
Membaca doa qunut dalam solat Subuh merupakan antara amalan yang sangat sinonim dalam masyarakat kita. Dalam mazhab Syafie, doa qunut ketika solat Subuh termasuk dalam perkara sunat ab‘adh, iaitu sunat yang sangat dituntut.
Doa qunut biasanya dibaca selepas iktidal pada rakaat kedua solat Subuh.
Namun dalam keadaan mengantuk, tergesa-gesa atau fikiran tidak fokus, ada kalanya seseorang terlupa membaca doa qunut dan terus sujud seperti biasa.
Persoalannya, jika sudah terlupa membaca doa qunut, kemudian terlupa pula untuk melakukan sujud sahwi, adakah solat Subuh itu batal dan perlu diulang semula?
Jawapannya, solat tetap sah dan tidak perlu diulang.
BACA JUGA: Trafik Sesak Sampai Tak Sempat Solat, Boleh Jamak Atau Kena Qada?
Terlupa membaca doa qunut tidak membatalkan solat. Begitu juga jika seseorang terlupa melakukan sujud sahwi selepas tertinggal qunut, ia juga tidak membatalkan solat.
Ini kerana sujud sahwi hukumnya sunat apabila berlaku sebab-sebab tertentu dalam solat, bukan rukun yang menentukan sah atau batalnya solat.
Menurut penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, jika seseorang tertinggal doa qunut dalam solat Subuh, disunatkan untuk melakukan sujud sahwi.
Namun, jika sujud sahwi itu tidak dilakukan, solatnya tetap sah kerana sujud sahwi adalah sunat, bukan wajib.
Sujud sahwi dilakukan pada akhir solat sebelum memberi salam. Caranya sama seperti sujud biasa, sujud dua kali dan disertai duduk antara dua sujud.
Bacaan sujud sahwi pula boleh dibaca seperti:
Subhana man la yanamu wala yashu
Maksudnya: Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa.
Bagaimana pula jika selepas memberi salam, baru teringat bahawa kita belum melakukan sujud sahwi?
Jika baru sahaja memberi salam dan masih dalam jarak masa yang singkat, sebahagian pandangan menyebut seseorang boleh melakukan sujud sahwi sebanyak dua kali dengan niat sujud sahwi, kemudian memberi salam semula.
Namun jika sudah berlalu lama atau sudah beredar daripada tempat solat, maka ia dimaafkan dan solat tidak perlu diulang.
Bagi yang solat Subuh berjemaah pula, ikutlah pergerakan imam. Jika imam melakukan sujud sahwi, makmum sunat mengikutinya.
Jika imam tidak melakukan sujud sahwi walaupun tertinggal doa qunut, solat tetap sah dan makmum tidak perlu lakukan sajud sahwi bersendirian.
Kesimpulannya, jangan biarkan rasa was-was mengganggu ketenangan dalam ibadah. Jika terlupa membaca doa qunut, lakukan sujud sahwi jika masih ingat sebelum salam.
Jika terlupa juga sujud sahwi, solat Subuh tetap sah dan tidak perlu diulang.
Yang penting, teruskan solat dengan khusyuk. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Islam itu adalah agama yang mudah.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.