Dalam pada ramai yang sibuk dengan #10yearschallenge, posting isteri kesayangan, Noh Hujan Mizz Nina di laman Instagramnya begitu menyentuh perasaan. Melalui perkongsiannya itu, Mizz Nina berkongsi perubahan hidupnya sejak 10 tahun lepas.
Ujar Nina, pada tahun 2009 dia tidak mengenali (huruf) Alif Ba Ta dan hanya menghafal surah Al-Fatihah dan tiga Qul.
“2009, saya masih tak tahu Alif Ba Ta, hanya menghafal surah Al-Fatihah dan tiga Qul. Saya mula belajar pada usia 33 tahun. Tak pernah terbayangkan, saya berubah luaran dan dalaman, Allah menunjukkan jalan untuk saya mempraktikkan Islam,” ujar Nina.
Ads
MASIH TIDAK TERLAMBAT UNTUK BELAJAR MEMBACA AL-QURAN
Tambah Nina lagi, dia kini sedang mengikuti diploma Ta’leem Al-Quran, berdakwah dan memberikan ceramah. Walau bagaimanapun Nina tidak memuat naik semula fotonya yang tidak berhijab ketika tahun 2009.
Ads
“Pada tahun 2009, saya berusia 29 tahun, solo dan fokus pada kerjaya. Saya hampir berputus asa untuk mencari pasangan hidup tetapi pada hujung tahun itu saya dipertemukan dengan suami saya,” tambahnya.
Pesan Nina lagi, masih tidak terlambat untuk belajar membaca Al-Quran dan mendekatkan diri dengan Pencipta. Semoga dengan perkongsian dari Mizz Nina ini dapat kita menjaga hubungan dengan Allah. Inshaallah.
Kucing adalah haiwan peliharaan yang menjadi pilihan ramai pencinta haiwan. Memelihara haiwan berbulu halus ini dipercayai memberikan banyak manfaat salah satunya dapat menghilangkan stres. Melihat gelagat si comel ini membuatkan hati terhibur dan tenang.
Bagi pencinta kucing, detik menghadapi ‘kehilangan’ si comel ini pasti menjadi momen yang menyakitkan apatahlagi jika si comel itu sudah dipelihara lama. Sakitnya seperti menghadapi kehilangan ahli keluarga.
Ada yang berpendapat bahawa si pencinta kucing boleh menemui kucing-kucing kesayangan mereka di syurga. Benarkan pendapat ini?
Bolehkah saya bertemu semula dengan kucing peliharaan kesayangan saya yang telah meninggal dunia di akhirat nanti ?
JAWAPAN:
Sebagai umat Islam kita dituntut untuk melakukan kebaikan kepada kesemua makhluk. Ia merangkumi berbuat baik kepada manusia sama ada orang Islam atau bukan Islam, demikian juga kita dituntut untuk berbuat baik kepada haiwan. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.
Riwayat Muslim (1955)
Hadis ini jelas dalam menyatakan kewajiban berlaku ihsan kepada setiap makhluk. Kata Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di : ‘’Maka termasuklah antaranya berbuat ihsan kepada kesemua kategori manusia, dan juga kepada haiwan-haiwan. Sehinggakan pada saat ingin menyembelih haiwan juga dituntut (untuk berlaku ihsan)’’. Rujuk Bahjah Qulub Al-Abrar, Al-Sa’di (1/127).
Dari sudut hukum fekah, perkataan كَتَبَ menunjukkan kepada hukum wajib. Ini seperti yang dikatakan oleh Imam Ibn Rajab al-Hanbali: ‘’Lafaz Al-Kitabah membawa hukum wajib di sisi para fuqaha dan usuliyyun, (dan pendapat ini) diperselisihkan oleh sebahagian mereka. Sesungguhnya diketahui pengunaan lafaz al-Kitabah ini di dalam al-Quran terhadap perkara yang wajib dan mesti dibuat”. Rujuk Tafsir Ibn Rajab (1/617).
Justeru apabila kita menyatakan bahawa hukum berbuat ihsan dengan haiwan adalah wajib, maka menyakiti dan berbuat kezaliman kepada haiwan-haiwan tanpa sebarang yang dibenarkan oleh syarak adalah haram hukumnya. Bahkan pengabaian dalam hal ini boleh menyebabkan seseorang itu ditempatkan ke dalam neraka. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Umar R.A. bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Maksudnya: Seorang perempuan diazab disebabkan seekor kucing yang dia kurung sehingga ia mati kelaparan. Maka wanita tersebut masuk ke dalam neraka disebabkannya.
Beberapa perbuatan zalim yang dilakukan oleh perempuan ini kepada kucing tersebut disebutkan di dalam sambungan hadis di atas iaitu dikatakan kepadanya:
Maksudnya: Kamu tidak memberi makan dan minum kepadanya ketika kamu mengurungnya. Begitu juga kamu tidak melepaskannya sehingga dia boleh makan serangga yang berada di tanah.
Riwayat Al-Bukhari (2365)
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, berkenaan bolehkah seseorang itu bertemu dengan haiwan peliharaannya yang disayangi di akhirat kelak, berikut kami kongsikan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa beliau berkata:
إن الله يحشر الخلق كلهم، كل دابة وطائر وإنسان، يقول للبهائم والطيركونوا ترابًا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan makhluk kesemuanya (pada hari akhirat kelak). (Iaitu) setiap haiwan, burung-burung, dan juga manusia. Lalu Allah berkata kepada haiwan-haiwan dan juga burung: ‘’Jadilah kamu tanah’’.
Lihat Tafsir Al-Thabari (24/181)
TIDAK SAMA DENGAN MANUSIA
Meskipun begitu, seperti yang kita ketahui bahawa para penghuni syurga dijanjikan begitu banyak kebaikan dan kenikmatan yang tidak terhitung jumlahnya. Ini disebutkan di dalam begitu banyak nas, antaranya firman Allah S.W.T:
لَهُم مَّا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ
Maksudnya: Buat mereka (para penghuni syurga) apa sahaja yang mereka mahukan dan di sisi kami ada penambahan (nikmat).
Surah Qaf (35)
Imam Ibn Jarir al-Thabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: ‘’Bagi golongan mereka ini yang bertakwa apa sahaja yang mereka mahukan di dalam syurga. Yang mana telah disediakan kepada mereka apa sahaja yang jiwa mereka mahukan serta keindahan-keindahan buat pemandangan mereka’’. Rujuk Al-Jami’ al-Bayan, Ibn Jarir al-Thabari (22/367).
Demikian juga firman Allah S.W.T:
لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَلَهُم مَّا يَدَّعُونَ
Maksudnya: Buat mereka (para penghuni syurga) buah-buahan di dalam syurga dan buat mereka apa sahaja yang mereka minta.
Surah Yasin (57)
Kata Imam al-Baghawi: ‘’Bagi mereka (para penghuni syurga) itu apa sahaja yang mereka cita-citakan dan juga apa sahaja yang mereka mahukan’’. Rujuk Tafsir al-Baghawi (7/22).
KESIMPULAN
Setiap manusia itu lebih utama untuk berusaha dalam memastikan dirinya ditempatkan oleh Allah S.W.T ke dalam syurga melalui amalan soleh di dunia. Seperti yang diketahui, menjaga kebajikan haiwan-haiwan peliharaan adalah termasuk dalam amalan soleh yang boleh membawa seseorang menuju ke syurga.
Justeru, saat seseorang itu berada di syurga kelak sudah pastilah segala kehendak dan kemahuannya akan dituruti sebagai ganjaran dari Allah S.W.T buat dirinya. Inilah yang Allah S.W.T firmankan dengan kata-Nya:
Maksudnya: Di dalamnya (syurga) terdapat perkara-perkara yang menjadi syahwat (kehendak) kepada jiwa dan juga perkara-perkara yang melazatkan pemandangan mata.
