Mungkin ada kalangan kita pernah mengambil barang atau harta milik rakan atau orang yang tak dikenali tanpa izin.
Sampai satu masa timbul perasaan insaf dan ingin memulangkannya kmbali. Jadi masalah tuan punya barang itu sudah pun berpindah dan tidak lagi dapat dihubungi. Dalam keadaan ini apa yang perlu dilakukan? Bolehkah harta atau barang ini disedekahkan?
Wajib taubat dan pulangkan harta
Penjelasan tentang perkara ini dikongsi oleh pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus. Terlebih dahulu kata beliau kita perlu faham hukum mengambil harta orang lain lain tanpa izin itu adalah perbuatan haram.
Wajib baginya bertaubat kepada Allah dan wajib pula dia kembalikan harta tersebut kepada pemiliknya dan jika pemiliknya sudah mati maka wajib dia serahkan kepada warisnya.
Jika pemiliknya sudah berpindah maka wajib dia cari pemilik tersebut di tempat dia berpindah dan kembalikan hartanya kepadanya atau kepada warisnya dan meminta maaf daripadanya.
Jika pada adatnya sudah putus asa dari bertemu pemiliknya atau warisnya maka bolehlah dia bersedekah harta tersebut atau nilainya.
Berkata Imam Ghazali :
يجب أن ترده عليه، إن أمكنك، فإن عجزت عن ذلك؛ لعدم أو فقر، فتستحل منه. وإن عجزت عن ذلك لغيبة الرجل أو موته، وأمكن التصدق عنه، فافعل، فإن لم يمكن، فعليك بتكثير حسناتك، والرجوع إلى الله تعالى بالتضرع، والابتهال إليه أن يرضيه عنك يوم القيامة
Ertinya : “Wajib kamu kembalikan harta yang diambil ke atasnya jika dapat. Maka jika kamu tidak mampu dari pulangkan harta atau bayar gantinya kerana harta sudah itu sudah tiada dan kamu miskin tidak dapat mengganti nilainya maka hendaklah kamu minta halal daripadanya.
Jika pemilik harta tak dijumpai
Maka jika kamu tidak mampu juga yang demikian itu kerana pemiliknya tidak dijumpai atau telah mati dan kamu boleh bersedekah maka sedekahlah. Maka jika kamu tidak mampu bersedekah maka banyakkan berbuat amal soleh dan kembali kepada Allah Taala dengan merendah diri dan bertaubat sungguh-sungguh kepada-Nya mudah-mudah Allah meredhai kamu pada hari kiamat.” (Kitab Minhaj Al-Abidin)
Hendaklah sedekah yang dilakukan itu diniatkan atas nama pemiliknya semoga menjadi pahala ke atas pemiliknya di akhirat sana.
Artinya : “Maka jika lemah dari yang demikian itu yakni tidak dapat menemuinya maka sedekahlah dengan harta itu daripadanya. Maka jika pemiliknya hendak memilih pahala sedekah itu pada hari kiamat nescaya jadilah pahala itu baginya. Dan jika pemilik itu enggan dari menerima pahala tersebut jadilah ia menyempurnakan apa yang kurang daripada bandingan hartanya dan adalah pahala sedekah itu bagi yang bersedekah dengannya sepertimana yang sabit daripada sahabat r.a.” (Kitab Zadul Ma’ad)
Ringkasnya hendaklah dilakukan seperti urutan di bawah ini :
-Wajib bertaubat dan dikembalikan harta yang diambil cara yang tidak benar kepada tuan harta dan meminta maaf daripadanya.
-Jika harta tersebut sudah tiada maka wajib dibayar akan harganya.
-Jika tidak mampu membayarnya sebab miskin maka hendaklah meminta halal daripadanya.
-Jika tuan harta sudah mati maka wajib diserahkan kepada warisnya.
-Jika tuan harta sudah pindah maka wajib mencari tuan harta dan warisnya.
-Jika semua cara di atas tidak berjaya maka bolehlah disedekahkan.
Memberi nama anak yang elok kepada anak adalah sangat dituntut dalam Islam. Oleh itu ramai juga yang memberi nama untuk anak dengan nama-nama nabi. Tapi apa pula hukumnya jika kita menamakan anak dengam nama para malaikat contohnya Jibril, Mikail dan sebagainya. Adakah ia dibolehkan?
Mungkin ramai tidak tahu bahawa terdapat ulamak yang memakruhkan penggunaan nama Jibril, perkara ini diterangkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan. Berikut adalah penjelasan tentang perkara tersebut.
Imam Malik memakruhkan penggunaaan nama Jibril
Menurut Imam al-Nawawi, mazhab Syafi’e dan jumhur ulama mengharuskan memberi nama anak dengan nama-nama para anbiya’ dan malaikat, dan tiada larangan yang tsabit daripada Nabi SAW berkenaan perkara ini. Imam al-Buhuti daripada mazhab Hanbali juga sependapat dengan mazhab Syafi’e yang menafikan kemakruhan menamakan anak dengan nama malaikat.
Namun terdapat juga para ulama yang memakruhkannya, antaranya ialah Imam Malik yang memakruhkan penggunaan nama Jibril. Imam Ibn al-Qayyim pula memakruhkan penggunaan semua nama malaikat, dengan berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Jarrad R.A:
Ads
صحبني رجل من مزينة فَأتى النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم وَأَنا مَعَه فَقَالَ يَا رَسُول الله ولد لي مَوْلُود فَمَا خير الْأَسْمَاء قَالَ إِن خير الْأَسْمَاء لكم الْحَارِث وَهَمَّام وَنعم الِاسْم عبد الله وَعبد الرَّحْمَن وتسموا بأسماء الْأَنْبِيَاء وَلَا تسموا بأسماء الْمَلَائِكَة قَالَ وباسمك قَالَ وباسمي وَلَا تكنوا بكنيتي
Maksudnya: Seorang lelaki dari Mazinah bersamaku, dan Nabi SAW datang sedang aku bersama rakanku itu, lalu dia bertanya kepada Rasulullah SAW “apakah sebaik-baik nama?” Nabi SAW menjawab “sebaik-baik nama bagi kalian ialah al-Harith dan Hammam, dan dan seelok-elok nama ialah Abdullah dan Abdurrahman. Namakanlah anak-anak dengan nama para anbiyaa’, dan jangan namakan mereka dengan nama para malaikat. Kawanku bertanya lagi “bolehkah kami menggunakan nama kamu (wahai Rasulullah)? Nabi SAW menjawab “ya, kalian boleh menggunakan namaku, namun jangan kamu menggunakan kuniyah aku.”
Harus menamakan dengan nama malaikat kecuali 4 nama ini
Ads
Mengambil kira larangan bersifat makruh oleh sebahagian ulama daripada menggunakan nama-nama khusus bagi malaikat seperti Jibril dan Mikail, maka kami juga berpandangan bahawa nama-nama tersebut adalah khusus bagi malaikat dan makruh untuk kita menggunakannya. Lebih-lebih lagi kita dapati tiada dalam kalangan para sahabat R.Anhum yang menggunakan nama tersebut.
Kesimpulan menamakan anak dengan nama para malaikat hukumnya adalah harus, kecuali nama-nama yang sinonim dengan nama Malaikat, iaitu Jibril, Mikail, Izra’il dan Israfil.
Ads
Adapun nama-nama lain bagi malaikat yang turut biasa digunakan oleh orang ramai seperti Malik dan Ridhwan, maka tiada kemakruhan padanya.
Solat jamak seperti diketahui adalah untuk kemudahan mereka yang bermusafir lebih dari dua marhalah atau 82km.
Tapi situasi hari ini ramai saja yang bekerja jauh dari kediaman dan menghabiskan masa berjam-jam memandu atau menaiki pengangkutan awam. Ada yang menempuh perjalanan hampir 100km setiap hari untuk ke tempat kerja.
Dalam keadaan ini adakah mereka yang berulang alik ke tempat kerja melebihi jarak 2 marhalah dibolehkan melakukan solat jamak.
Berikut adalah penjelasan yang diberikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan tentang hal ini.
