ORANG dulu-dulu selalu menyebut, ajal, maut, jodoh dan pertemuan di tangan Tuhan. Jodoh kita adalah urusan Allah SWT dan hanya Dia yang tahu siapakah bakal dijodohkan dengan kita. Islam menggalakkan mencari jodoh untuk menuju alam perkahwinan bagi menguatkan agama dan menghindari bisikan syaitan.

Selepas bertemu jodoh dan berkahwin, seseorang akan mendapat penawar terbaik bagi mengubati jiwa yang kesunyian. Setiap kita mempunyai harapan tersendiri terhadap pasangan yang diidam-idamkan. Namun, selepas lama mendirikan rumah tangga, pelbagai masalah serta persoalan timbul satu persatu.

Mengapa perkara sebegini berlaku? Semasa bercinta, setiap pasangan kekasih biasanya akan mempamerkan sikap dan personaliti sangat ideal. Masing-masing menyembunyikan kelemahan diri supaya dapat menambat hati pasangan.

TERUS BELAJAR KENALI PASANGAN

Apabila sudah berkahwin, barulah segala rahsia serta kelemahan diri terbongkar. Perkahwinan menuntut persefahaman dan jalinan komunikasi yang berkesan antara kedua-dua pasangan. Suami perlu belajar dan berusaha mengenali isteri, begitu juga isteri berusaha mengenali suami.

Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin menghuraikan tajuk ‘Pasangan bukan tukang tilik’ dalam rancangan Pesona D’Zahra di IKIMfm, berkata suami isteri perlu berterus terang mengenai diri mereka terhadap pasangan masing-masing.

Katanya, setiap pasangan tanpa kenal erti putus asa hendaklah memahami perilaku pasangan mereka. Proses mengenali diri pasangan bukan boleh berlaku secara automatik, sebaliknya memerlukan masa kerana tidak semua kelebihan atau kekurangan dapat dilihat dalam satu hari.

IKLAN

Dalam hal ini, suami isteri perlu dengar apa yang diutarakan oleh pasangan dan mengambil berat setiap perkara disampaikan walaupun hal kecil atau remeh. Apabila kita bersedia mendengar pandangan, pasangan juga akan menjadi pendengar yang baik kepada kita.

Menurut Muhamad, ada kala pasangan tidak suka mendengar untuk faham. Oleh itu, pasangan perlu mengelak daripada mencari kelemahan atau membuka aib, sebaliknya perlu sabar serta cari masa terbaik untuk membuat teguran.

Contohnya, suami memiliki sifat panas baran tidak suka diri dinasihati dan menganggap nasihat sebagai mencari kesalahan dirinya. Justeru, pilihlah masa sesuai untuk berbicara dari hati ke hati dengan suami seperti selepas menikmati hidangan makanan kegemarannya atau ketika berehat berdua-duaan.

PASANGAN SEBAGAI SAHABAT

Gunakan bahasa yang lembut dan manis serta susun ayat secara ringkas. Isteri solehah seharusnya menjadi, sahabat serta teman berunding bagi suami dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Itulah sebabnya hubungan suami isteri diumpamakan sebagai ‘teman hidup.’

IKLAN

Jika suami menghadapi masalah bagi mencapai-cita-cita dan keluarga, maka peranan isteri diperlukan untuk memberi semangat serta motivasi kepada suami di samping menghiburkan hatinya.

Selami Hati Pasangan, Anggap Pasangan Seperti ‘Pendamping’

Prinsip seterusnya yang harus dititikberat oleh setiap pasangan adalah memberi perhatian kepada pasangan kerana ada kala mimik muka, teguran atau nasihat disampaikan secara berterusan mampu memupuk rasa saling memahami dan secara tidak langsung menyejukkan hati pasangan.

Sewaktu hayatnya, Nabi Muhammad SAW pernah mendapat tentangan ketika menjalankan urusan dakwah. Baginda bersabar walaupun sering dicaci dan dihina oleh musuhnya. Sikap inilah yang membuatkan pengikutnya setia kepada ajaran Baginda.

IKLAN

Dua tahun sebelum hijrah, Allah SWT menghadiahkan Nabi Muhammad SAW satu amalan yang mampu melembutkan hati iaitu solat dan doa yang sentiasa dibacakan dalam solat yang bermaksud: “Tunjuklah kami jalan yang lurus.” (Surah Al Fatihah, ayat 6)

Perjuangan menuntut pengorbanan besar daripada aspek fizikal, mental dan spiritual. Namun semua itu dapat dihadapi dan dilaksanakan oleh Baginda SAW dengan pertolongan serta pimpinan daripada Allah SWT yang akhirnya membuahkan kejayaan kepada Baginda.

Setiap pasangan suami isteri harus percaya bahawa kesefahaman terbaik yang cuba dijalinkan dalam hubungan hadir daripada pertolongan Allah SWT.

Sumber kredit: Berita Harian

VIDEO KASHOORGA:

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI