Adakah membiarkan pakaian bersidai pada waktu senja akan mengundang ludah daripada syaitan? Kerana kami (suami dan saya) dua-dua kerja, kadang bila sampai rumah dah senja jadi harap ada pencerahan daripada pihak Mufti. Terima kasih.

Kalau dah petang, pakaian masih belum diangkat di ampaian orang tua cukup marah. Kata mereka nanti diludah syaitan. Kita pun sampai sekarang masih mengikut kata-kata ini.

Tapi betul ke ada hadis yang mengatakan perkara ini. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan baru-baru ini memberikan penjelasan tentang kepercayaan ini.

Tiada nas syarak

Masyarakat Islam Nusantara terkenal dengan pantang larang orang tua-tua. Hal ini bertujuan mendidik generasi muda agar dapat mempraktik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Meskipun kadang-kadang akibat daripada melanggar pantang larang itu tidak tercapai dek akal dan tidak berpijak pada bumi nyata, namun ia mempunyai nilai-nilai murni yang mampu mendidik generasi muda secara langsung mahupun tidak langsung. Unsur nilai yang diperolehi daripada pantang larang tersebut adalah pelbagai seperti sikap hormat, bersopan santun, sentiasa berwaspada, berbudi pekerti dan seumpamanya.[2]

IKLAN

Berkenaan dengan isu membiarkan pakaian bersidai di ampaian pada waktu senja akan mengundang ludah daripada syaitan, setelah diteliti tidak dijumpai nas syarak yang menyebutkan sedemikian.

Perkara ini boleh dikategorikan sebagai pantang larang orang tua-tua masyarakat Melayu. Rasionalnya ialah waktu senja merupakan waktu syaitan berkeliaran dan waktu tersebut sebaiknya berada dalam rumah agar tidak terkena sampuk. Perkara ini berdasarkan satu hadis iaitu Jabir RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا كَانَ جُنْحُ اللَّيْلِ، أَوْ أَمْسَيْتُمْ، فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ، فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ، فَإِذَا ذَهَبَتْ سَاعَةٌ مِنَ اللَّيْلِ فَخَلُّوهُمْ، وَأَغْلِقُوا الأَبْوَابَ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَفْتَحُ بَابًا مُغْلَقًا

IKLAN

Maksudnya: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah SWT kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.”[3] Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Dalam memahami hadis ini, Imam Ibn ʻAbd al-Barr menyebut bahawa hadis ini menunjukkan perintah supaya menutup pintu-pintu pada malam hari terutama apabila tibanya senja itu adalah sunnah. Ia juga sebagai perlindungan kepada manusia daripada terkena kecelakaan atau keburukan syaitan dalam kalangan manusia dan jin.[4]

Selain itu, larangan berada di kawasan luar rumah ketika waktu senja kerana ketika itu syaitan aktif berkeliaran maka ditakuti kanak-kanak juga akan terkena gangguan daripada syaitan.[5] Bahkan pada waktu tersebut merupakan waktu kesukaan syaitan untuk menikmati kotoran dan kotoran itu kebiasaannya terdapat pada kanak-kanak.[6]

IKLAN
Kesimpulan

Tidak dijumpai mana-mana nas syarak yang menyebutkan membiarkan pakaian bersidai di ampaian pada waktu senja akan mengundang ludah daripada syaitan.

Meskipun begitu, hal ini boleh dikategorikan sebagai pantang larang orang tua-tua masyarakat Melayu yang bertujuan untuk mendidik generasi muda agar tidak keluar rumah di waktu senja.

Rasionalnya ialah waktu senja merupakan waktu syaitan berkeliaran dan waktu tersebut sebaiknya berada dalam rumah agar tidak terkena sampuk. Perkara ini berdasarkan kepada hadis Nabi SAW yang melarang keluar rumah ketika senja dan menyuruh supaya kesemua pintu rumah ditutup.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI