Isteri itu amanah Allah kepada seorang suami. Ini menunjukkan bahawa suami wajib menjaga amanah yang telah diberikan oleh Allah kepadanya. Si suami juga hendaklah memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya mengikut kemampuannya.
Namun apabila seorang suami culas menjalankan tanggungjawabnya kepada isterinya maka akan goyahlah sesebuah rumah tangga.
SOALAN:
Seorang wanita berkahwin dengan seorang lelaki. Kemudian rumahtangga menjadi kacau bilau sehingga si isteri yang terpaksa menjaga suami tersebut dengan menanggung nafkah keluarga. Tidak berapa lama kemudian, suami tersebut mula menjalankan perniagaan. Akhirnya dia berjaya dalam perniagaan tersebut dan menjadi kaya. Namun isteri masih tetap menanggung nafkah keluarga tanpa suami berusaha mengubah sistem tersebut.
JAWAPAN:
Jawapan
Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf. Surah al-Nisa’ (19)
Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Dan seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.
Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)
NAFKAH BAPA KEPADA KELUARGA
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (4/170-179) menyebut: Bapa dan datuk ke atas, wajib memberi nafkah anaknya, cucu dan ke bawah. Oleh itu, bapa bertanggungjawab memberi semua jenis nafkah kepada anak-anaknya sama ada lelaki atau perempuan. Jika mereka tidak mempunyai bapa, maka datuk wajib mengambil alih tanggungjawab tersebut dan begitulah seterusnya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ
Ads
Maksudnya: …jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; Surah al-Talaq (6)
Ayat ini menjelaskan bahawa perempuan yang menyusukan anak orang lain wajib diberi upah oleh bapa kepada anak tersebut. Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama dilaksanakan oleh bapa.
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” Surah al-Baqarah (233)
Dalam ayat ini, menisbahkan anak kepada bapanya yang menggunakan huruf lam ikhtisas membawa makna bapa dikhususkan bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anaknya. Oleh itu, kewajipan bapa memberi nafkah kepada ibu yang menyusukan anaknya menunjukkan bahawa kewajipannya memberi nafkah kepada anak-anak adalah lebih utama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/170-179)
Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat di atas bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/479)
Para ulama menetapkan bahawa nafkah yang wajib diberikan kepada sesiapa yang berada di bawah tanggungannya itu ialah seperti:
Ads
Makanan Barang-barang dapur Pakaian Tempat tinggal Alat-alat untuk membersihkan diri Pembantu bagi isteri jika sekiranya kebiasaan isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).
Imam al-Syaukani menyebut: Rasulullah SAW memberi nafkah dan keperluan secukupnya kepada ahli keluarganya mengikut kemampuan Baginda SAW. Rasulullah SAW menyediakan untuk isteri-isteri Baginda SAW tempat tinggal, makanan, pakaian dan semua keperluan dengan mencukupi dengan tidak berlebihan. Ini bersesuaian dengan kehidupan Rasulullah SAW yang memilih zuhud dan tidak bermewah-mewah. Dalam pemberian nafkah, Rasulullah SAW memberikan 20 wasaq gandum dan 80 wasaq kurma kepada isteri-isterinya pada setiap tahun. (Lihat Nail al-Autar, 5/221)
UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM
Undang-undang keluarga adalah termaktub di bawah undang-undang negeri. Jika di Wilayah Persekutuan, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada Seksyen 72 memperuntukkan:
“…adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.”[1]
Begitu juga pada Seksyen 73 antara lain menyebut:
Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya—
(a) jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;
Ads
(b) jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;[2]
KESIMPULAN:
Sebagai kesimpulan, kami nyatakan seperti berikut:
*Menurut kitab-kitab fiqh, semua tanggungan nafkah adalah di bawah tanggungjawab suami. Walaupun berlaku keredhaan dari pihak isteri, tetapi untuk menenangkan hati, berilah ganjaran yang setimpal kepada isteri yang telah memulakan rumahtangga dengan berjaya.
*Alangkah baik sekiranya suami tersebut memberikan kredit dan penghargaan di atas pengorbanan isteri yang besar selama ini. Sifat isteri yang sentiasa membantu suami adalah sangat terpuji. Berilah hadiah kepada isteri tersebut.
*Suami janganlah mengambil kesempatan sehingga tugas hakiki beralih kepada si isteri sedangkan ia pada hakikatnya adalah berada pada tangan suami.
*Tanggungjawab yang sebenarnya tidak berpindah kepada isteri. Isteri hanya bersifat menolong dan membantu. Jika isteri tidak mahu membantu pun tidak mengapa.
*Suami wajib mengambil alih tanggungjawab tersebut daripada isteri dan inilah yang sebenarnya.
Semoga rumahtangga kita menjadi seperti apa yang disebut Baiti Jannati dan marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar kehidupan kita diberkati dan dikurniakan kebahagiaan.
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” Surah al-Furqan (74)
Sebut saja romantik, anak muda mula tertarik hati…mungkin yang diketahui romantik sesama ‘couple’…No..No..No..ini romantik sesama pasangan suami isteri. Apa lag, jom ramai-ramai kita pakat kahwin. Isy..Isy..best oo kahwin…kalau tak percaya..cubalah kahwin..hehehe..
Rasulullah SAW adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik. Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat 4 bermaksud : “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”.
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menempatkan baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda Nabi SAW.
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi rumahtangga baginda Nabi SAW. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
KAYA NILAI KASIH SAYANG
Walaupun Rasulullah seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.
Diberitakan bahawa Rasulullah pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Aisyah berkata bahawa : “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)”. Hadis Bukhari dan Muslim. Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan.
Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”. Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya”.
Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim)
SUAP MAKANAN KE MULUT ISTERI
Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluang masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa “ Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian”.
Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid”. Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah berkata “ Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.”
Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa : “Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim) Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.
MENYANTUNI ISTERI
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) kerumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau di atas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata : “(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu”. Saodah menolak dengan berkata : Aku tidak akan memakannya”.
Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya). Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan. Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”. Membuatkan ikatan itu lebih intim. Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.
Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami. Adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet. Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.
Sumber kredit: Imam Muda Asyraf Redzuan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Setiap pasangan yang berkahwin pasti menginginkan kemanisan yang berpanjangan dalam rumah tangga yang dibina. Maka sebab itulah suami isteri harus bersikap terbuka dan menerima segala perubahan, kelebihan serta kelemahan dengan positif.
Mengutamakan teguran yang baik dan membuat perbincangan untuk menguruskan keserasian jika berlaku masalah amat penting bagi menjaga kerukunan rumah tangga. Rujukan kepada syariat penting buat pasangan suami isteri untuk dihayati, difahami serta diamalkan. Ia bertujuan bagi memperkukuhkan hubungan perkahwinan melalui kesepakatan pendapat berlandaskan hukum syarak.
Oleh itu persefahaman dan sikap toleransi suami isteri amat penting dalam memastikan kerukunan rumah tangga.
TIP TOLERANSI ANTARA SUAMI ISTERI
1. Isteri nak minta izin suami untuk bekerja, bukan sebab saja-saja. Tapi dengan niat nak tolong kurangkan beban suami semata. Lebih-lebih lagi, isteri ada ijazah kelas pertama. Tengok kawan-kawan sekuliah semua bekerjaya. Suami bertoleransi cuba penuhi kemahuan isteri.
2. Ada isteri yang teringin nak sambung belajar. Anak dah 2-3 memang dah tak terkejar. Tapi isteri ada impian nak kerja di universiti dan mengajar. Nak genggam segulung ijazah kedoktoran memang susah tak terucap dengan kata-kata. Kene banyak sokongan dari suami tercinta. Suami bertoleransi banyak berkorban sebab dia tahu betapa bahagianya hati isteri apabila tercapainya sebuah impian. Bahagia isteri adalah bahagia dia juga.
