Pempengaruh media sosial terkenal, Ayana Moon berkongsi khabar gembira apabila diterima melanjutkan pengajian bagi ijazah kedua di Universiti Oxford, United Kingdom dalam bidang Master of Public Policy (MPP). Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di media sosial miliknya selepas beliau terlebih dahulu berkongsi berita tersebut bersama ahli keluarga serta rakan terdekat.
Menurut Ayana, keputusan untuk menyambung pengajian di institusi berprestij dunia itu dibuat selepas melalui tempoh pertimbangan yang panjang. Katanya, beliau sebelum ini meneliti pelbagai pilihan sebelum akhirnya memilih untuk memulakan bab baharu dalam perjalanan hidupnya di universiti tersebut.
“Alhamdulillah, saya diterima masuk ke Universiti Oxford untuk ijazah kedua. Saya sudah berkongsi kegembiraan ini dengan keluarga dan rakan terdekat sebelum memaklumkannya kepada semua,” katanya.
Tambah Ayana, selepas sekian lama bergerak tanpa henti, beliau merasakan sudah tiba masanya untuk membuka lembaran baharu dalam kehidupan dengan memberi tumpuan kepada bidang akademik.
“Saya sudah lama berlari tanpa henti dan mempertimbangkan pelbagai pilihan. Selepas berfikir panjang, saya akhirnya membuat keputusan untuk memulakan bab baharu di Oxford,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berharap langkah tersebut dapat memberi inspirasi serta membuka lebih banyak peluang kepada generasi Muslim untuk mencapai kecemerlangan.
“Untuk lebih banyak kecemerlangan dan lebih ramai pemimpin Muslim. Insya-Allah, amin,” katanya.
Ayana Moon atau nama penuhnya Ayana Jihye Moon merupakan pempengaruh Muslimah berasal dari Korea Selatan yang dikenali ramai selepas memeluk Islam.
Beliau menjadi popular khususnya di Malaysia dan Indonesia menerusi kandungan media sosial yang memaparkan kehidupan sebagai Muslimah, perkongsian mengenai hijab serta pengalaman menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim di Korea sehingga berjaya meraih jutaan pengikut di platform digital.

