidak mengumpat antara satu sama lain.
Dalam keadaan seperti ini, tindakan yang pada mulanya dianggap sekadar perkongsian di media sosial boleh akhirnya menjadi perbuatan membuka aib dan memberi kesan kepada kehidupan individu serta keluarganya.
Minta Izin Kalau Mahu Kongsi
Dalam kehidupan seharian, membiasakan diri meminta izin adalah antara adab yang baik.
Jika gambar melibatkan rakan, ahli keluarga atau orang lain dan kita mahu memuat naiknya, tidak salah bertanya terlebih dahulu.
“Okay tak kalau aku post gambar ni?”
Ayatnya pendek, tetapi menunjukkan kita menghormati orang lain.
Begitu juga apabila terlihat sesuatu yang memalukan. Tidak semua perkara perlu menjadi bahan perkongsian.
Ada waktunya tindakan paling baik bukan merakam, tetapi menegur dengan baik, membantu atau berlalu tanpa menyebarkan keaiban tersebut.
Telefon Di Tangan, Amanah Tetap Perlu Dijaga
Teknologi menjadikan kita mampu merakam sesuatu dalam beberapa saat dan menyebarkannya kepada ribuan manusia dengan satu sentuhan.
Namun kemudahan itu tidak menghilangkan tanggungjawab kita terhadap apa yang dikongsi.
Sebelum mengambil gambar atau video orang lain dan memuat naiknya, fikirkan tentang maruah, privasi dan kesan yang mungkin ditanggung individu tersebut. Jangan sampai satu perkongsian yang dibuat dalam beberapa saat akhirnya menjadi sebab kita membuka aib seseorang kepada ribuan manusia.
Jika benar berlaku kesalahan yang memerlukan tindakan, gunakan saluran yang betul.
Tetapi jika tujuannya sekadar mahu mendapatkan tontonan, komen dan perkongsian, mungkin lebih baik telefon itu disimpan semula.
Tidak semua yang mata kita nampak perlu dirakam. Dan tidak semua yang kita rakam perlu diketahui satu dunia.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok

sekarang ya?

