
Apabila Ramadan melangkah ke penghujungnya, suasana ibadah dalam kalangan umat Islam biasanya menjadi lebih terasa. Masjid semakin dipenuhi jemaah, bacaan al-Quran kedengaran hampir di setiap sudut, manakala doa dan munajat dipanjatkan dengan penuh harapan. Semuanya kerana satu tujuan iaitu memburu keberkatan malam Lailatulqadar.
Keistimewaan malam Lailatuqadar dirakamkan secara jelas dalam Surah al-Qadr yang menggambarkan betapa agungnya malam berkenaan. Pada malam itulah para malaikat, termasuk Malaikat Jibril, turun ke bumi dengan membawa rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT.
Suasananya digambarkan penuh ketenangan sehingga terbit fajar, seolah-olah menjadi waktu yang paling sesuai untuk seorang hamba merendahkan diri, memohon keampunan serta mendekatkan hati kepada Penciptanya.
Tidak hairanlah Rasulullah SAW sendiri memberi perhatian besar terhadap sepuluh malam terakhir Ramadan. Baginda bukan sahaja memperbanyakkan ibadah, malah menggalakkan ahli keluarga turut menghidupkan malam-malam tersebut.
Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa sesiapa yang mendirikan malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampunkan.
Tarikh sebenar Lailatulqadar sengaja dirahsiakan. Hikmahnya supaya umat Islam tidak hanya menumpukan ibadah pada satu malam tertentu, sebaliknya berusaha menghidupkan keseluruhan sepuluh malam terakhir Ramadan. Dari situlah lahir suasana spiritual yang sangat indah.
Bagi mereka yang ingin merebut peluang keemasan ini, terdapat beberapa amalan yang boleh dijadikan panduan untuk menghidupkan sepuluh malam terakhir Ramadan, antaranya:
- Mendirikan solat malam (qiyamullail) seperti solat tahajud, hajat dan witir bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
- Memperbanyakkan membaca al-Quran kerana Ramadan adalah bulan diturunkannya kitab suci tersebut sebagai panduan hidup manusia.
- Berzikir dan beristighfar dengan memperbanyakkan tasbih, tahmid dan istighfar sebagai tanda kerendahan diri kepada Allah.
- Memperbanyakkan doa, khususnya doa yang diajarkan Rasulullah SAW kepada Saidatina Aisyah RA: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni.
- Bersedekah dan melakukan kebaikan kepada orang lain kerana setiap amal kebajikan yang dilakukan pada malam tersebut dijanjikan ganjaran yang sangat besar.
Hakikatnya, Lailatulqadar bukan sekadar malam yang dicari kerana ganjaran pahala yang besar. Lebih daripada itu, ia adalah ruang untuk manusia berhenti seketika daripada kesibukan dunia, menilai kembali perjalanan hidup dan memperbaharui hubungan dengan Allah SWT.
Bagi mereka yang benar-benar menghargai kehadiran malam istimewa ini, sepuluh malam terakhir Ramadan bukan sekadar penghujung sebuah bulan ibadah, tetapi medan terbaik untuk meraih keberkatan yang mungkin mengubah seluruh perjalanan hidup seorang hamba.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







