Doa seorang hamba tanpa pengetahuan saudaranya adalah mustajab di sisi Allah SWT. Akan tetapi, lebih bertuah jika seseorang itu didoakan oleh makhluk ALLAH yang paling taat dan mengabdikan dirinya semata-mata untuk beribadah kepada-Nya iaitu malaikat.
Sekiranya kita ingin mendapat doa daripada para malaikat, maka jadilah sebahagian daripada golongan yang disebutkan di dalam hadis Nabi ﷺ ini iaitu:
1. Golongan yang bersedekah
Orang yang bersedekah akan menerima doa daripada para malaikat. Sabda Rasulullah ﷺ:
“Tiada satu pagi yang datang melainkan diutuskan dua malaikat dan salah satu malaikat tersebut berdoa: Wahai Tuhanku, berilah pemberi sedekah gantian (yang lebih baik).” (HR al-Bukhari)
2. Golongan yang menunggu waktu solat
Golongan ini sangat istimewa di sisi Allah kerana seakan-akan sentiasa dia rindu untuk bertemu dengan Allah di dalam solatnya. Golongan ini akan mendapat doa keampunan dari para malaikat. Sabda Rasulullah ﷺ:
“Sesungguhnya para malaikat mendoakan ke atas mereka yang menunggu solat di tempat solatnya selagi mana dia berada dalam keadaan suci. Doa malaikat: Ya Allah ampunkanlah dirinya dan rahmatilah dirinya.”(HR al-Tirmizi)
3. Golongan yang mengajarkan kebaikan
Golongan ini amat istimewa di sisi Allah. Ini kerana bukan sahaja para malaikat mendoakan mereka, Allah yang Maha Agung serta penduduk langit dan bumi mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan. Sabda Rasulullah ﷺ:
Ads
انَّ اللَّهَ وملائِكتَهُ وأَهلَ السَّماواتِ والأرضِ حتَّى النَّمْلةَ في جُحْرِها وحتَّى الحوتَ – ليُصلُّونَ على معلِّمِ النَّاسِ الخيرَ
“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya serta ahli langit dan bumi sehinggakan semut dalam batu dan ikan di lautan mendoakan orang yang mengajarkan kebaikan.” (HR al-Tirmizi)
4. Golongan yang menziarahi kerana Allah
Rasulullah ﷺ turut menjelaskan bahawa orang yang menziarahi orang yang sakit, atau menziarahi saudaranya ikhlas kerana Allah, maka dia akan memperoleh doa dari para malaikat. Sabda Rasulullah ﷺ:
“Sesiapa yang melawat orang yang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah maka nanti akan diseru dengan kata-kata : engkau akan dapat kebaikan, perjalanan engkau akan dipermudahkan dan akan disediakan tempat untuk kau di syurga.” (HR al-Tirmizi)
Rebutlah peluang untuk menjadi orang yang didoakan oleh Allah dan para malaikat-Nya ini.
Dosa boleh diwarisi? Biasanya bait yang selalu kita dengar adalah iman tak boleh diwaris.
Meski ia janggal didengar namun ia mempunyai asasnya. Malah ada hadis yang diriwayatkan berkait perkara ini.
Demikian fakta yang dikemukakan oleh pendakwah Ustaz Muhamad Rizal Johari menerusi perkongsian di laman sosial Facebook miliknya.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang baik, maka ia akan mendapatkan pahalanya, dan pahala orang yang melakukannya setelahnya; tanpa berkurang sesuatu apa pun daripada pahala mereka. Dan barang siapa yang mencontohkan dalam Islam suatu contoh yang buruk, maka ia menanggung dosanya dan dosa orang yang mengerjakannya setelah dia, tanpa berkurang sesuatu pun daripada dosa-dosa mereka.” (Hadis Riwayat Muslim)
Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar penulis buku kerohanian itu, seseorang boleh menanggung dosa orang lain andai diri mengajarkan satu perbuatan buruk atau perkara dosa kepada orang lain.
“Setiap kali dosa itu dibuat atau dilakukan oleh orang tersebut, maka kita juga akan mendapat dosa berkenaan. Maka kerana itu, jangan ajar benda yang tak baik kepada orang lain,” pesannya.
Itu satu hal, belum lagi jika individu yang diajarkan tadi itu ‘menunjuki’ orang seterusnya.
Andai itulah yang berlaku, Ustaz Muhamad Rizal menjelaskan, dosa tersebut akan diwarisi berterusan kepada orang-orang selepas dan seterusnya.
Apabila melihat adik beradik atau ibu bapa melakukan kesalahan di sisi agama dan kita menegur mereka, adakah dosa maksiat tersebut akan berpanjangan kepada kita juga?
Menjawab persoalan itu, Ustaz Muhamad Rizal Johari menjelaskan, teguran yang dipertanggungjawabkan adalah antara ibu bapa terhadap anak.
Ini kerana mereka diberi tanggungjawab mendidik, ungkapnya.
“Namun, sebagai jiwa yang memiliki takwa, kita tidak akan senang dengan kemaksiatan atau perkara buruk.
“Maka kerana itu kita disaran oleh Nabi Muhammad SAW untuk menegah kemungkaran di depan mata sama ada dengan tangan atau dengan lisan atau selemah-lemahnya menerusi hati yang tidak merelakan atau reda perbuatan tersebut.
“Namun asbab dakwah kita yang tidak putus asa, lalu membuatkan mereka berubah, maka ia akan mengalirkan pahala berterusan buat kita daripada kebaikan mereka,” terangnya panjang lebar.
Justeru, berhati-hatilah dengan setiap tindak-tanduk agar dosa orang lain tidak diwarisi oleh kita asbab perlakuan sendiri.
Keburukan sendiri pun sudah banyak dan tidak terlarat menanggungnya, inikan pula ditambah lagi dengan dosa ‘warisan’ daripada orang lain. Kelak diri yang akan merana!
“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah Al-Dhariyat, 51:56)
SUDAHKAH kita berinteraksi dengan al-Quran hari ini?
Pengalaman bekerja mengendalikan khidmat pelanggan dan komunikasi korporat di syarikat dahulu, menjadikan saya orang yang sibuk, sehingga jarang sekali saya menanyakan soalan tersebut. Walhal sebagai seorang Muslim, al-Quran sepatutnya menjadi way of life kita, menjadi ‘kunyahan’ dan dinikmati setiap hari. Hari ini, saya disedarkan saya sibuk kerana tidak membaca al-Quran setiap hari sedangkan dengan membaca al-Quranlah saya mampu menguruskan kesibukan saya dengan baik. Yang membuat saya sibuk selama ini adalah kerana tiadanya al-Quran dalam dada dan jiwa. Yang membuat saya sibuk sebelum ini adalah masa yang dipergunakan untuk mengejar cita-cita dunia dan wang ringgit serta harta.
Jangankan kepada orang yang sibuk dengan urusan kehidupannya sendiri kepada orang mukmin di tengah medan perang pun tetap diperintahkan agar membaca al-Quran sebagaimana firman ALLAH: “…Dia memberikan keringanan kepadamu, kerana itu bacalah apa yang mudah (bagimu) daripada al-Quran, Dia mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit, dan yang lain berjalan di bumi mencari sebahagian kurniaan ALLAH, dan yang lain berperang di jalan ALLAH, maka bacalah apa yang mudah (bagimu) daripada al-Quran dan laksanakanlah solat, tunaikanlah zakat, dan berikanlah pinjaman kepada ALLAH pinjaman yang baik…” (Surah Muzammil, 73: 20)
Daripada terjemahan di atas saya belajar bahawa ada perintah dari ALLAH SWT untuk baca al-Quran dalam tiga waktu yang sempit iaitu ketika sakit, golongan yang berjalan di bumi mencari kurniaan ALLAH dan golongan yang berada di medan perang. Walaupun berjihad, mereka sentiasa akrab dengan al-Quran, apatah lagi buat diri kita yang sihat dan tidak berada di medan perang. Saya juga belajar orang yang berada di dalam dakapan al-Quran, tidak hanya diberi jalan kebaikan, petunjuk dan solusi tetapi al-Quran juga akan menguruskan hati kita, cita-cita dan hawa nafsu kita.
