Ramai kalangan kita suka bercuti di luar negara untuk melihat keindahan suasana ciptaan Ilahi. Jika negara yang dikunjungi adalah negara Islam sudah tentu memudahkan terutama segi makanan.
Tapi jika ke negara bukan Islam, kebiasaan masalah adalah untuk mencari restoren yang menyediakan makanan halal. Dalam hal ini adakah kita boleh makan di restoren atau kafe yang kebanyakannya menyediakan makan tidak halal.
Dalam satu hantaran di media social, Ustaz Azhar Idrus memberi penjelasan tentang perkara ini.
Menurut beliau, jika seorang Islam berada di negara bukan Islam dan tidak ada kedai orang Islam maka dia harus makan di kedai bukan Islam dengan dua syarat iaitu yang pertamanya bahan makananya adalah halal di sisi syarak dan yang keduanya bekas yang diguna untuk memasak seperti kuali dan periuk dan bekas untuk makan minum seperti pinggan dan cawan adalah bersih.
Ertinya : “Wahai manusia makanlah oleh kamu sekelian daripada rezeki pada bumi itu yang halal dan yang suci bersih.” (Al-Baqarah : 168)
Daripada ayat ini disyaratkan makanan yang hendak dimakan itu halal dan wajib pula keadaan makanan yang halal itu bersih samada di kedai orang Islam atau yang bukan Islam.
Diriwayatkan daripada Abi Tsa’labah Al-Khashani r.a. beliau berkata kepada Rasulullah sollallahu alaihi wasallam :
Ertinya : “Wahai Rasulullah sungguhnya kami pernah berada di negara ahli kitab yakni orang-orang kafir maka adakah boleh kami makan di dalam bekas-bekas makanan mereka itu? Lalu sabdanya : Jangan kamu sekelian makan di dalam bekas-bekas makanan mereka itu melainkan jika kamu tidak jumpa akan yang lainnya maka bersihkanlah dahulu bekas-bekas makanan mereka dengan air kemudian baru kamu makan di dalam bekas tersebut.” (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah dan lainnya)
Dan pada riwayat Imam At-Tirmizi Nabi sollalahu alaihi wasallam berpesan :
Ertinya : “Jika kamu sekelian tidak jumpa melainkan yang ada ialah bekas makan minum mereka itu yakni orang-orang kafir maka jangan sekelian kamu makan di dalamnya. Hendaklah kamu sekelian basuh bekas makan minum mereka itu dahulu kemudian baru kamu guna untuk makan minum di dalamnya.”
Oleh itu jika bahannya adalah haram seperti haiwan yang tidak disembelih mengikut syarak maka haram memakannya sekalipun dibasuh hingga bersih, begitu juga sekalipun bahannya halal seperti ikan atau telur tetapi dimasak di dalam kuali yang najis kerana sebelumnya digunakan kuali itu untuk memasak daging yang najis seperti daging babi misalnya maka haram memakannya.
Salah satu tanda kita berkomunikasi dengan Allah adalah melalui doa. Ia satu bentuk curahan hati secara terus kepada Ya Rabb. Luahlah, bicaralah kerana Allah itu Maha Mendengar.
Malah Rasulullah, kekasih hati Allah Taala turut sama berdoa biarpun sudah ada jaminan Baginda Nabi akan masuk ke syurga. Malah kita juga disarankan berdoa agar dapat ke syurga terutama syurga paling dekat dengan Arsy iaitu syurga Firdaus.
Mungkin ramai yang ingin tahu, apakah doa yang paling banyak dan kerap Rasulullah minta kepada Allah? Dipetik dari laman web Mufti Wilayah Persekutuan, inilah doa paling banyak Rasulullah sebut di hadapan Allah.
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Doa adalah satu ibadah menzahirkan keberhajatan seseorang hamba kepada Allah SWT. (Lihat al-Azkar oleh al-Nawawi, hlm. 395) Ia juga diertikan sebagai memohon dengan sepenuh hati kepada Allah SWT dengan permohonan yang mengharapkan kebaikan di sisi-Nya, memohon dengan rendah diri supaya apa yang diminta itu diperkenankan dan cita-cita termakbul. (Lihat Jawami’ al-Du’a min al-Qur’an wa al-Sunnah oleh Muhammad Sayyid Tantawi, hlm. 5)
Allah SWT sangat menyukai hamba-hamba-Nya berdoa kepada-Nya sepertimana yang disebut di dalam nas-nas Ilahi. Antaranya, firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah al-Baqarah: 186)
Ibnu Kathir menjelaskan, ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidak akan mengecewakan doa orang yang memanjatkan doa kepada-Nya. Dia tidak menolak dan mengabaikan doa seseorang, bahkan Dia Maha Mendengar doa. Di dalam pengertian ini terkandung anjuran untuk sentiasa berdoa, dan bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan doa yang dipanjatkan kepada-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/506)
Menjawab soalan di atas, kami nukilkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas R.A, beliau berkata:
كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ Maksudnya: “Doa Nabi SAW yang paling sering diucapkan ialah: (اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ) – “Ya Allah, Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.” Riwayat al-Bukhari (6389) dan Muslim (7016)
Maksudnya: “Apabila Anas hendak berdoa dengan satu doa, maka dia berdoa dengan doa tersebut. Apabila dia hendak berdoa dengan banyak doa, maka dia menyertakan doa tersebut di dalamnya.”
Dalam hadis yang turut diriwayatkan oleh Anas R.A, beliau berkata:
Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW selalu mengucapkan: “يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِك” (Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu). Kemudian aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, lalu apakah engkau masih risau kepada kami?” Baginda menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia berada di antara dua genggaman tangan (kekuasaan) Allah yang Dia bolak-balikkan menurut yang dikehendaki-Nya.”
Riwayat Imam Ahmad (12107), al-Tirmizi (2140), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261).
Manakala hadis lain yang diriwayatkan daripada Syahr bin Hausyab, katanya:
Maksudnya: Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah: “Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah SAW yang paling banyak apabila Baginda SAW disisi engkau?” Beliau menjawab: “Doa Baginda SAW yang paling banyak adalah: (يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ) – “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” – Ummu Salamah berkata: “Aku pernah berkata kepada Rasulullah SAW; Wahai Rasulullah! Betapa sering engkau berdoa: “يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”. Lalu Baginda SAW menjawab: “Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya.” Riwayat Imam Ahmad (26618) dan al-Tirmizi (3522)
Kesimpulan
Oleh itu, berdasarkan nas-nas yang dinyatakan, dapat disimpulkan, antara doa yang kerap dibaca oleh Baginda Rasulullah SAW ialah, antaranya:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ Maksudnya: Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”
Walaubagaimanapun, ini bukan bererti bahawa doa itu hanya terbatas kepada doa-doa tersebut, akan tetapi kita digalakkan untuk mengamalkan semua doa yang ma’thur sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan hadith-hadith yang sahih.
Semoga kita dapat melazimi dan memperbanyakkan doa dalam kehidupan seharian serta dikabulkan permintaan kita kepada-Nya. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Bahagian kaki Muslimah adalah antara yang mesti ditutup ketika solat. Namun untuk tujuan ini ada juga yang mengenakan stokin yang nipis hingga menampakkan warna kulit.
Timbul persoalan meskipun ditutup tapi adakah sah solat kerana masih menampakkan warna kulit. Berikut adalah jawapan daripada Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri
Antara syarat-syarat sah solat ialah menutup aurat. Ertinya, jika seseorang, sama ada lelaki atau perempuan, bersolat dalam keadaan tidak menutup aurat maka solatnya tidak sah dan perlu dikerjakan semula. Aurat bagi lelaki ialah bahagian tubuh antara pusat dan lutut, manakala wanita ialah seluruh tubuh kecuali wajah dan tapak tangan, berdasarkan mazhab Syafie.
Mereka berdalilkan hadis Nabi riwayat Aisyah R.Anha:
Maksudnya: “Allah tidak menerima solat orang perempuan yang mengalami haid melainkan dengan memakai khimar (tudung).”
Al-Tirmidzi berkata, “Hadis Aisyah ialah hadis hasan dan diamalkan (sebagai hujah) di sisi ahli ilmu.” Al-Nawawi berkata, “yang dimaksudkan sebagai “ha’id” itu ialah wanita yang sudah baligh”. Dan ini juga merupakan syarat sah juga bagi kaum lelaki.
Kadar penutup atau pakaian yang menutup aurat ialah, seperti kata Imam al-Syairazi dalam al-Muhazzab (125/1), “dan wajib penutupan aurat itu dengan suatu yang tidak mensifati warna kulit.”
Berkata Syeikh Zainuddin al-Malibari: “(penutupan aurat itu) dengan suatu yang tidak mensifati warna yakni warna kulit (yang boleh dilihat) dalam majlis al-takhotub (sebuah majlis percakapan).”
Setelah meneliti keterangan dan fakta di atas, kami cenderung untuk menyatakan seperti berikut:
Wajib menutup tapak kaki ketika solat bagi wanita dalam mazhab al-Syafie, dan ia merupakan syarat sah solat. Pendapat yang lemah dalam mazhab Syafie dan salah satu daripada pendapat dalam mazhab Hanafi, bahawa tapak kaki bukan aurat ketika solat. Mazhab Maliki mengkategorikan tapak kaki sebagai aurat ringan yang tidak memudaratkan solat apabila terdedah. Rujuk Syarh Yaqut al-Nafis (hlm.143-144)
Memakai pakaian nipis untuk menutup aurat adalah tidak memadai untuk mendapatkan solat yang sah.
Ukuran pakaian nipis dan tebal itu terdapat khilaf dalam ulama Syafieyyah. Kami cenderung kepada tarjihan Syeikh Ibn Ajil bahawa memadai jika pakaian itu tidak menampakkan warna kulit dalam jarak majlis al-takhatub, atau kira-kira 1.5 meter antara dua orang yang bercakap.
Namun pendapat muktamad seperti yang disebut oleh Syeikh Abu Makhramah bahawa tiada dabit majlis al-takhatub, melainkan dengan pandangan terlalu dekat dengan pakaian, adalah pendapat yang lebih berhati-hati.
Justeru, stoking wanita yang kelihatan nipis tetapi tidak boleh dilihat warna kulitnya, dan tidak boleh dibezakan warna kulit hitam atau putihnya, dalam jarak kira-kira 1.5 meter, adalah boleh dipakai oleh wanita semasa solat.
Sunat untuk memakai stoking yang lebih tebal, atau melabuhkan telekung, untuk keluar daripada khilaf dan mengelakkan fitnah.
Wallahua’lam.
Sumber kredit: FB: Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Esok umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa. Bergembiralah dengan kedatangan Ramadan kerana ia bulan penuh keampunan, keberkatan dan kerahmatan. Rasulullah sendiri mengajarkan kita untuk membaca doa apabila tibanya bulan mulia ini.
Antara doa diajarkan oleh Rasulullah SAW ﷺ agar semua urusan kita dipermudahkan dan memperoleh keberkatan. Bahkan para sahabat berdoa enam bulan lebih awal agar usia mereka disampaikan sebelum datangnya Ramadan.
Antara doa Rasulullah ﷺ saat menyambut Ramadan adalah seperti berikut:-
“Allah Maha Besar, Ya Allah jadikanlah hilal (bulan) itu bagi kami dengan membawa keamanan dan keimanan, keselamatan dan Islam. Rabbku dan Rabbmu (wahai bulan) adalah Allah.” (HR At-Tirmidzi 9/142)
Riwayat lain menerangkan dengan hadis yang hampir sama.
Allahu Akbar! Allahumma ahillahu ‘alayna bil-amni wal iimaani wassalaamati wal islaami, wat-taufiiqi Limaa tuhbbu wa tardho, Robunaa wa Robbukallahu.
“Allah Maha Besar, Ya Allah jadikanlah Hilal itu bagi kami dengan membawa keamanan dan keimanan, keselamatan dan Islam, dan membawa taufik yang membimbing kami menuju apa yang Engkau cintai dan Engkau redhai. Tuhan kami dan Tuhan kamu (wahai bulan), adalah Allah.” (HR Ahmad 888, Ad-Darimi 1729, dan dinilai sahih oleh Syua’ib Al-Arnauth dalam Ta’liq Musnad Ahmad, 3/171).
Allahumma sallimnaa ilaa Romadhona wa Sallimli Romadhona wa tasallimhu minni Mutaqobbala.
“Ya Allah, sampaikan diriku hingga sampai Ramadan, dan hantarkanlah Ramadan kepadaku, dan terimalah amal-amalku di bulan Ramadan.” (Lathaif Al-Ma’arif Hal 264). Sumber :- Sindonews
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?