‘Wanita juga berperanan dalam pengurusan & pentadbiran masjid’ Dr Noor Inayah, wanita pertama dilantik nazir masjid di Selangor. Tahniah Dr atas pelantikan!
Serta tahniah juga buat kerajaan negeri Selangor kerana sentiasa mengiktiraf kaum wanita dalam pelbagai bidang.
Kali ini, Selangor melantik nazir wanita masjid pertama dalam Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid negeri ini oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, awal bulan lalu.
Presiden dan Naib Canselor Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL), Datuk Profesor Dr. Noor Inayah Yaakub menjadi satu-satunya wanita di Selangor dilantik sebagai Nazir Masjid Ikram dekat universiti itu di Bangi bagi sesi 2023 hingga 2025.
Ads
Dalam Pengurusan & Pentadbiran Masjid
Menurutnya, pelantikan tersebut membuktikan wanita boleh memainkan peranan dalam pengurusan dan pentadbiran masjid serta menyusun program dan aktiviti pembangunannya untuk manfaat penduduk setempat.
“Alhamdulillah, saya menerima lantikan dengan rasa bersyukur kepada Allah SWT, kerana saya difahamkan pada tahun ini hingga 2025, satu-satunya nazir yang dilantik di Selangor bagi sebuah masjid institusi iaitu masjid di IUKL.
Dr Noor Inayah, Wanita Pertama Dilantik Nazir Masjid Di Selangor
“Kerana kita melihat bahawa pengurusan masjid itu tidak memberikan apa-apa sekatan sekiranya wanita menjadi peneraju.
Ads
‘Kerana wanita masih mengharapkan ahli-ahli jawatankuasa masjid selain wanita untuk sama-sama memaju dan memakmurkan masjid itu sendiri,” katanya.
Pasti ramai yang terbaca kisah perkahwinan Halim Othman dan kewujudan anak tunggalnya, Myra Natasya yang pada Ramadan lalu memaklumkan bahawa pengacara terkenal itu adalah bapa kandungnya yang disembunyikan statusnya selama ini.
Lebih membahagiakan bagi Myra, aidilfitri lalu adalah kali pertama ibu dan bapanya dipertemukan semula.
Pendedahan itu mendapat perhatian termasuk dari Jabatan Pendaftaran Negara yang mahu membantu kerana Myra berbintikan Abdullah, bukan Halim kerana perkahwinan pasangan itu berlangsung di Thailand dan tidak didaftarkan semula di negara ini. Namun status berbintikan Abdullah itu kekal kerana Halim memaklumkan tiada bukti dokumen kerana sudah terlalu lama.
Satu perkongsian ilmu dari peguam, Roslina Sabiyah & Co di fbnya mengenai isu berkahwin di luar negara dan tidak mendaftarkan perkahwinan perlu diambil perhatian pasangan yang ingin berkahwin di luar negara terutama selatan Thai untuk memahami prosedur undang-undang negara agar tiada masalah timbul di kemudian hari kelak termasuk bab isu perwalian, isu perwarisan & harta pusaka dan terakhir isu nasab anak & keturunan.
Apa perlu wanita tahu?
Case Study : Kesan nikah luar negara dan status anak.
Ye, secara biologinya, dia memang anak kepada Halim Othman. Tetapi secara undang-undangnya, dia tetap anak kepada “Abdullah”. Apa maksudnya?
Undang-undang tidak/belum mengiktiraf kedudukan mereka sebagai bapa dan anak kandung.
1) Isu perwalian
Kalau Myra nak kawin nanti, bapanya tak boleh walikan dia. Kalau nak walikan dia kena ada bukti yang dia bapa kepada Myra, paling koman tunjukkan ic dan sijil nikah ibu bapa. Sijil nikah takde memang kena mohon Wali Hakim kat mahkamah syariahlah jawabnya.
2)Isu perwarisan dan harta pusaka
Kalau Halim meninggal nanti, Myra tak boleh tuntut harta pusaka dia. Asas tuntutan dalam harta pusaka ialah waris-waris mestilah waris-waris yang sah di sisi undang-undang. Antara bukti untuk menunjukkan seseorang waris itu sah di sisi undang-undang ialah dengan memohon sijil faraid di mahkamah syariah. Nak mohon sijil faraid kena ada bukti surat beranak dan sijil nikah. Surat beranak bin/binti Abdullah. Sijil nikah pulak tak ada. Memang tak dapat nak tolong.
Apa Myra nak buat? Minta ayah dia buat wasiat atau hibah siap-siap. Kalau wasiat Myra layak dapat 1/3 (kerana Myra bukan waris). Tapi kalau Halim nak bagi lebih, dia kena bagi harta dia kepada Myra sekarang iaitu semasa dia masih hidup.
