
Kesibukan bekerja mencari rezeki dari awal pagi hingga lewat petang diikuti dengan menyelesaikan tanggungjawab pada keluarga sering kali menyebabkan kita solat dalam keadaan tergesa-gesa.
Malah banyak kali juga terasa berat untuk menunaikan solat kerana sibuk dengan kerja yang tak berkesudahan. Namun kita gagahi jua untuk melaksanakannya kerana tuntutan solat adalah kewajipan setiap umat Islam.
Dalam keadaan solat sebegini adakah Allah menerimanya? Persoalan ini mungkin pernah terlintas dalam fikiran kita.
Soalan yang sama pernah diajukan kepada Ustaz Dr Kamilin Jamilin yang Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis. Namun katanya meski terasa begitu berat untuk solat kerana sibuk namun jangan sesekali meninggalkannya.
Ini kerana boleh jadi solat ketika kita berasa begitu berat dan sibuk itulah solat yang paling ikhlas.
Malah katanya boleh jadi juga pada masa itulah doa dimakbulkan Allah SWT kerana itulah solat kita yang paling ikhlas.
“Kenapa dikatakan solat dalam keadaan sebegini paling ikhlas? Sebab, bila mana kita solat pada masa yang kita mahu melakukan sesuatu, pada masa kita terlalu sibuk dan berat melakukannya namun kita tetap berhenti demi meluangkan masa bersama dengan Allah kerana merasakan itu perintah Allah, kerana kita takut akan dosa, takut Allah murka, takut akan azab Allah maka itulah yang sebenarnya ikhlas,”demikian ujar Pensyarah Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, USIM ini.
Solat kerana Allah bukan sebab dunia
Sambungnya itu bermakna kita melakukan solat benar-benar kerana Allah dan bukan sebab dunia. Kita solat kerana takut murka Allah, kerana mahu ganjaran Allah dan itulah erti keikhlasan yang sebenar.
“Jadi sesibuk mana sekali pun kita dengan urusan dunia jangan sesekali membuatkan kita berhenti dari menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah.
“Sebab solat kita pada masa itu boleh jadi solat yang paling bermakna dan bermanfaat untuk diri kita,”akhirinya.
Sumber: Dr Kamilin Jamilin
Baca Lagi: Tak Halalkan Sedekah & Pemberian Disebabkan Konflik, Adakah Dibolehkan?
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?