3. Simpan la bergaduh nak balik mana setiap kali raya. Mana-mana kampung pun kampung kita. Buat sistem giliran tu lebih adil dan saksama. Banyakkan toleransi bahagialah kita nanti.
4. Jika dilihat isteri dah tak ada idea memasak sampai dah berulang menu, suami ajak isteri makan di luar. Rehat memasak katanya. Nak belanja isteri dan anak-anak bukan tunggu anniversary saja. Bila-bila pun boleh buat hati mereka gembira.
5. Isteri teringin nak buat bisnes online, nak cari pendapatan sampingan. Nak majukan diri sendiri. Nak bekerja dari rumah sambil jaga anak-anak. Ada yang dah ada kerja hakiki, masih lagi nak berbisnes sebab nak cari duit tepi. Suami izinkan kerana ada toleransi. Inilah suami yang dicari-cari.
6. Suami ada harinya mahu pergi usrah. Berbincang tentang dakwah dan pembangunan ummah. Isteri hantar suami ke muka pintu dengan senyuman. Dalam hatinya ikhlas melepaskan. Moga-moga ada bahagian pahala untuknya dari Tuhan.
Isteri suka kalau suami senang dibawa bincang, mesti dia lompat bintang
Sumber kredit: FB: Nieza Termizi
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Hidup sebagai pasangan suami isteri, memang perlu saling hormat menghormati supaya rumah tangga dibina berkekalan hingga ke akhir hayat.
Namun ada juga segelintir para suami yang tidak hormatkan isteri. Sanggup lakukan isteri seperti orang gaji padahal insan ini perlu dimuliakan sebaik mungkin.
Menyedari perkara ini menjadi amalan normal dalam masayarakat kita, pemilik akaun Facebook Akhtar Syamir menyatakan 20 ciri suami yang tidak menghormati isteri untuk
dijadikan panduan agar perkara seumpama ini tidak terus berlaku.
Apa guna jika hidup bertahun lamanya tetapi sebenarnya batin isteri tersiksa diperlakukan seperti hamba oleh suami sendiri.
Ayuh kita selidiki ciri-ciri suami yang tidak hormatkan isteri untuk dijadikan panduan.
Gambar sekadar hiasan.
Ciri-Ciri Suami Yang Tidak Menghormati Isteri. Jadikan sempadan.
1. Tidak memberi kuasa kepada isteri di depan anak. – Ramai yang buat perkara ini tanpa sedar. Bila kita membangkang keputusan yang dibuat si ibu di hadapan anak, secara automatiknya anak akan menjadi kurang hormat kepada isteri.
2. Tidak jujur dan berterus-terang. – Isteri berhak tahu kebenaran tentang semua perkara dari suami. Menyembunyikan sesuatu perkara boleh dikategorikan sebagai penipuan terutamanya jika ia melibatkan isteri dan perhubungan.
3. Tidak mendengar dan mempedulikan pendapat. – Saya, saya, saya. Pendapat isteri diperlekehkan dan dipandang rendah.
4. Suka mengkritik berbanding menasihati dan cuba memperbaiki. – Masakan u tak sedap, u tak cantik, u tak pandai.
5. Sentiasa membandingkan isteri dengan wanita lain. – Antara perbuatan yang paling memberi kesan yang mendalam.
6. Sentiasa membandingkan diri dengan isteri. – Membandingkan sumbangan kepada keluarga, membandingkan gaji, membandingkan kerja, tahap pendidikan dan sebagainya.
7. Memaksa isteri untuk berubah mengikut standard suami. – Tidak semua perkara boleh jadi apa yang kita mahukan. Sebagai contoh, tidak semua isteri pandai memasak, tidak semua isteri suka aktiviti luar, tak semua isteri suka main game, tak semua isteri mampu menjadi jelita seperti artis. Ini standard yang kadang-kala tidak mampu dicapai tetapi tetap dipaksa.