Jadikanlah al-Quran sebagai tabir rahsia alam dan pintu pembuka keberkatan hidup kita. ALLAH akan memudahkan segala urusan, Insya-ALLAH. Mintalah, nescaya ALLAH akan memberimu. Saya pernah melalui proses panjang untuk memotivasikan diri dan mencari cara bagaimana untuk bahagia berhadapan dengan kehidupan dan pekerjaan. Saya mencarinya di seminar-seminar besar yang dihidangkan oleh pakar motivasi luar negara, membaca buku tulisan Barat dan sanggup menghabiskan duit setiap bulan untuk hadiri seminar.
Secara tidak sedar kerangka fikir dibentuk oleh cara motivasi Barat
Ada kalanya terjerit-jerit, terlompat-lompat, berlaku percampuran lelaki perempuan dan motivasi yang bersifat sangat keakuan. Kebahagiaan fizikal dan material menjadi motivasi di dalam mencari kejayaan. Saya melukis pelan mimpi dan membiarkan ia masuk ‘menghantui’ saya. Ya, benar, ALLAH berikan. Namun, suatu saat saya berfikir, itukah tujuan utama hidup saya di dunia? Apakah sebetulnya yang ALLAH mahukan lewat
ayat-ayat-Nya?
ALLAH berfi rman: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah Al-Dhariyat, 51:56)
Maka benarkah apa yang saya lakukan selama itu telah memanifestasikan ibadah saya kepada ALLAH? Apakah tindak-tanduk atau ucapan saya melambangkan cinta yang diredai oleh ALLAH? Kerangka fikir saya tidak didasari oleh apa yang ada di dalam al-Quran, astaghfi rullah hal azim.
Persekitaran, rakan-rakan, bahan yang kita baca, kursus yang kita hadiri, sedikit sebanyak mempengaruhi cara kita memandang kehidupan. Berada dalam persekitaran yang mementingkan hubungan sosial atas nama networking atau material, mendorong saya untuk terpalit sama. Hati itu sangat mudah disentuh dan dikuasai oleh suasana yang kita diami. Ada waktunya terjadi pertembungan yang sukar dimengerti, kita keliru antara pertembungan dan kemahuan yang ingin diikuti. Hati inginkan apa yang terpampang di hadapan mata namun jauh di sudut hati yang paling dalam, ada yang kita cari.
Ketika bekerja di sebuah syarikat yang terlibat dengan aktiviti melobi projek dan entertainment, walau tidak terlibat secara terus, saya menjadi sebahagian daripada kumpulan berkenaan, menyaksikan ada garis agama yang dilanggar dalam usaha lobi melobi. Saat bekerja juga, ada waktunya tindakan kita begitu terpisah dengan agama. Ramai dalam kalangan ketua yang saya temui, mereka tidak berani untuk mengimplementasikan apa yang ada di dalam al-Quran ke dalam syarikat. Walaupun mereka memegang kuasa yang mampu merubah sesuatu. Di mulut, kita mengatakan yakin pada apa yang ALLAH gariskan di dalam al-Quran, namun dalam implementasi, kita sesungguhnya masih ragu-ragu. Justeru itu saya kira pentingnya kita wujudkan persekitaran atau ekosistem yang kondusif sehingga kita berasakan bahawa al-Quran adalah rujukan terpenting dalam kehidupan.
Pentingnya kita mengarusperdanakan al-Quran sehingga ia menjadi budaya atau cara hidup kita. Mulakan perubahan bermula daripada diri, keluarga dan jabatan kita sehingga persekitaran kita ikut berubah dengannya. Bersama-sama kita siapkan suasana dan diri kita untuk hidup dalam dakapan al-Quran, di rumah, di sekolah, di pejabat dan juga komuniti. Kerana inilah jalan yang indah dan teduh, saat jiwa terpaut dan berasa rindu kepada al-Quran.
Moga kita menjadi pencinta al-Quran yang hidup berlandaskan al-Quran; tidak membaca bahan lain sebelum membaca al-Quran, tidak berdebat tanpa wahyu di dalam kata-kata, tidak bertindak tanpa petunjuk wahyu dan sabda Nabi Muhammad SAW dan tidak juga merujuk kepada ilmuwan Barat yang hakikatnya mereka sendiri keliru menjalani kehidupan kerana ketiadaan wahyu dalam akal dan tindakan mereka. Moga kita menjadi manusia yang beruntung saat al-Quran menjadi penolong buat diri, keluarga dan ummah. Sama-sama lakukan perubahan melalui interaksi dengan al-Quran; baca, faham dan amalkan. Lakukan perubahan dengan apa yang kita mampu.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Ramadan telah pun berlalu. Selepas puas berhari raya ramai yang mengambil peluang menambah pahala dengan melakukan puasa enam. Tak kurang juga yang mula menqadhakan puasa (ganti) disebabkan uzur syarie. Persoalannya bolehkan niat puasa qadha dilakukan ecara serentak dengan puasa serentak.
SOALAN:
Bolehkah saya berniat puasa qada (ganti) dan puasa enam dibulan Syawal secara serentak (dua dalam satu (puasa ganti dan puasa enam).
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah al-Baqarah:183)
BERBUKA PUASA DI BULAN RAMADAN TANPA ADA SEBARANG KEUZURAN
Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa sebarang keuzuran wajib ke atasnya menqadhakannya serta merta selepas tamatnya Ramadan dan selepas selesai hari raya yang pertama. Seseorang itu tidak boleh mendahulukan puasa sunat enam pada bulan Syawal kemudian diekori dengan puasa qadha.
Adapun sekiranya dia tidak berpuasa pada bulan Ramadan kerana ada keuzuran (yang dibenarkan syarak) maka harus baginya mendahulukan puasa enam pada bulan Syawal daripada puasa qadha kerana qada waktu puasa qadha adalah muwassa` (luas).
Imam as-Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani Rahimahullahu Taala menyebut: “ (Dan demikian lagi) orang yang tiada puasa dengan uzur sunat dia berpuasa enam hari sunat Syawal melainkan orang yang berbuka puasa Ramadan dengan tiada uzur maka wajib ke atasnya menyegerakan menqada Ramadan kerana makruh mengerjakan sunat orang yang ada padanya qada Ramadan dengan tiada uzur maka wajib menyegerakan qada dahulu.” (Rujuk Kitab Bughyah at- Tullab, hlm. 128)
ISU MENGGABUNGKAN DUA IBADAT DENGAN SATU NIAT
Masalah ini dikenali di sisi para ulama sebagai masalah tasyrik (mengabungkan dua ibadat dengan menggunakan satu niat) hukumnya :
Sekiranya ia adalah termasuk dalam wasilah atau perkara yang bercampur maka hukumnya sah. Terhasil apa yang dihajatinya daripada kedua ibadat tersebut. Misalnya, jika seseorang itu mandi junub pada Hari Jumaat untuk melakukan Jumaat dan juga mengangkat junub, sesungguhnya junubnya terangkat dan pahala mandi Jumaat tersebut pun terhasil.
