
Apabila berlaku kematian dalam kalangan ahli keluarga, antara perkara yang sering menjadi perhatian ialah urusan pembahagian harta pusaka mengikut hukum faraid.
Namun, sebelum wang simpanan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibahagikan kepada waris, terdapat beberapa tanggungan si mati yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Antaranya ialah hutang zakat yang masih belum ditunaikan.
BACA JUGA: Jangan Lambatkan Pembahagian Harta Pusaka, Hak Anak Yatim Bukan Untuk Ditangguh
Zakat merupakan kewajipan kepada Allah SWT. Oleh itu, sekiranya terdapat zakat yang belum dibayar oleh si mati, ia perlu dilunaskan terlebih dahulu sebelum baki harta pusaka dibahagikan kepada waris yang berhak.
Menurut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, wang simpanan KWSP dikategorikan sebagai pemilikan sempurna atau al-milk al-tam dalam Mazhab Syafie.
Walaupun pencarum telah meninggal dunia dan tidak sempat mengeluarkan wang tersebut, simpanan itu masih dianggap sebagai harta miliknya kerana ia didaftarkan atas nama si mati.
Para ulama menyamakan situasi ini dengan harta yang hilang, dirampas atau ditahan oleh pemerintah. Walaupun pemilik tidak dapat menggunakan harta berkenaan buat sementara waktu, hak pemilikan terhadapnya masih kekal.
Menurut pandangan Mazhab Syafie dan Hanbali, harta yang disekat atau tidak dapat digunakan itu tetap wajib dizakatkan apabila ia berjaya diperoleh semula.
Bagaimanapun, demi memberi kemudahan, fatwa yang dirujuk mengambil pandangan Mazhab Maliki, iaitu harta yang disekat seperti simpanan KWSP si mati hanya perlu dizakatkan bagi tempoh satu tahun sahaja selepas wang tersebut dikeluarkan.
Waris atau pentadbir harta pusaka bertanggungjawab mengeluarkan zakat daripada simpanan KWSP si mati sebelum wang tersebut dibahagikan kepada ahli waris mengikut hukum faraid.
Hal ini kerana zakat yang belum dibayar dianggap sebagai hutang si mati kepada Allah SWT. Dalam urusan pusaka, segala hutang dan tanggungan wajib diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembahagian dibuat.
Kadar zakat yang dikenakan ialah sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan simpanan yang layak dikeluarkan, tertakluk kepada syarat cukup nisab berdasarkan nilai emas semasa.
Waris juga tidak perlu menunggu tempoh haul selama setahun selepas menerima wang tersebut. Zakat boleh terus dibayar sebaik sahaja simpanan KWSP si mati berjaya dikeluarkan.
Kasih sayang kepada ibu bapa atau ahli keluarga yang telah meninggal dunia bukan sekadar dizahirkan melalui doa, sedekah dan bacaan al-Quran.
Sebaliknya, kasih itu juga boleh dibuktikan dengan memastikan segala hutang dan kewajipan mereka diselesaikan, termasuklah zakat yang masih tertunggak.
Membersihkan harta peninggalan daripada tanggungan zakat bukan sahaja membantu menyempurnakan amanah si mati, malah memastikan pembahagian pusaka kepada waris dilakukan dengan lebih berkat dan mengikut tuntutan syarak.
++Untuk berita dan artikel terkini. Jangan lupa ikuti kami di media sosial rasmi kashoorga, Instagram, Facebook & TikTok