Solat qasar dan jamak adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya :
Maksudnya :” Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”
(Surah al-Nisa’ :101)
Jalaluddin al-Mahalli dan al-Sayuti menyatakan yang dimaksudkan dengan ayat ini apabila kalian bermusafir boleh untuk memendekkan solat iaitu daripada empat jadikan dia dua rakaat.
Rujuk Tafsir al-Jalalain (2/101)
Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan solat qasar dan jamak dilakukan. Antara yang disebutkan oleh para fuqaha :
Solat yang diqasarkan adalah solat fardu yang empat rakaat.
Ada tujuan walaupun dengan mana-mana arah
-Permusafirannya adalah permusafiran yang diharuskan bukan kerana maksiat
-Mempunyai tujuan yang baik seperti pergi kerana urusan perniagaan dan lain-lain.
-Jarak perjalanan adalah sejauh dua marhalah iaitu dianggarkan sejauh 82 kilometer.
-Melepasi negeri atau kawasan tempat bermukim.
-Ada pengetahuan berkenaan hukum hakam solat qasar dan jamak
Rujuk Al-Taqrirat Al-Sadidah Fi Al-Masail Al-Mufidah (hlm 314-315)
Al-Khatib Al-Syarbini ketika menjelaskan berkenaan dengan syarat yang membolehkan untuk qasar dan jamak, beliau mengatakan permusafiran tersebut mestilah bukan dengan tujuan maksiat.
Sama ada yang wajib seperti bermusafir untik menunaikan haji ataupun yang mandub seperti menziarahi kubur Nabi SAW ataupun yang harus seperti bermusafir untuk perniagaan.
Rujuk al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’(2/384)
Imam Al-Ramli menyatakan permusafiran itu mestilah sama ada yang wajib atau mandub ataupun yang harus. Boleh jadi permusafiran itu adalah yang makruh seperti bermusafir sendirian terutamanya pada waktu malam.
Rujuk Nihayah Al-Muhtaj Syarh Al-Minhaj(2/248)
Berdasarkan pernyataan di atas, kami melihat bahawa boleh untuk menqasarkan dan menjamakkan solat pada hari bekerja kerana telah memenuhi syarat-syarat utama qasar dan jamak iaitu perjalanan melebihi 2 marhalah dan tujuan perjalanan adalah tujuan yang harus.
Harus diingatkan, solat jamak dan qasar hanya boleh dilakukan di tempat kerja ataupun ketika dalam perjalanan. Adapun ketika sampai di kawasan permukiman tidak boleh untuk mengambil rukhsah tersebut dan perlu dilakukan solat secara sempurna.
Mustahil kita tidak tahu apa itu wuduk. Mengambil wuduk tidak kira lah untuk mendirikan solat atau ibadah lainnya, mempunyai 1001 kelebihan atau fadilat.
Munurut Muhammad Kamil Abd al-Somad, dalam bukunya al-I’jaz al-Ilmi fi al-Islam wa al-Sunnah al-Nabawiyah menjelaskan, manfaat dalam wuduk sangat besar untuk tubuh badan manusia.
Mula daripada membasuh tangan dan menyela-nyela jari, berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam lubang hidung, membasuh muka, membasuh kedua-dua tangan sampai siku, mengusap kepala, membasuh telinga, kemudian membasuh kaki hingga buku lali.
Apa yang Allah perintahkan sebenarnya mempunyai rahsia besar tersembunyi di sebaliknya. Para pakar kesihatan turut memperakui kelebihan berwuduk ini dan menganjurkan agar membersihkan kaki, mulut dan muka sebelum tidur.
Dalam Islam, kelebihan berwuduk tidak semata-mata untuk membersihkan anggota supaya bersih dan kelihatan cantik, hakikat yang lebih besar ialah berwuduk mempunyai nilai ibadah yang tinggi. Jika seseorang berada dalam keadaan suci, bererti dia dekat dengan Allah.
Kelebihan Berwuduk
Tanda orang beriman
Apabila berwuduk bermakna kita mementingkan kebersihan diri. Bersih adalah sebahagian daripada iman. Sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Malik al-Ash’ari r.a, Nabi SAW bersabda:
“Bersuci itu adalah sebahagian daripada iman…” (H/R. Muslim, no. 223)
Terhapusnya Dosa-Dosa Kecil
Fadilat ini sepatutnya direbut oleh kita. Bayangkan seharian kita pasti tidak lepas melakukan dosa-dosa kecil, maka perlu ada usaha mensucikan.