Walaupun salah satu daripada dua ibadat tersebut tidak diniatkan manakala yang lain pula diniatkan dengan zatnya maka sah himpunan atau gabungan tersebut dan tidak mencederakan ibadat tersebut misalnya solat tahiyyah masjid dilakukan berserta solat fardhu atau solat sunat yang lain.
Adapun menghimpunkan atau gabung di antara dua ibadat yang diniatkan dengan zatnya seperti puasa qadha atau kaffarah, atau nazar berserta puasa sunat seperti puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal maka tidak sah tasyrik tersebut mengikut pendapat yang muktamad kerana setiap ibadat itu berasingan daripada ibadat lain yang diniatkan dengan zatnya dan tidak pula berada di bawah ibadah yang lain.
Persoalannya, adakah berpuasa dengan niat qadha bulan Ramadan dan niat puasa 6 pada bulan Syawal yang digabungkan sah keduanya? Atau salah satu sahaja sah? Jika dibuat secara ithlaq (Umum) berhasil keduanya atau salah satu sahaja?
GABUNG NIAT PUASA QADHA RAMADAN DAN PUASA ENAM SYAWAL
Fuqaha dalam Mazhab Syafie berselisih pendapat tentang isu menggabungkan niat di antara puasa qadha Ramadan dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.
Syaikul Islam Zakaria al-Ansari Rahimahullahu Taala: “Jika seseorang berpuasa pada Bulan Syawal untuk qadha bagi puasa Ramadan, atau selainnya sama ada puasa nazar atau puasa sunat lain maka terhasil pahala sunatnya. Kerana topik perbincangannya adalah tentang puasa pada 6 hari daripada bulan Syawal…tetapi dia tidak akan memperolehi pahala yang sempurna sebagaimana yang diinginkannya melainkan dengan hanya dia berniat puasa khusus untuk 6 hari pada bulan Syawal sahaja. Terutamanya orang yang telah luput daripadanya puasa Ramadan kerana tidak sesuai dia berpuasa Ramadan dan seterusnya berpuasa 6 hari di bulan syawal” (Rujuk Kitab Syarqawi ‘ala al-Tahrir)
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menyebut bahawa dia pernah ditanya tentang puasa Ramadan dan qadha di bulan Syawal, adakah berhasil qadha puasa Ramadan dan pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal, ada ke tidak dalam masalah ini sebarang nukilan?
Imam Ramli Rahimahullahu Taala menjawab: “Bahawa berhasil puasa qadha Ramadannya walaupun dia gabung niat puasa qadha Ramadannya dengan puasa yang lain. Dan berhasil pahala puasa 6 hari pada bulan Syawal. Masalah ini disebut oleh ramai ulama terkemudian (mutaakhirin).” (Rujuk Fatawa Imam Ramli, 2/339)
Imam Ibnu Hajar Al-Haitami Rahimahullahu Taala dalam mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib: “Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib), dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya.” (Rujuk Kitab Al-Fatwa Al-Kubra, 2/75)
Sebahagian ulama menyebut sah seseorang itu melakukan qadha puasa bulan Ramadan bersama puasa sunat enam Syawal dan terhasil pahala puasa sunat yang dilakukan di dalam bulan Syawal tersebut. Hal ini kerana diqiyaskan dengan seseorang yang memasuki masjid kemudian solat 2 rakaat fardu atau solat sunat rawatib (mengiringi solat fardu) maka terhasil sekali baginya pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid kerana ia melakukan solat berkenaan sebelum ia duduk.
