Diam tak semestinya tenangkan keadaan. Ia juga boleh jadi penderaan emosi halus apabila pasangan pulang ke rumah tetapi enggan berbicara, seolah-olah tiada ruang untuk berkongsi rasa walaupun tinggal sebumbung.
Rumah yang sepatutnya menjadi tempat berehat dan menenangkan jiwa akhirnya terasa sunyi, dingin dan menyakitkan emosi.
Lebih berat apabila kedua-dua suami isteri bekerja. Penat seharian di tempat kerja masih belum hilang, namun apabila pulang ke rumah, layanan pasangan pula menambah beban dalam hati.
Keadaan ini boleh membuatkan seseorang berasa letih secara emosi, tertekan dan akhirnya mengalami burnout.
Silent treatment adalah sikap mengabaikan seseorang dengan tidak mahu bercakap atau berkomunikasi secara lisan.
Ada kalanya ia berlaku kerana seseorang itu mahu mengelakkan konflik atau belum bersedia meluahkan perasaan.
Namun jika dibiarkan berpanjangan, layanan seperti ini boleh bertukar menjadi satu bentuk hukuman emosi yang sangat menyakitkan.
Tidak dinafikan, ada pasangan yang memilih untuk berdiam diri kerana tidak tahu cara terbaik meluahkan rasa marah, kecewa atau sedih.
Ads
Mereka mungkin merasakan diam adalah jalan paling selamat supaya pertengkaran tidak menjadi lebih besar.
Dalam keadaan tertentu, ia boleh dianggap sebagai mekanisme mempertahankan diri.
Namun, keadaan menjadi lebih membimbangkan jika sikap berdiam diri itu dibuat dengan sengaja untuk memanipulasi pasangan.
Lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada pasangan yang tinggi ego dan bersifat toksik.
Diam bukan lagi untuk menenangkan keadaan, sebaliknya digunakan untuk membuat pasangan rasa bersalah, gelisah dan tunduk kepada kehendaknya.
Ads
Kesan layanan seperti ini bukan kecil. Pasangan yang dipulaukan boleh mengalami keresahan, hilang keyakinan diri dan rasa tidak selamat dalam rumah tangga.
Lama-kelamaan, kepercayaan antara suami isteri juga boleh terhakis. Hubungan yang dulunya penuh gurau senda akhirnya menjadi hambar, jauh dan terasa asing.
Dalam Islam, adab dalam berhubungan dan berkomunikasi sangat dititikberatkan.
Suami isteri sepatutnya saling menenangkan, bukan menambah luka dalam jiwa pasangan. Bermasam muka dan memutuskan komunikasi terlalu lama juga bukan sesuatu yang digalakkan.
Sebaliknya, setiap masalah perlu dihadapi dengan hikmah, sabar dan perbincangan yang baik.
Ads
Jika anda ialah pasangan yang sedang dipulaukan, beri sedikit ruang kepada pasangan untuk menenangkan diri.
Selepas itu, ajaklah berbincang dengan lembut dan terbuka, bukan dengan serangan emosi.
Jika anda pula yang sering memilih untuk mendiamkan diri, cubalah belajar mengurus emosi dengan lebih baik agar pasangan tidak terus terluka.
Andai keadaan rumah tangga semakin keruh dan sukar dipulihkan, mendapatkan bantuan kaunselor perkahwinan adalah langkah yang sangat wajar.
Kadangkala, hadirnya orang ketiga yang amanah dan profesional mampu membantu membuka jalan damai.
Hakikatnya, komunikasi adalah nadi dalam hubungan suami isteri. Bila salah seorang memilih untuk terus diam tanpa penjelasan, hubungan itu sedikit demi sedikit boleh mati.
Rumah tangga bukan sekadar tinggal bersama, tetapi juga tentang saling mendengar, memahami dan menyenangkan hati satu sama lain.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Alhamdulillah semakin ramai ibubapa yang memilih aliran tahfiz untuk anak-anak. Sebenarnya elok jika ‘dikorbankan’ 3 hingga 4 tahun masa anak-anak untuk mendalami Al-Quran yang bakal menolong ibu bapa sejak dari kubur hingga ke syurga.
Namun, sebelum menghantar anak-anak ke mana-mana pusat tahfiz, elok sekiranya kita periksa beberapa perkara antaranya:
ADAKAH ANAK KITA BERMINAT UNTUK MENGHAFAL
Tidak dapat dinafikan usaha menghafal Al-Quran penuh dengan liku-liku. Anak-anak perlu berminat dan JANGAN sekali-kali mereka dimasukkan ke mana-mana pusat tahfiz atas paksaan.
Anak-anak perlu didedahkan dengan dunia tahfiz seawal umur 7 tahun. Setiap hari, hadis-hadis fadhilat (dan antaranya fadilat Al Quran) dibacakan, agar mereka tahu kelebihan menjadi hafiz Al Quran.
Pada setiap cuti hujung tahun, mereka akan mengikuti program kem tahfiz supaya mereka didedahkan dengan kehidupan di madrasah tahfiz. Memang la susah nak pujuk mereka pergi kem, tapi pujuk la dengan sesuatu. Mungkin pujuk dengan pergi bercuti. Sekali sebelum pergi kem dan sekali lepas balik kem.
Alhamdulillah, dengan cara ini mereka yang minta dimasukkan ke Madrasah Tahfiz.
ALIRAN TAHFIZ MANA YANG SESUAI DENGAN MEREKA
Terdapat aliran tahfiz pondok/madrasah yang hanya mengajarkan hafazan dan fardu ain semata-mata.
Ada aliran yang mengajar akademik dan hafazan (maahad). Target yang tak membebakan, biasanya 6 juzuk setahun.
Ada aliran yang menekankan kecemerlangan hafazan dan akademik (MRSM Ulul Albab)
Ibubapa harus tahu aliran mana yang nak dipilih. Kelebihan dan kekurangan setiap aliran. Kaedah yang digunakan.
PUSAT TAHFIZ MANA YANG SESUAI UNTUK ANAK KITA
a) Jarak
Saya ada mendapat panggilan daripada seorang nenek yang cucunya berada di Johor, ingin memasukkan cucunya ke Madrasah Tahfiz Kg Sempeneh Batu Kurau, PERAK sebab katanya, dari perbincangan dgn kawan-kawan, bahawa madrasah ini sangat bagus.
Saya tegaskan, madrasah yang bagus adalah madrasah yang tak jauh dari rumah, sebab ibubapa perlu selalu menjengok anak-anak di madrasah. Jadi untuk kes ini, mungkin, lebih baik masukkan anak di madrasad sekitar Johor.
Bagi anak-anak di bawah umur 15 tahun, mungkin lebih baik belajar di pusat tahfiz yang agak tidak jauh dari rumah, agar senang nak menziarah. Dah besar, hantar ke luar negara pun tak apa dah.
b) Pusat Tahfiz
Pergi melawat pusat tahfiz yang kita nak hantar anak2 mengaji nanti. Bukan apa, tengok keadaan pusat tahfiz itu.
Sememangnya pengajian agama memerlukan mujahadah dan pengorbanan. Dengan susah payah, pengajian agama akan lebih mudah masuk.
Namun, kita kena ukur baju di badan sendiri. Tahap mana yang anak kita (dan kita sendiri) boleh tahan.
KOS PENGAJIAN
Pastikan yuran dan kos-kos berkaitan mampu untuk kita jelaskan, sebaik-baiknya sebelum masuk bulan berkenaan. Kesian pada anak kita, apabila kita tidak dapat jelaskan yuran bulanan mereka secara teratur. Ia akan memberi kesan pada pengajian mereka.
Pastikan sumber rezeki kita halal dan tiada syubahat.
NIAT DAN AMALAN KITA
Sebenarnya, inilah yang paling penting. Apakah niat kita?
Maulana Mansor, Mudir Madrasah Seri Petaling, meminta ibubapa yang menghantar anak-anak ke madrasah beliau untuk memasang beberapa niat, antaranya:
i) niat untuk beramal dengan ilmu yang bakal di pelajari
ii) niat mewaqafkan anak di jalan Allah sebagaimana keluarga Imran mewaqafkan Maryam a.s.
Ada yang menghantar anak ke pusat tahfiz kerana anak terlalu nakal, atau tiada harapan di bidang akademik dan lain-lain.
Betulkan niat kita.
Di samping itu, betulkan amalan kita. Kita kena belajar menjadikan suasana rumah kita persis suasana di madrasah.
Jangan kita tagih pengorbanan daripada anak namun kita sendiri tidak mahu berkorban untuk agama.
Apa pun, saya mengucapkan syabas kepada ibubapa yang ada terlintas untuk menghantar anak ke aliran tahfiz.
Ini adalah bukti, bahawa tuan/puan ada fikir dan risau serta bimbang tentang keadaan agama dan akhirat anak kita.
Semoga Allah memudahkan semua urusan kita
Semoga Allah menerima zuriat kita sebagai Penjaga Qalam Nya dan pewaris anbia
Sumber kredit: FB: Madrasah Aliyyah Tahfiz Al-Quran Khasiful Uloom
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Kebiasaannya hujung tahun menjadi pilihan ramai untuk melancong dalam atau luar negara untuk menghabiskan cuti tahunan yang ada.
Sudah pasti, perasaan gembira dan teruja menguasai diri kerana sudah lama merancang percutian idaman berkenaan.
Namun siapa sangka kegembiraan di awalnya telah bertukar menjadi duka. Tuhan menguji hambaNya dengan dugaan yang sangat berat untuk diterima, tetapi perlu reda dengan ketentuanNya.
Bagi Ustaz Haji Muhammad Usaid Hudair Rahmat, dia dan isteri reda dengan pemergian anak bongsu mereka, Farhan Anaqi yang meninggal dunia ketika bercuti bersama-sama keluarga ke Korea Selatan.
Dalam perkongsian di laman sosial di Facebook, Ustaz Muhammad Usaid yang juga seorang mutawwif memberi kapsyen “Tunggu Kami Di Sana (Syurga) wahai anakku.. “ dengan penerangan tazkirah mengenai perkara ini.
Seringkali ditanya bagaimana kedudukan anak² kecil yang meninggal dunia, Rasulullah ﷺ menggambarkan mereka dalam 2️⃣ kelompok:- . (1) Bagi arwah anak² orang yang tidak beriman, mereka akan menjadi pelayan² di dalam syurga dan hidup bebas di dalamnya tanpa mempedulikan ibu & bapa mereka.
(2) Kelompok anak² orang yang soleh, termasuk yang keguguran, akan ditempatkan di dalam syurga Allah di gunung yang indah. . Di gunung itu terdapat pokok² thuba dan anak² ini dijaga oleh Nabi Ibrahim AS dan Sarah AS. Mereka sentiasa berada dalam kekenyangan dan tidak pernah berasa haus, malah sentiasa berdoa kepada Allah agar dapat berpimpinan tangan dengan kedua ibu bapa kerana tidak berkesempatan melakukannya di dunia dahulu. . Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya:
“Di syurga terdapat sepohon pokok iaitu pohon thuba yang semuanya dapat menikmati susunya termasuklah bayi² yang meninggal dunia yang masih menyusu dan pengasuh mereka ialah Nabi Ibrahim Khalilullah. . Bagi anak² kecil yang tidak lagi menyusu, akan ditempatkan di dalam perut burung² berwarna hijau dan berterbangan di dalam syurga.”
. Apabila tibanya waktu semua orang mula ditempatkan di dalam syurga & neraka, anak² kecil tadi belum masuk ke syurga & apabila diminta oleh malaikat untuk berbuat demikian, mereka menjawab: . “Kami tidak akan masuk selagi tidak bertemu dengan arwah ibu & bapa kami, kami ingin masuk ke syurga bersama mereka.”
Apabila malaikat memberitahu anak² itu bahawa ibu bapa mereka berada di neraka, mereka terus menangis:
“Jika di dunia kami tidak sempat bersama² ibu & bapa kami, kenapa di akhirat juga kami tidak boleh bersama mereka? Izinkan kami memberi syafaat kepada ibu dan ayah kami, untuk kami masuk ke dalam syurga Allah.” . Mereka berterusan menangis sehingga turunnya rahmat Allah, dan kemudian memerintahkan malaikat supaya mengambil ibu bapa kepada anak² ini yang sedang berada di dalam neraka, dengan syafaat yang diberikan oleh-Nya, lalu dibawa masuk ibu bapa bersama-sama anak² mereka ke dalam syurga. . Lalu setelah ibu bapa anak² ini dikeluarkan daripada neraka, mereka akan memegang tangan ibu bapa mereka dan bergayutan dengan penuh kegirangan menuju ke syurga Allah SWT. . Semoga semua mereka yang pernah & sedang melalui dugaan berat ini beroleh SYAFAAT, hasil sikap sabar ketika melaluinya di dunia.
اناللہ وانا الیہ راجعون
اللهم اجعله فرطا لابويه، وسلفا وذخرا وعظة واعتبارا وشفيعا، وثقل به موازينهما، وأفرغ الصبر على قلوبهما، ولا تفتنهما بعده، ولا تحرمهما أجره…..آمين ________________ Petikan artikel “Saat Bersendirian di Barzakh” oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani http://ikimfm.my/saat-bersendirian-di-barzakh/
Terdahulu ibu saudara pasangan suami isteri ini, Nurazura Jamaludin ada menulis juga di Facebook meminta sumbangan orang ramai bagi membantu urusan anak buahnya suami isteri.
Memberitahu isteri Ustaz Muhammad Usaid yang sedang mengandung melahirkan anak mereka secara pra matang ketika usia kandungan 5 bulan, tetapi disahkan meninggal dunia tidak sampai 24 jam melihat dunia.
Ternyata dugaan yang ditanggung sangat berat. Bukan sahaja bersedih dengan kehilangan bayi mereka tetapi pasangan suami isteri ini juga terpaksa menanggung kos rawatan yang sangat tinggi bagi kedua-duanya ketika berada di hospital berkenaan.
Assalamualaikum.. Pertama sekali salam takziah utk anak saudara ku Muhammad Usaid n Natasya Syakilla. Seluruh ahli keluarga sedang dlm kesedihan atas kehilangan baby mereka. Mereka bertolak bercuti ke Korea 9hb lepas. Di jangka balik semalam 13hb. Natasya hamil 21 mggu dan ade dpt surat doc yg dia sihat utk buat penerbangan. Ye laa percutian pun 5 hari saje.
Allah punya kuasa Natasya pre matured delivered baby dlm 21 mggu sehari sblm balik. (12/12/19)
Baby cume dpt bertahan x smpi sehari.
Tapi kos rawatan baby dan ibu di Severance Hospital, Korea terlalu tinggi.
TOTAL BAYARAN PERUBATAN TERMASOK CAS TERSEMBUNYI (AGENT UNTUK TRANSFER BAYI KE MALAYSIA dan TIKET FlIGHT KAMI BERLIMA BALIK KE MALAYSIA *27,109,920.00won* = *RM98,600.00*
Ya Allah berat sungguh ujian buat mereka. Kehilangan anakanda syurga tersayang dlm masa yg sama menanggung bil yg banyak.
Update terkini, mereka masih di sane menguruskan jenazah baby utk di bawa balik ke Malaysia. Mereka terpaksa berusaha utk mencari sekurang2nya separuh bayaran bil utk dpt discharge drpd hospital.
Andai kata ada yg berhati mulia dan ingin meringankan beban mereka boleh la hulurkan sedikit sumbangan kepada mereka.
Dan yang paling penting doa dari anda semua moga2 urusan mereka semua lancar sehingga selamat smpi ke Malaysia.
151061434212 MAYBANK ACC MUHAMMAD USAID HUDAIR BIN RAHMAT HP NO : 6017-7285980
Terima Kasih utk semua yg membantu.
Sebelum itu, Ustaz Muhammad Usaid ketika dihubungi Harian Metro berkata, sebelum meninggal dunia, anaknya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk pemantauan.
Katanya, doktor berusaha menyelamatkan anaknya dengan memberi bantuan pernafasan (CPR) tetapi tidak berjaya selepas tujuh kali percubaan.
Bercerita lanjut, sebelum kejadian, percutian mereka sekeluarga berjalan lancar sehingga sehari sebelum pulang ke tanah air apabila isterinya, Natasya Syakilla Hazli, 26, mengadu sakit perut ketika makan malam di sebuah restoran di Myeongdong, Seoul.
Katanya, keadaan itu menyebabkan dia membawa isteri pulang berehat di hotel dan bergegas ke hospital selepas berlakunya pendarahan.
“Sepanjang percutian, tiada masalah berlaku tetapi malam sebelum pulang ke tanah air, isteri mengadu sakit perut dan tanpa berlengah, saya terus bawanya balik ke hotel.
“Setibanya di hotel, berlaku pendarahan serius dan menurut isteri saya, rasa sakit itu seperti hendak bersalin.
“Melihat keadaannya yang memerlukan rawatan, saya terus dapatkan bantuan untuk ke hospital dan dia bersalin tidak lama selepas dimasukkan ke unit kecemasan.
“Namun, anak kami tidak dapat hidup lama dan akhirnya meninggal dunia walaupun doktor berusaha menyelamatkannya dengan memberi bantuan CPR,” katanya yang reda dengan ketentuan Illahi atas kehilangan anak bongsunya ini.
Dia juga turut berterima kasih kepada kedutaan dan rakyat Malaysia yang berada di Korea kerana membantu dan memudahkan segala urusan di sana.
KASHOORGA: Semoga Ustaz Muhammad Usaid sekeluarga reda dengan pemergian anak syurga ini. Sesungguhnya apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Perginya seorang murabbi ummah dan sebutir permata hati Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz begitu mengesankan. Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada Subuh 1 Mei 2019 bersamaan 25 Syaaban 1440H. Mulia sungguh pengakhirannya, Allahuakbar.
‘Andainya ini Ramadan Terakhir’ adalah kuliah Maghrib terakhir disampaikan ayah saya malam sebelum pemergiannya,” demikian menurut Mohamad Yusri Abu Hassan, 45, anak sulung kepada Allahyaram Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz,72.
Menurutnya, pada kebiasaan ayahnya akan bermalam di kawasan tempat ceramah, namun malam itu, Allahyarham pulang ke rumah bersama ibunya kerana pagi 1 Mei 2019 beliau perlu menghadiri satu lagi sesi ceramah di Ipoh, Perak.
UNGKAPAN TERAKHIR
‘Selepas malam ini tiada lagi soalan’ adalah ungkapan terakhir yang menjadi kenangan dalam kalangan 150 jemaah Surau An-Nur Fasa 3 Bandar Seremban Selatan.
Pada akhir kuliah itu, Allahyarham telah meminta para jemaah surau itu mengajukan soalan kepadanya dan melafazkan ungkapan itu selepas tiada lagi pertanyaan dan menutup kuliahnya dengan bacaan doa.
Setiausaha surau itu, Allaudin Shah Maidin Syed berkata, Allahyarham tiba di surau berkenaan kira-kira pukul 8 malam dan menyampaikan kuliah sehingga pukul 9.30 malam.
Katanya, Allahyarham hanya mengadu mengenai kesesakan jalan raya yang terpaksa ditempuhnya selama dua jam dari Kuala Lumpur ke sini sehingga menyebabkan beliau lewat tiba.
“Kami semua mendengar kuliahnya yang sememangnya sentiasa menarik minat kepada sesiapa pun,” katanya.
Jelasnya, tiada yang aneh mengenai kuliah Allahyarham atau semasa para jemaah menemuinya dalam jamuan makan yang dihidangkan oleh surau selepas majlis tersebut.
