Mengumpat, mengata, gosip dan sewaktu dengannya tidak pernah lenyap dari muka bumi ini selagi manusia dibayangi rasa geram, tidak puas hati, iri hati, cemburu dan segala perasaan yang menjengkelkan.
Umum tahu perbuatan ini adalah satu dosa, namun ia seakan seronok dilakukan kerana puas hati dapat mengata orang yang kita lihat tidak sealiran dengan pemikiran kita.
Apa sahaja yang tidak disukai akan disampaikan kepada orang lain, malah menjadi fitnah pula kepada orang yang diumpat apabila banyak tokok tambah yang tidak benar.
Dengan kebiadaban ini maka tidak hairanlah apabila banyak akaun-akaun yang dibuka di sosial media, khas untuk netizen mengumpat, memfitnah, menokok tambah cerita. Ini semua adalah lubuk dosa untuk membawa ke neraka jahanam.
Namun jangan terkejut pula ada juga perihal mengumpat yang dibenarkan dalam syarak! Wah… rupanya ada yang dibolehkan. Tetapi sudah tentu perkara itu sesuatu yang bermanfaat bukan hendak menjatuhkan orang lain. Kita baca penjelasan dari SS Mufti Wilayah Persekutuan tentang hal ini.
Islam merupakan sebuah agama yang amat menjaga kehormatan dan kemuliaan seseorang insan sama ada insan itu muslim atau bukan muslim.
Ads
Justeru itu, agama ini mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat sehingga Allah SWT membuat satu perumpaan yang dahsyat kepada golongan seperti ini.
Firman Allah SWT يَاأَيُّهَاالَّذِينَآمَنُوااجْتَنِبُواكَثِيرًامِّنَالظَّنِّإِنَّبَعْضَالظَّنِّإِثْمٌۖوَلَاتَجَسَّسُواوَلَايَغْتَببَّعْضُكُمبَعْضًاۚأَيُحِبُّأَحَدُكُمْأَنيَأْكُلَلَحْمَأَخِيهِمَيْتًافَكَرِهْتُمُوهُۚوَاتَّقُوااللَّـهَۚإِنَّاللَّـهَتَوَّابٌرَّحِيمٌ al-Hujurat:12
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
“Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Di dalam ayat ini jelas berkaitan pengharaman mengumpat sehingga diumpamakan seperti memakan daging saudaranya.
Ads
Imam al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan ghibah (mengumpat) diumpamakan seperti memakan daging kerana mengumpat itu bererti menyiat-nyiat kehormatan seperti memakan dan menyiat-nyiat daging. Perumpamaan seperti ini sesuai dengan cara orang Arab berkomunikasi.
Definisi al-Ghibah (mengumpat)
Sebelum kami menjawab persoalan di atas, maka suka bagi kami untuk menyatakan terlebih dahulu definisi bagi mengumpat ini sebagaimana yang diberikan oleh Rasulullah SAW: Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَتَدْرُونَمَاالْغِيبَةُ؟قَالُوا: اللهُوَرَسُولُهُأَعْلَمُ،قَالَ: ذِكْرُكَأَخَاكَبِمَايَكْرَهُ “Adakah kamu tahu apakah itu mengumpat?.” Para sahabat berkata: Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahuinya. Nabi SAW bersabda: “Kamu menyebut perihal saudaramu yang tidak disukainya.”
Berdasarkan soalan di atas, di sini kami ingin nukilkan pandangan Imam al-Nawawi sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitabnya.
Ads
Mengumpat yang dibenarkan dengan tujuan yang sahih dan syar’i yang mana tidak akan dikecapi melainkan dengannya, terdapat enam jenis:
Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.
Membantu dalam menentang perkara yang mungkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.
Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.
Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.
Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.
Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya.
Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.
Untuk itu, keenam perkara ini dinyatakan oleh para ulama dan sebahagian besarnya disepakati akannya. Adapun, kesemua ini datang daripada dalil-dalil atau hadith-hadith yang sahih lagi masyhur. [Lihat: Riyadh al-Solihin, 432-433]
Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya ada juga menyebut jenis-jenis mengumpat yang dibenarkan oleh syarak sama seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas. [Lihat: Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, 172-173]
Penutup
Kesimpulannya, mengumpat adalah satu perbuatan yang haram melainkan dengan sebab-sebab yang diizinkan syara’ sepertimana yang telah kami jelaskan di atas.
