Syariatnya bukan hanya terpakai ketika manusia berada di muka bumi, malah tetap relevan walaupun seseorang itu berada di angkasa lepas.
Perkara ini dapat dilihat melalui pengalaman angkasawan Muslim seperti Putera Sultan bin Salman dan juga angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.
Sudah tentu, berada di angkasa datang dengan pelbagai cabaran yang luar biasa. Antaranya ialah ketiadaan graviti, pergerakan yang terhad, serta kelajuan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang sangat tinggi.
Malah di ISS, angkasawan boleh melihat matahari terbit dan terbenam setiap 90 minit. Keadaan ini menimbulkan persoalan, bagaimana hendak menentukan waktu solat Subuh dan Maghrib ketika berada di angkasa?
Untuk pengetahuan, angkasawan Muslim tetap menunaikan solat lima waktu mengikut waktu solat di lokasi pelancaran atau mengikut zon waktu terakhir di bumi sebelum berlepas.
Ads
Sebagai contoh, Dr. Sheikh Muszaphar memulakan misinya dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan. Justeru, beliau menggunakan zon masa tersebut sepanjang berada di angkasa.
Persoalan lain yang sering timbul ialah tentang arah kiblat.
Ketika berada di ISS, kedudukan angkasawan sentiasa berubah-ubah. Namun Islam tetap menyediakan panduan yang jelas.
Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), arah kiblat boleh ditentukan berdasarkan susunan keutamaan berikut:
Ads
Menghadap Kaabah di bumi
Menghadap unjuran Kaabah di langit
Menghadap bumi secara umum
Menghadap mana-mana arah sekiranya terlalu sukar
Dalam keadaan tanpa graviti, angkasawan juga boleh menunaikan solat dalam posisi yang sesuai.
Mereka boleh mengikat kaki pada lantai, bersandar pada dinding atau melaksanakan solat mengikut kemampuan.
Jika keadaan benar-benar menyukarkan, mereka dibenarkan menunaikan solat sebagaimana rukhsah orang sakit, iaitu secara duduk, berbaring, menelentang, malah dengan isyarat mata.
Ads
Bagi urusan bersuci pula, wuduk boleh diambil menggunakan semburan air atau tuala basah. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan, tayamum juga boleh dilakukan selagi memenuhi syarat sah solat.
Hakikatnya, ketiadaan graviti bukan alasan untuk meninggalkan ibadah fardu. Inilah bukti bahawa Islam ialah agama yang memudahkan, bukan menyusahkan.
Dalam apa juga keadaan, syariat tetap memberi jalan agar seorang Muslim terus dapat menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah.
Jika angkasawan yang berada jauh di luar angkasa pun masih mampu menjaga solat, maka apakah alasan kita yang hidup selesa di bumi ini untuk melengah-lengahkan ibadah?
Renungilah diri sejenak. Kita hanyalah insan kerdil di sisi Allah. Jangan sampai kesibukan dunia membuatkan kita lupa untuk bersujud kepada-Nya.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Adakah perlu membasuh tuala wanita sebelumnya membuangnya kerana saya ada terdengar yang mana jika tidak dibasuh sebelum membuangnya Jin akan makan darah haid yang ada pada tuala tersebut. Adakah terdapat sebarang hadis atau athar yang berkaitan?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Tiada sebarang athar atau hadis yang menunjukkan bahawa tuala wanita yang terkandung darah haid perlu dibasuh terlebih dahulu sebelum membuangnya. Bahkan tidak ada riwayat dari para Sahabat dari kalangan wanita menyatakan bahawa mereka membasuh tuala tersebut sebelum membuangnya. Juga tidak terdapat arahan dari Nabi agar membasuhnya. Yang Nabi arahkan adalah jika darah tersebut terkena pakaian sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Asma’ Binti Abu Bakar. Kata beliau :
Maksudnya :” Aku bertanya kepada Nabi saw tentang darah haid yang terkena pada pakaian. Nabi saw bersabda : basuhlah ia dan gosoklah ia dengan air serta siramlah ia (setelah digosok). Kemudian solatlah dengan pakaian tersebut.”
Riwayat al-Tirmizi (138) & Abu Daud ( 362)
Adapun membasuh tuala wanita sebelum membuangnya, tidak pernah diarahkan oleh Nabi saw. Ini dapat dilihat dari zahir hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri. Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw :
Maksudnya :” Adakah boleh kami mengambil wuduk dari perigi yang mana dibuang di dalamnya kain-kain yang terkandung darah haid, nanah dan daging anjing. Sabda Nabi saw : Air itu suci dan tidak dinajiskan oleh sesuatu,”
Riwayat al-Tirmizi (66) & Ahmad (11257) di dalam Musnadnya
Zahir hadis menyatakan bahawa الحِيض iaitu kain tuala wanita dibuang tanpa dibasuh terlebih dahulu. Jika kain tersebut dibasuh, masakan ada yang bertanya tentang kesucian air perigi tersebut.
