Tak semua perkara perlu diluah, lebih baik diam dan mengadulah pada Allah SWT. Ini saranan pendakwah bebas Ustazah Norhafizah Musa.
Tidak dinafikan bila kita dilanda ujian, kita pasti hendak meluah. Sama ada pada sahabat atau keluarga, dalam erti kata lain untuk proses “healing”. Biar tenang bila meluahkan.
Tetapi sebenarnya tidak semua perkara boleh diluahkan kerana orang yang mendengar tidak tahu jalan cerita keseluruhannya dan kita saja yang mengalaminya.
Pendengar hanya mendengar cerita daripada persepsi kita dan kemudian membuat andaian. Jika ditemukan dengan pendengar, Alhamdulillah. Jika sebaliknya, mungkin masalah yang kecil bertambah besar.
Ikuti perkongsian Ustazah Norhafizah Musa ini dan hayati setiap kata-kata yang disampaikan.
Tidak semua perkara mampu dijelaskan.
Tidak semua perkara juga mampu difahami oleh setiap orang.
Lebih Baik Diam
Kerana ‘mengalami ‘ dan ‘ tidak mengalami’ itu bezanya amat besar.
Belajarlah Tawakkal kepada Allah. Menguruskan ikhtiar hidup sesuai dengan dengan ujian atau persoalannya , dengan memohon pertolongan Allah SWT.
Tidak semua yang kita mahukan akan berlaku. Allah Yang Maha Besar.
Bertawakkal lah.
Mengadulah Pada Allah
Kadang-kadang lebih mudah menerima kita diaibkan… Kerana kita sudah siap memberikan kemaafan dan doa yang tulus untuk mereka, daripada kita yang mengaibkan kerana tidak mudah untuk mendapatkan kemaafan orang lain.
Ads
Banyak prinsip hidup yang ustazah pelajari daripada pengalaman .
Banyak yang mahu diluahkan di hadapan makhluk.. tetapi memilih untuk meluahkannya di hadapan Khaliq kerana yakin segalanya dalam genggaman-NYA.
Pesan Ustazah Norhafizah
Bertenanglah, nikmati hidup pada sisi yang mendamaikan hati kita. Adapun , ribut-ribut kecil yang Allah hadapkan , laluilah sementara ia berlalu pergi.
Tidak ada taufan yang berkekalan. Banyak tamadun yang bangkit lebih gagah selepas keruntuhan.
Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.
Kashoorga: Tak semua perkara yang kita mahu, Allah makbulkan kerana Allah kurniakan sesuatu yang kita perlu, bukannya apa yang kita mahu. Renung-renungkan.
Kalau sudah sampai ajalnya, tidak akan terlambat walaupun sesaat. “Tak sempat ke klinik, warga emas meninggal di pondok bas.’ Hajat lelaki tua ini untuk mendapatkan rawatan di klinik berdekatan tidak kesampaian apabila dia ditemui meninggal.
Sedih mengenangkan nasibnya berdepan sakaratulmaut seorang diri dan berada di pondok bas. Sesungguhnya ajal dan maut adalah rahsia Allah, hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Allahuakbar!
Seorang warga emas tidak sempat mendapatkan rawatan di klinik kesihatan selepas ditemui meninggal dunia di sebuah pondok bas di tepi jalan di Kampung Serkam Darat, Jasin, Melaka.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 7.45 pagi, Dol Samad Abu, 64, disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena serangan jantung ketika sedang menunggu bas.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman, Ketua Balai Polis Merlimau bersama anggota ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan.
Tambahnya, warga emas terbabit dipercayai mahu ke klinik kesihatan berhampiran sebelum terkena serangan jantung.
“Kejadian itu dilihat seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan itu dan ternampak warga emas tersebut dalam keadaan terbaring.
“Pemeriksaan di dalam beg mangsa turut menjumpai pelbagai jenis ubat serta buku rawatan,” katanya.
Tambah beliau, mangsa turut mempunyai beberapa penyakit lain termasuk asma serta gout.
Ujar beliau, individu itu tinggal bersama adiknya berdekatan pondok bas itu dan pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai perubatan kemudian mengesahkan dia meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Semakan buku rawatan mendapati dia memang kerap mendapatkan rawatan susulan berhubung penyakit yang dihidapi,” katanya lagi.
Jelas beliau, pemeriksaan ke atas tubuh badan Allahyarham tidak menemui sebarang unsur jenayah dan klasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Jasin.
