
Esok umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa. Bergembiralah dengan kedatangan Ramadan kerana ia bulan penuh keampunan, keberkatan dan kerahmatan. Rasulullah sendiri mengajarkan kita untuk membaca doa apabila tibanya bulan mulia ini.
Antara doa diajarkan oleh Rasulullah SAW ﷺ agar semua urusan kita dipermudahkan dan memperoleh keberkatan. Bahkan para sahabat berdoa enam bulan lebih awal agar usia mereka disampaikan sebelum datangnya Ramadan.
Antara doa Rasulullah ﷺ saat menyambut Ramadan adalah seperti berikut:-
للَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالأَمْنِ وَالإِيمَانِ وَالسَّلاَمَةِ وَالإِسْلاَمِ ، رَبِّى وَرَبُّكَ اللَّهُ
Allahu Akbar! Allahumma ahillahu ‘alayna bil-amni wal iimaani wassalaamati wal islaami, Robbii wa Robbukallahu.
“Allah Maha Besar, Ya Allah jadikanlah hilal (bulan) itu bagi kami dengan membawa keamanan dan keimanan, keselamatan dan Islam. Rabbku dan Rabbmu (wahai bulan) adalah Allah.” (HR At-Tirmidzi 9/142)
Riwayat lain menerangkan dengan hadis yang hampir sama.
للَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْأَمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ، وَالتَّوْفِيقِ لِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَى، رَبُّنَا وَرَبُّكَ اللَّهُ
Allahu Akbar! Allahumma ahillahu ‘alayna bil-amni wal iimaani wassalaamati wal islaami, wat-taufiiqi Limaa tuhbbu wa tardho, Robunaa wa Robbukallahu.
“Allah Maha Besar, Ya Allah jadikanlah Hilal itu bagi kami dengan membawa keamanan dan keimanan, keselamatan dan Islam, dan membawa taufik yang membimbing kami menuju apa yang Engkau cintai dan Engkau redhai. Tuhan kami dan Tuhan kamu (wahai bulan), adalah Allah.” (HR Ahmad 888, Ad-Darimi 1729, dan dinilai sahih oleh Syua’ib Al-Arnauth dalam Ta’liq Musnad Ahmad, 3/171).
Rasulullah juga membaca doa ini.
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَارِكْ لَنَا فِى رَمَضَانَ
Allahumma baarik lanaa fii Rajaba wa Sya’baana wa ballignaa Ramadan.

“Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban, serta berkatilah kami di bulan Ramadan.” (HR Ahmad, Al-Baihaqi).
Dan terakhir antara doa biasa dibaca Rasulullah ialah :-
اَللَّهُمَّ سَلِّمْنـِي إِلَى رَمَضَانَ وَسَلِّمْ لِـي رَمَضَانَ وَتَسَلَّمْهُ مِنِي مُتَقَبَّلاً
Allahumma sallimnaa ilaa Romadhona wa Sallimli Romadhona wa tasallimhu minni Mutaqobbala.
“Ya Allah, sampaikan diriku hingga sampai Ramadan, dan hantarkanlah Ramadan kepadaku, dan terimalah amal-amalku di bulan Ramadan.” (Lathaif Al-Ma’arif Hal 264). Sumber :- Sindonews
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Bulu kucing najis atau tidak? Sahkah solat jika pakaian melekat bulu kucing

Ada orang kata bulu kucing daripada kucing hidup dan sudah mati itu najis. Kadang-kadang si pencinta kucing ragu-ragu sama ada sah atau tidak solat mereka jika ada bulu kucing telah melekat pada pakaian ketika mereka sedang bersolat. Entri ini boleh membantu untuk mengetahui solat mereka sah atau sebaliknya.
Merujuk pada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi, Nasaie dan Ibnu Majah daripada Kabsyah Binti Ka’ab bin Malik, bahawa suatu saat Abu Qatadah memasuki rumah dan disediakan minuman olehnya. Tiba-tiba datang seekor kucing meminum daripada air minuman itu dan Abu Qatadah mencondongkan mangkuk itu sehingga dapat diminum oleh kucing itu.
Ketika Abu Qatadah melihat Kabsyah memperhatikannya maka dia bertanya : “Apakah kau terkejut wahai anak saudara perempuanku?” Dia menjawab : “Benar”. Berkatalah Abu Qatadah sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda : “Kucing itu tidak najis, ia termasuk binatang yang berkeliaran di sekelilingmu”(Sahih Abi Daud dan lain-lain)
Berdasarkan hadis sahih ini para sahabat, tabi’in dan kebanyakan daripada ulama seperti Imam Syafie, Imam Ahmad dan Ishaq bin Abdullah mengatakan bahawa ianya tidak dikira najis. Bahkan jumhur ‘ulama mengatakan bahawa bulu kucing tidak najis kerana ia adalah daripada haiwan yang bukan daripada kategori haiwan najis. Malah jika jilatan kucing bukan najis maka bulu kucing adalah lebih utama untuk dikatakan tidak najis.
Pendapat yang paling rajah (benar) pula mengatakan bahawa setiap rambut, bulu, bulu pelepah dan benang bulu daripada kulit haiwan yang boleh dimakan atau tidak boleh dimakan adalah tidak najis sama ada ia masih hidup atau pun tidak. (Majmu’ Fatawa 38/21).

Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Mengharap Syafaat Di Akhirat, Belajarlah Kenali Tokoh Paling Berpengaruh Di Dunia Iaitu Nabi Muhammad SAW

Maulidur Rasul yang bakal disambut esok bukan setakat hari cuti biasa. Rugi jika kita beranggapan begitu kerana esok, 12 Rabiul Awal merupakan hari kelahiran tokoh paling berpengaruh di dunia iaitu Nabi Muhammad SAW yang juga pemberi syafaat kepada umatnya di hari akhirat kelak.
Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada 12 Rabiul Awal. Sebagai umat islam, kita diwajibkan mengetahui sejarah Baginda Nabi. Ia bermula dari kelahirannya, termasuk kisah perjuangannya sehinggalah Baginda wafat.
Kisah kehidupan Nabi Muhammad SAW bukan hanya untuk dibaca atau didengarkan saja tetapi juga dapat dijadikan sebagai contoh dalam menjalani kehidupan kita sehari-hari. Ini kerana kisah kehidupannya memang penuh dengan hikmah.
Meskipun Baginda seorang Nabi dan Rasul pilihan Allah SWT, namun ternyata hidupnya tidak lari dari ujian kehidupan. Bukan selalu berasa bahagia atau memperolehnya dengan mudah. Sebaliknya, Nabi Muhammad SAW juga tetap menerima cubaan dan tentangan dalam berdakwah untuk menyebarkan agama Islam. Berikut ini sejarah Nabi Muhammad SAW sejak lahir hingga wafat yang menarik untuk kita ketahui.
Jika kita tidak mengenal Nabi, bagaimana mahu memperoleh syafaat darinya di akhirat kelak. Ini kerana kita masuk syurga bukan dengan amalan tapi dengan rahmat dan kasih sayang Allah serta syafaat dari Nabi Muhammad.
Garis keturunan Nabi Muhammad SAW
Nabi Muhammad SAW atau nama lengkapnya Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdi Manaf bin Qushayi bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luayy bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin Nadhar bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma’ad bin ‘Adnan dan selanjutnya bertemu garis keturunan Baginda dengan Nabi Ismail AS.
Sementara garis keturunan Nabi dari sebelah ibunya adalah Muhammad bin Aminah binti Wahab bin Abdi Manaf bin Zuhrah bin Kilab. Dengan demikian, garis keturunan Baginda dari sisi ayah dan ibu bertemu pada datuk iaitu Kilab.
Kelahiran Nabi Muhammad SAW
Menurut pendapat yang paling kuat, Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada hari Isnin, malam 12 Rabiul Awwal di Makkah bertepatan dengan awal Tahun Gajah. Nabi Muhammad SAW dibesarkan di Makkah sebagai anak yatim kerana ayahnya, Abdullah wafat di Madinah dua bulan sebelum Nabi Muhammad SAW lahir.
Pada waktu itu, ayahnya sedang berdagang di Syam dan singgah di Madinah dalam keadaan sakit. Kemudian wafat di rumah pakciknya dari Bani Najjar. Saat itu ayahnya tidak meninggalkan apa-apa kecuali 5 ekor unta dan hamba sahaya perempuan.
Usia 5 tahun
Peristiwa pembelahan dada Baginda yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan syaitan yang wujud di dalamnya.
