‘Tiada perasaan malu, tapi bersyukur dikurniakan anak istimewa.’ Anak sindrom down anugerah Allah SWT. Begitulah luahan ibu muda ini apabila dikurniakan anak sindrom down.
Biarpun dia hanya mengetahui hal sebenar setelah anaknya lahir, tetapi perkara itu langsung tidak membuatkan hati wanita ini berbelah bahagi. Sebaliknya dia bersyukur dikurniakan anak istimewa.
‘Tiada sekelumit pun rasa benci, tak suka atau malu…macam mana pun, dia tetap zuriat saya,” kata Intan Nurshahira Saridan yang dikurniakan anak sindrom down, Lufyaa Elzzara.
Lufyaa Elzzara atau dipanggil Lufyaaa, 7 bulan adalah anak kepada Intan Nurshahira, 24, hasil perkahwinannya dengan Muhammad Hazziq Aliff Azhar, 25, pada Februari tahun lalu.
Memetik laporan Harian Metro, Intan Nurshahira yang menetap di Senawang, Negeri Sembilan menjelaskan Lufyaa disahkan sindrom down selepas 10 minit dilahirkan.
Tapi Bersyukur
Menurut Intan Nurshahira, dia dan suami hanya tahu mengenainya selepas bersalin kerana tiada masalah dikesan sepanjang tempoh kehamilannya.
“Sejak hari pertama Lufyaa dilahirkan lagi, saya dan suami sudah diberitahu oleh doktor pakar kanak-kanak mengenai keadaan anak kami.
Ads
“Cuma, hanya suami dapat lihat keadaan Lufyaa pada hari pertama, manakala saya hanya berpeluang tengok wajah anak keesokannya.
“Jujurnya, tiada langsung perasaan sedih malah bersyukur dikurniakan anugerah anak istimewa dan boleh terima Lufyaa sejak hari pertama lagi.
“Suami yang jadi kekuatan saya kerana dia sayang sangat dekat anak, tak kenal erti malu sebaliknya selalu beri saya semangat untuk sama-sama besarkan Lufyaa,” katanya.
Dikurniakan Anak Istimewa
Menceritakan keadaan Lufyaa, Intan Nurshahira berkata, anaknya itu diintubasi selama sebulan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) selepas dilahirkan.
“Selain itu, ada beberapa rawatan lain dan janji temu pakar di kanak HTJS, pemeriksaan jantung di Hospital Serdang, Selangor, genetik di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selain sesi fisioterapi di Klinik Kesihatan Senawang.
Ads
“Keadaannya sekarang bertambah baik cuma saya dan suami masih rujuk dengan pakar untuk tahu masalah dalamannya kerana bayi macam Lufyaa agak sensitif serta perlukan lebih perhatian,” katanya.
Anak Sindrom Down Anugerah Allah
Soal rutin harian pula, Intan Nurshahira berkata, Lufyaa masih meniarap dan sudah mula makan dan minum.
Intan Nurshahira gunakan masa bersama Lufyaa untuk merakam detik bersama anaknya itu sebagai kenangan.
“Saya kongsikan video di TikTok supaya mereka yang mempunyai anak syurga seperti anak saya dan masih tidak boleh terima, dapat kekuatan selepas melihat hantaran dimuat naik.
“Terima kasih kepada yang sentiasa menonton video dan mendoakan Lufyaa.
Ads
“Semoga dimurahkan rezeki, diberkati Allah dan semoga doa yang baik itu berbalik kepada semua,” katanya.
‘Kebersihan sebahagian daripada iman.’ Tiada larangan dalam islam menyapu sampah pada waktu malam seperti yang dimomokkan oleh kebanyakan orang.
Ramai yang percaya bahawa menyapu sampah pada waktu malam akan membawa kesusahan dan kesempitan dalam hidup. Ternyata ia hanya sekadar kepercayaan bukannya larangan dalam agama Islam.
Ikuti penerangan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang isu menyapu sampah di malam hari akan membawa kepada kemiskinan.