8. Tidak mengutamakan isteri. – Kawan lebih penting, adik beradik lebih penting. Mungkin anak-anak lebih penting. Isteri jatuh nombor 4 atau 5 dalam senarai keutamaan.
9. Tidak rasa keperluan untuk membela dan melindungi isteri. – Isteri mengadu diganggu, biarkan. Isteri kena raba, biarkan. Isteri takut, dibiarkan.
10. Keperluan isteri tidak terjaga. – Keperluan asas contohnya pencuci muka, syampu, sabun, alat solek biasa tidak diambil peduli. Keperluan masa isteri dengan suami pun tidak diendahkan.
11. Melayan isteri seperti orang gaji. Suka mengarah. – Perkataan “tolong” paling susah untuk disebut. Semuanya ke arah arahan jelas. Buat itu, buat ini.
12. Tidak mahu membantu. – Semua kerja di rumah dilepaskan kepada isteri. Tidak memainkan peranan membantu mana yang patut.
13. Menganggap keluarga isteri tidak penting. – Menganggap apabila isteri sudah berkahwin, keluarga isteri tidak perlu penting. Hubungan antara isteri dan keluarganya sendiri dijauhkan.
14. Tidak peduli jika isteri tiada mood atau terlalu penat untuk hubungan seks. – Apa salahnya jika bertanya dahulu supaya kedua-duanya akan boleh menikmatinya bersama? Perhubungan ini bukan 1 hala sahaja.
15. Memburukkan dan memalukan isteri di hadapan orang lain. – Ini sangat mengecewakan isteri. Jangan anggap apabila ianya disertai dengan gelak tawa, isteri tidak ambil hati. Mereka malu dan kecewa sebenarnya.
16. Tidak mengambil tahu masa rehat isteri. – Hanya fokus pada diri sendiri. Tidak fikir sama ada isteri penat atau tidak. Perkara ini asas sahaja sebenarnya. Manusia ada tahap tenaga dan kemampuannya.
17. Selalu mengingatkan yang tiada orang lain yang mahukan isteri selain dia. – Ego dan “gaslight”. Selalu cuba meyakinkan yang isteri itu tidak berguna tanpa dia.
18. Membuat keputusan tanpa persetujuan atau pandangan isteri. – Tidak kira dari segi pelaburan, pembelian dan apa juga keputusan yang melibatkan isteri, keluarga dan masa depan, perlu dapatkan pandangan isteri juga.
19. Suka marah isteri di hadapan orang lain. – Sangat menyedihkan apabila isteri dimarahi di hadapan orang lain. Malu, kecewa, marah, semua ada. Suami perlu jaga aib isteri.
20. Sentiasa memuji wanita lain di hadapan isteri. – Memuji wanita lain di hadapan isteri umpama merendah-rendahkan isteri. Ada yang boleh terima, tetapi ada yang sengaja berbuat demikian untuk membuat isteri terasa. Namun ada juga yang tidak rasa perbuatan itu memberi kesan kepada isteri.
Ambil positif ciri-ciri ini. Jauhkan diri dari melakukan perbuatan yang menjadikan anda tidak hormat kepada isteri. Mereka layak dihormati seperti mana anda sebagai suami layak dihormati isteri.
Saya akan tulis mengenai ciri-ciri isteri yang tidak menghormati suami pula selepas ini supaya sama-sama kita boleh ambil iktibar dan berusaha ke arah suasana hubungan dan keluarga yang bahagia. In Shaa Allah.
Kongsikan penulisan ini untuk manfaat semua. Jadilah sebahagian dari punca sesuatu keluarga menjadi bahagia.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Masuk masjid nampak soket plug terus kita cas telefon bimbit yang kebetulan hampir kehabisan bateri.Mungkin ramai yang biasa melakukan perkara ini tanpa memikirkan bahawa...