3) Isu nasab dan keturunan
Apa status Myra sebenarnya. Anak yang dilahirkan di luar daripada pernikahan yang sah ada dua kemungkinan sahaja iaitu anak tak sahtaraf ataupun anak wati’ syubhah. Anak wati’ syubhah ialah anak yang dilahirkan akibat persetubuhan yang berlaku bukan dari perkahwinan yang sah akibat keraguan tertentu iaitu sama hukumnya dengan nikah fasid. Anak wati’ syubhah, jika berjaya disabitkan nasabnya di mahkamah syariah, maka dia boleh dibintikan kepada bapanya, boleh berwalikan bapanya dan berhak mendapat hak perwarisan daripada bapanya.
Namun beban pembuktian untuk menentukan status anak ialah terletak ke atas ibu bapanya. Mereka kena failkan permohonan pengesahan nasab anak di mahkamah syariah. Jika mereka mendakwa telah bernikah di luar negara, beban pembuktian untuk mengatakan pernikahan itu wujud ialah ke atas pasangan suami isteri tersebut. Mahkamah hanya perlu melihat kepada dokumen atau bukti-bukti pernikahan tersebut. Hanya ada tiga kemungkinan sahaja yang berlaku di Mahkamah :-
1- Dokumen nikah luar negara ada. Rukun nikah semua lengkap dan sah. Maka mahkamah akan sabitkan pernikahan tersebut sah dan boleh didaftarkan di pejabat agama Malaysia. Nasab anak juga sabit anak sahtaraf. Perintah tersebut boleh dikemukakan di JPN dan pihak JPN akan menukar bin/binti anak tersebut kepada nama bapa sebenar selaras dengan perintah mahkamah.
2-Dokumen nikah luar negara ada. Tapi ada rukun nikah yang diragui contohnya pernikahan dibuat oleh jurunikah tak bertauliah ataupun wali yang tak layak. Mahkamah akan sabitkan pernikahan tersebut sebagai pernikahan yang fasid, mengarahkan untuk difaraqkan dan pasangan tersebut perlu bernikah semula di malaysia. Nasab anak tersebut akan disabitkan sebagai wati’ syubhah. Perintah tersebut boleh dikemukakan di JPN dan pihak JPN akan menukar bin/binti anak tersebut kepada nama bapa sebenar selaras dengan perintah mahkamah (anak wati’ syubhah sama statusnya dengan anak sahtaraf).
3-Dokumen nikah luar negara tiada. Kena tunjukkan usaha untuk cari. Buat carian di pejabat agama yang didakwa telah menjalankan pernikahan di luar negara tu, buat carian di pejabat konsulat atau datangkan saksi yang boleh bagi keterangan untuk menyokong dakwaan yang pernikahan tersebut memang telah dijalankan. Mahkamah akan memeriksa semua keterangan dan kalau berjaya akan dapat perintah seperti dua contoh di atas. Tapi jika tak ada langsung dokumen dan usaha? Maka, beban untuk menafikan bahawa pernikahan tersebut tak wujud/tak sah dan anak tersebut anak tak sahtaraf adalah terletak ke atas ibu bapa anak tersebut.
Contoh Halim saya gunakan sebab memang dia dah terang-terangan declare 1 malaysia. Dan mungkin ada masyarakat yang keliru dengan kenyataan beliau untuk mengekalkan nama Abdullah sebagai binti anaknya. Nak kekalkan nama Abdullah tu tak ada masalah langsung sebenarnya yang penting sabitkan dulu nasab anak tu di mahkamah syariah. Pihak JPN memang tak boleh buat apa-apa selagi tak ada perintah dari mahkamah syariah berkenaan isu tersebut. Jika dah disabitkan nasabnya, walaupun berbintikan Abdullah, dia akan dapat semua hak-hak seorang anak untuk diwalikan oleh bapanya, dapat hak faraid dari bapa dan dapat nasab keturunan bapanya. Ini bukan isu tak kisah dan tak nak menyusahkan. Ini melibatkan isu penting tentang status anak dan hak.
Nasihat saya pada Halim, jangan mengalah dan putus asa. Cuba usahakan lagi, kesian Myra. Jangan kata kes dah terlalu lama sebab ada je kes yang dah berlaku 20 tahun dulu tapi masih boleh disahkan di mahkamah sebab pihak-pihak usaha juga bawa saksi. Jangan ambil ringan dengan bab-bab nasab dan hukum ni. Ini bukan kes terpencil. Sebenarnya bukan nasihat untuk Halim sahaja tapi ramai lagi di luar sana yang ada masalah yang sama seperti ini sebenarnya. Tolonglah ambil cakna.
Pengajaran untuk yang belum terjebak. Jangan buat keputusan singkat. Nikah luar negara memang cepat dan mudah. Tapi fikirkanlah kesan jangka masa panjangnya. Kalau terpaksa juga nikah di luar negara atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, bila dah balik Malaysia cepat-cepatlahlah buat pengesahan di mahkamah syariah dan daftarkan pernikahan tersebut di pejabat agama. Kesannya tak nampak sangat kepada lelaki/suami. Tapi yang jadi mangsa ialah isteri/anak-anak.
Cuba bayangkan pula kesannya pada isteri? Nak kata dah nikah pun tak ada dokumen yang sah. Nak kata dah cerai pun, sijil nikah tak ada macam mana nak cerai. Kalau nak berkahwin lain? Satu sahaja cara, dia boleh declare yang dia belum pernah bernikah dan seolah pernikahan yang terdahulu tak wujud barulah dia boleh berkahwin lain. Lagipun memang tak ada dokumen langsung kan. Jadi apa status anak daripada perkahwinan terdahulu? Anak tu tak salah. Yang salah ialah mak ayah yang tak fikir panjang.
Ambik pengajaran. Yang baik jadikan tauladan yang buruk jadikan sempadan. Biar tahu jangan keliru.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?
Kisah Ahmad Ammar Ahmad Azam, pemuda yang meninggal dunia kerana dilanggar ambulans ketika melintas jalan di Istanbul pada November 2013 berjaya mencuri perhatian ramai. Selepas pemergiannya, Ammar begitu dikenali dan menjadi satu fenomena kerana berjaya menyentuh hati anak muda khususnya yang tidak mengenali Ammar.
Disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan menghadap Laut Golden Horn, Ahmad Ammar dicemburui ramai kerana jasadnya disemadikan di tanah perkuburan yang menempatkan lebih 60 jasad sahabat nabi, auliya’, panglima Uthmaniyyah dan orang kenamaan di Turki.
Ikuti perkongsian oleh Muhammad Najmie Ruslan yang sempat menziarahi pusara Allahyarham Ahmad Ammar.
AHMAD AMMAR, KISAH SYAHID YANG TERTANGGUH
“Alhamdulilah saya sempat menziarahi Pusara Ahmad Ammar, seorang Anak Muda yang diberikan penghormatan oleh Kerajaan Turki untuk dikebumikan di Tanah perkuburan Ayub.
Apabila sampai di sana, sejuk mata memandang apabila melihat kubur pusara Ahmad Ammar penuh dengan bunga2 tulip yang hidup dengan suburnya.”
Ahmad Ammar Bin Ahmad Azam telah pergi menemui Tuhannya pada usia semuda 20 tahun di dalam kemalangan jalan raya ketika Awal Muharram di Istanbul, Turki.
Ahmad Ammar telah memilih bidang sejarah di Universiti Marmara dengan mendapat biasiswa Kerajaan Turki. Semangatnya untuk mendalami sejarah Uthmaniyyah dan melihat Kerajaan Islam kembali tertegak selari dengan cita-cita ayahanda dan bondanya.
PELAJAR CEMERLANG
Sememangnya beliau dilahirkan di dalam keluarga yang mementingkan ilmu, ibadah, dakwah dan pengorbanan. Ayahandanya Tuan Haji Ahmad Azam Abdul Rahman dan ibunya Puan Nur Azlina Aziz.
Beliau merupakan anak keempat dan satu-satunya anak lelaki Tuan Haji Ahmad Azam Abd Rahman, mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Ahmad Ammar merupakan pelajar yang sangat cemerlang SPM di RMC (Maktab Tentera Diraja) namun memilih menyambung pengajian di bidang Sejarah di Turki, bersama harapan dan perancangan kedua ibu bapanya
Juga, untuk menjadikan dirinya pemimpin negara kita yang pakar dalam sejarah khususnya Sejarah Uthmaniyyah, dan fasih bertutur di dalam bahasa Turki serta mendapat pendidikan di sana.
Sungguh bagi remaja semuda Ammar, untuk mendengar alunan Quran sebagai halwa telinga mungkin menjadi pilihan yang terakhir sekali.
Namun tidak untuk Ammar. Beliau dikhabarkan keluar rumah setelah membaca al-Quran dalam tempoh yang panjang.
Malah pada usia semuda itu beliau telah menyertai pelbagai misi kemanusiaan di beberapa negara di dunia.
Misi ke Syria begitu menyayat hati, seolah-olah Ammar tertinggal hatinya di Syria.
Meskipun letupan demi letupan meletus di kiri dan kanan malah terlalu hampir dengan hospital tempat penginapan mereka, namun Ammar teguh tidak gentar ingin terus membantu Syria.
Allahu Akbar!
GELARAN SYAHID YANG TERTANGGUH
Sejak pulang dari Syria itulah sahabat-sahabat menggelarnya “Syahid yang Tertangguh”.
Alangkah bertuahnya ayahanda dan bonda beliau kerana dapat menyaksikan sendiri perjalanan terakhir seorang anak dengan pengakhiran yang baik.
Ribuan manusia memenuhi Masjid Abu Ayyub al-Ansari, malah dimakamkan berhampiran sahabat agung Rasulullah saw iaitu Abu Ayyub al-Ansari yang berjihad dalam angkatan pertama tentera kaum muslimin di dalam cubaan menakluk Kota Konstantinopel.
Seorang sahabat menulis, Ammar adalah “Muhajir” dan menjadi tetamu kepada Abu Ayyub al-Ansari.
Subhanallah indahnya “tawafuk” yang disusun Allah dan bukan kebetulan.
Sekiranya kita masih mengingati sejarah hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah ke Madinah, bukankah Baginda Rasulullah s.a.w menjadi tetamu di rumah Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari?
Bukankah unta baginda s.a.w dengan hidayah Allah telah memilih rumah Abu Ayyub al-Ansari tidak yang lain?
Secara simboliknya Ahmad Ammar Ahmad Azzam berhijrah menuntut ilmu dari Malaysia ke Turki seperti hijrahnya Baginda s.a.w dari Makkah ke Madinah.
Taqdir Allah menentukan Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari terpilih untuk memuliakan Rasulullah s.a.w di rumahnya, begitu jugalah Ahmad Ammar menjadi tetamu kepada Sayyidina Abu Ayyub al-Ansari di permakaman Eyup, Turki.
Inilah rezeki beliau yang pastinya amat menggembirakan ayahanda dan bondanya yang kesedihan.
Janji Allah amat jelas di dalam ayat 100 surah al-Nisa’:
“…Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudia ia mati, maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Subhanallah, pada pagi kejadian, Ammar keluar menuju rumah pelajar-pelajar baru dari Asia Tenggara dengan semangat untuk berkongsi ilmu dan bermuzakarah Rasail Nur karangan Imam Bediuzzaman Said Nursi.
Malah catatan terakhirnya dan di masukkan ke dalam beg sandang beliau berbunyi:
“Perlu ada keredhaan Allah dalam amalan kalian.
Sekiranya Allah redha sedangkan seluruh dunia berpaling daripadamu, maka itu tidak penting.
RINDUKAN SYAHID
Jika Dia telah menerima amalanmu sedangkan seluruh makhluk menolak maka ia tidak memberi apa-apa kesan pun… Kerana itu lah sepatutnya hanya redha Allah semata-mata yang menjadi tujuan utama di dalam khidmat dakwah ini.”
Namun seperti yang dicatatkan ayahandanya, Tuan Haji Ahmad Azam, beliau sempat melintasi jalan, namun kehilangan imbangan badan dan terjatuh lalu dirempuh sebuah ambulan. Beliau pergi pada usia 20 tahun, penuntut tahun dua Universiti Marmara.
Beliau amat rindukan syahid. Rupa-rupanya Ahmad Ammar ini telah pun menyaksikan bidadarinya sehingga beliau tidak lagi menoleh ke kiri atau ke kanan dalam mengejar cita-citanya.
Beliau terus berkhidmat untuk berdakwah dan tekun beramal sehingga pada tarikh itu berakhirlah tugasan beliau di bumi yang fana ini.
Alhamdulillah kerana Allah dengan kasih sayang-Nya masih memelihara agama ini dengan adanya remaja-remaja seumpama Ammar.
Masya Allah Tabarakallah!
Untuk insan yang istimewa ini —-> Al-Fatihah.
“Setiap yang bernyawa pasti akan mati. Hanya pada hari Kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan di masukkan ke dalam Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” -al-imran:185
“Andai aku syahid, kebumikan aku di pinggir Constantinople. Agar pada suatu hari nanti, apabila aku mendengar tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburku, tahulah aku bahawa janji Nabi, telah tertunai!”
Maksudnya: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.” (Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) danal-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465).