Kami menyatakan bahawa tiada sebarang hadis atau athar yang menyatakan perlu membasuh tuala tersebut sebelum membuangnya. Adalah tidak benar jika ada yang mengatakan bahawa ia perlu dibasuh terlebih dahulu kerana dibimbangi akan menjadi makanan jin. Namun tidak dinafikan bahawa syaitan adalah antara kalangan yang memang menyukai perkara-perkara yg kotor & najis. Ini berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik yang menyebut doa Rasulullah saw ketika masuk ke dalam tandas. Rasulullah berdoa :
Maksudnya :” Ya Allah aku berlindung dengan Engkau dari al-Khubuth dan al-Khabaith.”
Riwayat al-Bukhari (6322)
Kata al-Khattabi :
“al-Khubuth adalah kata jamak bagi al-Khabith yang membawa makna syaitan jantan. Manakala al-Khabaith adalah kata jamak bagi al-Khabithah yang membawa makna syaitan betina.”
Rujuk Ma’alim al-Sunan (1/10)
Cuma kami mengesyorkan beberapa perkara :
Tuala tersebut perlu dibuang di tempat yang khusus. Jika boleh asingkan dari tempat buangan yang biasa digunakan seperti mana yang dilakukan di hospital.
Jangan dibuang merata-merata seperti di mangkuk tandas dan lain lain tempat yang tidak sesuai. Ini kerana, ia boleh menimbulkan suasana tidak selesa.
Isu tak letak ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama anak. ‘Boleh ke kita gugurkan pada sijil kelahiran?’. Selama ini, boleh dikatakan setiap daripada kita yang beragama Islam meletakkan nama berserta ‘bin’ bagi lelaki, manakala ‘binti’ bagi perempuan.
Namun baru-baru ini tular tentang isu ini dan golongan ini dikatakan lebih selesa untuk tidak meletakkan ‘bin’ dan ‘binti’ bagi memudahkan urusan keti travel di luar negara.
Ikuti perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini:
Maksudnya:
“Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”
Riwayat Abu Daud
Tular di media sosial trend ibu bapa muda pada hari ini yang tidak meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama anak ketika mendaftarkan kelahiran.
Jika dilihat kepada syarat permohonan kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara pun maka tidak akan ditemui syarat yang mewajibkan untuk meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ dalam nama anak.
Meskipun begitu jika penjaga mahu menggugurkan perkataan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama anak mereka maka mereka perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara.
Dari aspek ‘uruf (adat setempat) pula memang semenjak dahulu di Malaysia setiap nama bagi individu muslim akan diletakkan ‘bin’ atau ‘binti’.
Perkara ini berpandukan kepada tradisi perletakan nama dan nasab para Rasul AS, Sahabat RA, Tabiin, Tabi Tabiin dan seluruh ulama Islam. Sebagai contoh, nama Rasulullah SAW iaitu Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib.
Oleh itu, tidak benar tanggapan sebahagian masyarakat yang mengatakan bahawa bangsa Arab sendiri pun tiada pemakaian ‘bin’ atau ‘binti’.
Sedangkan pemakaian tersebut digunakan sehingga ke hari ini kerana bangsa Arab merupakan bangsa yang amat mementingkan asal usul keturunan mereka.
Amalan dalam masyarakat Islam di Malaysia meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama anak semenjak dari zaman dahulu adalah selari dengan amalan bangsa Arab ini.
Ia dikira sebahagian daripada ʻuruf (adat setempat) yang diiktiraf pada syarak sebagaimana kaedah yang menyebut:
العادة محكمة
Maksudnya:
“Adat setempat yang dijadikan sebagai hukum.”
Dalam konteks Islam, nasab dan keturunan merupakan perkara penting yang perlu dipelihara dengan baik demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat.
Jika tidak ia boleh menyebabkan kerosakan terhadap institusi kekeluargaan seperti mengelirukan susur galur keturunan, menimbulkan fitnah dan masalah terhadap pembahagian harta pusaka.
Meskipun tanpa perletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ tidak merosakkan institusi kekeluargaan dan tidak menjejaskan nasab seseorang, namun akibat normalisasi amalan ini akan mengakibatkan penyalahgunaan sebahagian individu yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai contoh tanpa ‘bin’ atau ‘binti’ seseorang mampu membuat helah untuk menyembunyikan status anak angkatnya. Sedangkan sebagai seorang muslim wajib menisbahkan anak angkat itu kepada bapa kandungnya.
Selain itu, nasab merupakan tonggak utama dalam pembentukan sesebuah keluarga. Hal ini kerana setiap ahli keluarga mempunyai pertalian darah yang berhubung antara satu sama lain.
Nikmat keturunan merupakan satu anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap insan. Justeru, memelihara nasab adalah salah satu daripada maqasid syariah yang lima.
Maksudnya:
“Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).”
Surah al-Furqan (54)
Perkataan ‘bin’ dan ‘binti’ ini juga mengambil contoh daripada beberapa sunnah Nabi SAW yang memanggil nama ahli keluarganya serta para sahabatnya dengan nama yang ada ‘bin’ dan ‘binti’. Contohnya, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa:
“Rasulullah SAW berdiri ketika Allah SWT menurunkan ayat: وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الأَقْرَبِينَ (Maksudnya: Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat)[Surah al-Syuʻara’: 214], Baginda SAW bersabda: “Wahai kaum Quraisy belilah diri-diri kamu, aku tidak dapat menghindarkan kamu sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Bani ‘Abd Manaf, aku tidak dapat menghindarkan kamu sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Abbas bin ‘Abd al-Muttalib, aku tidak dapat menghindarkan engkau sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Safiyyah, ibu saudara Rasulullah SAW, aku tidak dapat menghindarkan engkau sedikit pun daripada azab Allah SWT. Wahai Fatimah binti Muhammad, mintalah kepadaku apa yang engkau mahu daripada hartaku dan aku juga tidak dapat menghindarkan engkau sedikit pun daripada azab Allah SWT.”
Riwayat al-Bukhari
Islam begitu menjaga nasab dan keturunan kerana ia merupakan salah satu daripada maqasid syariah yang lima.
Dalam konteks Malaysia, tidak mahu meletakkan ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama anak ketika mendaftar di Jabatan Pendafataran Negeri adalah sah di sisi undang-undang dan tidak wajib di sisi hukum taklif. Namun, dalam pandangan syarak meletakkan ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama merupakan suatu perkara yang penting.
Hal ini kerana, bagi menjaga institusi kekeluargaan masyarakat Islam daripada sebarang kerosakan seperti mengelirukan susur galur keturunan, menimbulkan fitnah dan menimbulkan konflik dalam isu pembahagian harta pusaka.
Selain itu, telah menjadi kebiasaan amalan masyarakat Islam di Malaysia yang meletakkan ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama anak dalam sijil daftar kelahiran.
Kashoorga: Tak salah pun nak letak ‘bin’ atau ‘binti’ kerana bukan sehari, dua orang-orang kita pergi travel. Selama ini tiada masalah berat pun yang timbul.
Pelbagai usaha mencari jodoh dilakukan oleh mereka yang masih belum temui pasangan hidup. Salah satu usaha yang agak popular kini ialah ‘mempromosi’ diri di laman web mencari jodoh.
Kemajuan teknologi hari ini memungkinkan proses mencari jodoh lebih mudah. Tidak salah mencuba asalkan kita tahu apa limitasi yang perlu dipertimbangkan bagi mengelakkan fitnah kelak.
Bagaimanapun, ada baiknya kita dapatkan ulasan lanjut pihak Mufti Wilayah Persekutuan dalam hal ini.
Assalamualaikum. Saya ingin tahu apakah hukum jika kita memuat naik gambar di page mencari jodoh. Kebiasaannya, gambar yang dimuat naik tersebut ada unsur tabarruj yang boleh timbulkan fitnah.
Allah SWT menciptakan manusia berpasang-pasangan, bertujuan saling berkenalan antara satu sama lain. Firman Allah SWT: يَاأَيُّهَاالنَّاسُاتَّقُوارَبَّكُمُالَّذِيخَلَقَكُمْمِنْنَفْسٍوَاحِدَةٍوَخَلَقَمِنْهَازَوْجَهَاوَبَثَّمِنْهُمَارِجَالًاكَثِيرًاوَنِسَاءًوَاتَّقُوااللَّهَالَّذِيتَسَاءَلُونَبِهِوَالْأَرْحَامَإِنَّاللَّهَكَانَعَلَيْكُمْرَقِيبًا
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu”.
Hukum Melihat Ajnabi Pada asalnya hukum seseorang itu melihat perempuan atau lelaki yang ajnabi (bukan Mahram) adalah diharamkan dengan tanpa tujuan dan keperluan. Ini seperti mana firman Allah SWT: قُللِّلْمُؤْمِنِينَيَغُضُّوامِنْأَبْصَارِهِمْوَيَحْفَظُوافُرُوجَهُمْۚذَٰلِكَأَزْكَىٰلَهُمْۗإِنَّاللَّـهَخَبِيرٌبِمَايَصْنَعُونَ﴿٣٠﴾وَقُللِّلْمُؤْمِنَاتِيَغْضُضْنَمِنْأَبْصَارِهِنَّوَيَحْفَظْنَفُرُوجَهُنَّوَلَايُبْدِينَزِينَتَهُنَّإِلَّامَاظَهَرَمِنْهَا
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.
Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30)
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. (Surah al-Nur: 30-31)
Dr. Wahbah Zuhaili dalam tafsirnya menyatakan bahawa menjaga pandangan dan kemaluan merupakan satu kehormatan dan kemuliaan. Firman Allah SWT menjelaskan hukum melihat dan menutup aurat. Ianya bertujuan untuk menutup pintu kerosakan dan mencegah daripada terjadinya sesuatu perkara yang haram.
Namun di dalam hal yang lain, dibenarkan untuk melihat kepada ajnabi sekiranya bertujuan untuk meminanginya. Ini seperti mana yang diceritakan daripada Abu Humayd al-Sa’idi RA, Sabda Nabi SAW:
إِذَاخَطَبَأَحَدُكُمُامْرَأَةًفَلاَجُنَاحَعَلَيْهِأَنْيَنْظُرَمِنْهَا،إِذَاكَانَإِنَّمَايَنْظُرُإِلَيْهَالِخِطْبَتِهِ،وَإِنْكَانَتْلاَتَعْلَمُ Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu ingin meminang seorang perempuan, tidaklah salah melihatnya dahulu, jika tujuan melihat itu untuk meminang walaupun tidak diketahui oleh perempuan.” Riwayat Ahmad (5/424)
Dan perkara ini digalakkan di dalam Islam namun terdapat batasan dan had pandangan yang ditetapkan syara’. Di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa tidak diharuskan seseorang yang ingin bertunang melihat pasangannya melainkan pada muka dan kedua tapak tangannya.
Ini kerana kedua-dunya itu adalah perhiasan wanita yang dibolehkan syara’ untuk melihatnya. Bahkan dibolehkan berulang kali melihat pasangan yang hendak ditunanginya sekiranya untuk memastikan keadaan dan situasinya agar tidak menyesal selepas menikahinya.
Berlebihan dalam berhias bagi seseorang perempuan adalah diharuskan hanya kepada suaminya sahaja. Dalam membincangkan masalah ini, berpandukan pandangan para fuqaha’ dalam pembahagian hukum berkenaan tabarrjuj apa yang digariskan di dalam al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah menyatakan:
“Mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya. Dan disebabkan itu dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, maka Ijma’ (sepakat) para ulama’ adalah haram melainkan kepada suaminya sahaja”.
Berdasarkan kepada persoalan yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa penggunaan laman sesawang mencari jodoh pada asalnya adalah diharuskan. Ini berdasarkan kaedah feqah: الأصلفيالأشياءالإباحةحتىيدلالدليلعلىالتحريم
Maksudnya: Pada asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan, sehingga terdapat dalil ke atas pengharamnya. Oleh itu, tujuan pembinaan laman sesawang itu diharuskan sekiranya matlamatnya adalah untuk kebaikan dan haram hukumnya sekiranya bertujuan untuk kemaksiatan.
Maka hal berkenaan laman sesawang mencari jodoh, hukum asalnya adalah diharuskan, namun sekiranya penggunaannya atau pembinaannya bertujuan untuk kemaksiatan dan melakukan perkara yang diharamkan, maka hukumnnya adalah diharamkan.
Begitu juga haram hukumnya, sekiranya memuat naik gambar tabarruj dan menonjolkan perhiasan yang berlebihan sehingga menimbulkan syahwat dan fitnah kepada yang melihatnya.
Sebaiknya pihak admin laman sesawang menetapkan garis panduan yang sepatutnya seperti gambar yang menutup aurat, menjaga privasi pengguna, menjaga batas syariat pergaulan di antara berlainan jantina dan sebagainya.
Semoga dengan pencerahan dan penjelasan ini memberikan kita ilmu dan kefahaman yang jelas tentang agama dan permasalahannya.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Silent treatment dalam rumah tangga boleh menjadi penderaan emosi yang merosakkan hubungan suami isteri jika tidak dikawal dengan komunikasi yang sihat.