Terperangkap dalam kesesakan jalan raya hingga waktu solat hampir habis, bolehkan jamak atau perlu qada?
Soalan ini kerap timbul terutama dalam kalangan mereka yang berdepan perjalanan jauh pulang dari tempat kerja, ditambah pula dengan trafik yang kadangkala sesak luar biasa.
Bayangkan waktu Maghrib sudah masuk dan semakin suntuk, namun kenderaan masih tidak bergerak lancar.
Kawasan berhenti yang selamat pula tiada, stesen minyak atau surau masih jauh. Dalam keadaan begini, ramai yang tertanya-tanya, adakah dibolehkan untuk menjamakkan solat dengan waktu seterusnya atau perlu menggantikannya kemudian?
Dalam Islam, hukum asal solat ialah menunaikannya sebaik sahaja masuk waktu.
Ini kerana solat adalah kewajiban yang sangat besar dan tidak boleh dipandang ringan.
Namun, Islam juga ialah agama yang penuh mudah. Dalam keadaan tertentu, rukhsah diberikan kepada hamba-Nya untuk menunaikan ibadah.
Ads
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka diambil rukhsah yang diberikan-Nya sebagaimana Dia suka dilaksanakan perkara-perkara yang diwajibkan-Nya.” (Riwayat Ibn Hibban)
Justeru, jika seseorang benar-benar terperangkap dalam kesesakan yang luar biasa sehingga sukar untuk berhenti dan menunaikan solat, maka keadaan itu perlu dilihat pada tahap darurat atau kesukaran yang dihadapi.
Jika keluar dari kenderaan boleh mendatangkan bahaya, tiada ruang selamat untuk berhenti, atau jika berhenti akan menyebabkan keadaan menjadi lebih mudarat, maka ketika itu rukhsah menunaikan solat boleh dipertimbangkan.
Namun, perlu difahami bahawa kemudahan ini bukan boleh diambil sesuka hati.
Ia hanya terpakai apabila benar-benar memenuhi syarat tertentu, antaranya keadaan sangat mendesak, tiada tempat berhenti yang sesuai seperti stesen minyak, surau atau lorong kecemasan yang selamat, serta waktu solat hampir tamat.
Ads
Sebagai contoh, seseorang terperangkap dalam kesesakan ketika waktu Maghrib dan dijangka hanya tiba di rumah apabila masuk waktu Isyak.
Dalam situasi seperti ini, ada pandangan ulama kontemporari yang membenarkan jamak takhir, iaitu menghimpunkan solat Maghrib bersama Isyak dan ditunaikan dalam waktu Isyak apabila telah sampai ke tempat yang sesuai.
Walau bagaimanapun, apa yang perlu diberi perhatian ialah niat untuk qada solat tidak boleh disengajakan. Maksudnya, seseorang tidak boleh dengan sengaja melengah-lengahkan solat sehingga habis waktu, kemudian menggantikan sahaja solat tadi.
Sikap seperti ini jelas bertentangan dengan tuntutan menjaga solat pada waktunya. Rukhsah hanya diberikan apabila dalam situasi tertentu, bukan kerana sikap sambil lewa.
Selain itu, keadaan sebegini juga tidak boleh dijadikan tabiat harian.
Ads
Jika pada hari-hari biasa anda masih boleh berhenti di surau, masjid atau stesen minyak berdekatan, maka wajiblah mendahulukan solat dan menunaikannya dalam waktunya.
Jangan jadikan alasan jalan sesak sebagai kebiasaan untuk sentiasa melewat-lewatkan solat.
Hakikatnya, jamak adalah satu keringanan yang diberikan syarak dalam keadaan tertentu, tetapi menjaga solat dalam waktunya tetap lebih utama selagi mampu dilakukan.
Sebab itu, umat Islam disaran merancang perjalanan dengan baik, termasuk menggunakan aplikasi seperti Waze atau Google Maps.
Ingatlah, solat adalah tiang agama. Jangan kerana kesibukan atau kesesakan, kita mula meremehkan perkara yang menjadi kewajiban paling asas bagi seorang Muslim.
Gunakan rukhsah apabila benar-benar perlu, tetapi jangan sekali-kali menggunakan rukhsah itu sambil lewa.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Puasa hari putih atau puasa ayyamul bidh bermaksud berpuasa pada hari bulan mengambang iaitu pada setiap hari ke-13, 14 dan 15 di pertengahan bulan Islam. H Ini kerana pada waktu ini cahaya bulan sangat terang-benderang.
Dalam satu hadith dari Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu (RA), berkata:
Maksudnya: “Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Duha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.”Riwayat al-Bukhari (1124) dan Muslim (721).
Berdasarkan hadith di atas kita digalakkan berpuasa selama tiga hari dalam satu-satunya bulan Islam. Namun, lebih afdal sekiranya kita dapat melakukannya pada hari ke-13, 14 dan 15 dalam bulan Islam.
Hal ini merujuk kepada hadis yang berikut.
Daripada Abu Dzar RA, katanya, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, berpuasalah pada 13, 14, dan 15 hari bulan.”Riwayat al-Tirmizi (761).
Bagaimana lafaz niat puasa hari putih?
Niat Puasa Hari Putih Bacaan rumi:
Nawaitu sauma ayyamal bidh sunnatan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah taala
APAKAH BENTUK PUASA UMAT ZAMAN SILAM SEBELUM KEDATANGAN NABI MUHAMMAD?
Sebelum kita melakukan puasa sunat hari putih, ini sejarah mengenai puasa ini seperti dikongsikan oleh Mufti Negeri Terengganu,Sahibus Samahah Prof. Madya Dr. Haji Mohamad Sabri bin Haron berdasarkan soalan, apakah bentuk puasa umat-umat zaman silam sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW?
Jawapan:-
Allah berfirman yang ertinya:-
“Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan juga kepada orang-orang yang sebelum kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa”. (al-Baqarah: 183)
Walaupun dalam al-Quran atau hadith tidak dijelaskan bagaimana bentuk puasa generasi terdahulu, tetapi ada petunjuk-petunjuk bahawa agama-agama yang dibawa oleh para rasul terdahulu itu adalah agama monotheisme yang mengajarkan kepercayaan pada keesaan Allah.
Ahli sejarah Islam, Ibnu Kathir mengatakan bahawa ibadat puasa sudah ada sejak zaman Nabi Adam a.s dan Hawa a.s. Menurutnya, Adam berpuasa selama tiga hari setiap bulan sepanjang tahun.
Diriwayatkan bahawa Nabi Adam a.s apabila sampainya di bumi setelah diturunkan dari syurga akibat kesalahan yang dilakukan, baginda bertaubat kepada Allah s.w.t dan baginda berpuasa selama tiga hari setiap bulan. Itulah yang kemudian dikenal dengan puasa hari-hari putih iaitu pada setiap tanggal 13, 14 dan 15 setiap bulan di mana ia juga sunnah untuk dikerjakan oleh umat Nabi Muhammad SAW.
Ada ahli sejarah yang mengatakan bahawa Nabi Adam a.s berpuasa pada 10 Muharam sebagai rasa syukur kerana bertemu dengan isterinya, Hawa, di Arafah. Ada juga yang lain berpendapat, Nabi Adam berpuasa sehari semalam pada waktu dia diturunkan dari syurga oleh Allah.
Ada juga yang mengatakan Adam berpuasa 40 hari 40 malam setiap tahun. Ada pendapat yang mengatakan Adam berpuasa dalam rangka mendoakan putera-puterinya supaya berada dalam kebaikan.
Selain itu, ada yang mengatakan, Adam berpuasa pada hari Jumaat untuk mengenang peristiwa penting iaitu baginda dijadikan oleh Allah dan diturunkan ke bumi olehNya dan diterima taubatnya pada hari Jumaat. Dalam hadith disebutkan:
''Sesungguhnya Allah menjadikan Adam pada hari Jumaat, diturunkannya ke bumi pada hari Jumaat, baginda bertaubat kepada Allah atas kesalahannya memakan buah larangan pada hari Jumaat dan baginda wafat pun pada hari Jumaat.'' (Riwayat Bukhari).
Diriwayatkan bahawa Nabi Nuh a.s juga berpuasa selama tiga hari setiap bulan sepanjang tahun, seperti puasanya Nabi Adam. Baginda Nabi Nuh juga memerintahkan kaumnya untuk menyembah Allah dan berpuasa ketika mereka berbulan-bulan hidup terapung-apung di dalam perahu besar di tengah banjir yang luas dan memerintahkan mereka terus menerus bertaubat kepada Allah.
Nabi Dawud a.s juga melaksanakan puasa, bahkan baginda berpuasa dalam waktu yang cukup lama iaitu setengah tahun, di mana baginda berpuasa satu hari dan berbuka satu hari sepanjang tahun.
Nabi Ibrahim a.s juga terkenal dengan kegemarannya berpuasa, terutama pada saat hendak menerima wahyu dari Allah, yang kemudian dijadikan suhufnya yang rasmi. Ajaran Nabi Ibrahim tentang puasa ini turut dilaksanakan oleh anaknya Nabi Ismail a.s yang terkenal taat beribadat dan ia diikuti juga oleh Nabi Ishaq a.s iaitu anak Ibrahim dari isterinya Sarah.Anak Ishaq iaitu Nabi Ya'kub a.s yang juga seorang Rasul di mana baginda gemar berpuasa terutama ketika mendoakan keselamatan putera-puteranya.
Imam Al-Qurthubi dalam kitabnya al-Jami’ li Ahkamil Qur’an (2/274) menyebutkan bahawa Allah telah mewajibkan ibadat puasa kepada bangsa Yahudi (umat Nabi Musa a.s) selama 40 hari, kemudian kepada umat Nabi Isa a.s selama 50 hari. Tetapi kemudian mereka merubah waktunya sesuai nafsu mereka iaitu jika bertepatan dengan musim panas mereka menundanya hingga datang musim bunga. Hal itu mereka lakukan demi mencari kemudahan dalam beribadat. Hal itu jelas bercanggah dengan ajaran asal agama mereka.
Hal ini juga menggambarkan betapa umat Yahudi dan Kristian sesat kerana selalu menghindarkan diri untuk melaksanakan ibadat dengan sempurna sesuai dengan aturan Tuhan. Mereka mahu puasa dilaksanakan pada musim dingin atau musim bunga yang siangnya lebih pendek dari malam, berbeza dengan puasa pada musim panas, di samping suhu yang panas, siangnya juga lebih panjang dari malam hari. Itulah kesesatan umat Yahudi dan Kristian.
Umat Islam hari tidak pernah melakukan perubahan begitu kerana itu adalah bercanggah dengan keputusan Allah dan RasulNya. Di samping itu, mereka juga sedar tentang hikmah Allah memerintahkan puasa berdasarkan perjalanan bulan bukan matahari agar puasa dirasakan pada semua musim dan semua cuaca. Sebab, jika puasa berdasarkan perjalanan matahari, maka ibadat puasa akan selau berada dalam satu keadaan.
Jika tahun ini, puasa di mulai pada musim panas, maka selamanya puasa akan berada pada musim panas. Berbeza dengan perjalanan bulan yang selalu berubah, di mana jika tahun ini, puasa dilaksanakan pada musim panas, maka tahun depan atau beberapa tahun kemudian puasa akan dilaksanakan pada musim dingin dan seterusnya.
Umat Yahudi berpuasa pada 10 Muharram
Dalam satu riwayat disebutkan bahawa umat Yahudi berpuasa setiap tahun pada tanggal sepuluh Muharram, sebagai syukur atas keselamatan Nabi Musa a.s dari pemburuan Firaun. Maka Nabi Muhammad s.a.w juga memerintahkan umatnya untuk berpuasa pada tanggal sepuluh Muharram yang dikenal dengan puasa hari ‘Asyura.
Umat Yahudi juga diperintahkan berpuasa satu hari pada hari ke sepuluh bulan ke tujuh dalam hitungan bulan mereka. Puasa itu selama sehari semalam.
Diriwayatkan bahawa Nabi Yusuf a.s pula berpuasa ketika berada dalam penjara bersama para pesalah lainnya. Kebiasaan berpuasa ini juga baginda terapkan ketika menjadi pemerintah Mesir atau ketika menjawat sebagai menteri ekonomi negeri Mesir. Baginda Nabi Yusuf a.s pernah bersabda tentang kekerapan puasa yang dilakukannya: ''Aku khuatir apabila aku kenyang, nanti aku akan melupakan perut fakir miskin.''
Nabi Yunus a.s pula berpuasa dari makan dan minum ketika berada dalam perut ikan besar selama beberapa hari, kemudian berbuka puasa setelah dimuntahkan kembali dari perut ikan itu. Untuk berbuka, diceritakan baginda memakan buah labu yang tumbuh di tepi pantai.
Baginda Nabi Ayub a.s pula berpuasa pada waktu serba kekurangan dan menderita penyakit selama bertahun-tahun, sampai akhirnya baginda sihat seperti sediakala.
Baginda Nabi Syuaib a.s yang terkenal kesolehannya juga banyak melakukan puasa dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah.
Mengetahui sejarah puasa umat terdahulu adalah penting agar umat Islam hari ini jangan mencontohi puasa umat yang menyeleweng seperti umat Yahudi yang memilih waktu puasa yang bukan menurut aturan Allah. Sebab itu, ibadat yang lakukan adalah rugi dan tidak diterima oleh Allah.
Tujuan puasa adalah untuk perubahan ke arah yang lebih baik. Puasa akan menjadikan manusia berubah dari tingkat mukmin biasa menjadi golongan mutaqqin atau orang yang bertakwa.
Sebenarnya untuk berubah ke arah dan bentuk yang lebih baik, bukan hanya manusia yang berpuasa, akan tetapi sebahagian binatang ketika bermetamorfosa (berubah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain) juga berpuasa. Ini seperti kupu-kupu yang berpuasa ketika mula berubah dari ulat yang bentuk dan rupanya hodoh untuk menjadi seekor kupu-kupu yang bersayap, cantik dan berawan indah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Zaman dunia teknologi masa kini, ada pasangan suami isteri yang menyimpan sperma suami untuk bayi tabung uji. Jika si suami masih hidup tiada masalah namun bagaimana apabila suami meninggal dunia.
Timbul masalah kefahaman dari segi hukum sama ada boleh atau tidak sperma suami yang disimpan itu digunakan oleh isteri.
Ikuti pencerahan berikut.
SOALAN:
Ada orang tanya isu bayi tabung uji. Sepasang suami isteri menyimpan 7 tabung sperma untuk bayi tabung uji. Tiba-tiba suami itu meninggal. Adakah boleh terus disenyawakan dengan ovum isteri setelah ketiadaan suami?
JAWAPAN:
Diharamkan bagi seorang balu menggunakan air mani suami yang telah meninggal dunia bagi tujuan menghasilkan bayi tabung uji. Ini kerana hubungan perkahwinan tamat apabila suami meninggal dunia. Justeru, benih lelaki yang disimpan sebelum kematian tidak boleh digunakan oleh isteri untuk tujuan persenyawaan dan kehamilan.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-5 yang bersidang pada 16-17 November 1982 dan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-6 yang bersidang pada 10 Oktober 1983 telah membincangkan Bayi Tabung Uji.
Muzakarah telah memutuskan bahawa:
Bayi Tabung Uji dari benih suami isteri yang dicantumkan secara ‘terhormat’ adalah sah di sisi Islam. Sebaliknya benih yang diambil dari bukan suami isteri yang sah bayi tabung itu adalah tidak sah. Bayi yang dilahirkan melalui tabung uji itu boleh menjadi wali dan berhak menerima harta pusaka dari keluarga yang berhak.
Sekiranya benih dari suami atau isteri yang dikeluarkan dengan cara yang tidak bertentangan dengan Islam, maka ianya dikira sebagai cara ‘terhormat’. Antaranya kaedah bayi tabung uji yang diharamkan ialah menggunakan air mani suami yang disimpan Bank Sperma kemudian digunakan oleh isteri selepas kematian suami untuk tujuan kehamilan.
Berkata Syeikh Prof. Dr. Ali al-Qurahdaghi dalam kitabnya Fiqh al-Qadhaya al-Fiqhiyyah al-Mu`asirah (hlm. 574):
“Seperti mana persenyawaan itu mungkin berlaku semasa suami masih hidup, persenyawaan juga mungkin berlaku setelah suami mati. Hal itu berlaku apabila sesuatu (kehamilan) itu terhasil selepas kematian suami dengan menggunakan nutfah (air mani lelaki atau peringkat awal janin) yang diambil sebelum kematian suami lalu disimpan dalam suatu tempat yang dinamakan “Bank Sperma”. Persenyawaan jenis ini adalah haram secara qat`I sama ada dilakukan secara in-vitro (luar rahim) atau in-vivo (dalam rahim). Ini kerana hubungan perkahwinan tamat dengan kematian, justeru apabila berlaku persenyawaan maka itu berlaku dengan benih bukan suami lalu jadilah ia nutfah yang diharamkan. Sekiranya lahir juga anak daripada hal itu, maka zahirnya anak itu tidak dinasabkan kepada si suami selama mana punca benih itu tidak kekal hidup.”
Tabung uji yang berisi air mani suami yang sudah meninggal dunia tidak boleh lagi digunakan dan hendaklah dihapuskan. Ianya sesuai dengan pandangan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-1 yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 bahawa sekiranya bank air mani telah sedia wujud maka air mani tersebut tidak boleh digunakan lagi.
Sumber Kredit: Mufti Wilayah Persekutuan (Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri)
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Maksudnya: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. Surah al-Israa’ (37)
Maksudnya: Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong. Sahih Muslim (51)
Terdapat satu kata-kata yang disandarkan kepada Nabi SAW yang berbunyi:
التَّكَبُّرُ علَى المُتَكَبِّرِ صَدَقَةٌ
Maksudnya: Bersikap sombong terhadap orang yang sombong merupakan satu sedeqah.
Kata-kata ini tersebar dan masyhur dalam kalangan kita, namun ia bukanlah hadith.
Ulamak telah memasukkan riwayat ini dalam kategori hadith palsu, namun mengakui bahawa perkataan tersebut pernah diucapkan oleh para ulama dengan maksud yang sama.
Maksudnya: Apabila kami dapati kalangan yang tawadhu dalam kalangan umatku, maka berlakulah tawadhu terhadap mereka; dan apabila kamu dapati golongan yang sombong, berlakulah sombong terhadap mereka.
Riwayat ini disebut oleh Imam al-Ghazali dalam Ihyaa’ Ulum al-Din, namun Imam Tajuddin al-Subki menyatakan bahawa beliau tidak menjumpai sanad bagi riwayat ini.
Ada ulamak mengulas riwayat ini menyatakan bahawa secara asalnya, sikap sombong adalah diharamkan. Namun kita dibenarkan bersikap sombong terhadap orang yang sombong, dan ia sebenarnya adalah sedekah dan perbuatan baik, kerana jika kita bersikap tawadhu di hadapan orang sombong, maka itu akan menyebabkan dirinya terus-menerus berada dalam kesesatan. Namun, jika kita bersikap sombong, dia akan tersedar daripada sikapnya itu.
Ini sesuai dengan nasihat Imam Syafi’e, di mana terdapat riwayat bahawa beliau pernah berkata: “bersikaplah sombong kepada orang sombong”. Imam Al-Zuhri pula pernah mengatakan: “Bersikap sombong kepada pencinta dunia merupakan satu ikatan Islam yang kukuh”. Imam Yahya bin Mu’adz pula mengatakan, “Bersikap sombong kepada orang yang bersikap sombong kepadamu dengan hartanya, merupakan satu bentuk kerendahan diri.”
Kerana itulah dikatakan juga bahawa menzahirkan sikap sombong untuk menyedarkan orang yang sombong (bukan dengan niat berbangga diri) merupakan satu sikap terpuji, contohnya sikap sombong dihadapan orang jahil dan orang kaya yang sombong dengan hartanya.
Selain itu, Imam al-Munawi memasukkan sikap sombong terhadap orang yang sombong ini sebagai salah satu amalan-amalan yang baik.
Perlu ditekankan bahawa riwayat yang menyebut sikap takabbur terhadap orang yang sombong bukanlah hadis, namun ia sekadar kalam dan pandangan para ulama sebagaimana yang telah dibahaskan.
Seseorang itu diharuskan untuk menzahirkan sikap meninggi diri terhadap orang yang sombong, dengan niat untuk menasihati, menegur dan memberi pengajaran terhadap orang yang sombong tersebut. Namun sikap sombong mestilah pada sudut zahir sahaja, dan tidak mempunyai rasa sombong yang sebenar di dalam hati.
Namun, adalah lebih utama untuk kita menggunakan kaedah dakwah seperti yang digariskan oleh al-Qur’an al-Karim. Firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Surah Fussilat (34)
Akhirnya, ia terletak kepada kebijaksanaan seseorang apabila melihat kepada kesesuaian keadaan. Jika orang yang sombong tersebut diyakini akan berubah jika menggunakan kaedah teguran secara lembut, maka cara itu lebih utama. Adapun jika diyakini membalas dengan sikap sombong akan menyedarkannya dan memberikan pengajaran, maka diharuskan untuk menggunakan kaedah ini.
Solat Jumaat wanita musafir adalah sah di sisi Islam walaupun tidak diwajibkan. Ketahui hukum, cara jamak dengan Asar serta adab wanita ketika menunaikan solat Jumaat di masjid.