Bila orang belanja makan balaslah mereka dengan doa ini, ikut sunnah Nabi.
Siapa yang tak suka bila ada yang belanja kita makan, terutama sekali bila tengah atau hujung bulan.
Dah tentu kita akan sangat berterima kasih. Tetapi dalam Islam, terdapat adab yang lebih mulia yakni mendoakan mereka yang memberi kita makan dan minum.
Doa ringkas ini bukan sahaja menzahirkan rasa penghargaan, malah membuka ruang rahmat dan keberkatan dari Allah untuk mereka.
Hadis riwayat Muslim 2055 mengisahkan tentang doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika seseorang diberi makanan atau minuman.
Ya Allah, berilah makanan orang yang memberi aku makan dan berilah minum orang yang memberi aku minuman. (Riwayat Muslim, no. 2055)
Balas dengan mendoakan mereka
Ada kala terlalu ramai orang yang pernah membelanja atau memberikan kita makanan dan minuman, sama ada keluarga, kawan, atau mungkin orang yang kita sendiri tidak kenal.
Untuk menyebut nama mereka satu persatu dalam doa memang bukan perkara mudah. Jadi, bacalah doa ini, ia lebih menyeluruh merangkumi sesiapa sahaja yang pernah memberi atau membelanja kita, walaupun hanya sekali seumur hidup.
Ads
Kalau kita ingin membalas kebaikan mereka dengan perbuatan yang sama, mungkin rezeki kita sendiri pun sekadar cukup-cukup.
Maka, mintalah kepada Allah agar Dia yang membalas kebaikan mereka. Kerana hanya Allah yang mampu memberi ganjaran berlipat kali ganda, lebih besar daripada apa yang pernah mereka berikan kepada kita.
Mungkin ada waktu tertentu, mereka melalui kesempitan rezeki, tetapi berkat doa kita, Allah bukakan jalan rezeki untuk mereka. Atau mungkin mereka hampir ditimpa musibah, namun doa kita menjadi sebab Allah lindungi mereka daripada bencana itu.
Kita serahkan saja kepada Allah. Dia tahu bila dan bagaimana waktu yang terbaik untuk membalas kebaikan mereka.
Dan satu perkara lagi bukan semua yang memberi itu orang berada. Ada yang memberi kerana ingin menggembirakan kita, bersimpati, atau sekadar ingin berbuat baik… walaupun mereka sendiri pun sebenarnya dalam keadaan serba kekurangan.
Jadi, balaslah kebaikan mereka dengan doa Nabi ini, moga kita juga akan diberi pahala kerana mengikuti sunnah Nabi .
Bagi yang belum memiliki rumah sendiri, kadang kala terjadi kita perlu berpindah ke rumah lain. Boleh jadi juga rumah sewa baru yang kita bakal duduki pernah didiami oleh bukan Islam.
Bila begini timbul persoalan perlukah rumah tersebut disertu kerana bimbang penyewa sebelum memelihara anjing walaupun tak pernah tahu atau nampak. Selain itu bagaimana pula cara untuk sertu yang betul untuk rumah ini?
Memetik penjelasan dari portal Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, ini perkara yang perlu dilakukan.
Sebelum menjawab isu ini dengan lebih lanjut, suka untuk diperjelaskan berkaitan pengertian sertu. Ia membawa maksud: menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah (anjing dan babi) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali, menyamak. (Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat)
Cara untuk melakukan sertu, mengikut pendapat Mazhab Syafie ialah basuh pada tempat yang terkena najis mughallazah sebanyak tujuh kali, iaitu satu kali dengan menggunakan tanah (air tanah) dan 6 kali lagi dengan air mutlak (air suci pada dirinya dan dapat menyucikan orang lain). Jika didapati najis itu tetap ada ain (nampak), maka ia perlu dibasuh lagi dengan air mutlak sehingga hilang najis tersebut.
Berkenaan persoalan yang diajukan, ketidakpastian sama ada owner rumah non-muslim yang mendiami rumah tersebut membela anjing ataupun tidak, telah menimbulkan keraguan sama ada rumah tersebut bersih daripada najis mughallazah ataupun tidak?
Pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas ia bernajis. Kita tidak sepatutnya mengandaikan perkara yang tidak nampak. Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap bersih sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang bersih itu. Sebagaimana kaedah usul fiqh:
اليقين لا يزال بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).
Maksudnya: “Kerana sesungguhnya kebenaran adalah ketenteraman dan dusta adalah keraguan.”
(Diriwayatkan oleh. ‘Abdur-Razaq dalam al-Mushannaf (no. 4984), Ahmad (I/200). Al-Tirmidzi (no. 2518), Al-Tabrani dalam al-Mu’jamul-Kabir (no. 2708, 2711). Al-Baghawi dalam Syarhus-Sunnah (no. 2032)).