Surah Al-Zukhruf (71)
Imam Al-Thabari apabila mensyarahkan ayat ini meletakkan sebuah riwayat bahawa seorang arab badwi bertanya kepada Rasulullah S.A.W:
يا رسول الله إني أحبّ الإبلَ فهل في الجنة إبل فقال يا أعرابيّ إنْ يُدْخِلْكَ اللهُ الجَنَّةَ إنْ شاءَ اللهُ فَفِيها ما اشْتَهَتْ نَفْسُكَ وَلَذَّتْ عَيْنَاك
Maksudnya: ‘’Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mencintai unta. Adakah di syurga nanti ada unta ?’’ Lalu baginda berkata: ‘’Wahai arab badwi, sekiranya Allah memasukkan kamu ke dalam syurga Insha Allah, maka di dalamnya terdapat apa sahaja yang kamu kehendaki dan melazatkan pemandangan matamu”.
Benar sekali kata pepatah yang hidup kita ini memang penuh cabaran dan tidak bermakna hidup, andai tidak disertakan dengan dugaan.
Jika tidakpun dari orang luar, keluarga sendiri yang menjadi punca. Namun semua itu harus ditangani dengan baik, ibarat menarik rambut dari dalam tepung, rambut jangan putus, tepung pula tidak berselerak.
Kisah pergolakan antara menantu dan mentua sangat sulit untuk diselesaikan. Isu ibu mentua dengan menantu perempuan memang tidak akan habis sampai bila-bila pun. Jika tidak ditangani secara bijak maka akan rosaklah rumah tangga yang dibina.
Menantu Bukan Pilihan dan Mentua Perosak Rumah Tangga
Aku cintakan kamu, kamu cintakan aku. Hari ini, kita bergelar suami isteri. Kita akan bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Ringkas dan mudah bukan? Ini perkara yang berada di dalam kepala pasangan yang baru sahaja bernikah.
Tapi ianya sering tidak semudah itu. Kerana ada anasir luar (baca : dalam) yang mempengaruhi kehidupan suami isteri. Anasir luar yang dimaksudkan ialah ibu-bapa mentua. Ibu dan bapa pasangan itu sendiri.
Apabila anak sudah meningkat dewasa dan bersedia untuk berkahwin, sudah pastinya anak itu sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Betul, ibu dan bapa mempunyai pendapat dan boleh memberi pendapat tentang pilihan hati anak. Ini dipanggil menjadi ibu-bapa. Pastinya ibu dan bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya.
TERLEBIH MELINDUNGI
Tidak salah sebenarnya, kadang-kala kerana cinta, mata yang celik pun boleh menjadi buta. Ada yang jatuh cinta dengan penagih yang tidak berniat untuk berhenti. Ada juga yang jatuh cinta dengan wanita liar yang tidak mahu berubah. Di sini, ibu-bapa memang patut memainkan peranan membawa kembali pandangan mata anak kepada realiti dan akibatnya nanti.
Masalah tiba apabila bila ibu-bapa pula yang terlebih melindungi anak hanya kerana hatinya tidak berkenan dengan bakal menantunya. Di sini bermulalah segala jenis masalah yang dikaitkan dengan menantu bukan pilihan.
“Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan kau pun aku tak suka”. Ya, memang ada yang sampai ke tahap itu. Benci, menyampah, buruk, huduh, tak layak, murahan dan macam-macam lagi perasaan yang bermain di minda mentua apabila anaknya berkahwin dengan yang bukan pilihan hatinya.
Bermacam alasan diberi, pilihan anak itu tak cantik, belajar tak pandai, kerja tak bagus atau tidak bekerja, keturunan tak kaya dan tak sama taraf. Kadang-kala sehingga kehabisan sebab, tetapi masih lagi tidak boleh terima. Di carinya lagi sebab lain yang boleh teruskan kebencian di hati.
Biasa dengar mentua yang tak suka negeri itu ini?
“Jangan kahwin dengan orang Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur”
Habis semua negeri tak boleh kahwin, itu tak boleh, ini tak boleh.
Masakan menantu sentiasa tidak kena dengan selera. Asam pedas tak cukup masam, kari tak cukup pekat, masak lemak tak cukup pedas, ikan goreng tak garing, nasi lembik, sambal belacan tak pedas, rendang tak sedap, ayam goreng tak garing, masakan terlalu manis, masin, pahit, tawar sampai air kosong pun tak cukup sejuk.
Hidangan pula tak menarik, pinggan tak tersusun rapi, mangkuk tak guna yang sama tema, sumbing sikit tak boleh, pinggan basah pun kena lap bagi sempurna semua.
Pakaian menantu bukan pilihan sentiasa tidak kena. Terlalu singkat, terlalu labuh, tidak menarik, tak cantik, warna kelam, tudung senget dan macam-macam lagi.
Alasan untuk tidak menyukai dah habis. Walapun menantu dah ikut semuanya tetapi sangat susah mulut untuk memuji apa yang menantu buat. Seperti satu kesalahan yang besar jika mentua memuji menantu yang tidak disukainya itu.
JADI BAHAN UMPATAN
Menantu bukan pilihan juga sering jadi mangsa umpatan mentua dengan orang lain. Sama ada dengan ipar atau orang terdekat. Kadang-kala dengan sengaja membiarkan menantu itu dengar.
Antara yang menyakitkan hati, mentua sentiasa berkias-kias apabila bercakap dengan menantu bukan pilihannya. “Kedutnya baju anak aku, kenapa la tak bergosok?”, “Makin kurus anak aku ni sejak kahwin, tak cukup makan la tu”, “cucu aku semua putih, yang ini sahaja hitam legam”.
Menantu bukan pilihan juga akan sentiasa dipantau. Paling mentua tak suka apabila anaknya melebihkan isteri sendiri. Memang tak senang duduk dia. Sentiasa ingatkan anak yang Ibu lebih penting dari isteri. Tengok isteri berpakaian baru, diperli-perlinya, tengok isteri ada cincin baru, cepat sungguh kena tegur, membazir la, tak cantik la.
Ada juga yang membanding-bandingkan menantu. Yang disukai sentiasa disebut-sebut, diangkat tinggi, dipuji selalu. Menantu yang itu kerjanya bagus, bukan suri rumah. Menantu yang ini belajar sampai PhD, bukan takat SPM je. “Bodoh tu nanti berjangkit kat anak” katanya.
Bila ada menantu yang selalu beri duit, dicanangnya satu kampung. Saudara mara yang datang pun habis dicerita semua. Menantu ini bagi gelang, menantu itu bagi duit, menantu yang ini tak pernah bagi apa pun. Setakat bagi tudung, apalah sangat. Tak penting pun untuk diceritakan.
Yang menyedihkan, anak kepada menantu bukan pilihan menjadi mangsa diskriminasi. Cucu yang itu la yang selalu dimarahi. Cucu yang itu la yang tidak dilayan berbanding cucu menantu yang disukainya.
Tidak cukup dengan itu, anak akan dihasut dengan pelbagai perkara yang tak elok. Kadang-kala sehingga mereka-reka cerita, diburuk-burukkan dan difitnah. Tujuannya supaya anaknya itu membenci isteri sendiri.
Seperti tidak masuk akal juga apabila perkara yang di luar kawalan dan kemampuan disentuh. Menantu yang masih tidak mempunyai anak akan sering diperli dan diperlekehkan kononnya itu semua salah menantu.
Yang pastinya, menantu bukan pilihan ini jika mahu mengambil hati, perlulah patuh dan mengikut 100% seperti apa yang dimahukan, barulah hatinya puas.
Itulah serba sedikit apa yang dilalui menantu bukan pilihan dan perangai ibu mentua yang merosakkan. Memang sangat menyedihkan.
Kadang-kala orang tua ini memang tidak boleh berubah. Anak perlulah memainkan peranan yang teramat penting untuk seimbangkan kembali situasi yang sentiasa tegang ini.