Selain itu, sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT perlulah menjaga lidah daripada perkara-perkara yang haram dan sia-sia. Ini kerana, ciri atau sifat orang yang beriman adalah sentiasa bercakap perkara yang baik atau mendiamkan diri daripada bercakap perkara-perkara yang sia-sia. Amin.
Wallahua’lam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Suatu ketika dulu hidupnya pernah dibelengu dengan masalah kegiatan gengsterisme. Bukan itu saja, malah beban hutang serta masalah rumahtangga membuatkan hidup jadi tidak keruan.
Namu siapa sangka Tuhan telah menemukan dirinya dengan seorang insan yang akhirnya membawa dirinya ke jalan yang baik dengan memilih Islam sebagai agama baru.
Dia bertemu insan bernama Adam ini di perkarangan sebuah masjid di Alor Star bagi berkongsi masalah dihadapinya.
Ternyata hidayah Allah itu datang tanpa mengira siapa dan di mana. Hanya Dia yang mengetahui dan serta insan bertuah sahaja berhak menerima hidayah dariNya.
Perkongsian lelaki mualaf ini Chee Yin Wei atau nama islamnya Abdul Rahman Abdullah dari Taman Verga Jaya Alor Setar yang bersyukur dapat memeluk Islam Ogos tahun dan kini telah menjalani kehidupan yang semakin tenang.
Menurut artikel di Harian Metro, dia yang berketurunan Tionghua kemudiannya diajak oleh Adam untuk bersolat.
“Apabila sampai di situ, saya diajak Adam untuk solat, saya bertanya kepada Adam adakah saya boleh solat sedangkan saya bukan Muslim, Adam kata boleh lalu mengajar saya berwuduk dan menunaikan solat Asar, ketika itu.
“Saya hanya mengikut sahaja pergerakan solat sehinggalah selesai dan ternyata setiap sujud itu memberi ketenangan kepada saya, sejak itulah saya sering memandang ke langit seperti mencari sesuatu.
“Akhirnya saya sedar, apa yang perlu saya cari adalah Tuhan yang mencipta kita, dari situ saya berhasrat memeluk Islam dan pergi ke masjid untuk mencari imam, tapi sayangnya empat buah masjid yang saya pergi, tidak ada imam pada waktu itu,” katanya.
Bercerita lanjut, Chee atau nama Islamnya Abdul Rahman Abdullah berkata, pada masjid terakhir iaitu Masjid Jalan Pegawai, di Alor Setar, semasa menghidupkan motosikal untuk pulang ke rumah, tiba-tiba bilal memanggilnya memberitahu imam sudah sampai.
Katanya, selepas mengucapkan dua kalimah syahadah 7 Ogos tahun lalu di hadapan imam dan ahli jawatankuasa masjid berkenaan, dia akhirnya merasa semua masalahnya selesai.
“Ketenangan yang saya perolehi tidak dapat digambarkan dengan kata, walaupun pada mulanya ibu saya tidak dapat menerima saya sudah memeluk Islam, namun kini dialah insan yang menghantar saya menunaikan solat Jumaat di masjid.
“Kehidupan saya sebelum ini ternyata hanya nampak hebat di sisi manusia tapi ia sebenarnya tidak menenangkan jiwa… jiwa yang tenang adalah dengan mengingati Allah.
“Agama Islam adalah agama yang sempurna, mengajar manusia dengan penuh adab dan ilmu dalam setiap perbuatan walaupun hendak masuk tandas dan menukar pakaian.
“Saya dahulu sudah tiga kali dipenjarakan, selepas peluk Islam saya tinggalkan dunia gengsterisme, walaupun hidup saya kini susah tapi saya tetap bersyukur kerana berada di landasan dengan agama Allah,” kata bapa kepada dua orang anak ini.
Bekas chef sebuah hotel di Singapura ini berkata, dia kini mengambil upah memasak namun tidak selalu mempunyai tempahan.
Katanya walaupun ada kalanya terpaksa mengikat perut dengan hanya makan mi segera, namun ia tetap menganggap itu rezeki dari Allah.
Hari ini tanggal 23 Oktober 2019 bersamaan jatuh pada hari Rabu dan Safar di bulan Islam. Ada yang mengatakan bahawa hari Rabu terakhir pada bulan Safar adalah hari diturunkan bala dan ada amalan tertentu untuk menghindarinya.
Persoalan yang dibangkitkan oleh seorang warganet di laman sosial twitter Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan beliau telah menjawab segala kemusykilan berkenaan.
Apakah benar dakwaan berkenaan dan bagaimana pula dengan amalan yang dilakukan untuk menghindari bala yang datang nanti?
Ini jawapan dari Mufti Wilayah dalam menjelaskan persoalan berkenaan.
Soalan : Adakah amalan mandi safar digalakkan kerana disebut di dalam hadis berkaitan safar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mandi Safar adalah satu amalan turun menurun masyarakat Melayu di mana diadakan temasya mandi-manda yang ada di adakan pada hari Rabu yang terakhir di dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi tersebut orang ramai mandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang ditulis kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar.
Berdasarkan soalan dan penjelasan ringkas mengenai Mandi Safar, kami telah menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp yang mengatakan bahawa amalan mandi safar disebut di dalam hadis Nabi SAW. Kami menukilkan semula terjemahan hadis yang dihantar kepada kami.Ianya berbunyi seperti berikut:
“Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya),tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk),tidak ada kesialan (malang) kerana burung dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan safar”(Hadis riwayat Bukhari r.a, Muslim, Abu Daud dan Ahmad r.a).
Individu yang menghantar keratan terjemahan hadis ini kepada kami mendakwa bahawa inilah dalil pengharusan mandi safar yang bertujuan menolak bala dan sial.Benarkah dakwaan ini?
PENJELASAN MENGENAI HADIS
Setelah dicari dan diteliti, lafaz matan yang dimaksudkan ada asal-usulnya. Lafaz tersebut berbunyi daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya:”Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.
Di dalam lafaz yang lain menyebut: Daripada Jabir bin Abdullah r.anhuma bahawa Rasulullah bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul(Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”[1]
Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban (6128) di dalam Sohihnya,Ahmad (15103) di dalam Musnad
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak kesialan dalam bulan safar dan tiada ramalan bintang bulan dengan hujan.”
Riwayat Ahmad (9165) di dalam Musnad,Ibn Hibban (6133) di dalam sohihnya
Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat melalui jalur sanad yang berbeza antaranya:
1. Abu Hurairah
2. Ibnu ‘Abbas
3. Jabir Bin ‘Abdullah
4. Ibnu Mas’ud
Secara ringkasnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sohih mereka.Bahkan ianya juga diriwayatkan juga jaguh-jaguh ahli hadis semisal Imam Ahmad, Abu Daud dan ramai lagi. Di dalam kesemua jalur sanad hadis ini, terkandung perkataan safar. Dengan wujudnya hadis ini di dalam kitab hadis yang muktabar seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tidak syak lagi bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih. Namun yang menjadi permasalahan di sini adalah adakah hadis ini menunjukkan adanya keharusan melakukan amalan mandi safar dengan hanya berdalilkan wujudnya perkataan safar di dalam hadis ini?
MAKSUD SAFAR(صفر)
Menurut Ibnu Manzur (w.711 H) صَفَرَ bermaksud penyakit di dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ianya juga membawa maksud lapar.
Rujuk Lisan al-Arabi(8/250)
Safar juga adalah bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram.
Secara asasnya,untuk memahami satu perkataan yang terdapat di dalam hadis selain dari merujuk makna dari segi bahasa,perlu juga untuk merujuk pandangan para ulama yang muktabar untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa yang disabdakan oleh Nabi SAW. Di sini kami kumpulkan pandangan dan syarahan para ulama berkenaan hadis ini:
Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyebut:
“Ia adalah penyakit yang menyakitkan perut.Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna menyebut di dalam kitab Gharib al-Hadith daripada Yunus bin ‘Ubaid Al-Jarami.Beliau bertanya kepada Ru’bah bin al-‘Ajjaj tentang makna safar.Beliau menjawab :”Bangsa Arab Jahiliyyah mempercayai bahawa ia adalah cacing yang berada di dalam perut manusia dan ia lebih merebak dari penyakit kulit.Kerana inilah Nabi menyebut tentang tiadanya safar di mana mereka mempercayai bahawa ia lebih berbahaya dari penyakit kulit.Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Bukhari kerana ianya dikaitkan dengan ayat tidak ada penyebaran penyakit.”
Beliau (Ibnu Hajar) menyebut lagi :Apa yang dimaksudkan dengan penafian bahawa tiadanya safar adalah menolak kepercayaan orang arab jahiliyyah yang beranggapan bahawa ianya boleh membunuh jika ia menimpa manusia.Akan tetapi,Syarak menolak kepercayaan ini kerana kematian tidak akan berlaku jika ajal belum tiba.”
Rujuk Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari(3/285)
Kata Imam al-Nawawi (w.676 H) :
“Sabda Nabi SAW ‘Tidak ada safar’ ada dua tafsiran : Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang.Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah.Ini adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah.Tafsiran yang kedua,yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat.Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut.Mereka mengatakan bahawa ianya lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul.Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif,Ibnu Wahbin,Ibnu Habib,Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama.Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadis ini.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Sohih Muslim (13/379)
Imam al-Qurtubi (w.656 H) berkata :
“Safar adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan untuk berperang. Inilah yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Inilah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah. Dikatakan bahawa maksud safar adalah ulat yang ada di dalam perut manusia yang berlegar ketika lapar. Arab jahiliyyah melihat bahawa ia lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Mereka mendendangkan syair yang berbunyi[2]:
لا يَتَأَرّى لمِاَ فِي القِدْرِ يَرْقُبهُ # وَلاَ يَعُضُّ على شٌرْسُوفِهِ الصَفَرُ
Maksudnya:”Dia tidak bercanggahan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya. Tidak pula kerana tulang sum-sumnya digigit oleh ulat.”
Inilah pandangan Mutarrif, Ibnu Wahbin, Ibnu Habib dan inilah juga pandangan yang dipilih oleh Abu‘Ubaidah.”
Rujuk al-Mufhim li ma asykala min talkhis kitabi Muslim (5/622)
Kata Imam Abdul Rauf al-Munawi (w.1031 H) :
“Tidak ada safar bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram berperang dan juga bermaksud penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain mengikut kepercayaan Arab Jahiliyyah. al-Baidhawi berkata: Ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah.”
“Bangsa Arab Jahiliyyah mendakwa bahawa di dalam perut ada satu ular yang dipanggil safar. Ianya menyakitkan ketika datangnya lapar dan ia juga boleh menjangkiti orang lain.Islam menolak kepercayaan ini. Ada pandangan yang mengatakan bahawa ia adalah an-nasi’ iaitu menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan untuk berperang. Ianya dilakukan ketika zaman Jahiliyyah. Perbuatan ini telah diharamkan oleh Islam.”
Kata al-Qadhi Iyadh (w.544 H) : “Ada dua pandangan berkenaan maksud perkataan Safar. Yang pertama adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram untuk berperang. Dan inilah yang yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah.Pandangan ini adalah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah.Perkataan yang kedua mengatakan bahawa safar adalah penyakit yang boleh berjangkit kepada orang lain.”
Rujuk Kitab al-Mu’lim syarh Sohih Muslim (7/71)
Syaraful haq ‘Azim al-Abbadi (w.1329 H) ketika beliau mensyarahkan hadis ini menyebut:
“Ketika mana Nabi SAW menyebut tidak ada safar ianya bermaksud Nabi SAW menafikan kepercayaan yang mengatakan bahawa adanya penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain dan adanya ular yang menyakiti manusia ketika mana dia lapar. Arab Jahiliyyah menagatakan bahawa ianya lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Ia juga bermaksud bulan Safar. Di mana Arab Jahiliyyah menyangka akan berlakunya perkara buruk apabila tibanya bulan Safar.”
Rujuk ‘Aun al-Ma’bud syarh Sunan Abi Daud (10/407)
Kata Nuruddin al-Sindi (w.1138):
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang.Ianya adalah bentuk tegahan terhadap perbuatan tersebut.”
Al-Qastalani(w.923 H) ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyebut:
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram. Disebutkan di dalam Sunan Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid Bahawa Arab Jahiliyyah menganggap akan berlakunya perkara yang buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menyangka bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya pelbagai fitnah.”
“Ahli ilmu mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan safar adalah bulan Safar kemudian mereka berselisih dalam mentafsirkan maksud hadis tersebut.”
Pertama: Maksud hadis tersebut adalah menafikan apa yang dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar.Ini adalah pandangan Malik.
Kedua: Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Maka Nabi SAW menolak kepercayaan demikian. Pandangan ini dinukilkan oleh Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid al-Makhuli.
Pandangan yang kedua ini adalah pandangan yang paling hampir maknanya. Kebanyakan orang-orang yang jahil menyangka bahawa akan berlakunya perkara buruk di bulan lalu mereka mencelanya. Ada di antara mereka yang melarang untuk berkelana pada bulan Safar. Dan ini adalah jenis yang sama dengan perbuatan Thiyarah yang dilarang.”
Rujuk Lataif al-Ma’arif fi ma li mawasim min al-Wazaif (m/s 135-136)
Kesemua ini adalah pandangan para ulama berkenaan sabda Nabi SAW iaitu ‘tidak ada safar’. Banyak lagi ulasan ulama berkenaan perkataan ini dan kesemuanya memberikan pandangan yang hampir sama seperti yang kami nukilkan. Dapat kita simpulkan dari pandangan-pandangan ini bahawa yang dimaksudkan oleh safar itu adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam lalu datang Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut. Melalui tafsiran-tafsiran ini,dapat kita fahami bahawa tiada satu pun petunjuk yang menunjukkan bahawa perkataan لا صَفَرَ itu merujuk kepada amalan mandi safar bahkan ianya tiada kena mengena dengan amalan syirik tersebut. Kalaupun ianya merujuk kepada mandi safar (walaupun tafsiran ini tidak diterima dan tiada tafsiran para ulama yang menyebut sedemikian rupa) ianya didahului dengan huruf لا النافِيَة (La yang memberi makna menafikan sesuatu). Justeru ia memberi makna larangan bukan galakan.
PENUTUP
Justeru itu, dapat kita fahami bahawa safar yang dimaksudkan dalam hadis adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang dilarang oleh Nabi SAW untuk mempercayainya. Antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar,akan berlakulah perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar.
Tidakkah ia memberi isyarat bahawa adanya kepercayaan bahawa bulan itu adalah bulan sial dan musibah sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat arab Jahiliyyah. Ini adalah satu perbuatan yang ditegah Nabi SAW. Ditambah pula dengan amalan karut marut yang mengiringi temasya mandi safar ini.
Oleh itu, kami mengesyorkan agar tolaklah bala dengan doa. Seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam kebanyakan hadis. Antaranya adalah doa yang sentiasa kita ulangi di dalam solat Subuh:
وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيتَ
Maksudnya:”lindungi dan jauhkanlah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan.”
Riwayat al-Nasaie (1725),Abu Daud (1214) di dalam al-Sunan,al-Baihaqi (427) di dalam Sunan al-Sughra,Ibnu Hibban ( 950) di dalam Sohihnya,Ahmad (1625) di dalam Musnad
Wallahu’alam
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Cinta sehidup semati, saling mengasihi hingga ke akhir hayat. ‘Suami, isteri meninggal selang sejam.’ Sang isteri terlalu sedih hingga pengsan sebelum menghembuskan terakhir di samping suami.
Beginilah yang dikatakan cinta hingga ke akhir nyawa. Allah ambil kedua nyawa ini hanya dalam masa selang sejam.
Kisah sepasang suami isteri warga emas di Jakarta, Indonesia menjadi tular apabila mereka menemui ajal dalam tempoh masa selang sejam, lapor laman berita Merdeka.
Berdasarkan klip video yang tular di laman TikTok, orang ramai dilihat menghadiri majlis pengebumian jenazah pasangan dikenali sebagai Mbah Slamet dan Mbah Atun.
Menurut individu yang memuat naik video tersebut, Mbah Atun memberitahu bahawa dia tidak sanggup menahan kesedihan melihat suaminya meninggal dunia sehingga dia jatuh pengsan.
Selepas sejam kemudian, Mbah Atun pula disahkan meninggal dunia, menyusuli kematian Mbah Slamet.
“Pada pagi ini, jiran saya, Mbah Slamet meninggal dunia. Isterinya, Mbah Atun tidak dapat menahan tangisan dan kesedihannya sehinggakan dia tiba-tiba pengsan.
“Selang sejam kemudian, dia menghembuskan nafas terakhir, menyusuli suami tercinta.
“Inilah dia cinta sehidup semati. Mereka berdua pasangan suami isteri yang saling mengasihi dan setia hingga ke akhir hayat,” demikian menurut keterangan video tersebut.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada pengguna media sosial.
“Definisi cinta sehidup semati. Semoga mati dalam keadaan husnul khotimah kedua-duanya,” kata seorang pengguna. – Agensi