Saat ini jemaah haji Malaysia yang seramai 31,600 mungkin sudah selesai menunaikan haji. Pastinya selepas ini mereka tidak sabar untuk pulang bertemu keluarga masing-masing.

Usai melaksanakan ibadat haji, mereka sekarang boleh digelar haji di depan nama-nama mereka. Setiap orang yang pergi menunaikan haji pastinya mengharapkan untuk mendapat haji yang mabrur.

Namun haji mabrur itu tidak mudah, sebagaimana yang dikatakan oleh Umar bin al-Khattab sekitar 1400 tahun yang lampau, iaitu hanya makan angin (melancong) yang banyak sedangkan yang melakukan haji hanya sedikit.

Ini bermakna ramai orang yang mengerjakan haji tetapi sedikit sahaja yang benar-benar melakukan ibadat haji dan memahami setiap amal ibadat haji sehingga memperoleh haji mabrur.

Setiap orang yang telah mengerjakan ibadat haji sebenarnya telah mengunjungi tempat yang paling suci di dunia ini. Maka mereka haruslah berusaha agar haji yang diperolehi tidak tercemar setelah pulang ke tanah air. Ibadat haji yang dilakukan memberinya peluang untuk membuat perubahan yang baik untuk dirinya.

Ads

Seharusnya bertambah amal dan ibadah. Dalam pada itu perilaku diharap lebih baik, bertutur dengan kata-kata yang manis serta menahan diri dari mengeluarkan kata-kata yang kesat yang boleh menyinggung perasaan orang lain.

Perubahan pada jemaah haji yang pulang dapat dilihat dari kelakuannya. Jika dulu pemarah sudah bertukar menjadi pemaaf. Menjadi seorang yang pemurah serta suka bersedekah jika dahulunya kedekut.

Menjadi seorang yang berbudi bahasa jika dulunya jenis yang suka memaki hamun orang. Juga berubah menutup aurat jika dahulunya tidak kisah tentang hal tersebut.

Ads

Jika masih tak berubah

Sebaliknya, di manakah kesan ibadat haji jika seseorang pergi menunaikan fardu haji dan kembali masih tiada apa-apa perubahan pada dirinya? Jika sekembalinya dari menunaikan haji, masih juga melakukan dosa besar, takbur dan tidak beramal dengan amalan Islam, ia memberi tanda haji dikerjakan itu tidak mabrur.

Jika ibadat hajinya tidak membawa apa-apa perubahan, ini bererti tidak ada pengajaran yang dapat diambil. Jika sifat-sifat buruk, syirik dan keji masih ada dalam dirinya, maka itu menunjukkan bahawa hajinya tidak mencapai matlamat.

Ada yang pergi menunaikan haji untuk mendapatkan gelaran dalam lingkungan masyarakat sekelilingnya. Niat yang begini sudah pasti tidak akan mampu membawa apa-apa perubahan pada dirinya.

Ads

Haji mabrur itu ibarat seseorang itu baru dilahirkan

Haji mabrur yang diterima oleh Allah SWT bagaikan seseorang itu baru keluar(dilahirkan) daripada perut ibu-ibu mereka iaitu tidak berdosa. Ia satu keadaan di mana mereka berpeluang untuk menebus dosa di atas segala kesalahan-kesalahan lalu.

Ini kerana manusia tidak akan sepi daripada melakukan dosa. Maka keadaan ini perlu dipelihara sebaik mungkin. Apa yang penting haji yang mabrur bukan sekadar membawa perubahan pada diri, tetapi juga mampu membawa perubahan kepada keluarga dan masyarakat.

Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

 

Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?

KLIK DI SEENI