Mengaku Cinta Rasulullah SAW, Tapi Sejauh Mana Kita Mengikuti Akhlak Baginda?

Share

Bulan Rabiulawal merupakan antara bulan yang cukup dekat di hati umat Islam kerana pada bulan inilah kita memperingati kelahiran insan agung, Nabi Muhammad SAW.

Setiap kali tiba Rabiulawal, masjid dan surau mula dipenuhi dengan pelbagai program keagamaan, ceramah serta alunan selawat. Di media sosial pula, ucapan sempena Maulidur Rasul dikongsi sebagai tanda kecintaan kepada Baginda SAW.

Namun, di sebalik kemeriahan memperingati kelahiran Rasulullah SAW, ada satu persoalan yang wajar kita tanyakan kepada diri sendiri, adakah kita benar-benar mencintai Baginda dengan ikhlas atau cinta itu hanya hadir secara bermusim?

Ungkapan cinta amat mudah diucapkan, namun tidak semudah itu untuk dibuktikan melalui perbuatan.

Membasahi lidah dengan selawat ke atas Nabi SAW sememangnya amalan yang baik. Namun,dalam pada masa yang sama, kita juga perlu bermuhasabah. Adakah keperibadian dan tingkah laku kita mencerminkan ajaran yang dibawa oleh Baginda?

BACA JUGA: Bila Orang Belanja Makan Balaslah Mereka Dengan Doa Ini, Ikut Sunnah Nabi

Sejauh Mana Kita Mengenali dan Berusaha Menghidupkan Sunnah Rasulullah SAW?

Mengenali nama Baginda dan memperbanyakkan selawat sahaja belum cukup jika akhlak yang diajarkan Rasulullah SAW tidak diterapkan dalam kehidupan.

Bagaimana adab kita terhadap ibu bapa, pasangan, anak-anak, ahli keluarga dan jiran? Bagaimana pula kita melayani orang yang tidak sependapat atau pernah menyakiti hati kita?

Bagaimana Kita Bertindak Ketika Diuji dan Dipuji?

Rasulullah SAW menunjukkan contoh akhlak yang sangat tinggi ketika berhadapan dengan ujian, penghinaan dan tentangan. Baginda memilih kesabaran dan kemaafan, bukannya bertindak mengikut kemarahan.

Justeru, tanyakan kepada diri sendiri, mampukah kita melakukan perkara yang sama?

Apabila dihina, adakah kita mampu bersabar? Apabila disakiti, mampukah kita memaafkan? Dan apabila menerima pujian, adakah kita bersyukur atau mula berasa lebih tinggi daripada orang lain?

Di sinilah cinta kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan melalui akhlak, bukan sekadar kata-kata.

Hidupkan Ajaran Rasulullah Dalam Kehidupan Seharian

Mengikuti ajaran Baginda bukan hanya dalam perkara besar. Ia boleh bermula daripada perkara kecil seperti menjaga tutur kata, adab makan, kebersihan dan hubungan sesama manusia.

Begitu juga dalam perkara yang lebih besar seperti berlaku jujur ketika mencari rezeki, menjaga amanah, berlaku adil dan tidak mengambil hak orang lain.

Dalam dunia hari ini yang berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah rumah tangga, tekanan kehidupan dan krisis akhlak di media sosial, kita semakin memerlukan panduan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Sifat kasih sayang dan rahmat yang dibawa oleh Baginda sebagai rahmatan lil ‘alamin sewajarnya menjadi panduan dalam cara kita melayani manusia, menyelesaikan perselisihan dan menjalani kehidupan.

Jadikan Rabiulawal Titik Permulaan

Rabiulawal bukan sekadar bulan untuk dikenang setiap tahun. Jadikan ia ruang untuk kita bermuhasabah dan memperbaiki diri, sekali gus meningkatkan iman serta kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Sepanjang bulan ini, mulakan dengan sunnah dan amalan kecil yang mampu dilakukan secara konsisten. Jaga tutur kata, belajar memaafkan orang lain, memperbanyakkan selawat dan berusaha memperbaiki akhlak.

Kerana bukti cinta kepada Rasulullah SAW bukan hanya pada banyaknya ucapan dan selawat ketika Rabiulawal, tetapi sejauh mana ajaran serta akhlak Baginda terus hidup dalam diri kita sepanjang tahun.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok

Related Post
Published by
Balqis Qadisah