Bila melihat ada ahli keluarga tidur meniarap, selalunya orang tua dalam rumah akan marah dan segera mengejutkan mereka. “Tidur penghuni neraka!” Itu antara yang keluar daripada mulut mereka.

Tapi adakah benar penyataan ini dan adakah larangan dalam Islam supaya tidak tidur dalam keadaan meniarap.

Memang ada larangan supaya tidak tidur dalam keadaan meniarap

Memetik penjelasan daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan memang terdapat hadis dari Nabi SAW mengenai larangan untuk tidur secara meniarap.

Ini sepertimana riwayat daripada Ya`ish daripada ayahnya, Tikhfah bin Qaysi al-Ghifari RA bahawa pada suatu hari ketika beliau sedang tidur di dalam masjid dalam keadaan meniarap, lalu ada seseorang yang menggerakkanku (membangunkanku) dengan mengunakan kaki lalu berkata:

إِنَّ هَذِهِ ضِجْعَةٌ يُبْغِضُهَا اللَّهُ. قَالَ فَنَظَرْتُ فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم

Maksudnya: Sesungguhnya ini adalah cara tidur yang dimurkai Allah. Kemudian Tikhfah RA berkata: “Lalu aku melihat lelaki itu (yang membangunkanku) adalah Rasulullah SAW.
Riwayat Abu Daud (5040) & al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad (1187)

Dalam hadis dengan lafaz yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda:

IKLAN

قُمْ وَاقْعُدْ فَإِنَّهَا نَوْمَةٌ جَهَنَّمِيَّةٌ

Maksudnya: Bangun dan duduk, sesungguhnya ini adalah cara tidurnya penghuni neraka. Riwayat Ibn Majah (3725)

Keharusan mengejutkan mereka yang tidur menggunakan kaki

Berdasarkan hadis di atas, antara faedah yang boleh diambil daripadanya adalah keharusan seseorang membangunkan orang lain yang sedang tidur dengan menggunakan kaki.

Perbuatan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW melalui hadis di atas menjadi dalil akan keharusannya bahkan Nabi SAW adalah manusia yang paling tawadhu` dan perbuatan tersebut tidaklah dikira sebagai takabbur.

Sekiranya yang mengejutkan itu padanya perasaan takabbur maka pada perbuatan tersebut ada hukumnya yang lain. Namun, jika hanya semata-mata membangunkan seseorang dengan menggerakkan kaki dan mencuit maka tidaklah mengapa dan tidak dikira sebagai takabbur.

IKLAN

Namun perlulah juga melihat kepada keadaan orang yang ingin dibangunkan itu. Sekiranya ditakuti orang yang akan dibangunkan itu merasa diperkecilkan dan dipandang rendah dengan perbuatan membangunkan dirinya dengan menggunakan kaki, maka perbuatan itu haruslah dielakkan.[1]

Hukum tidur meniarap

Jelas terdapat larangan agar tidak tidur secara meniarap. Di dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi`e, tidur secara sengaja dalam keadaan sebegini adalah makruh. Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu`:

وَيُكْرَهُ الِاضْطِجَاعُ عَلَى بَطْنِهِ

Maksudnya: dan dimakruhkan untuk tidur di atas perut (secara meniarap).[2]

IKLAN

Al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah juga menyebutkan bahawa sunat juga mengejutkan mereka yang tidur dalam keadaan meniarap.[3]

Amalan sunnah sebelum tidur

Larangan dari tidur secara meniarap berdasarkan hadis yang disebutkan di atas difahami oleh ulama` Syafi`eyyah adalah bersifat makruh. Seeloknya dijauhkan dari perbuatan tersebut.

Di akhir perbincangan ini, ingin kami kongsikan di sini bagaimana adab serta sunnah yang boleh dipraktikkan oleh muslim ketika mana ingin tidur. Antaranya:

-Tidur dalam keadaan berwudhuk
-Tidur pada lambung kanan (mengiring ke kanan)
-Membaca Ayat al-Kursi
-Membaca 3 Qul
-Membersihkan Tempat Tidur
-Membaca Doa
Antara doa tidur yang boleh diamalkan:

بِاسْمِكَ رَبِّ وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ[5]
Maksudnya: Dengan nama-Mu Tuhan aku meletakkan lambungku Dan dengan Nama-Mu pula aku bangun daripadanya. Apabila Engkau menahan rohku (mati), maka berilah rahmat padanya. Tetapi apabila Engkau melepaskannya, maka peliharalah, sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI