
Niat Buat Jahat Tapi Tak Laksana Adakah Beroleh Pahala?
Niat buat baik tapi ada halangan dan tidak dapat melakukannya maka akan beroleh ganjaran pahala. Tapi bagaimana pula jika berniat buat jahat tapi tidak melakukannya? Adakah turut beroleh pahala?
Persoalan ini dijawab oleh Pejabat Mufti Wilayah dalam Al Kafi Siri 631: Berniat Buat Jahat Tapi Tak Buat, Adakah Dapat Pahala.
Dalam memahami perkara ini terdapat dua hadis yang perlu dihayati. Daripada Ibn Abbas RA, daripada Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan Al Bukhari:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan.” (Riwayat al-Bukhari, no. 6491)
Walau bagaimanapun, hadis di atas tidaklah boleh disalah fahami dengan menganggap sekiranya berniat untuk melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya maka akan mendapat pahala.
Ini kerana, terdapat hadis lain di mana Nabi SAW bersabda:
إِذَا تَوَاجَهَ الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا، فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ قَالَ فَقُلْتُ: أَوْ قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ هَذَا الْقَاتِلُ، فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟ قَالَ: إِنَّهُ قَدْ أَرَادَ قَتْلَ صَاحِبِهِ
Maksudnya: “Bila dua orang Muslim bertemu dengan pedang mereka, maka yang membunuh dan yang dibunuh berada di dalam neraka. Aku (Abu Bakrah) pun bertanya, “Wahai Rasulullah, orang yang membunuh (memang patut dimasukkan ke dalam neraka), bagaimana pula dengan orang yang dibunuh? Nabi s.a.w. menjawab: ‘Sesungguhnya dia mahu membunuh temannya”. (Riwayat al-Bukhari, no. 14)
Di sini dapat difahami bahawa niat seseorang untuk melakukan kejahatan juga dikira mendatangkan dosa sekiranya niat itu disertai dengan keazaman, kesungguhan dan kemahuan yang tinggi, tinggal sahaja terhalang untuk melakukannya.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Baca Lagi: Penyakit Lintasan Hati Adakah Boleh Sebabkan Murtad