Berpantang style makkah, tak boleh 100% ikut cara orang lama. ‘Kalau takut mudaratkan diri, baca bismillahilazi 3 kali sebelum makan sesuatu.’
Maklumlah tinggal berjauhan dari keluarga dan berada di Tanah Suci Makkah membuatkan wanita ini tiada pilihan dan memilih cara berpantang yang tersendiri iaitu ‘Berpantang Style Makkah’.
Bab berpantang ini menjadi isu pendebatan sampai bila-bila. Ada wanita mengamalkan pantang 44 hari dan ada pula 100 hari. Begitu juga dengan makanan, jika sebelah utara, wanita yang baru melahirkan anak perlu berpantang “laksa” selama setahun.
Memang pelbagai jenis pantang selepas bersalin, tapi yang terbaik adalah mengikut keadaan dan badan masing-masing. Ikutlah amalan berpantang dengan keupayaan diri, tak perlu memaksa diri.
Ikuti perkongsian penulis Makkah Kenangan Terindah, Ustazah Salimah yang menjalani proses berpantang di bumi Makkah.
Assalamualaikum semua. Hari ini sudah hari ke-25 dalam pantang selepas melahirkan Marhamah pada 6 Januari 2023 yang lalu.
Alhamdulillah, Allah Maha Baik yang mempermudahkan semua urusan bersalin, ketika dalam pantang, segala urusan ummi dan bayi segalanya rapi dalam jagaan Allah.
Ramai yang prihatin dengan penjagaan saya dalam pantang di Makkah, dalam keadaan berjauhan dari keluarga.
Apa yang saya boleh katakan adalah saya berpantang mengikut kemampuan, keadaan dan kesesuaian diri sendiri. Sesungguhnya apa yang mampu saya buat dan boleh saya buat, saya buat. Apa yang tak mampu, saya tinggalkan.
Setiap kali berpantang, satu sahaja perkara yang saya sangat jaga iaitu sentiasa senyum dan ceria, dan elakkan perkara yang buat saya stres, atau senang cerita, jangan stres.
Kalau dapat tukang urut, kita urut.. alhamdulillah sudah mengurut lega badan dan peranakan.
Ada tungku, kita tungku. Saya pakai beg air panas itu saja, sebab tungku lama entah ke mana, tukang urut yang tungkukan semasa mengurut.
Sapu-sapu ubat, cream param, pakai stokin, bengkung, bab-bab kecantikan dan benda-benda macam ni memang saya rajin dan suka, seminggu ke dua minggu saja. Eh sudah slim balik lah perut, alhamdulillah.
Soal makanan, apa yang berkhasiat dan boleh makan saya makan, apa yang memudharatkan buat saya dan bayi yang menyusu badan, saya elak.
Makanan dalam pantang ni kadang kala ‘try and error’ juga. Kadang orang itu makan okay, kita makan angin pulak. So ikut badan masing-masing.
Soal berehat dan bergerak, saya ikut keadaan badan juga. Hendak baring melunjur kaki 24 jam pun tak mampu, badan jadi lesu, punggung jadi sakit.
Jadi saya akan bahagikan masa antara rehat, baring, berdiri, duduk, berjalan, bergerak, menyapu… Bila badan cergas, rasa lebih cepat sembuh luar dan dalam.
Tapi kita pun berjaga-jaga juga ‘cergas’ orang pantang ini macam mana, tak adalah sampai berlari. Membuat senaman lompat bintang ke atau panjat bukit, buat yang berat-berat.
Kalau Takut Mudarat
Semua masih dalam fasa penyembuhan, lebih-lebih lagi peranakan yang masih ‘fragile’, jadi kita buat semampunya kita, perlahan-lahan sahaja.
Dalam pantang pun sempat buat ‘live, bukan apa, saja menghiburkan diri sendiri dan dapat berinteraksi dengan followers juga.
Setakat satu jam sehari berikan masa, beri manfaat untuk orang lain, buat orang lain terhibur pun dapat rasa diri terhibur dan tak stres. Nanti kalau MKT (Makkah Kenangan Terindah) tak ada live, ramai yang mencari.
Pendek cerita, berpantang ‘style’ Makkah ini maknanya tak dapatlah hendak ikut 100% pantang ‘style’ orang-orang lama, berehat je selama 44 hari.
Kalau ada orang jaga kita macam upah confinement lady ke, atau ada ahli keluarga dapat datang untuk jaga kita, sedap jugak kan. Ada suami dan anak-anak yang dapat membantu sebahagian kerja di rumah ini pun dah cukup bersyukur.
Kalau berpantang ‘style’ Makkah macam sebahagian mak-mak Arab ni, yang jenis semuanya hentam sajalah, payah jugak. Depan mata saya, lepas bersalin, dia mintak nurse “Ada pepsi tak?” Haaa… Pepsi? Dia kata untuk keluarkan angin… I is no comment!
Iyee… Bab makan minum ni orang Arab tak ada pantang-pantang sangat. Sejuk ke, tajam ke angin ke, makan sahaja. Kebanyakanlah… tapi kata tukang urut, ada saja yang sekarang ini pandai menjaga dan pandai panggil orang asia kita untuk mengurut.
Tengok sajalah gambar-gambar bawah ini, makanan hospital untuk orang lepas bersalin. Menu pertama saya tempoh hari Nasi Kabsah Ayam (tak ada dalam gambar) Wallahi sedap.. hehe.
Maknanya saya pun hentam sajalah kan. Masa tu perut dah lapar sangat, kalau tak makan nanti kelaparan pulak, baby dah keluar hendak susukan baby lagi.
Jadi dengan lafaz bismillah + بِسمِ اللهِ الذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الأَرضِ وَلا فِي السّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ العَلِيم tiga kali saya baca, saya makan saja. Tak mahulah susahkan suami kena hantar-hantar ‘nasi putih dan lauk pantang’ setiap kali nak makan. Rumah pun jauh dari hospital.
So… itulah petua saya. Jika ada benda-benda yang ditakuti memudaratkan saya atau baby dari pemakanan, sebelum makan memang saya baca bismillah doa makan, dan bismillahillazi itu 3 kali..
Anda semua kalau tengok makanan hospital untuk orang pantang di Makkah mesti banyak terkejut, air yang dibagi air sejuk, salad hirisan timun, carrot, tomato boleh kata setiap hidangan ada.
Nasi pula tak ada nasi putih, semua nasi arab atau nasi minyak, ayam bakar okay lagi, tapi apa pun semuanya saya ucapkan alhamdulillah atas apa yang terhidang.
Terima kasih sudi baca coretan pantang saya dari Makkah yang panjang ni. Apa yang saya pegang, pantang hanya selama 44 hari tidak menjamin kesihatan dan awet muda bila sudah meningkat usia, tapi badan, rahim, pemakanan semuanya perlu kita jaga seumur hidup kita.
Terima kasih juga buat mak-mak, makcik pakcik, semua followers yang awesome yang mendoakan dan beri peringatan pada saya ketika dalam pantang ni. Moga fatrah pantang ini berakhir dengan selamat sejahtera.
Surat terbuka buat Syamsul Yusof, Puteri Sarah dan keluarga, hadam baik-baik nasihat Dr Zulkifli ini. Ternyata apa yang berlaku kepada pasangan selebriti ini turut mendapat perhatian ramai dan tidak terkecuali Dr Zulkifli.
Mengambil kesempatan ini, Mantan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi surat terbuka berupa nasihat kepada Syamsul Yusuf dan ahli keluarganya.
Ternyata apa yang disampaikan Dr Zulkifli bukan hanya khusus buat Syamsul dan Puteri Sarah, tetapi mungkin boleh digunapakai oleh pasangan suami, isteri di luar sana. Ini isi kandungan surat terbuka Dr Zulkifli:
Semasa saya di dalam penerbangan Garuda Air menuju ke Jakarta pada tengahari ini pada 9 Januari 2023, saya sempat meneliti isu-isu semasa di media sosial.
Masih hangat dibincangkan tentang saudara Syamsul Yusof, keluarga dan juga bapanya, Datuk Yusof Haslam. Isu yang agak lama berlarutan, sehingga dinoktahkan dengan pengakuan Syamsul baru-baru ini.
Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada semua yang terlibat dalam isu ini. Sejujurnya saya tergerak untuk mengemukakan sedikit nasihat.
Bukanlah ingin membuktikan saya lebih mengetahui, tetapi sekadar ingatan bersama berdasarkan sedikit ilmu yang saya ada. Saya lafazkan ‘أستغفرُ اللهَ وأتوبُ إليهِ’. Mudah-mudahan kita beroleh sedikit panduan dan pedoman.
Saya mulakan nasihat ini seperti berikut:
Ini selaras dengan firman Allah SWT:
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ
Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran.”
(Surah al-Asr: 3)
Imam al-Tabari berkata: Maksud saling berpesan dengan kebenaran itu adalah mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkan-Nya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590)
Kita mahukan apa yang terzahir adalah satu gambaran umat atau kelompok Muslimin yang bersatu padu, satu umat yang terpilih, yang sedar dan yang tegak di bumi di atas lunas-lunas kebenaran, keadilan dan kebaikan.
Begitulah yang ditafsirkan oleh Sayyid Qutb Islam pada ayat di atas. Allah SWT mahukan mereka menjadi satu umat yang terpilih, kuat, sedar, siap siaga mengawasi kebenaran dan kebaikan dan sentiasa saling berpesan sesama mereka supaya menjunjung kebenaran dan bersabar dalam perjuangan dan hidup saling mesra.
Di samping itu, bekerjasama dengan semangat ukhuwah Islamiyah sebagaimana apa yang disarankan oleh kata-kata berpesan di dalam al-Quran. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 17/521). Begitulah besarnya peranan nasihat.
Tindakan saudara meletakkan noktah bagi kemelut “cakap-cakap belakang” dengan mengisytiharkan perkahwinan tersebut adalah perlakuan yang berani.
Saya katakan syabas kerana itulah kalimah yang terbaik kerana ia berakhir dengan tindakan yang selari dengan syarak. Semoga dengan ini, akan selesailah kemelut yang menjadi teka-teki yang hakikatnya menyebabkan keadaan menjadi lebih parah.
Sikap yang ditunjukkannya jelas amat matang. Nada suaranya memberi erti seribu satu macam makna yang hanya dirasai oleh seorang bapa yang sedaya upaya berlaku adil dengan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT sebagai pencorak kepada selembar kain putih.
Maksudnya: “Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu sukakan sesuatu sedangkan itu adalah keburukan bagi kamu. Allah itu lebih mengetahui dan kamu tidak mengetahui.”
Surah al-Baqarah (216)
Ibn Kathir berkata:
Hal ini berlaku untuk semua perkara. Boleh jadi manusia menyukai sesuatu, padahal tidak ada kebaikan dan maslahat sama sekali di dalamnya. Allah yang mengetahui akhir sesuatu dari perkara kita.
Allah yang mengkhabarkan dengan apa yang ada maslahat untuk dunia dan akhirat kita. Maka lakukan dan patuhlah pada perintah-Nya, nescaya kita akan beroleh petunjuk.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/573)
Ini bersyaratkan dengan redha dan patuh kepada perintah Tuhan dan Rasul, buat mengikut kehendak-Nya dan menghindarkan hanya beriman dengan emosi dan perasaan. Kenyataan ini ditegaskan oleh tokoh tasawuf, Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari:
Maksudnya: “Segala cita-cita terdahulu itu tidak boleh mencarikkan segala kota takdir.”
Ia membawa maksud bahawa sesuatu yang ditentukan Allah SWT sejak azali tidak boleh diubah dengan apa-apa jua pun termasuk kekuatan azam hati. (Lihat Ahasin al-Kalim Syarh al-Hikam, 1/22)
Antara tindakan kita, lihatlah ke hadapan dengan penuh optimis dan keyakinan yang tinggi. Jarakkan diri dari bersifat pesimis. Justeru, kitalah yang akan mewarnai kehidupan kita untuk menuju kebahagiaan.
Kita akan menuju untuk menemui Tuhan. Ambillah kebaikan dalam hidup dan jadikan keburukan sebagai sempadan untuk membina semula kehidupan yang baharu. Tidak ada yang sempurna kerana kehidupan itu sendiri adalah medan ujian.
Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”
(Surah al-Mulk: 2)
Untuk menghasilkan ‘أَحْسَنُ عَمَلًا’ (yang lebih baik amalnya), maka sudah tentu dengan mengutip pengajaran dan pengalaman terdahulu bagi memaknai kehidupan kita di dunia. Kehidupan yang berorientasikan akhirat.
Bak kata Hamka, “Hidup ini hanya sekali, justeru biarlah bererti.” Justeru, binalah tekad untuk membina kehidupan baru yang lebih baik.
Inilah realiti, di mana semua pihak perlu akur. Nasihat saya, dalam kehidupan rumah tangga, tiga perkara utama perlu dititikberatkan:
Keadilan sama ada dari nafkah zahir dan batin, termasuk juga perasaan kasih sayang.
Kekayaan bukan sekadar harta dunia, tetapi amanah daripada Allah yang perlu diurus dengan adil, penuh kasih sayang dan berlandaskan iman. Demikian antara perkara bakal...