Rasulullah SAW juga bersabda:
عَنْ أَبِي مُحَمَّدٍ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ سِبْطِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَرَيْحَانَتِهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: حَفِظْت مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: دَعْ مَا يُرِيبُك إلَى مَا لَا يُرِيبُك
Maksudnya: Dari Abu Muhammad al-Hasan bin ‘Ali bin Abi Thalib, cucu Rasulullah SAW dan kesayangannya RA, dia berkata: “Aku telah hafal dari Rasulullah SAW: ‘Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu’.”
(Diriwayatkan oleh al-Tirmidzi dan al-Nasa’i.)
Oleh itu, tidak perlu disertu rumah tersebut kerana tiada bukti keseluruhan rumah itu terkena najis mughallazah. Islam tidak memberatkan atau menyulitkan masalah sehingga perlu berbuat demikian. Jika jelas terbukti tempat tertentu digunakan atau terkena najis mughallazah dan masih tidak dibersihkan dengan baik, maka di situ sahaja yang perlu disertu. Namun, jika mahu disertu juga keseluruhan, maka ia adalah harus.
Amalan sertu perlu diberi perhatian serius oleh orang Islam kerana bab bersuci antara perkara penting yang dibincangkan dalam hukum fiqh. Allah berfirman:
Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, Iaitu binatang Yang disembelih atas nama yang lain dari Allah”. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Al-An’am ayat 145)
Ulama’ al-Syafi’iyyah berpandangan bahawa wajib menggunakan tanah bersama air pada menyucikan najis anjing, khinzir dan apa yang lahir daripada keduanya. Mereka beristidlal (menetapkan sesuatu keputusan) pada menyatakan pendapat itu dengan apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah”.
Riwayat Muslim (279)
Kedua: Mazhab Imam Ahmad menunjukkan bahawa boleh untuk menggunakan selain daripada tanah dalam proses sertu seperti menggunakan sabun dan selainnya. [Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/74).]
Ketiga: Manakala ulama’ al-Hanafiyyah dan al-Malikiyyah berpendapat tidak wajib menggunakan tanah pada menyucikan hal itu (najis anjing atau khinzir). [Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (114/3)].
Kaedah membasuh rumah tersebut adalah seperti berikut:
Kesimpulannya, berdasarkan persoalan yang diutarakan hukum sertu rumah yang bakal didiami adalah tidak wajib kerana tidak pasti akan kewujudan najis. Sekiranya wujud keyakinan, maka wajib untuk menyucikan najis tersebut. Namun, jika ingin disertu juga rumah tersebut, hukumnya adalah harus bagi menghilangkan was-was serta lebih tenteram dan yakin untuk menetap di dalam rumah tersebut.
Bagi yang pertama kali menunaikan umrah, tentunya tertanya-tanya apakah persediaan menunaikan umrah yang perlu dilakukan sebelum berangkat ke Tanah Suci. Terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan sebelum menunaikan ibadah Umrah.
Niat Kerana Allah SWT:
Sesuatu pekerjaan itu hanya menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala dari Allah S.W.T. apabila:
*diniatkan semata-mata untuk mematuhi perintah Allah SWT
*caranya menepati syariat yang ditetapkan
*tidak berlaku sebarang penyelewengan
*ibadah wajib seperti sembahyang, berpuasa, berzakat dan lain-lain tidak ditinggalkan.
Oleh itu, elakkan diri dari mengerjakan haji dan umrah kerana sebab-sebab sosial, ekonomi, politik atau tujuan-tujuan lain.
Mendapatkan ilmu yang cukup
Setiap ibadah termasuk umrah yang dikerjakan tanpa ilmu adalah sia-sia. Ini kerana kerja-kerja ibadah tidak boleh dibuat secara ikut-ikutan sahaja. Selok belok pelaksanaan ibadah umrah perlu dipelajari dan difahami supaya dapat dikerjakan dengan sempurna sewaktu di Tanah Suci tanpa bergantung kepada orang lain.
Menggunakan sumber wang yang halal
Ibadah umrah adalah merupakan salah satu persembahan kepada Allah SWT. Sama ada diterima atau sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana sempurnanya ibadat itu dilaksanakan dan sebersih mana pula wang ringgit yang digunakan.
Pastikan wang ringgit yang digunakan untuk menunaikan umrah (tambang menambang, makan minum, penginapan dan lain-lain) malah yang digunakan untuk kehidupan seharian adalah dari sumber yang halal lagi bersih dari sebarang penyelewengan atau penindasan. Mata pencarian yang haram, selain dari berdosa, boleh menyebabkan hilangnya keberkatan dalam kehidupan.
