Gaya Hidup

Prank Dan Gurauan Melampau Dalam Islam, Ini Batas Yang Perlu Dijaga

Share

Bergurau senda antara satu sama lain merupakan antara cara untuk mengeratkan hubungan, menceriakan suasana dan mewujudkan rasa mesra dalam pergaulan seharian.

Namun dalam bergurau, kita tetap perlu berpada-pada. Gurauan yang keterlaluan boleh menyebabkan seseorang terasa hati, malu atau terguris perasaan. 

Lebih membimbangkan apabila individu yang terluka itu memilih untuk mendiamkan diri sehingga akhirnya menjejaskan hubungan yang terjalin.

Kadangkala sesuatu gurauan boleh menjadi lebih parah apabila ia dibuat secara melampau, termasuklah prank yang boleh mendatangkan mudarat, menakutkan orang lain atau menjatuhkan maruah seseorang.

Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan melalui portal rasminya, gurauan dalam Islam adalah dibolehkan selagi mana ia tidak melampau dan masih boleh diterima oleh orang lain.

Malah, Rasulullah SAW sendiri pernah bergurau dengan para sahabat dan orang di sekeliling Baginda. Namun, gurauan Baginda sentiasa berlandaskan kebenaran, tidak menyakitkan hati dan tidak bertujuan menghina sesiapa.

BACA JUGA: Selagi Masih Bernyawa, Selagi Itu Pintu Rezeki Masih Terbuka

Antara kisah yang diriwayatkan, Rasulullah SAW pernah bergurau dengan seorang wanita tua yang datang meminta Baginda berdoa agar dirinya dimasukkan ke dalam syurga.

Maksudnya: Seorang wanita tua datang kepada Nabi SAW lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar Dia memasukkanku ke dalam syurga.” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Ummu Fulan! Sesungguhnya syurga tidak akan dimasuki oleh orang tua.” Wanita itu pun beredar dalam keadaan menangis. Kemudian Baginda bersabda: “Khabarkan kepadanya bahawa dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua kerana Allah SWT berfirman: Sesungguhnya Kami menciptakan mereka dengan langsung, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, penuh cinta lagi sebaya umurnya.”

(Surah al-Waqiah: 35-37)

Kisah ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW turut bergurau, namun gurauan baginda tetap benar dan tidak bertujuan mempermainkan perasaan orang lain.

Dalam dunia digital hari ini, kita sering melihat ramai pencipta kandungan menghasilkan video berbentuk gurauan dan prank semata-mata untuk meraih tontonan, tanda suka serta perhatian ramai.

Walaupun kelihatan menghiburkan, kandungan sebegini sebenarnya boleh memberi kesan buruk jika dilakukan secara keterlaluan. Ia bukan sahaja boleh menyebabkan penonton salah faham, malah boleh membuatkan mangsa berasa malu atau tertekan. 

Oleh itu, gurauan yang menjatuhkan maruah, menakutkan, memperdaya atau mempermainkan emosi orang lain sewajarnya dielakkan. Hiburan tidak sepatutnya dibina atas rasa malu dan penderitaan orang lain.

Dalam bergurau, Islam mengajar umatnya agar menjaga adab dan batas. Gurauan yang dibuat mestilah tidak bercanggah dengan fakta, tidak mengandungi penipuan dan tidak membawa kepada fitnah.

Sebagai contoh, dalam menegur seseorang, seseorang itu boleh menyelitkan gurauan yang bersandarkan nasihat dan kebenaran, namun tetap perlu menjaga nada serta cara penyampaian agar tidak menyinggung perasaan.

Antara hadis yang sering disebut dalam konteks peringatan ialah hadis yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Aku telah berdiri di depan pintu syurga, maka tiba-tiba ramai yang memasukinya ialah orang-orang miskin, dan orang-orang kaya tertahan disebabkan hisab, melainkan ahli neraka maka sesungguhnya telah diperintahkan mereka ke neraka. Dan aku pun berdiri di depan pintu neraka, maka tiba-tiba ramai yang memasukinya ialah kaum wanita.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, peringatan seperti ini perlu disampaikan dengan penuh hikmah. Jangan sampai niat bergurau akhirnya menjadi sindiran kasar atau menjatuhkan air muka orang lain.

Selain itu, kita juga perlu mengelakkan gurauan yang menyentuh kekurangan atau fizikal seseorang. Menghina bentuk tubuh, wajah, warna kulit, cara bercakap atau apa sahaja yang berkaitan dengan kejadian seseorang bukanlah perkara kecil.

Setiap manusia diciptakan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian. Maka, menghina fizikal seseorang seolah-olah memperlekeh ciptaan Allah SWT.

Kadangkala seseorang mungkin ketawa di hadapan kita, tetapi jauh di sudut hati mereka terluka. Sebab itu, sebagai Muslim, kita perlu berhati-hati dengan setiap kata-kata yang diucapkan, walaupun dalam nada gurauan.

Perkara paling penting, jangan sesekali menjadikan agama sebagai bahan gurauan. Bergurau tidak salah, tetapi mempermainkan agama demi konten, populariti atau gelak tawa orang ramai adalah sesuatu yang perlu dijauhi.

Lebih baik memilih gurauan yang ringan, tidak menghina, tidak mengaibkan dan tidak membuatkan sesiapa terasa hati. Gurauan yang baik sepatutnya menceriakan, bukan melukakan atau memalukan.

Kesimpulannya, bergurau sememangnya boleh mengeratkan hubungan dan menambahkan kasih sayang antara sesama manusia. Namun sebagai orang Islam, kita perlu sentiasa menjaga batas, adab dan tutur kata.

Berguraulah sekadarnya. Jangan sampai gurauan yang kita anggap biasa menjadi sebab orang lain terluka, malu atau jauh hati. Dalam Islam, setiap kata-kata akan dipertanggungjawabkan, maka pilihlah gurauan yang membawa kebaikan, bukan kemudaratan.

++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, InstagramFacebook & TikTok.

Related Post
Published by
Balqis Qadisah