
Menjaga khusyuk ketika solat adalah perkara yang sangat penting kerana solat merupakan ibadah utama yang menghubungkan seorang hamba dengan Allah SWT. Namun kadangkala, ada situasi kecil yang boleh mengganggu kekhusyukan kita ketika sedang solat.
Antaranya apabila lidah tiba-tiba terasa ada sisa makanan yang melekat di celah gigi. Ketika itu timbul pula rasa serba salah, sama ada mahu membiarkannya, menelannya atau mengeluarkannya.
BACA JUGA: Tidak Khusyuk Bukannya Alasan Untuk Tinggalkan Solat, Ini Panduannya
Persoalannya, jika tertelan sisa makanan ketika solat, adakah solat itu terbatal?
Dalam hal ini, hukum Islam melihat kepada keadaan dan saiz sisa makanan tersebut. Jika sisa itu terlalu kecil, seperti air liur yang bercampur dengan sedikit rasa makanan, maka ia tidak membatalkan solat sekiranya tertelan bersama air liur.
Namun jika sisa makanan itu boleh dirasa dengan jelas oleh lidah, atau saiznya agak besar seperti biji kacang, kemudian ditelan dengan sengaja, maka ia boleh membatalkan solat.
Ini kerana perbuatan makan dan minum dengan sengaja ketika solat termasuk dalam perkara yang membatalkan solat, walaupun jumlahnya sedikit.
Justeru, jika terdapat sisa makanan yang boleh dirasa ketika sedang solat, sebaiknya ia dikeluarkan tanpa melakukan pergerakan berlebihan.
Sisa tersebut boleh diluahkan pada tisu, sapu tangan atau bahagian pakaian yang sesuai sekiranya perlu, asalkan tidak mengganggu tertib solat.
Perkara ini boleh difahami berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:
Maksudnya: Bahawasanya Nabi SAW melihat kahak di dinding kiblat, lalu Baginda tidak menyukai perkara itu sehingga terlihat tanda kemarahan pada wajah Baginda. Kemudian Baginda SAW bangun dan membuang kahak tersebut dengan tangannya. Lalu Baginda bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu mendirikan solat, sesungguhnya dia sedang bermunajat kepada Tuhannya, atau Tuhannya berada di antara dirinya dan kiblat. Maka janganlah seseorang itu meludah ke arah kiblat, tetapi ludahlah ke sebelah kirinya atau di bawah kakinya.” Kemudian Baginda SAW mengambil hujung selendangnya, meludah padanya lalu melipat bahagian tersebut. Baginda SAW bersabda: “Atau hendaklah orang itu melakukan seperti ini.”
Riwayat al-Bukhari (405).
Hadis ini menunjukkan bahawa seseorang yang sedang solat masih boleh mengeluarkan sesuatu yang mengganggu, dengan cara yang tidak mencemarkan tempat solat dan tidak melakukan perbuatan berlebihan.
Sebab itu, penting untuk kita mengambil wuduk dengan sempurna, termasuk berkumur-kumur.
Lebih baik lagi jika kita membiasakan diri menggosok gigi atau berkumur selepas makan, terutama apabila hendak mendirikan solat.
Selain menjaga kebersihan mulut, ia juga membantu kita lebih tenang dan khusyuk ketika beribadah.
Kesimpulannya, solat adalah saat seorang hamba menghadap Allah SWT. Maka sebaik-baiknya, hadirkan diri dalam keadaan bersih, tenang dan bersedia.
Jangan sampai perkara kecil seperti sisa makanan di celah gigi mengganggu tumpuan, apatah lagi jika ia boleh menjejaskan kesempurnaan solat kita.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?