Diriwayatkan oleh Imam Muslim RA di dalam sahihnya dan ia telah diceritakan oleh Anas bin Malik RA, beliau berkata:
أَتَاهُ جِبْرِيلُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَلْعَبُ مَعَ الْغِلْمَانِ، فَأَخَذَهُ فَصَرَعَهُ، فَشَقَّ عَنْ قَلْبِهِ، فَاسْتَخْرَجَ الْقَلْبَ، فَاسْتَخْرَجَ مِنْهُ عَلَقَةً، فَقَالَ: هَذَا حَظُّ الشَّيْطَانِ مِنْكَ، ثُمَّ غَسَلَهُ فِي طَسْتٍ مِنْ ذَهَبٍ بِمَاءِ زَمْزَمَ، ثُمَّ لَأَمَهُ، ثُمَّ أَعَادَهُ فِي مَكَانِهِ، وَجَاءَ الْغِلْمَانُ يَسْعَوْنَ إِلَى أُمِّهِ – يَعْنِي ظِئْرَهُ – فَقَالُوا: إِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ قُتِلَ، فَاسْتَقْبَلُوهُ وَهُوَ مُنْتَقِعُ اللَّوْنِ “، قَالَ أَنَسٌ: «وَقَدْ كُنْتُ أَرَى أَثَرَ ذَلِكَ الْمِخْيَطِ فِي صَدْرِهِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW telah didatangi oleh malaikat Jibril AS ketika baginda SAW sedang bermain-main bersama budak-budak kecil yang lain. Maka, Jibril AS telah mengambil baginda SAW lalu merebahkan baginda SAW. Kemudian, Jibril As telah membelah dada baginda SAW dengan mengeluarkan segumpal darah daripada hati baginda SAW sambil berkata “Ini adalah bahagian syaitan yang terdapat di dalam dirimu”. Kemudian Jibril AS menyucikannya di dalam sebuah bekas yang diperbuat daripada emas dengan menggunakan air zamzam. Setelah itu, Jibril AS menjahitnya kembali dan mengembalikan baginda SAW di tempat permainannya tadi. Budak-budak kecil yang bermain bersama baginda SAW tadi pergi mengadu kepada ibunya dengan mengataka bahawa: “Muhammad telah dibunuh”. Orang ramai menyambut baginda SAW yang dalam keadaan pucat kerana baginda masih di dalam ketakutan. Anas berkata: “Aku telah melihat kesan jahitan tersebut di dada baginda SAW”. [Riwayat Muslim, (162)]
Perjalanan Hidup Nabi Muhammad SAW
Pada tahun keenam dari umurnya, ibunya membawa Nabi Muhammad SAW pergi ke Madinah untuk menemui pakcik-pakciknya di sana. Namun ketika baru sampai ke desa Abwa iaitu suatu desa yang terletak antara kota Makkah dan Madinah, ibunya, Aminah meninggal dunia. Maka Nabi Muhammad SAW diasuh oleh Ummu Aiman di bawah tanggungan datuk baginda iaitu Abdul Muthalib dan ia sehingga dua tahun lamanya.
Pada usianya lapan tahun dari umur Nabi Muhammad SAW, Abdul Muthalib meninggal dunia sehingga Nabi Muhammad SAW diasuh oleh pakciknya iaitu Abu Thalib.
Tatkala Nabi Muhammad SAW mencapai usia 12 tahun, Baginda dibawa berniaga oleh pakciknya iaitu Abu Thalib ke negeri Syam. Dan ini merupakan perjalanan Baginda yang pertama kali.

Pada usia Baginda, 14 atau 15 tahun, Baginda sudah terlibat dalam peperangan Fijar. Baginda Nabi Muhammad telah menyertai peperangan itu dalam beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah dalam medan perang tersebut. Pada usianya 20 tahun pula, Baginda telah menyaksikan perjanjian Al-Fudhul iaitu perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Kota Mekah.
Kemudian ketika Nabi Muhammad SAW mencapai usia 25 tahun, baginda pergi ke Syam untuk kali keduanya dengan membawa barang dagangan milik Khadijah binti Khuwailid.