Dalam hal ini, mengambil wuduk yang sempurna bukan sahaja menjamin diterimNya solat tetapi ia juga menghapuskan dosa-dosa selagi tidak melakukan kesyirikan.
Rasulullah SAW bersabda:
“Dari Abu Hurairah r.a berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwudhu’ maka setelah ia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya setiap dosa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kedua belah kakinya, keluarlah dari kedua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwuduk ia bersih dari dosa-dosanya”. (H/R. Muslim, 1/148)
“Dari Abi Umamah r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang muslim berwuduk maka akan keluar dosa-dosanya dari pendengarannya (telinganya), matanya, tangannya dan dari kedua kakinya. Apabila ia duduk menanti solat, ia duduk dalam keampunan (diampunkan) dosa-dosanya”. (H/R. Ahmad, 5/252.)
Mengangkat Darjat Kita
Kita sibuk ingin menaikkan darjat di mata manusia, namun tahukah kita bahawa lebih mulia lagi jika kita naikkan darjat di sisi Allah dengan cara yang disukaiNya iaitu berwuduk.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Suka kah kamu semua sekiranya aku tunjukkan kepada kalian akan amalan yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan mengangkat beberapa darjat kalian? Mereka menjawab: “Ya, wahai Rasulullah”. Maka Baginda SAW pun bersabda: “Iaitu (antaranya) menyempurnakan wuduk walaupun dalam keadaan yang tidak disenangi (seperti kesejukan dan sebagainya)…” (H/R. Muslim, no: 253)
Terbukanya Pintu-pintu Syurga
Subhanallah, hanya dengan berwuduk, kita sedang menuju ke pintu syurga Allah. Siapa yang meremehkan hal ini adalah dari golongan yang rugi.
Diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Tiada seorang pun dari kalian yang berwuduk, lalu ia menyampaikan atau meratakan wuduknya, kemudian dia mengucapkan: “Asyhadu alla ilaha illallah wa anna Muhammadan ‘Abduhu wa Rasuluh”, melainkan dibukalah untuknya pintu syurga yang lapan, dia boleh memasuki dari pintu mana pun yang dia kehendaki.” (H/R. Muslim, no: 234),
Wajah Bercahaya Di Akhirat
Setiap anggota badan kita yang terkena air wuduk bakal bercahaya terang akhirat nanti.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW telah bersabda: “Perhiasan-perhiasan di syurga itu sampai di tubuh seorang mukmin, bersesuaian dengan anggota yang dicapai oleh wuduk.” (H/R. Muslim, no: 250)
Membuka Ikatan Syaitan
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan dari Rasulullah SAW, bahawa syaitan mengikut manusia ketika tidur di malam hari, dengan tiga ikatan. Kemudian Rasulullah SAW memberitahu cara untuk merungkai ikatan tersebut, dalam sabda Baginda SAW:
“…sekiranya dia (manusia) bangun (dari tidurnya), dan mengingati Allah, bebaslah satu ikatan. Sekiranya dia berwuduk pula, bebaslah satu ikatan lagi, dan sekiranya dia bersolat, bebaslah satu ikatan lagi. Maka dia akan menjadi segar dan baik dirinya. Sekiranya dia tidak melakukannya (berzikir, wuduk, dan bersolat), maka dia akan menjadi buruk dan pemalas”. (H/R. al-Bukhari, no: 1091)
Kashoorga: Subhanallah, betapa besarnya nikmat berwuduk, bukan sahaja dari sudut kesihatan malah juga mampu mendapat redha Allah. Maka sentiasalah pastikan kita berada dalam keadaan berwuduk. Semoga kita istikomah selepas ini.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Pada usia 40 tahun ramai yang terlalu fokus mengejar hal keduniaan malah tanpa bersalah meninggalkan kewajipan yang perintahkan Allah SWT demi mencari kebahagiaan di...