
Masyarakat kita sering menganggap rezeki itu hanya datang dalam bentuk wang ringgit, makanan, pekerjaan atau jodoh. Sedangkan, jarang sekali kita benar-benar menyedari bahawa kehidupan yang masih Allah pinjamkan hari ini juga merupakan satu bentuk rezeki yang sangat besar.
BACA JUGA: Jangan Keliru Antara Infak Dan Jual Beli, Akad Perniagaan Mesti Jelas Dalam Islam
Setiap kali kita bangun daripada tidur, masih diberi peluang untuk bernafas, masih mampu membuka mata, menggerakkan tubuh dan meneruskan kehidupan seperti biasa, itu juga adalah rezeki daripada Allah SWT.
Hakikatnya, rezeki datang dalam pelbagai bentuk. Ada rezeki berupa kesihatan, masa lapang, ketenangan hati, keluarga yang baik, sahabat yang menyokong, peluang untuk berbuat kebaikan, malah hidayah untuk berubah juga merupakan rezeki yang tidak ternilai.
Selagi mana kita masih hidup, selagi itulah pintu rezeki masih terbuka buat kita.
Namun, pernahkah kita terfikir, jika kehidupan itu juga satu rezeki, adakah apabila seseorang meninggal dunia bermakna Allah SWT telah menyempurnakan bahagian rezekinya di dunia?
Selain faktor kesihatan dan ketentuan ajal, putusnya rezeki juga menjadi antara tanda bahawa perjalanan seseorang di dunia ini telah sampai ke penghujungnya. Allah SWT tidak akan mematikan seseorang selagi masih ada baki rezekinya, walaupun hanya seteguk air.
Dalam sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Wahai manusia, bertakwalah kepada Allah dan carilah rezeki dengan cara yang baik. Sesungguhnya sesuatu jiwa itu tidak akan mati sehinggalah kesemua rezekinya disempurnakan untuknya, walaupun rezeki itu lambat datangnya.” (Riwayat Ibnu Majah, no. 2144)
Hadis ini mengingatkan kita bahawa setiap rezeki telah ditetapkan oleh Allah SWT. Apa yang menjadi bahagian kita pasti akan sampai, sama ada cepat atau lambat, mudah atau melalui jalan yang penuh ujian.
Begitu juga dengan kematian. Ia bukanlah satu pengakhiran yang kejam, sebaliknya tanda bahawa tugas dan bahagian seseorang di pentas dunia telah selesai menurut ketentuan Allah SWT.
Maka, jika hari ini kita masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan, itu bermakna Allah masih membuka pintu rezeki buat kita. Rezeki untuk bertaubat, memperbaiki diri, mengumpul pahala, berbuat baik kepada manusia dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Jangan sesekali kita mensia-siakan baki usia yang masih ada. Anggaplah setiap hari yang Allah beri sebagai peluang untuk menambah bekalan sebelum “akaun” kehidupan kita ditutup buat selama-lamanya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sekiranya anak Adam itu lari daripada rezekinya seumpama dia lari daripada kematian, nescaya rezekinya tetap akan mengejarnya seumpama kematian itu mengejarnya.”
Hadis ini memberi peringatan bahawa rezeki dan ajal adalah ketetapan Allah SWT. Manusia boleh berusaha, merancang dan mencari, namun akhirnya segala sesuatu tetap berada dalam ilmu dan kehendak-Nya.
Apa pun yang berlaku dalam kehidupan ini, kita perlu terus berusaha menjadi hamba yang sentiasa mengejar keberkatan dan keredaan Allah SWT.
Jangan terlalu bimbang dengan rezeki yang belum sampai, dan jangan pula lalai dengan nikmat yang sedang dinikmati.
Bagi mereka yang telah pergi meninggalkan kita, belajarlah untuk reda dan menerima pemergian mereka dengan hati yang tenang.
Ajal dan maut adalah rahsia Allah SWT. Setiap yang hidup pasti akan kembali kepada-Nya apabila tiba waktunya.
Selagi kita masih bernyawa, manfaatkanlah rezeki kehidupan ini sebaik-baiknya. Kerana hidup yang Allah beri hari ini bukan sekadar untuk dinikmati, tetapi untuk disyukuri, diperbaiki dan dijadikan jalan menuju reda-Nya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.