Setibanya di Makkah dari perjalanan dagang tersebut, Nabi Muhammad SAW menikah dengan Khadijah binti Khuwailid iaitu dua bulan sesudah kedatangannya. Setelah itu Nabi Muhammad SAW pindah ke rumah Khadijah. Dari pernikahan itu lahirlah tiga orang putera iaitu Al Qasim, Abdullah dan Thayyib (Ibrahim) yang semuanya meninggal ketika usia kecil. Serta empat orang puteri iaitu Zainab, Ruqayyah, Ummu Kultsum dan Fatimah.

Masa berlalu, Makkah diuji dengan banjir besar dan mengakibatkan dinding Kaabah runtuh, beberapa tahun sebelum peristiwa kenabiannya terjadi (Nubuwwah).
Banjir besar melanda Kota Makkah itu meruntuhkan dinding Kaabah. Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Kota Mekah. Rasullullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan Hajarul Aswad ke tempat asalnya dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung siapa yang akan meletakkan batu tersebut.
Kemudian pada tahun ke empat puluh, Allah SWT memuliakan Nabi Muhammad SAW dengan menetapkannya sebagai Nabi dan Rasul dengan turunnya Malaikat Jibril kepadanya. Di mana sebelumnya Baginda beruzlah (mengasingkan diri bermunajat kepada Allah) dan beribadah dengan menjadikan Gua Hira yang berada di sebelah puncak Jabal Nur.
Wafatnya Nabi Muhammad SAW
Diringkas ceritanya, pada tahun 11 hijriah Nabi Muhammad SAW mulai jatuh sakit. Kemudian Nabi Muhammad SAW meninggal dunia. Jenazahnya baru dimakamkan selepas penggantinya, Abu Bakar dilantik menjadi Khalifah iaitu menjadi pemimpin kaum Muslimin.
Jenazah Nabi Muhammad SAW dimakamkan di rumah Aisyah, tempat di mana Baginda wafat. Nabi Muhammad SAW dimakamkan pada malam Rabu tengah malam, dan di atas makamnya dipercikkan air oleh Bilal. Makam Nabi Muhammad SAW diletakkan agak tinggi sejengkal dari permukaan bumi.
Para ahli tarikh telah bersepakat bahawa hari lahir Nabi Muhammad SAW, hijrahnya dan wafatnya adalah pada hari Isnin tanggal 12 Rabiul Awwal 11 Hijrah/08 Jun 632 Masihi. Semoga Allah SWT menganugerahkan selawat dan salam kesejahteraan kepada Nabi Muhammad SAW, berserta keluarga dan para sahabatnya.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Antara Trend Dan Juga Tuntutan, Wanita Semakin keliru Dengan Fesyen

Mata tertancap pada satu foto di skrin komputer. Terpapar gambar seorang gadis dengan fesyen tudung terkini gadis remaja. Terpapar foto gadis yang mengenakan turtle neck inner di sebelah dalam dengan lilitan tudung dari satin pada bahagian luarnya sebagai pelengkap.
Tudung yang disarungkan sudah menutupi bahagian dada namun keseluruhan penampilan dan gaya yang ditunjukkan masih ada yang tidak kena. Biarpun ada segelintir Muslimah moden hari ini merasakan isu aurat dan yang berkait dengannya sebagai isu kecil tetapi selagi mana sesuatu perkara itu mengetengahkan hukum Allah SWT dan masalah-masalah yang berada di sekitarnya, selama itulah isu tersebut sangat perlu diambil perhatian walau berapa kali ia diulang penjelasan.
Ia peringatan juga sebagai satu usaha nasihat menasihati yang sangat disarankan oleh Ar Rahman.
Firman-Nya dalam Surah Az-Zaariyat ayat 55 yang maksudnya : “Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”
Perjuangan dan trend
Andai di era permulaan perintah hijab ketika Rasulullah SAW masih bersama, para sahabiyat mengenakan pakaian menutup aurat sebagai manifestasi dari ketaatan mereka atas akujanji: Sami’na wa atho’na. Keadaan ini terserlah daripada tindakan mereka menarik apa sahaja yang tercapai dek tangan sebaik mendengar ayat hijab dibacakan oleh saudara-saudara lelaki mereka baik suami, abang atau ayah.