DENGAR RAYUAN DAN ADUAN PASANGAN
Anak perlu sedar mengenai perangai ibu atau bapanya sendiri. Dengarlah rayuan dan aduan pasangan. Jika perlu bertegas, bertegaslah. Pasangan andalah yang akan bersama dengan anda, membesarkan anak anda dan melayan anda hingga ke akhirnya. Hati mereka amat penting untuk dijaga.
Janganlah menjadi anak emak yang membutakan mata serta memekakkan telinga apabila ada ketidakadilan berlaku dari ibu-bapa sendiri terhadap pasangan. Pasangan perlu dibela, pasangan perlu dipujuk. Mereka amat tertekan. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tidak dilayan. Jadilah suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan biarkan anasir luar mempengaruhi kegembiraan hidup berkeluarga.
Hargai pasangan anda, itu pilihan hati anda. Jangan biarkan mereka menghadapi semua ini seorang diri. Berdiri di hadapan mereka. Bela mereka bila diperlukan, jangan biarkan pasangan dilukai sewenang-wenangnya.
Ini adalah situasi yang benar. Terlalu ramai menantu bukan pilihan yang sedang menderita. Bukalah mata dan lihat serta dengar sendiri. Jangan abaikan masalah ini.
Kepada mentua, insaflah. Berhenti merosakkan keluarga anak anda sendiri. Buang ego itu ke tepi, pilihan anak perlu dihormati selagi ianya tidak memudharatkan. Berhenti cuba mengawal semua benda. Janganlah memaksa anak dan menantu menjadi seperti yang anda mahukan dan menjadi keluarga yang sama seperti keluarga anda. Setiap manusia itu unik dan ada keperluan dan minat masing-masing. Biarlah anak dan pasangan mereka menentukan arah tuju keluarga mereka. Itu hak mereka sendiri, bukan anda.
Kepada menantu bukan pilihan, bersabarlah. Jangan berhenti berkongsi masalah ini dengan pasangan. Mereka patut tahu apa yang ibu atau bapa mereka sendiri sedang buat. Teruskan tabah, dan buatlah sebaik mungkin. Fokus kepada keluarga sendiiri, jangan biarkan orang yang tidak menyukai kita menentukan kebahagiaan rumah tangga kita.
Solat duha ialah solat sunat yang dilakukan dalam waktu duha iaitu bermula dari terbitnya matahari hingga sebelum matahari berada di tengah-tengah. Untuk lebih mudah, waktu solat duha adalah kira-kira antara pukul 7.30 pagi – 11 pagi waktu tempatan. Walaupun ada beberapa pendapat berkaitan dengan waktunya, mudah bagi kita untuk mengambil waktu yang lazim iaitu sekitar pukul 8 pagi hingga 10 pagi.
Semestinya solat sunat duha ini mempunyai fadilatnya tersendiri kepada setiap manusia yang mengerjakannya. Apatah lagi jika dilakukan dengan penuh kesungguhan semata-mata kerana Allah SWT.
Disebutkan banyak kelebihan dan keutamaannya dalam beberapa hadis, antaranya dalam satu hadis yang panjang iaitu Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah masing-masing kamu untuk setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang dadanya. Maka setiap tasbih adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, mencegah dari kemungkaran adalah sedekah dan sebagai dari ganti itu semua cukuplah dengan mengerjakan dua rakaat dhuha.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)
Sharifah Zarina, penyanyi yang popular dengan lagu Langit Ketujuh juga turut mengamalkan solat Dhuha. Dalam Instagramnya, dia turut berkongsi doa solat Dhuha.
Luangkanlah masa seharian sekitar beberapa minit sahaja bagi mengerjakan solat ini agar kita memperoleh keberkatannya bersama. Yakinilah bahawa setiap amalan yang baik itu akan diberi ganjaran pahala oleh Allah di akhirat kelak nanti.
Sumber kredit: Sharifah Zarina Official
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?