“Allahyarham memberitahu beliau sudah lama tidak makan nasi dan hanya makan kuih.
“Kami bersalaman dengan beliau sebelum Allahyarham menaiki kereta untuk pulang,” ujarnya.
Allaudin Shah memberitahu, para jemaah berasa terkejut dan sedih apabila mendengar berita pagi ini mengenai kematian Abu Hassan
HIDAP PARU-PARU BERAIR
Reda dengan pemergian ayahnya, Mohamad Yusri berkata, tahap kesihatan Allahyarham berada dalam keadaan kurang baik selepas doktor sahkan paru-parunya berair.
“Kalau ikut sejarah kesihatan, ayah pernah buat pintasan jantung sekitar 20 tahun lalu. Sebulan sekali ayah buat pemeriksaan kesihatan.
“Tak ada yang major… cuma itulah paru-paru berair dan doktor nasihatkan jaga makan dan minum je,” katanya.
Melihat susuk tubuh Allahyarham, ramai tidak menyangka Allahyarham kurang sihat.
Mohamad Yusri juga mengakui perkara itu apatah lagi, dengan ada masalah jantung, paru-paru berair dan terkini buah pinggang kurang berfungsi, Allahyarham masih aktif menyampaikan kuliah mahupun ceramah di serata negeri walaupun kurang sihat.
REBAH SELEPAS SOLAT SUBUH
Menceritakan detik Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya, Mohamad Yusri berkata, ketika itu Allahyarham sedang bersiap untuk ke Ipoh bagi sesi ceramah tengah hari ini.
“Masa tu lepas solat Subuh. Ayah rebah. Ibu telefon bagi tahu keadaan ayah sebab ibu pun tak tau nak buat apa.
“Saya minta dua adik saya tengokkan keadaan ayah sebab tak tinggal sekali dengan ayah sementara saya sampai.
“Pernafasan ayah lemah dan mukanya dah pucat sewaktu berada di rumah lagi.
“Ambulans datang rumah dan bawa ayah ke hospital. Masa di rumah, doktor ada buat bantuan kecemasan dan CPR. Dalam ambulans pun buat, di hospital pun buat juga.
“Sampai di ICU (unit rawatan rapi) Hospital Kuala Lumpur, doktor cuba sedaya mungkin bantu ayah.
“Kami tengok pada mesin tu… kami reda sewaktu doktor maklumkan denyutan nadi telah berhenti ketika sampai ke hospital,” katanya.
PENGAKHIRAN YANG MUDAH
Sebagai anak sulung, Mohamd Yusri turut memohon maaf kepada mana-mana pihak andai ada yang tersinggung dengan Allahyarham ayahnya.
Bekas Penasihat Agama Istana Negara ini menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7.30 pagi tadi ketika bersiap untuk menghadiri program di Maahad Tahfiz di Kota Raja Ipoh, tengah hari ini.
Namun, Allahyarham dikatakan rebah sewaktu sedang bersiap dan tidak sedarkan diri sebelum mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur.
Allahyarham Abu Hassan meninggalkan seorang balu, Rosbi Shabudin dan tujuh anak serta 13 cucu.
Merupakan adik kepada dua pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Dr Haron Din dan Allahyarham Ishak Din.
Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma di Arau, Perlis kemudian di Sekolah Menengah Agama Arab Alawiyah serta melanjutkan pelajaran di Mesir.
Allahyarham mula bertugas di Pusat Islam pada 1976 sebelum berkhidmat di Masjid Negara pada tahun berikutnya sehingga memangku jawatan Imam Besar.
KASHOORGA: Salam takziah buat keluarga Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz.
Sumber kredit: Sinar Harian dan Utusan Online
VIDEO KASHOORGA:
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Masjid Al-Aqsa Dibuka Semula selepas 40 hari penutupan, menyaksikan detik penuh emosi apabila umat Islam kembali menunaikan solat berjemaah di Baitulmuqaddis.