Muallaf Ziarah Kubur Ibu Bapa Bukan Islam, Apa Hukumnya? Ini Penjelasan Ulama

Share

Muallaf ziarah kubur ibu bapa bukan Islam, apa hukumnya? Persoalan ini mungkin bermain di fikiran mereka yang memeluk Islam, yang masih menyimpan rasa kasih yang mendalam terhadap ibu bapa kandung yang telah meninggal dunia dalam keadaan bukan Islam.

Dalam Islam, hubungan darah tidak terputus walaupun berbeza agama. Maka hukum menziarahi kubur ibu bapa atau kaum kerabat bukan Islam telah dibahaskan oleh para ulama, dan terdapat panduan yang jelas berdasarkan sumber muktabar.

Ziarah Kubur Bukan Islam, Harus Hukumnya

Menurut pendapat jumhur ulama, harus bagi seorang Muslim menziarahi kubur ahli keluarga bukan Islam. Hal ini disebut secara jelas oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmuk:

“Harus bagi orang Islam mengikuti jenazah keluarganya yang kafir. Dan adapun ziarah kuburnya, maka yang betul ialah hukumnya harus. Ini juga merupakan pendapat majoriti fuqaha.”

Begitu juga dengan pandangan ulama seperti Syeikh al-Qalyubi yang menyatakan bahawa tidak mengapa orang Islam menghantar jenazah saudara bukan Islam, termasuk juga jika ia melibatkan ziarah kepada kubur jiran, sahabat atau pasangan bukan Islam.

Jika Bertujuan Iktibar, Hukumnya Sunat

Lebih daripada itu, jika tujuan ziarah adalah untuk mengingati mati dan mengambil pengajaran, maka hukum ziarah tersebut menjadi sunat.

Kata Syeikh Ibn Hajar dalam Tuhfah al-Muhtaj:

“Adapun kubur orang kafir maka tidak disunatkan ziarahnya. Tetapi harus hukumnya menurut pendapat yang lebih sahih. Ya, jika ziarah itu bertujuan untuk mengambil iktibar dan mengingati mati, maka ia disunatkan secara mutlak.”

Ini bermakna, muallaf yang menziarahi kubur ibu bapa bukan Islam tidak melakukan dosa, bahkan jika hadirnya disertai rasa insaf dan keinginan untuk mendoakan kebaikan buat diri sendiri, ziarah itu menjadi satu anjuran yang baik.

Islam tidak mengajar untuk membenci keluarga hanya kerana perbezaan akidah. Sebaliknya, menghormati dan menyantuni ahli keluarga adalah sebahagian dari adab seorang Muslim. Jika ziarah ke kubur itu membawa keinsafan, maka ia digalakkan dalam Islam.

Sumber: Ustaz Azhar Idrus

Baca lagi: Hukum Ambil Tanah Dari Perkuburan, Wajib Dikembalikan Jika Masih Ada

 

Related Post
Published by
Team Kashoorga