Ramai antara kita suka memakai minyak wangi sebelum keluar rumah. Tidak kira lelaki atau wanita, bau yang segar dan menyenangkan tentu membuatkan kita rasa lebih yakin, terutama ketika bekerja, menghadiri majlis atau pergi beribadah.
Bagi orang Islam, antara perkara yang sering menjadi persoalan ialah hukum memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol. Ada yang mula rasa ragu-ragu apabila melihat kandungan bahan pada label produk, lalu tertanya-tanya sama ada minyak wangi itu boleh dibawa solat atau perlu menukar pakaian terlebih dahulu.
Persoalan ini sebenarnya sering timbul kerana ramai yang menyamakan semua jenis alkohol dengan arak. Sedangkan secara ringkasnya, bukan semua alkohol itu arak atau khamr.
Perkara yang diharamkan dalam Islam ialah meminum arak kerana sifatnya yang memabukkan. Arak bukan sahaja haram diminum, malah ia juga dianggap najis menurut pandangan yang diguna pakai dalam banyak perbahasan hukum.
Namun begitu, alkohol yang digunakan dalam minyak wangi biasanya bukan alkohol daripada proses pembuatan arak. Sebaliknya, ia merupakan alkohol industri seperti etanol yang dihasilkan melalui proses sintesis kimia atau bukan proses pembuatan arak.
Ads
Alkohol jenis ini digunakan dalam produk kosmetik, perubatan dan minyak wangi. Fungsinya pula adalah untuk membantu mudah menyerap dan tahan lebih lama pada tubuh atau pakaian.
Oleh sebab itu, alkohol industri yang digunakan dalam minyak wangi tidak dikira sebagai najis. Maka hukumnya adalah harus untuk memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol ketika menunaikan solat.
Solat tetap sah dan pakaian yang terkena minyak wangi tersebut tidak perlu ditukar atau dibasuh sebelum solat. Ia tidak termasuk dalam kategori najis yang boleh membatalkan solat.
Begitu juga dengan minyak wangi jenis hatta atau minyak wangi yang menggunakan bau-bauan tradisional. Sekiranya terdapat kandungan alkohol yang digunakan untuk tujuan kosmetik atau pewangi, ia tetap tidak dikira najis selagi bukan berasal daripada proses pembuatan arak.
Ads
Menurut penjelasan daripada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, dengan merujuk kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, formula mudah yang perlu difahami ialah setiap arak mengandungi alkohol tetapi bukan semua alkohol itu arak.
Alkohol yang terhasil daripada proses pembuatan arak hukumnya jelas haram dan najis.
Namun alkohol industri yang dihasilkan bukan untuk tujuan arak, seperti dalam produk ubat-ubatan, makanan tertentu, kosmetik dan minyak wangi hukumnya tidak najis serta harus digunakan selagi tidak memabukkan.
Ads
Malah dalam konteks pewangi, penggunaan alkohol seperti ini adalah dimaafkan dan tidak menjejaskan kesucian pakaian atau badan ketika solat.
Kesimpulannya, jika anda memakai minyak wangi yang mengandungi alkohol industri, jangan terlalu ragu-ragu sehingga menyusahkan diri sendiri. Ia suci, boleh digunakan dan boleh dibawa solat.
Apa yang penting, pastikan produk yang dibeli diyakini status pembuatannya. Semak kelulusan KKM jika berkaitan dan jika terdapat pengiktirafan halal, itu adalah satu kelebihan.
Gunakan minyak wangi dengan niat yang baik, iaitu untuk menjaga kebersihan diri, memberi keselesaan kepada orang sekeliling dan tampil kemas. Bukan dengan tujuan menarik perhatian yang tidak sepatutnya, terutama antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Hukum berwalikan adik angkat tanpa sengaja. ‘Lepas 3 tahun nikah baru tahu, bimbang status anak.’ Tak dapat bayangkan jika situasi ini menimpa diri sendiri dan keluarga terdekat. Sudah tentu bukan mudah untuk menghadapinya.
Apatah lagi setelah bertahun kahwin dan dikurniakan zuriat. Namun begitu percayalah, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Ikuti kemusykilan berkaitan isu ini dan ini penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:
Apakah hukum seseorang yang berkahwin berwalikan adik angkat? Setelah tiga tahun mendirikan rumah tangga berwalikan adik lelaki yang disangka adik kandung, rupanya adik itu adalah adik angkat.
Kedua-dua ibu bapa kami sudah meninggal dunia pada ketika kejadian dan bagaimana status anak kami? Mohon penjelasan.
Perkahwinan yang berlangsung dengan menggunakan adik angkat sebagai wali adalah tidak sah di sisi syarak.
Ini kerana adik angkat tidak termasuk dalam kategori wali nasab, bahkan hubungan di antara pengantin perempuan dan adik angkat tidak termasuk dalam pertalian nasab.
Dalam isu ini, pernikahan yang berlangsung itu disebut sebagai nikah fasid iaitu tidak menepati syarat-syarat sah perkahwinan.
Tindakan sewajarnya ialah pasangan tersebut perlu membuat permohonan faraq nikah iaitu dipisahkan oleh pihak mahkamah, dan bernikah semula dengan cara membuat permohonan wali hakim kerana ketiadaan wali nasab, perkara ini perlu merujuk dengan mahkamah.
Manakala, anak pasangan tersebut tetap dikira sebagai anak sah taraf kerana anak itu dilahirkan melalui persetubuhan syubhah, bukan melalui zina.
Huraian jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Syarak menjelaskan bahawa seseorang yang ingin berkahwin namun tidak ada wali keturunannya, maka wali raja yang akan mengakadnikahkan bagi pihaknya. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:
فإن فقد المعتق وعصبته زوج السلطان
Maksudnya: “Sekiranya ketiadaan tuan (pembebas hamba) atau asobah (wali keturunan), sultan yang akan mengahwinkan.”
(Rujuk: Minhaj al-Tolibin, halaman 207)
Di sisi undang-undang juga menjelaskan bahawa sekiranya ketiadaan wali nasab dalam suatu pernikahan, maka perkahwinan itu diakadnikahkan oleh wali raja sebagaimana yang dinyatakan dalam seksyen 7 (2):
“Jika suatu perkahwinan itu melibatkan seorang perempuan yang tiada mempunyai wali dari nasab, mengikut hukum syarak, perkahwinan itu hendaklah diakadnikahkan hanya oleh wali Raja.”
Justeru, pernikahan yang berlangsung dengan menggunakan adik angkat sebagai wali dikira tidak memenuhi syarat-syarat perkahwinan di sisi syarak dan undang-undang.
Suatu pernikahan yang tidak cukup syarat-syaratnya adalah dikira sebagai perkahwinan tidak sah. Melalui seksyen 11 Akta Undang-Undang Keluarga lslam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyebut:
“Suatu perkahwinan adalah tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syarak, untuk menjadikannya sah.”
Sehubungan dengan itu, pernikahan yang sudah pun berlangsung ini dikategorikan sebagai nikah fasid iaitu kerana akad nikah tersebut tidak sah tanpa sengaja, maka persetubuhan yang berlaku di antara pasangan ini disifatkan sebagai “persetubuhan syubhah”.
Anggapan mereka sah akad nikah tersebut akan tetapi tidak sah. Perkara ini telah ditafsirkan di dalam Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984:
“Persetubuhan syubhah” ertinya persetubuhan yang dilakukan di atas anggapan sah akad nikah akan tetapi sebenarnya akad itu tidak sah (fasid) atau persetubuhan yang berlaku secara tersilap dan termasuk mana-mana persetubuhan yang tidak duhukum Had dalam Islam.”
Anak dari hasil mereka tetap dikira sebagai anak sah taraf sekiranya anak tersebut lahir dalam tempoh enam bulan qamariah sehingga empat tahun qamariah. Dinyatakan di dalam seksyen 113 Akta Undang-Undang Keluarga lslam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984:
“Jika seorang lelaki melakukan persetubuhan syubhah dengan seorang perempuan dan kemudiannya perempuan itu melahirkan seorang anak dalam tempoh antara enam bulan qamariah hingga empat tahun qamariah selepas persetubuhan itu, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu.”
Menurut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami bahawa anak yang dikira sebagai anak sah taraf adalah sekurang-kurangnya tempoh anak itu berada dalam kandungan ibunya ialah selama 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut dari tarikh persetubuhan mereka.
(Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 8/151)
Kesimpulannya, pernikahan yang berlangsung dengan menggunakan adik angkat sebagai wali nikah adalah tidak sah di sisi syarak, walaupun perkara itu berlaku secara tidak sengaja.
Kemudian anak yang lahir dari hasil pernikahan tersebut masih dikira sebagai anak sah taraf kerana anak itu dilahirkan melalui persetubuhan syubhah, bukan melalui zina.
Justeru, kami menyarankan agar pihak pasangan tersebut merujuk dengan mahkamah untuk tindakan yang selanjutnya bagi memastikan keabsahan suatu perkahwinan itu terjamin dan selamat di sisi syarak dan undang-undang.
Kashoorga : Semoga kisah ini menjadi iktibar dan pengajaran buat kita semua. Insyallah.
Apa hukum menggantung gambar keluarga/gambar kahwin/gambar konvokesyen/gambar anak anak dan cucu? di dinding rumah. Betulkah haram dan rumah tidak dimasukki malaikat rahmat
Hukum menggantung gambar keluarga adalah harus. Tetapi jika niatnya untuk pemujaan, mendedahkan aurat, mengagungkan gambar tersebut, hukumnya menjadi haram.
Ia bersesuaian dengan pendapat Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam buku Seni Dalam Islam: “Hukum gambar-gambar fotografik pada asalnya harus selagi mana gambar tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti mengagungkan gambar seseorang yang mempunyai kemuliaan dalam agama ataupun disebabkan kedudukan dan pangkat yang dimilikinya, apatah lagi sekiranya orang yang diagung-agungkan terdiri daripada orang kafir, fasiq dan penyembah berhala”.
Nabi SAW melarang umatnya meletakkan gambar bernyawa di dalam rumah, kerana malaikat rahmat tidak masuk ke dalam rumah untuk memberikan rahmat.
Berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a katanya; Maksudnya : “Dia membeli bantal-bantal kecil yang bergambar. Maka tatkala Rasulullah s.a.w melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang.
Berkata Aisyah ”Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan RasulNya. Apakah kesalahanku? Rasulullah SAW kembali bertanya: “Bantal-bantal apakah itu? : Jawab Aisyah, “Aku membelinya untuk kamu sebagai tempat duduk atau tempat bersandar.”
Sabda Rasulullah SAW : “Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka. Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!”.
Kemudian baginda bersabda: “Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu.”
(Riwayat Muslim)
Haram bagi orang yang meletakkan gambar lukisan atau patung yang bernyawa di rumah-rumah mereka, sama ada separuh atau sempurna fizikalnya. Hal ini berbeza dengan gambar-gambar fotografik yang dihasilkan oleh kamera dan video.
Ini kes yang amat berat. Setiap pasangan perlu berhati-hati apabila lafaz cerai atau talak diucapkan. Salah seorang perlu keluar dari rumah serta merta kerana mereka bukan lagi berstatus suami isteri.
Selepas lafaz cerai, pasangan boleh rujuk semula dalam tempoh iddah iaitu tiga kali bekas isteri suci daripada haid. Tiada lagi dibolehkan tinggal sebumbung apatah lagi berbantal kan lengan pasangan.
Tiada istilah lafaz tak sengaja, bergurau atau tak ada niat nak cerai kerana hal talak tidak boleh dibuat main. Kita ikuti penjelasan lanjut oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan tentang hal ini kerana ramai juga yang keliru.
Assalamualaikum. Saya dalam proses mendapatkan surat cerai setelah menceraikan isteri saya. Namun dengan nama Allah, hakim atau pendaftar di mahkamah syariah negeri Selangor terbabit menyatakan saya masih boleh bersetubuh dengan bekas isteri saya jika penceraian tidak mendapat pengesahan mahkamah.
Adakah kuasa mahkamah syariah menafikan hukum syarak sedia ada? Adakah jika saya melakukan persetubuhan ia tidak dihukumkan sebagai zina oleh Allah?
Waalaikumussalam. Semoga Allah permudahkan urusan rumah tangga kalian. Apabila berlaku penceraian, setiap pasangan perlu mengambil berat soal hak dan tanggungjawab serta perkara yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan agar tidak terjerumus melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Syarak.
Antara perkara penting yang wajib diketahui ialah berkaitan hukum talak dan rujuk beserta prosedurnya mengikut ketetapan daripada Mahkamah Syariah.
Dalam perkahwinan yang sah, seorang suami mempunyai hak untuk menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Penceraian pertama dan kedua masih boleh dirujuk selagi mana masih dalam tempoh ʿiddah.
Sekiranya tempohʿiddahsudah tamat, suami tidak boleh rujuk isterinya kembali melainkan perlu mengulang semula akad nikah berserta maharnya sekali seperti perkahwinan pertama kali.
Dari segi hukum syarak, sejurus sahaja talak diucapkan maka talak satu akan jatuh serta-merta tidak kira sama ada lafaz talak diucapkan di mahkamah ataupun luar mahkamah.
Kesannya, tidak boleh bagi bekas suami untuk tinggal bersama isteri yang telah diceraikan di dalam satu rumah apatah lagi melakukan persetubuhan, sama ada talak rajʿī[1]atau talak bain[2]. Ini kerana isteri yang sudah ditalakkan adalah wanita ʿajnabi (asing) kepada bekas suami.
Kekeliruan timbul apabila ada pihak mengatakan talak hanya jatuh apabila dilafazkan di depan hakim di mahkamah tidak di luar. Menjawab kekeliruan ini, persoalan di atas boleh dijawab berdasarkan pembahagian wajib.
Ulama’ membahaskan wajib ada tiga jenis; wajib dari segi Syarak (Diyānah), wajib dari segi Undang-undang (Qaḍa’) dan wajib dari segi Syarak dan Undang-undang. Pengertiannya:
Contohnya, suami mentalakkan isteri tanpa saksi. Apabila isteri ingin mengangkat kes talak ini ke mahkamah bagi menuntut hak-hak berkaitan sedangkan suami tidak mahu mengaku sudah melafazkan talak.
Keadaan ini menyebabkan hakim memutuskan perempuan itu masih isteri yang sah atas faktor tidak mempunyai saksi dan pengakuan, si suami tetap tidak boleh menafikan fakta yang dia sudah menceraikan isterinya.
Keputusan hakim berdasarkan apa yang terzahir sahaja, sedangkan Allah Maha Mengetahui segalanya. Mengikut ketetapan Syarak, talak tetap jatuh dan suami wajib melaksanakan segala suruhan dan larangan berkaitan talak dan rujuk walaupun hakim memutuskan sebaliknya.
Contohnya boleh didapati daripada soalan di atas, undang-undang mewajibkan setiap penceraian mestilah didaftarkan dan disahkan di mahkamah.
Sekiranya penceraian tersebut masih belum mendapat pengesahan mahkamah, kesannya mereka berdua masih dianggap suami isteri di sisi undang-undang.
Namun perlu diingatkan, status suami isteri tersebut hanya sah di sisi undang-undang sahaja, tidak di sisi syarak. Hal ini berlaku kerana syarak menetapkan talak tetap jatuh apabila syarat-syaratnya dipenuhi tidak kira mahkamah sudah mengesahkannya atau belum.
Pembahagian wajib di atas menunjukkan bahawa penceraian yang berlaku di luar mahkamah tetap dianggap sah di sisi agama walaupun mahkamah masih belum mengesahkannya.
Walaupun begitu, dinasihatkan kepada semua pasangan untuk mendaftarkan sebarang penceraian dan rujuk yang berlaku di Mahkamah Syariah. Dalam masa yang sama, mematuhi hukum-hakam berkaitan talak dan rujuk. Pengamalan ini lebih baik dan sempurna.
Menurut Akta Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri, lafaz talak perlulah dilakukan di dalam mahkamah sebagaimana yang dinyatakan di dalam seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 bagi tujuan rekod dan memudahkan urusan tuntutan jika terdapat sebarang permasalahan.
Sekiranya lafaz talak tersebut dibuat di luar mahkamah, pihak suami atau isteri hendaklah segera membuat pengesahan di Mahkamah Syariah dalam tempoh 7 hari bagi mengelakkan didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Akta ini diwujudkan demi kebaikan kedua-dua belah pihak. Menyembunyikan lafaz cerai yang dilakukan di luar mahkamah boleh menyebabkan ketiadaan rekod di Pejabat Agama. Akibatnya, akan menyukarkan pihak-pihak berkaitan untuk mengingat kembali butir kejadian sekiranya perkara yang sama berulang kembali di masa hadapan.
Sekiranya lafaz telah berlaku secara kerap pula boleh menyebabkan berlakunya talak tiga tanpa disedari dan menyebabkan suami isteri tidak boleh berkahwin semula.
Lebih dahsyat apabila kedua-dua pasangan sudah melakukan persetubuhan sedangkan proses rujuk tidak dibuat di dalam tempoh ʿiddah sehingga memberi kesan kepada nasab anak yang lahir. Jika berlaku, suami dan isteri terlibat wajib bertaubat kepada Allah kerana terlibat dengan dosa zina.
Berdasarkan keterangan di atas, boleh disimpulkan bahawa haram bagi suami untuk bersetubuh dengan isterinya sepanjang tempoh penceraian walaupun belum mendapat pengesahan mahkamah.
Kuasa mahkamah syariah berperanan sebagai institusi kehakiman dalam melaksanakan dan memelihara hukum syarak sedia ada demi memelihara kebaikan dan kepentingan anggota masyarakat.
Persetubuhan yang terjadi sebelum proses rujuk boleh dianggap sebagai zina. Suami dan isteri yang terlibat wajib bertaubat kepada Allah atas keterlanjuran yang dilakukan.
Akhirnya, apabila suami melafazkan kata-kata yang meragukan segeralah merujuk ke Mahkamah Syariah yang berhampiran untuk penerangan lanjut. Sikap berdiam diri boleh membawa padah di kemudian hari.
[1] Talak rajʿī: Talak yang boleh dirujuk dengan syarat berlaku pada kali pertama dan kedua serta masih dalam tempoh ʿiddah [2] Talak bain: Talak yang tidak boleh dirujuk disebabkan tamat tempoh ʿiddah (ketika talak pertama atau kedua) atau talak berlaku kali ketiga
Kashoorga : Semoga yang tak sedar sudah sedar dan perbetulkan semula keadaan. Ramai juga yang masih tinggal sebumbung kerana keiru dengan status masih suami isteri yang dinyatakan pihak mahkamah. Tetapi di sisi Allah, hubungan mereka bukan lagi suami isteri sah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Lelaki berpakaian seperti wanita menjadi isu hangat di media sosial. Ketahui pandangan Islam, dalil hadis serta kesan normalisasi perbuatan yang ditegah syarak.