Benarkah menyapu rumah pada malam hari membawa kepada kemiskinan? Sebabnya saya pada waktu siang, saya bekerja, jadinya waktu malam sahaja masa yang ada untuk mengemas rumah. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Secara umumnya tidak ada larangan dalam Islam untuk menyapu dan membersihkan rumah pada waktu malam.
Bahkan sebaliknya kita dituntut untuk menjaga kebersihan rumah dan tempat tinggal kita pada bila-bila masa.
Hal ini kerana Islam sangat prihatin terhadap soal menjaga kebersihan dan bersuci. Ini kerana kebersihan merupakan sebahagian daripada ciri-ciri orang beriman.
Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Malik al-Asy‘ari bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ
Maksudnya: “Bersuci itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri keimanan.”
Riwayat Muslim (223)
Begitu juga terdapat hadith lain yang menggalakkan atau menggesa untuk membersihkan rumah-rumah, dan ia jelas disebut sebagai salah satu ciri orang Mukmin dan meninggalkannya pula adalah salah satu ciri orang Yahudi.
Terdapat riwayat daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah itu baik dan mencintai kebaikan, bersih dan menyukai kebersihan, mulia dan mencintai kemuliaan, pemurah dan menyukai kedermawanan. Oleh itu, bersihkanlah halaman rumahmu dan janganlah menyerupai orang Yahudi.”
Riwayat al-Tirmizi (2799) dan beliau menilainya sebagai gharib kerana di dalamnya terdapat perawi bernama Khalid bin Ilyas dan dia dinilai sebagai dha’if.
Syu‘aib al-Arna’ut pula menyatakan dalam Takhrij Zad al-Ma‘ad (4/256), di dalamnya terdapat perawi bernama Khalid bin Ilyas dan dinyatakan dalam al-Taqrib, matruk al-hadith (orang yang ditinggalkan hadithnya).
Bahkan Dr. Muhammad ‘Abd al-Sami‘, Mudir Idarah al-Furu‘ al-Fiqhiyyah dan Ahli Jawatankuasa Fatwa di Dar al-Ifta’ ketika ditanya mengenai adakah menyapu rumah pada waktu malam membawa kepada kefakiran?
Beliau menyebutkan bahawa dibolehkan untuk membersihkan rumah pada waktu malam dan tidak ada apa-apa akibat dalam melakukan hal tersebut, serta hukumnya tidak haram sebagaimana yang disangkakan oleh sebahagian orang.
Beliau menambah lagi dalam jawapannya itu, begitulah juga halnya membersihkan kawasan perniagaan pada waktu malam. Hal ini kerana tidak ada dalam agama apa-apa yang melarang daripada melakukannya dalam apa jua keadaan.
Kami berpendapat selama mana ia kotor dan ada kemampuan oleh tuan rumah atau amah, maka boleh dibersihkan siang ataupun malam.
Kami melihat Masjid Nabawi dan Masjidil Haram dibersihkan siang dan malam begitu juga hotel-hotel. Tiada nas yang sahih lagi sarih yang melarang untuk menyapu rumah sama ada malam, siang, pagi dan petang.
Pepatah Arab menyebut:
النَّظَافَةُ مِنَ الَايْمَانِ
Maksudnya: “Kebersihan sebahagian daripada iman.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kashoorga: Umum mengetahui bahawa orang-orang tua dahulu banyak kiasan, jadi barangkali mungkin mereka hanya berpesan agar anak-anak mengemas rumah di siang hari melakukan pekerjaan lain.
Amalkan doa ini di hari pertama period, insyallah wanita dapat pahala beribadah sepanjang haid. Segelintir wanita memang mengalami stres dan murung bila haid menjelma.
Lagi-lagi wanita yang mengalami senggugut ketika datang bulan. Mood terus swing dan emosi jadi tak terkawal bila period.
Biarpun kita tidak boleh menunaikan solat lima waktu dan ada beberapa ibadat dilakukan ketika haid, tapi jangan lupa untuk amalkan doa ini di hari pertama period untuk memperoleh pahala di sepanjang datang bulan tersebut.
Malah, dikatakan wanita datang haid boleh amalkan doa ini untuk meraih pahala seperti 40 orang syahid.
DOA WANITA KETIKA HAID
Doa itu berbunyi, Alhamdulillahi ‘ala kulli halin, wa astaghfirullaha ‘ala kulli zambin (Segala puji bagi ALLAH atas segala perkara, aku mohon ampun dari-MU ya ALLAH atas segala dosaku).
Jika seseorang perempuan yang kedatangan haid dan dia membaca doa berikut pada hari pertama haidnya itu, maka dia akan:
1. Dihapuskan segala dosa-dosa yang telah lalu
2. Dimudahkan perjalanan darah haid.
3. Mendapat pahala beribadah sepanjang haid.
4. Meraih pahala 40 orang syahid.
5. Selamat dari azab neraka.
6. Dimudahkan melalui titian Sirat.
Daripada Saiyidina Aishah r.a. :
“Tidak ada seorang perempuan pun yang kedatangan haid, melainkan haidnya itu menghapuskan dosa-dosa yang telah lalu daripada segala dosa-dosanya dan sekiranya ia membaca doa (di atas) pada hari yang pertama, maka Allah سبحانه وتعالى akan menulis baginya supaya terlepas daripada api neraka dan dapat lalu di atas titian Sirat dengan selamat dan aman daripada azab dan meninggikan pangkatnya oleh Allah سبحانه وتعالى baginya dengan tiap satu hari dan satu malam akan empat puluh orang mati syahid. manakala perempuan itu dikira berzikir kepada Allah سبحانه وتعالى di dalam masa haidnya.”
(Petikan dari kitab ‘Durratun Nasihin Fil Wa’zi Wal Israr’ karangan Osman Bin Hasan Ahmad As Sakiril Khubuwi).
‘Tak elok & tidak menepati sunnah.’ Pakai jam tangan, afdal tangan kanan atau kiri? Mana satu lebih baik terutamanya bagi lelaki.
Maklumlah pemakaian jam tangan adalah penting kerana mudah untuk mengetahui masa. Tetapi adakah dalam Islam disarankan memakai jam pada tangan-tangan tertentu.
Ikuti penerangan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tangan kiri atau kanan yang lebih afdal pakai jam?
Soalan:
Tangan mana yang lebih baik untuk dipakai jam, tangan kanan atau kiri? Adakah memakainya pada tangan kiri dilihat tidak elok dan tidak menepati sunnah? Terima kasih.
Jawapan:
Secara umumnya seseorang lelaki dibenarkan atau diharuskan untuk memakai jam tangan dan tidak ada masalah memakainya kerana tidak syak lagi bahawa pemakaian jam tangan itu pada asalnya adalah kerana keperluan mengetahui waktu.
Begitu juga jika seorang lelaki itu memakai jam tangan bagi tujuan berhias, di samping tujuan asalnya untuk mengetahui waktu, maka dalam hal ini secara zahirnya ia dilihat menyerupai hukum seorang lelaki memakai cincin daripada besi. Ringkasnya, pemakaiannya adalah diharuskan.
Imam al-Nawawi dalam syarahannya terhadap Sahih Muslim, hadith daripada riwayat Sahl bin Sa‘ad al-Sa‘idi, yang di dalamnya ada dinyatakan:
الْتَمِسْ وَلَوْ خَاتَمًاً مِنْ حَدِيدٍ
Maksudnya:
“Carilah sesuatu walaupun jika sebentuk cincin besi.”
Riwayat al-Bukhari (5871) dan Muslim (1425)
Beliau menyebutkan, hadis ini menunjukkan keharusan untuk menggunakan cincin besi. Padanya terdapat khilaf dalam kalangan ulama salaf sebagaimana dinukilkan oleh al-Qadhi. Seterusnya bagi ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) berkenaan kemakruhan memakainya terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih, tidak makruh memakainya kerana hadith yang melarang daripadanya dinilai sebagai dha‘if (lemah). (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/213).
Selain itu, jam tangan juga tidak dikhususkan hanya sebagai perhiasan untuk wanita, bahkan sudah menjadi adat dan ‘uruf setempat bahawa lelaki juga memakainya sebagai perhiasan, tanpa mengenepikan tujuan asalnya itu. Jadi, ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
Maksudnya:
“Hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah diharuskan.” (Lihat al-Qawa’id al-Nuraniyyah oleh Ibn Taimiyyah, hlm. 164; Tafsir Ibn Kathir, 3/408; Tafsir Abi Su‘ud, 3/224; al-Ifham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam oleh Ibn Baz, hlm. 777).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, seseorang itu diharuskan untuk memakai jam pada mana-mana tangan yang dikehendakinya; kanan atau kiri. Syeikh Ibn Baz ketika ditanya berkenaan memakai jam tangan di tangan kanan, beliau menjawab dengan menyatakan, diharuskan untuk memakai jam tangan pada tangan kanan dan kiri. (Lihat Masa‘il al-Imam Ibn Baz, hlm. 220).
Namun, pada asasnya terdapat riwayat menceritakan bahawa Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan dalam urusan Baginda. Ini sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ فِي تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُورِهِ وَفِي شَأْنِهِ كُلِّهِ
Maksudnya:
“Nabi SAW selalu mendahulukan bahagian kanan dalam memakai selipar, menyikat rambut, bersuci dan dalam setiap urusan kehidupan sehariannya.”
Riwayat al-Bukhari (168)
Tajuddin al-Fakihani setelah mensyarahkan hadith di atas, beliau menyebutkan, ini adalah kaedah/prinsip yang berterusan dalam syariat; iaitu segala sesuatu yang termasuk dalam perkara yang dimuliakan dan diberi penghormatan seperti memakai pakaian, seluar dan kasut, masuk ke dalam masjid, menggunakan siwak, memakai sandal, memotong kuku, menggunting misai, menyikat rambut, mencabut bulu ketiak, mencukur kepala, memberi salam ketika dalam solat, membasuh anggota-anggota taharah (bersuci), keluar dari tandas, makan dan minum, berjabat tangan, istilam Hajarul Aswad, dan lain-lain yang memiliki makna serupa, adalah disunatkan untuk dimulakan dengan bahagian yang kanan.
Adapun hal-hal yang berlawanan dengannya, seperti masuk ke dalam tandas, keluar dari masjid, beristinja’, membuka atau melepaskan pakaian, seluar, dan kasut, dan seumpamanya, maka adalah disunatkan untuk dimulakan dengan tangan kiri. Semua ini adalah untuk menghormati dan memuliakan tangan kanan. (Lihat Riyadh al-Afham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 1/162).
Dalam menjawab soalan ini juga, terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa jam tangan seperti mana yang dipakai pada hari ini tidak dikenali pada zaman dahulu.
Justeru, kita hendaklah melihat perhiasan yang serupa atau mirip kepada jam tangan, dan secara zahirnya ia dilihat menyerupai perbuatan memakai cincin. Terdapat beberapa riwayat yang menceritakan mengenai cincin yang dipakai oleh Baginda SAW di jari atau tangan mana.
Di antaranya riwayat daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:
كَانَ خَاتِمُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي هَذِهِ وَأَشَارَ إِلَى الْخِنْصَرِ مِنْ يَدِهِ الْيُسْرَى
Maksudnya:
“Cincin Nabi SAW di sini, lalu beliau menunjukkan kepada jari kelingkingnya di tangannya yang kiri.”
Riwayat Muslim (2095)
Justeru hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa Baginda SAW memakai cincin di tangan kirinya. Bahkan jika dilihat dari sudut hikmahnya, Nabi SAW makan dan minum dengan tangan kanan, justeru jika Baginda memakai cincin di tangan kanan pasti ia akan menjadikan proses makan dan minum itu sedikit sukar. Al-Buhuti menyebutkan, memakai cincin di jari kelingking tangan kiri adalah lebih afdhal berbanding memakainya di jari kelingking tangan kanan, kerana ia lebih selesa dan tetap (tidak perlu diubah-ubah). (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 2/236).
Manakala Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin pula berpendapat, memakai jam tangan di tangan kanan tidak ada masalah dan tidak juga ada keutamaan (afdhaliyyah) padanya.
Seseorang itu boleh memilih untuk memakai jam tangannya pada mana-mana tangan; kanan atau kiri. Sesungguhnya telah sabit daripada Nabi SAW bahawasanya Baginda kadang-kadang memakai cincin pada tangan kanannya, dan kadang-kadang memakainya pada tangan kirinya.
Pemakaian jam tangan termasuk dalam jenis cincin (dari segi hukumnya). Justeru, berdasarkan perkara itu, beliau berpendapat, tidak mengapa seseorang itu memakai jam tangan pada tangan kirinya.
Begitu juga tidak mengapa memakainya pada tangan kanan, dan tidak ada sebarang kelebihan mahupun keutamaan dalam pemakaiannya ke atas yang lain (sama ada kanan atau kiri).
Beliau juga ada menyatakan, ramai orang pada hari ini memakainya pada sebelah tangan kiri kerana tangan kanan lebih banyak digunakan dalam kehidupan seharian berbanding tangan kiri. Jika dia memakai jam tangan pada tangan kanannya, berkemungkinan ia akan menghalang atau mengganggu aktiviti sehariannya atau kemungkinan juga akan mendedahkannya kepada kerosakan.
Oleh sebab itu, kebanyakan orang memilih untuk memakai jam tangan pada tangan kiri mereka dan tidak menjadi masalah dalam hal tersebut mahupun terdapat keutamaan bagi tangan kanan berbanding tangan kiri dalam perkara ini. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 22/2).
Namun, para ulama mazhab Syafi‘i berpandangan bahawa pemakaian cincin di tangan kanan adalah lebih afdhal dan utama. Ini seperti pendapat Imam al-Nawawi yang menyebutkan, dibolehkan bagi seorang lelaki untuk memakai cincin perak di jari kelingking tangan kanannya, dan sekiranya dia mahu dia boleh memakainya pada jari kelingking tangan kirinya.
Kedua-duanya sahih dilakukan oleh Nabi SAW. Akan tetapi pendapat yang sahih lagi masyhur adalah lebih afdhal untuk memakainya pada tangan kanan kerana ia merupakan perhiasan dan tangan kanan adalah lebih mulia. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/333).
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah memakai jam tangan pada mana-mana tangan sama ada kanan atau kiri. Kedua-duanya adalah diharuskan.
Namun, jika seseorang itu memakai jam tangan di tangan kanan dengan tujuan untuk mengikuti sunnah Nabi SAW (ittiba‘ al-Nabi) dalam hal mendahulukan anggota kanan, maka tidak syak lagi ia adalah lebih afdhal dan mendapat pahala Insya-Allah.
Lebih-lebih lagi, jika pemakaian jam di tangan kanan itu tidak menyebabkan kesukaran ke atasnya untuk melakukan aktiviti seharian seperti makan, minum dan seumpamanya sekalipun perlu membukanya.
Begitu juga jika dia memakainya pada tangan kiri kerana tangan kanannya banyak atau kerap digunakan dalam aktiviti sehariannya sehingga menimbulkan kesukaran ke atasnya untuk kerap kali membuka/menanggalkannya, maka tidak mengapa melakukannya dan tidak termasuk dalam perbuatan yang dianggap tercela.
Ini kerana dalam hal tersebut adalah luas, diharuskan untuk memakainya pada tangan kanan atau tangan kiri, tidak kira bagi lelaki mahupun perempuan kerana hukumnya adalah sebagaimana pemakaian cincin.
Kekayaan bukan sekadar harta dunia, tetapi amanah daripada Allah yang perlu diurus dengan adil, penuh kasih sayang dan berlandaskan iman. Demikian antara perkara bakal...