Imam Sulaiman al-Bujairimi Rahimahullahu Taala berkata: “Terhasil pahala solat sunat Tahiyyatul Masjid dengan melakukan solat fardhu atau sunat yang lainnya, sama ada diniatkan atau tidak solat sunat Tahiyyatul Masjid tersebut. Hal ini berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim: “Apabila masuk salah seorang dari kamu ke dalam masjid hendaklah ia solat dua rakaat sebelum ia duduk” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain. (Rujuk Kitab Hasyiah al-Bujairimi 1/280)
Begitu juga nas yang hampir serupa dikatakan Syeikh Islam Zakaria Al-Ansori Rahimahullahu Taala: Terhasilnya solat sunat dua rakaat atau lebih (yang dimaksudkan dengan adalah hasilnya pahala solat walaupun bersama dengannya solat fardhu atau solat sunat yang lain) sama ada diniatkan sekali ataupun tidak. Ia berdasarkan hadis Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumahullahu Taala “ Apabila masuk seseorang daripada kamu ke dalam masjid maka janganlah ia duduk sehingga ia solat dua rakaat”. ” dan kerana itu juga maksud solat sebelum duduk yang disebutkan dalam hadis telah terhasil dengan melakukan solat Fardhu atau solat sunat yang lain (Rujuk Kitab Fathul Wahab Syarah Manhajul Tullab 1/67)
Imam ar-Ramli Rahimahullahu Taala telah berkata: “Dan sekiranya berpuasa pada bulan Syawal, puasa qadha, nazar atau selain daripada keduanya atau seumpama dengannya, seperti berpuasa pada hari Asyura maka telah dapat pahala puasa sunat itu baginya, seperti yang telah difatwakan oleh bapanya (bapa kepada Imam ar-Ramli), begitu juga oleh al-Barizi, al-Asfahuni, A-Nasyizi, al-Faqih Ali Soleh al-Hadrami dan selainnya tetapi ia tidaklah mendapat pahala yang sempurna ke atas yang dituntut.” Begitulah sama hukumnya puasa Ramadhan dengan puasa sunat enam Syawal. (Rujuk kitab Nihayah al-Muhtaaj, 3/208-209)
Imam as-Suyuti Rahimahullahu Taala berkata : “Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah, maka al-Barizi telah memberi fatwa bahawa sah puasa dan terhasil pahala untuk kedua-duanya. Begitu juga halnya jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa) maka masalah tersebut mengikut masalah solat tahiyyah Masjid. ” (Rujuk kitab Ashbah Wan Nazoir, hlm. 61)
Dalam Syarah al-Tanbih karangan al-Hafiz al-Suyuti Rahimahullahu Taala, daripada fatawa al-Baarizi Rahimahullahu Taala, beliau mengatakan : Sekiranya seseorang berpuasa sunat misalnya pada hari Arafah, qadha atau nazar atau kafarah, dan diniatkan puasa-puasa tersebut bersama dengan niat puasa sunat hari Arafah terhasih keduanya (sah keduanya), begitu juga jika dia ithlaqkan (sahaja aku berpuasa). Tetapi al-Isnawi menyebut perkara ini tertolak dan qiyas yang dilakukan tidak sah dalam menggambarkan perkongsian satu daripada keduanya. Disisinya apa yang terhasil adalah yang fardhu sahaja dalam gambaran ithlaq”
Walaupun begitu, perlulah diambil perhatian, maksud terhasilnya pahala puasa sunat enam Syawal apabila dimasukkan sekali dengan puasa fardhu adalah pahala semata-mata pahala sunat bukannya pahala yang sempurna.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, mengikut pendapat yang muktamad, afdhal seseorang itu menjadikan puasa qadha berasingan dengan puasa 6 pada bulan syawal. Namun begitu, menyatukan puasa qadha dengan puasa enam itu tetap diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya mengikut pendapat yang dhaif. Namun begitu, menyegerakan qadha puasa itu adalah sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak terutama kepada sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur yang dibenarkan syarak. Semoga kita termasuk bersama-sama dengan orang bertaqwa.
Hong Leong Islamic Bank memperkenalkan halatuju baharu berasaskan prinsip Syariah, memfokuskan pengurusan kekayaan holistik dan nilai berteraskan amanah. Ketahui lima tonggak utama dan inisiatif terkini HLISB.