Satu perkongsian menarik dari Ustaz Pahrol Mohamad Juoi di fbnya mengenai sikap tawaduk usahawan hartanah bertaraf jutawan, Muhammad Azlan Al-Amin sudah cukup membuat kita sedar bahawa tidak miskin seseorang jika suka bersedekah. Bahkan sikap merendah diri ditunjukkan oleh hartawan ini amat terpuji.
Baca perkongsian dibuat olehnya:-
Apabila saya musafir ke Kelantan baru-baru ini, saya berkesempatan melihat realiti kehidupan Muhammad Azlan Al-Amin dari dekat. Saya sudah menjangka akan kesederhanaan cara hidupnya. Namun saya terkejut, apa yang saya lihat sangat di luar jangkaan sama sekali.
Bayangkan, seorang yang sudah memiliki asset ratusan juta, tinggal di rumah yang ‘sangat-sangat’ sederhana. Saya berpeluang melihat sendiri ruang tamu, bilik tidur, dapur tempat beliau, isteri dan lima orang anak-anaknya berteduh.
Saya tertanya-tanya dalam hati, mengapa cara hidup itu yang dipilihnya? Saya mengenali beberapa orang berharta, yang punya villa agam, pusat penempatan eksklusif dengan beberapa buah banglo untuk keluarga masing-masing. Ya, semua itu boleh saja. Halal. Bukan haram.
Tetapi Azlan Al Amin sebaliknya. Ketika saya bertanya untuk mendapat jawapannya, adiknya Mustakim, berkata, “puas kami pujuk dia untuk duduk di rumah yang lebih baik, tetapi abang enggan. Dia bina surau untuk orang kampung. Dan kemudian bina surau untuk ahli keluarga besarnya…”
Saya renung, rumah bercat hijau memanjang di tengah sawah, kenapa reka bentuknya begitu polos dan begitu ringkas sekali. Selayaknya sebuah asrama pelajar sahaja. Begitu rendah sekalikah citarasa jutawan muda ini?
Ini mengingatkan kepada cita-cita yang dinyatakan kepada saya satu ketika dulu. Dia impikan untuk membina sebuah pusat tahfiz yang dibiayai sepenuh olehnya. Itulah cita-citanya yang mendorong membina bangunan bercat hijau di tengah kehijauan sawah itu.
Namun, dalam perbincangan kami, dia akhirnya akur dengan pandangan kedua yakni, tidak perlu membina pusat tahfiz baru sebaliknya, bantu dan biayai sahaja pusat tahfiz dan pelajar-pelajar yang sudah dikenal pasti.
Seingat saya, sejak itu dia mula menambah bilangan pelajar tahfiz yang dibiayainya di dalam dan di luar negara. Alhamdulillah saya bersyukur, dia akhirnya akur untuk menyerahkan urusan kepada ahlinya dan dia sendiri boleh terus fokus kepada perniagaannya.
Dia begitu lasak. Tangkas, dan adakalanya terlalu keras buat dirinya. Lalu hati saya tertanya-tanya, bagaimana isteri dan anak-anaknya? Mampukah mereka juga mengikut jalan hidup yang dipilihnya?
Lalu saya dapat melihat sendiri sebuah rumah kecil di tepi reban ayam dan kandang lembu yang dihuni oleh Azlan dan isterinya bertahun-tahun sebelum itu. Sangat daif.
Ketika saya bertanya, mengapa rumah sekecil itu dihuninya walaupun pada ketika itu dia telah menjadi jutawan?
Beliau berkata perlahan, “saya hendak melatih dan mendidik isteri serta anak-anak agar terbiasa susah dan tidak terikat dengan kesenangan. Supaya saya boleh terus mencapai cita-cita…”
Apa cita-citanya?
Pada malam itu, di tepi sawah, dalam simbahan cahaya bulan, diiringi tiupan angin malam…beliau bersuara perlahan membisikkan cita-citanya:
“Azlan ingin menbina seratus buah surau dengan kelengkapan yang sempurna untuk kegunaan masyarakat Islam…”
Saya terdiam. Teringat sebuah tulisan lama:-
“Mengapa ada orang mati kelaparan? Kerana ramai orang yang mati kekenyangan. Jika sikaya itu sudi mengurangkan sedikit sahaja daripada kemewahannya nescaya ramai orang miskin terlepas daripada kesusahannya. Yang lebih pada sikaya akan memudaratkan kerana itu hakikatnya hak simiskin yang perlu diinfaqkan.”
Saya yang menulis, apakah beliau yang akan merealisaikannya? Insya-Allah saya berdoa untuknya dan untuk sesiapa sahaja yang mempunyai impian yang sama. Insya-Allah. Amin.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama.
Insya-Allah, kita download
sekarang ya?