Menjaga kesihatan jasmani dan rohani
Pelaksanaan ibadah umrah memerlukan kesihatan fizikal dan mental serta kestabilan emosi. Bakal jemaah hendaklah menjaga kesihatan menerusi pemakanan yang baik dan seimbang serta memperbanyakkan aktiviti riadah. Selain itu, jemaah hendaklah melatih diri supaya bersikap positif dan bijak mengawal perasaan.
Menyempurnakan semua rukun Islam yang lain
Ibadah haji adalah rukun yang kelima dan terakhir selepas mengucap dua kalimah syahadah mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan dan mengeluarkan zakat. Bakal-bakal jemaah umrah perlu terlebih dahulu mempunyai kefahaman yang sempurna bersabit tuntutan Syahadah, solat, puasa dan zakat serta melaksanakannya.
Memperbanyakkan amalan sedekah
Sesuatu yang boleh meringankan bebanan orang lain (termasuk suami, isteri, ibubapa, saudara mara, sahabat handai, faqir miskin, anak yatim dan sebagainya) sama ada dalam bentuk wang ringgit, tenaga hatta senyuman atau perwatakan ceria adalah sedekah. Amalan sedekah membantu menambah pahala, mengurangkan dosa dan membantu hubungan sesama manusia.
Bakal jemaah digalakkan memperbanyakkan sedekah sewaktu di Tanah Air dan juga di Tanah Suci nanti. Ia membahagiakan pihak yang menerima dan turut membahagiakan pihak yang memberi. Sewaktu berada di Tanah Suci pula, para jemaah hendaklah menggunakan sebaik-baiknya kesempatan untuk memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan.
Menunaikan solat berjemaah
Matlamat menunaikan ibadah umrah ke Tanah Suci Makkah antara lain ialah untuk memanfaatkan masa yang ada sebaik mungkin untuk beribadah terutamanya di Masjidil Haram. Peluang berada di Tanah Suci Makkah hendaklah digunakan sebaiknya untuk beribadah sebaik mungkin seperti menunaikan solat berjemaah.
Menjauhi amalan-amalan syirik
Menyengutukan Allah adalah merupakan salah satu dosa besar. Tidak selayaknya orang yang hendak menjadi tetamu Allah membuat kerja-kerja syirik seperti beramal dengan ilmu sihir, bergantung hidup kepada tangkal azimat dan sebagainya.
Selain itu, bakal-bakal jemaah hendaklah menghindari sifat suka mengejar kebendaan dan kesenangan hidup sehingga meremehkan soal halal dan haram, dosa dan pahala serta syurga dan neraka.
Memperbaiki akhlak dan menghindari sifat-sifat mazmumah (tercela)
Tanah Suci Makkah adalah tempat orang memperlihatkan peribadinya yang sebenar. Orang yang hendak menjadi tetamu Allah SWT hendaklah mempunyai adab yang baik sama ada dari segi perbuatan, percakapan malah niat di hati.
Sifat-sifat buruk seperti hasad dengki, sombong, takabbur, panas baran, suka mendedahkan aurat, suka bermegah-megah dan lain-lain hendaklah dijauhi. Menurut maksud hadis, hasad dengki menghapuskan amal kebaikan seseorang seperti mana api membakar hangus kayu api.
Tanah Suci Makkah juga adalah tempat pertembungan umat Islam dari segenap pelusuk dunia. Sifat-sifat murni seperti sabar, ikhlas, syukur, tolong-menolong, ramah dan sebagainya akan dapat memudahkan interaksi sesama jemaah.
Membersihkan diri dari dosa
Sebelum berangkat ke Tanah suci bakal jemaah hendaklah bertaubat dengan:
*meninggalkan serta merta perbuatan yang telah menimbulkan dosa
*berazam dengan sepenuh hati tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi
*merasa kesal yang amat sangat di atas perbuatan dosa itu
*jika dosa itu ada kaitan dengan manusia, perlu mendapatkan kemaafan dan pernyataan halal bagi kesalahan yang dilakukan dan hak yang diambil dari manusia tersebut.
Berdoa dan bertawakkal
Perancangan Allah SWT mengatasi segala perancangan makhlukNya. Segala persiapan yang telah dibuat tidak dapat menjamin ibadah umrah dapat dilakukan dengan sempurna. Justeru para jemaah perlu banyak berdoa kepada Allah S.W.T., memohon keampunan dan pertolonganNya.
Para jemaah juga sebaiknya memperbanyakkan solat sunat Tahajjud, Tasbih, Taubat dan Hajat menjelang keberangkatan dan juga sepanjang berada di Tanah Suci.
Sumber kredit: FB: Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR)
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Kalau dahulu perbuatan menyindir dilakukan berdepan depan dengan alasan mahu seseorang itu berubah terutama bila sudah ditegur namun tiada perubahan. Bagaimanapun situasi hari ini berbeza, perbuatan menyindir semakin banyak dilakukan di media sosial sama ada melalui hantaran, gambar, video dan sebagainya.
Tapi tahukah kita bahawa hukum sindir menyindir ini adalah perbuatan yang harus dijauhi dan dalam keadaan tertentu ia boleh jatuh haram.
Bahkan hukum menyindir atau ‘troll’ di media sosial yang menyalahi hukum syarak adalah haram dan berisiko mewujudkan permusuhan dan perbalahan sesama manusia.
Menurut Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata perbuatan sindir ini dilihat sebagai situasi membimbangkan kerana ia disebarkan dalam pelbagai konteks termasuk mesej bertulis, klip video pendek dan gambar yang diubahsuai dengan dialog yang dicipta sendiri.
“Kebanyakan troll yang disebarkan mengandungi unsur menghina, memperlekeh, menyindir, mengejek nama, tubuh badan dan perilaku.
Kegiatan itu juga berisiko menghasut, menyebarkan pendustaan, membangkitkan permusuhan, menyemai kebencian dan menjatuhkan maruah individu yang menjadi mangsa troll.
“Justeru, hukum perbuatan troll adalah haram jika ia digunakan sebagai alat menyebarkan pendustaan, permusuhan dan perbalahan antara manusia apatah lagi sesama Muslim. Ia berasaskan kaedah, ‘Jalan-jalan baginya hukum sebagaimana tujuan’,” katanya.
Berdasarkan ciri-ciri troll yang menyalahi hukum syarak, jelas ia bertentangan dengan pelbagai nas syarak.
Antaranya ialah larangan mengejek atau menggelar dengan gelaran yang tidak baik; larangan menghina, merendah-rendahkan, mencaci dan melaknat sesama sendiri; larangan khianat dan berbohong serta larangan menyebar fitnah dan mengadu domba.
Katanya, jika troll yang dilakukan hanya sekadar sindiran dengan bahasa kiasan tanpa menjatuhkan maruah peribadi seseorang, tetapi lebih kepada teguran atau nasihat secara berhikmah, maka ia tidak mengapa.
“Media sosial adalah alat komunikasi bagi memudahkan perhubungan sesama manusia. Hukum asal menggunakannya adalah harus jika tujuan dan kaedah penggunaannya tidak melanggar mana-mana hukum syarak. Ini berdasarkan kaedah fiqh, ‘Asal pada segala sesuatu itu harus’.
“Seseorang itu tidak sepatutnya melontarkan apa sahaja yang mahu dikatakan atau dikongsikan tanpa berhati-hati. Mungkin mereka menyangkakan itu remeh tetapi di sisi Allah SWT ia amat berat,” katanya.
Beliau berkata netizen perlulah berakhlak mulia biarpun di alam maya dan jangan dilupa bahawa setiap gerak geri ada saksi yang sedang memerhatikan.
“Biarpun ia bukan percakapan lidah, tapi tangan yang menulis, berkongsi dan menyebarkan, namun yakinlah bahawa ia sendiri kelak akan menjadi saksi atas apa yang diperbuat.
“Ini digambarkan Allah SWT di dalam al-Quran ketika manusia terpinga-pinga kehairanan, mengapa kulit tubuhnya yang suatu ketika dahulu merupakan sekutunya, kelak ia sendiri yang akan menjadi saksi atas perlakuan maksiatnya,” katanya.
Bahkan Allah meminta kita menjauhi sikap prasangka sesama manusia. Ia berdasarkan dalam surah Al Hujurat ayat 11 dan 12 yang menyebut:-
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, (karena) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan) dan jangan pula wanita mengolok-olokkan wanita-wanita lain., karena boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita (yang mengolok-olokkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan jangan pula kamu panggil-memanggil dengan gelar yang buruk. Seburuk-buruk gelar ialah (panggilan) yang buruk sesudah iman.” (QS. Al-Hujurat: 11).
“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruk-sangka (kecurigaan), karena sebagian dari buruk-sangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah mengumpat satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (QS. Al-Hujurat: 12)
Rasulullah SAW bersabda:
“Janganlah kamu saling benci-membenci, dengki-mendengki dan sindir-menyindir. Jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Haram seseorang muslim berkelahi dengan saudaranya lebih dari tiga hari lamanya.” (HR. Anas bin Malik RA).
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hukum ubat kuat menurut Ustaz Azhar Idrus adalah harus jika digunakan untuk tujuan kesihatan dan nafkah batin, dengan syarat produk halal, selamat serta tidak memudaratkan pengguna.