Suasana ini terakam indah pada hadis Rasulullah SAW :
“Ketika kami bersama ‘Aisha RA, kami menyebut mengenai kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aisha menyampuk: “Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi ALLAH sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab ALLAH. Apabila ALLAH turunkan ayat (yang bermaksud) : ‘…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…’serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang ALLAH turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang diturunkan ALLAH, maka jadilah mereka wanita yang bertudung bersama Rasulullah SAW, seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Akan tetapi di era milenium ini, kala fesyen busana Muslimah semakin mendapat tempat di kalangan wanita biasa, selebriti dan wanita ternama, rata-rata yang mengenakan tudung dan busana tersebut, kelihatan belum benar-benar memahami tuntutan sebenar dari kehendak ILAHI. Ia lebih mengikut ‘trend’ berbanding kesedaran untuk melangsaikan kewajiban.
Dek kerana itu, masih ramai yang bertudung tetapi memakai baju ketat dengan legging atau seluar sendat. Akibatnya keindahan wanita yang sepatutnya terlindung di sebalik hijab menjadi lebih mempesona dan membangkit ghairah lelaki yang rosak jiwanya untuk ‘menikmati’ dengan mata ‘luas terbuka’
Bukan mudah untuk wanita menghadapi cabaran arus berfesyen terutama wanita bekerjaya. Penampilan adalah antara subjek penting untuk menambah keyakinan di alam pekerjaan. Naluri wanita yang semestinya sentiasa menginginkan kecantikan membaluti diri. Melihat gaya semasa, dia mahu mencuba. Bila muncul ‘trend’ terkini, dia juga tidak mahu ketinggalan sama.
Perkembangan semasa
Melangkah sahaja keluar dari rumah, di jalan raya, di dalam bas, lif sehingga tiba di pejabat untuk bekerja, mata akan menangkap pelbagai fesyen dan gaya anggun mewarnai suasana. Sedikit sebanyak rasa cemburu dengan penampilan serba indah orang lain mampu menggugah jiwa. Sukarnya untuk bertahan dan kekal dengan penampilan yang sudah tidak lagi menjadi pilihan ramai sedangkan jika dibuat perbandingan, pakaiannya itu sudah menepati kehendak agama.
Memang tidak mudah melawan arus. Tersilap berpegang dan berpaut, diri akan hanyut. Mungkin ini salah satu yang dinyatakan sebagai sabar dalam mengerjakan ketaatan. Wanita yang benar-benar mahu mengenakan pakaian yang bertepatan kehendak syari’at semata-mata demi memenuhi tuntutan agama, kerana DIA semata, perlu mempertingkatkan kesabarannya supaya tidak mudah ‘tergoda’ dengan arus semasa yang bagai melambai-lambainya untuk turut serta.

Patuh syariah
Wahai Muslimah, fahamilah tentang busana yang benar-benar patuh syari’ah. Selama mana kita masih mengikat hati dan tunduk dengan keinginan ‘dunia wanita’ dalam diri kita, selagi itu kita belum mampu ‘membezakan’ hijab yang syar’ie dengan yang sebaliknya.
Ia menutup, melindungi dan sekali gus menjadikan mata-mata yang memandang, terdorong melakukan ketaatan bukan menaikkan nafsu, memuntah rasa cemburu dan hasad yang merosakkan jiwa. Biar pun mungkin ia tidak dizahirkan secara lisan tetapi ia memakan jiwa dalam sehingga lahirnya Muslimah yang keliru dalam beragama.
Terlalu banyak design yang menarik di pasaran tetapi sejauh mana keprihatinan kita untuk ‘menghijrahkan’ design yang menarik itu sesuai kehendak ILAHI. Adakah ia benar-benar melindungi tubuh sendiri dan bukan semata memenuhi keinginan peribadi atas nama agama yang suci ini.
Sebagai wanita ramai yang sering teruja untuk ‘meniru’ gaya seseorang terutama selebriti dan tokoh ternama yang kelihatan cantik dan anggun dengan penampilan, pakaian dan tudungnya, tanpa lebih dulu bercermin dan ‘jujur’ melihat diri. Tidak semua gaya dan penampilan wanita lain yang cantik pada pandangan mata akan turut cantik bila dikenakan ke atas diri sendiri.
Anda bukan Hana Tajima, anda juga bukan Ana Althafunnisa. Anda bukan sesiapa melainkan anda adalah diri anda sendiri. Justeru kenali tubuhmu, mesrai naluri iman dalam jiwamu dan dari situ tentukan gayamu. Namun jangan sesekali lupa, pastikan penampilan itu mendapat ‘restu’ Yang Esa…
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI